Total Pageviews

Friday, January 11, 2013

Ayuh Menjadi Anak Baik



“Mak tidak faham saya. Saya sukakan benda lain tetapi mak beri saya benda lain!”

Saya diam. Memandangnya sambil berfikir.

Budak itu masih dianggap muda pada zaman ini, tetapi bukan pada zaman saya dahulu. Waktu saya sebayanya, telah banyak kesusahan hidup yang saya telah tempuh. Kesusahan mematangkan, menjadikan kita cepat sedar akan kenyataan hidup.

“Awak tidak puas hati dengan mak awak?” tanya saya dengan aplikasi asertif, sesuatu yang saya pernah ajar semasa berada di matrix dahulu.

“Ya. Banyak sekali yang saya tidak puas hati. Mak banyak campur tangan dalam hidup saya. Saya benci mak. Saya mahu bunuh dia sebab saya benci untuk lihat mukanya. Saya mahu lari jauh daripadanya sebab saya bencikan perempuan tua itu! Biar padan mukanya!”

Astagfirullah. Saya menelan air mata yang bercucuran ke dalam hati.

Hati saya pedih. Seperti ada sesuatu yang mengetuk perasaan dan ingatan. Keras dan menghancurkan!

Kalaulah emaknya mendengar sekarang ini, saya sangat pasti dia akan rebah dan barangkali menjadi jenazah.

Saya sendiri berasa seakan mahu pitam!

Saya kenal wanita yang disebut sebagai “perempuan tua” itu.

Wanita yang berjuang untuk melangsaikan timbunan hutang bekas suami, wanita itu juga yang sepanjang usia hanya tahu menyebut “anak, anak dan anak” demi menyara anak tunggalnya, gadis yang bermulut celupar itu!

Kesalahannya hanyalah satu. Dia terlalu mengasihi anaknya!

Atas dasar rasa kasih dan kasihan itu, dia melindungi. Perlindungan itu ditafsirkan sebagai campur tangan, menyekat kebebasan, tidak memahami kemahuan dan segala tuduhan yang mampu menutup pintu syurga seorang anak!

Wanita itu yang saya tahu, menjaga dua bayi sehingga jam lima. Usai tugas, bergegas pula bekerja di pasar raya sehingga tengah malam. Hari minggu, awal pagi sudah berada di pasar basah membantu kenalan berniaga. Kata orang tua-tua, tidak sempat kering air di hujung baju!

Ya, dia memang tidak punya masa senggang untuk duduk dan mendengar keluh kesah anak. Jika dia berehat lama, bermakna dia akan kehilangan sebahagian sumber rezeki untuk biaya anak di universiti.

Pernah sekali, ibu itu sanggup mengayuh basikal semata-mata untuk menghantar botol air masak ke sekolah. Anaknya tertinggal botol air tersebut. Paling menyedihkan, tindakan ibu itu dianggap memalukan! Anaknya enggan bertegur dengannya selama beberapa hari!

Dan sekarang, saya sedang mendengar cercaan daripada anak yang lahir dari rahim ibu itu!

“Orang yang ada emak, mahu bunuh emaknya. Orang yang tak punya emak, sanggup mencari-cari siapa yang sudi menjadikannya anak!”

Dia menjeling saya. Marah!

Tidak perlu aplikasi kaunseling dengan anak yang semacam itu. Kita pun pernah melukai hati emak, tetapi tidak sampai separah itu. Hati saya dalam ketuhar! Hilang semua teori, yang tinggal hanyalah api!

“Tahu apa masalah awak? Tak bersyukur!” Mukanya bertambah masam. Dia seakan mahu membunuh saya pula!

Saya mahu dia tahu, hidup ini bukan berada di bawah jajahan takluknya. Dia mahu bunuh ibunya? Bunuhlah! Barangkali di dunia dia boleh lepas dengan cara berlakon menjadi tidak siuman dan dihantar ke hospital sakit jiwa.

Tapi dia ada ubat untuk “kehidupan abadi”?

Semua orang akan mati. Oleh sebab tiada orang mati yang hidup semula untuk bercerita kisah siksaan di dalam kubur, maka cerita-cerita yang disebut oleh Allah itu dipandang sepi.

