Total Pageviews

Saturday, December 22, 2012

Motokar Udara?



Asyik ketawa saya dalam kereta. Agaknya kalau ada yang nampak, mesti menyangka ada urat yang putus di kepala. Ustaz Amin yang suaranya serak basah seperti suara seorang ustaz lain yang saya suka, asyik buat lawak di radio dalam tajuk “Watak Muslimah Solehah”. Comel sahaja apabila dia ketawa.

Sabtu itu saya memandu dengan lancar. Tetapi di seberang, lebuh raya menuju ke selatan berensot-ensot macam kura-kura sakit. Yang sedikit laju hanya motosikal. Saya bayangkan seperti berudu beroda yang menyelit-nyelit antara kereta dan lori.

Tiba-tiba teringat lakaran dalam majalah MGS Ipoh waktu saya bersekolah di sana dari tahun 1979-1983. Tidak teringat majalah sekolah yang tahun bila. Ada imaginasi pelajar yang melukis perbezaan antara tahun itu dengan tahun 2000. Ada robot guru, bangunan sekolah pun macam yang ada dalam filem sains fiksyen, ada kenderaan yang memenuhi ruang angkasa.

Kalaulah sekarang ini jadi seperti imaginasi pelajar itu, maka saya percaya, orang yang sedang berada di bawah ini makin tidak selamat. Serpihan-serpihan kenderaan yang berlanggaran akan luruh dari ruang angkasa. Puncanya, tiada garisan yang membezakan laluan, tiada lampu isyarat atau AES yang pancarannya macam kilat. Mat rempit mesti suka memecut juga walaupun di angkasa!

Di bulatan menuju kampus, radio memainkan lagu “Siapakah Yang Tak Pernah Menangis” karya Allahyarham Zubir Ali. Liriknya bermakna. Suara Zubir lunak mendendangkan “siapakah yang tak pernah menangis, di hujung tawa”. Sayu. Dia mengingatkan pendengar tentang kematian yang dia telah pun mengalaminya.

Saya mahu menambah, “siapa yang tidak pernah ketawa di hujung tangis?”

Allah itu adilnya meliputi semua benda. Kita pernah menangis sebab gagal. Tetapi gagal adalah kejayaan yang tertunda. Akhirnya kita ketawa juga. Begitulah sebaliknya.

Saya jumpa anak dan bawanya makan. Memang perut Siam. Asyik-asyik mahu makanan yang sama dari kecil sampai besar. Seliparnya juga asyik putus, naik turun tangga musim hujan.



Ada banyak monyet kecil besar yang datang hampir dengan kereta. Lapar barangkali. Bapa monyet mukanya bengis. Saya suruh anak cepat masuk ke bangunan kediaman. Monyet-monyet itu berani masuk hingga ke dalam bilik mencari makanan. Kasihan juga tetapi populasinya berkembang maju, tiada perancangan keluarga.

Monyet pun masuk universiti. Tidak takut orang. Orang yang takut dengan kumpulannya yang ramai dan lincah itu.

Memandu pulang, saya masuk kumpulan kura-kura sakit. Nasib baik ada beli CD Ustaz Azhar Idrus. Hilang kantuk saya, ikut ketawa dengan lelucon sinikalnya.

Akhirnya saya sampai juga ke rumah, dengan kesakitan luar biasa dari pinggang sampai ke kaki. Rasa mahu bertongkat sahaja!

Waktu itulah, saya terfikir...alangkah baiknya kalau kesesakan lebuh raya itu dapat diatasi dengan mencipta kenderaan di udara!

Mengarut. Tetapi tidak mustahil juga!