Total Pageviews

Friday, March 1, 2013

Berlari Ke Langit



Lima hari.

Lima hari ini saya perlu aktif menguruskan semua hal berkaitan dua anak, penyewa yang asyik menelefon atas urusan penyewaan rumah yang jauh di KK, urusan kerja dan kelas; juga hal-hal lain yang berkaitan.

Lucu tatkala memikirkan perangai saya yang agak aneh.

Kalau mahu pulang ke kampung atau ke mana-mana, saya akan pastikan langsir telah siap dicuci, lantai dimop, kamar mandi diberus, kereta dicuci, segalanya kemas dan bersih.

“Seperti mahu sambut hari raya...” selalu saya dengar komen begitu.

Rasanya semua perempuan macam itu.

Cuma kali ini saya kena lebih teliti. Selepas itu, saya pasti tidak boleh melakukan banyak perkara. Kamar mandi mungkin akan sedikit berlumut, lantai juga barangkali ada habuk. Saya akan kehilangan kekuatan tangan kanan, sedangkan tangan kiri sudah terhad kekuatannya. Jika dahulu, tiga hari selepas dibedah, saya masih boleh memandu dengan tangan sebelah, kali ini mungkin agak sukar. Jika dulu juga, saya mematuk-matuk huruf di komputer dengan jemari tangan kanan, sekali ini terpaksa belajar menjadi kidal.

Tidak mengapa. Saya melihat tiada yang mustahil dengan bantuan Allah.

Lihat sahaja mereka yang kelainan upaya. Mereka boleh melakukan sesuatu yang kita fikir mustahil untuk dilakukan.

Makan dengan kaki? Melukis dengan kaki? Sedangkan saya yang sempurna ini kalau melukis gajah, akan jadi seperti kambing dari planet yang jauh di angkasa lepas. 

Sejak pertengahan 2011, saya tidak lagi boleh selasak biasa. Cuma kadang-kadang, saya lakukan juga. Sudah sangat biasa berdikari, saya tidak suka menunggu. Maka, saya akan memandu jauh, atau berulang alik menguruskan sesuatu dengan senarai yang memenuhi kertas A4.

Dari Lonek, saya akan mencuri masa untuk ke UKM. Urusan yuran pengajian, stok makanan, barang-barang harian, wang saku dan segala urusan berkaitan akan saya uruskan sedaya boleh. Jika tengah malam baru selesai pun tengah malamlah. Janji hati saya rasa senang sebab sebahagian hal anak telah selesai.

Dan si bongsu, khabarnya akan masuk kembali menyambung ijazah jika ada rezeki pada tarikh-tarikh saya di hospital. Hati saya tidak begitu rusuh sebab lazimnya dia disukai golongan mak cik-mak cik; tidak tahulah sebab debabnya dia atau mukanya yang berbelas kasihan itu...

Urusan kerja juga rasanya tiada masalah. Rakan-rakan sangat berbudi. Bersyukurnya saya sebab Allah memberikan hati yang sangat murni kepada rakan-rakan sejabatan. Mereka terlalu baik dan memahami. Mudah-mudahan Allah memberi kelapangan hidup kepada mereka dunia dan akhirat.

Tidak perlu duduk bermenung-menung meratapi nasib. Ini bukan zaman yang penuh melankolia. Bersyukur sebab masih boleh makan dengan gembira. Bergembiralah sebab pembedahan berjalan tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar. Bersyukur sebab anak-anak kita sihat dan pandai.

Banyak yang Allah bagi berbanding apa yang kita minta.

Kasih sayang yang begitu melimpah itu adalah nikmat yang tidak terhingga.

Kesakitan seperti getah pemadam yang boleh menghapus dosa.

Juga seperti cecair pemadam yang meninggalkan kesan putih tanda jiwa yang bersih!

Jadi...bergembiralah untuk hari yang sedang berada di hadapan muka kita!

Ayuh, mari kita berlari ke langit!