Anak itu bercelaru. Memang anak daripada keluarga pincang, cenderung pincang juga. Kebanyakannya begitu. Tetapi dia bukan muda lagi. Sudah mahasiswi dan tinggal satu semester dia akan menamatkan pengajian. Waktu saya pada usianya, saya sudah punya seorang anak!

Hilang ingatankah dia akan semua bakti emaknya itu? Dia fikir emaknya serba sempurna. Dia lupa bahawa emaknya itu adalah manusia!

Menjadi kemarahannya tatkala ibunya itu memberikan hadiah hari lahir yang tidak disukai. Maka dia bising-bising, rakan-rakan menokok tambah, menuang minyak ke dalam api! Menumpang dosa untuk tempahan tiket ke neraka!

Katanya, dia enggan melihat wajah emaknya lagi. Silakan, kata saya. Palingkan wajah kamu. Lari jauh-jauh sampai ke benua yang kamu agungkan.

Tetapi satu perkara kamu kena ingat. Bayang dosa akan terus mengejar kamu. Kamu tidak akan tenang meskipun kamu menjadi manusia terkaya di dunia.

Kenapa?

Sebab satu keberkatan sudah tiada.

Jika anak itu masih remaja, saya memahami. Jiwa remaja penuh dengan siri pemberontakan.

Jika saya tidak melihat kepayahan dan kesungguhan ibunya membesarkan dia, saya juga barangkali akan akur dengan protesnya itu.

Paling melukakan tatkala saya ketemu si ibu.

Wajahnya lebih tua daripada usia. Lembut dia menyebut, “tidak lama lagi anak saya akan tamat belajar. Dia anak yang baik. Mudah-mudahan Allah akan bantu dia...”

Sedaya upaya ibu itu cuba melindungi keburukan sikap si anak.

Sehabis daya, ibu itu menelan pahit makian dengan terus mengharap kebaikan buat permata hati.

Ya, jika kita ini jenis yang tidak pernah jumpa perkataan “syukur” dalam kamus, kalau dapat ibu bapa yang bagaimana pun, tetaplah kita tidak bersyukur juga!

Saya sangat berharap anak itu dapat menemui seseorang.

Seseorang yang pernah menderhakai ibunya. Dia sukses dalam kerjaya, naik dari satu aras ke satu aras tanpa halangan apa-apa. Tetapi entah apa silapnya, sesuatu yang aneh berlaku. Dan apabila tewas dengan sederetan kesukaran yang tiba-tiba, dia kembali ke kampung demi memohon keampunan.

Apa yang dilihatnya?

Hanya dua nisan yang kaku dan dingin. Fahamlah dia, doa ibunya yang telah terhenti, dan itu yang menyebabkannya dia jatuh. Keberkatan dalam hidup, yakni doa ibu telah tiada. Ibunya telah mati.

Maka dia cuba mengorek tanah kuburan ibunya dengan tangan sendiri. Meraung seperti guruh di langit.

Orang itu berakhir dengan hilai tawa. Barangkali hantu pun menggigil mendengar hilai tawa yang dahsyat, yang berganti-ganti dengan tangisan memohon ampun.

Memang yang melihat, penuh simpati.

Tetapi yang pasti, si ibu tidak akan kembali.

Bersyukurlah wahai diri. Hidup lawannya mati. Muda lawannya tua. Kuat kawannya lemah. Sihat lawannya sakit.

Hari ini kita melukai hati seorang emak, esok lusa pembalasan Allah pasti akan tiba.

Semua kita pernah berdosa dengan emak. Ada yang telah terampun, ada juga yang telah dibalas Allah di dunia. Tidak mengapa, sebab api neraka itu berganda-ganda sakitnya daripada kesakitan yang kita rasa di dunia.

Adakalanya tubuh emak menjadi kurus dan matanya kabur akibat dilukai dengan tingkah dan kata kita. Saya pun dulu begitu, melukai hati mak dengan sikap degil dan keras kepala. Akhirnya, saat susah, mak juga yang saya cari.

Mohonlah keampunan sementara mak masih ada. Mak kita bukan sempurna. Mak pun seperti kita juga, punya dosa dan titik hitam dalam kehidupan.

Allah tidak melihat permulaan kita, tetapi Dia melihat pengakhiran kita!

Maka, bersegeralah membuat kebaikan kepada orang tua kita!