Total Pageviews

Wednesday, January 16, 2013

Metamorfosis Sang Rama-rama.




Esok hari jadi mak versi satu. 17 Januari. Tujuh puluh lima.

Hari jadi mak versi dua jatuh pada bulan September.

Saya sangat penat hari ini. Tetapi ingatan saya meluru kepada mak. Kepada anak-anak.

Sebelum Maghrib, saya menelefon mak.

Mak sedang merumput di halaman. Saya beritahu mak bahawa saya ada kelas malam.

Kuliah ganti berakhir sebelum jam sepuluh malam. Kasihan untuk pelajar wanita yang akan memandu balik dalam jangka masa sejam perjalanan. Mereka juga tiada rehat sejak jam 7.30 pagi sehingga jam 7 malam. Tapi semangat mereka bagus. Tiada yang ponteng.

Melihat mereka begitu, sebenarnya melihat situasi sama lima belas tahun yang lalu. Anak bongsu saya menjadi pelajar “sarjana” termuda, duduk melukis dan membaca sepanjang kuliah tiga jam. Anak sulung saya di kampung. Kasihan dia. Sehingga sekarang (ketika iman melayang-layang) saya masih sesekali menyalahkan diri sebab meninggalkannya setahun itu. Pensyarah saya bagus, saya tidak memberitahu yang saya ada masalah. Tetapi pengalaman mereka membantu untuk melihat masalah yang tersembunyi.

Saya menelefon mak selepas kelas. Memberitahunya bahawa saya sedang bernostalgia.

“Itu bagusnya jika kita pernah susah,” kata mak. Kemudian talian terputus. Menelefon semula, kata mak, mak belum pandai-pandai menggunakan telefon baharu skrin sentuh itu.

Tak apa, mak.

Dahulu, mak sabar sahaja walaupun berkali-kali kami gagal memasukkan butang ke dalam lubang baju. Mak terus ajar dan ajar tanpa jemu. Mak tidak marah. Kalau saya minta mak bercerita sebelum tidur, mak sabar sahaja melayan sehingga kehabisan modal. Terpaksalah mak mereka-reka cerita sebab desakan saya. Ayah juga begitu, tetapi ayah bijak sebab selalu pura-pura berdengkur.

Mak juga hanya ketawa tatkala kami asyik gagal mengikat tali kasut dengan betul. Atau ketika kami berdegil mahu makan sendiri dengan sudu. Nasi bersepah membulat di lantai mengikut ukuran pinggan. Kadang-kadang sudu itu terpelanting jauh.

Mak tidak marah. Tetapi sabar melatih sehingga kami menjadi pandai.

Apalah sangat dengan ketidakpandaian mak menggunakan teknologi. Kami yang berpelajaran ini pun terkial-kial bertarung dengan gergasi teknologi yang semakin hari semakin canggih.

Saya sendiri tiada telefon skrin sentuh. Masih memakai telefon bimbit yang anak hadiahkan. Murah pun tak apa, asalkan saya dapat mendengar suara mak dengan jelas!

Ada ibu-ibu yang berasa rugi sebab tiada anak lelaki.

Mereka akan mengatakan begini, “untunglah awak sebab ada anak lelaki. Saya semuanya anak perempuan”.

Puncanya? Anak perempuan akan cenderung kepada ayahnya. Anak lelaki akan cenderung kepada ibu. Tetapi saya tidak gentar dengan kecenderungan-kecenderungan itu, biarpun saya kelihatan seperti titik kecil di atas peta dunia. Ada atau tiada, tidak memberi banyak makna kepada peta.

Suatu hari nanti ketika mereka memasuki suatu daerah usia, atau setelah melalui pengalaman melahirkan dan merasai sendiri perasaan menjadi ibu...ketika itulah!

Seperti apa yang berlaku kepada saya dan mak. Juga pernah berlaku kepada mak dan tok.

Bulatan bermula dari titik. Tetapi ketika garisannya menjadi bulat, ia sudah tiada titik mula dan akhir. Ia akan membentuk kitaran. Seperti proses metamorfosis sang rama-rama.

Itulah yang berlaku kepada kitaran hidup kita.