Total Pageviews

Friday, November 23, 2012

Memberi Gembira



Alunan zikir berlagu jam enam pagi. Saya bangun dan matikan telefon bimbit.

Jam sembilan tepat, saya sudah ada di ruang parkir kampus. Sekumpulan monyet memenuhi persekitaran kolej kediaman. Comel bayi kecil melekap di perut ibu. Bapanya pula bergerak sendirian, dengan angkuh!

Memang si sulung tidak sihat. Matanya redup. Suara semacam orang berbisik.

Ke fakulti menanyakan surat pengecualian kreditnya yang asyik tertangguh. Rupa-rupanya di mana-mana pun, pengurusan orang kita memang bermasalah.

Saya menghantarnya ke pusat bahasa. Ada tutorial dua jam di sana. Dua jam menunggu, saya ke bank. Pun menunggu lama sebab mesinnya buat hal. Sempat juga ke stesen mengisi minyak. Juga membeli buah delima dan marsmallow macam-macam bentuk untuk kedua-dua puteri.

“Budak-budak memang suka makan ni, puan,” kata gadis penjual.

Budak-budak? Hehe...anak-anak saya sudah tua, nak!

Ke klinik selepas itu. Waktu nombor giliran tiba, saya menahan diri untuk bangun.

“Jangan ikut masuk. Dia sudah dewasa!” hati saya berbisik memujuk-mujuk.

Dia menunggu saya. Tapi saya memberi isyarat supaya dia sahaja yang masuk.

Memang, anak ini mengikut tabiat saya. Saya tidak suka minum ubat batuk. Tapi saya terlupa mahu pesan supaya dia minta ubat batuk pil.

“Kakak tak mahu minum ini,” katanya, memegang botol ubat. Saya diam sahaja. Tidak boleh marah sebab saya pun sama.

Kalau dahulu, ubat pil pun dia susah mahu telan. Setiap kali mahu bagi dia makan ubat, kena tumbuk dahulu, campurkan pil yang sudah jadi serbuk itu dengan sedikit air, baru boleh ditelan. Apabila dia ke sekolah asrama waktu tingkatan empat, saya sedikit susah hati. Ajaibnya, waktu pulang bercuti saya lihat dia sudah boleh telan pil!

“Kawan ejek kakak!” dia menjelaskan.

Saya membawanya mengambil kaca mata di kedai. Kena pimpin tangannya waktu berjalan. Dia kata lantai menari-nari. Baru pakai kaca mata memang begitu.

Gadis-gadis sekarang tidak suka memakai kaca mata secara normal sebab katanya, mengganggu tudung. Jadi, dia memakainya dengan bingkai di luar.

Waktu makan, dia beritahu saya, “nampaknya di meja hujung itu, macam pensyarah kakak masa di KUIS”. Wah, mentang-mentanglah mata sudah terang!

Jam empat dia ada ujian. Saya menunggu lagi dalam gerimis. Sepanjang hari, langit mendung.

Jam enam lima belas minit petang, dia masih mahu berbual. Walhal, katanya kepala sudah berat.

Saya mahu pulang. Saya pegang kepalanya dan membaca ummul-kitab. Saya jemput kuat dan tepuk di sofa kereta.

“Kakak ingat lagi dulu ibu selalu buat begitu,” dia ketawa.

Dulu-dulu, kalau dia sakit kepala, adiknya pun meniru juga. “Adik pun pening!”. Entah tahu atau tidak budak kecil dengan rasa “pening” itu, atau sekadar menyebut!

Saya akan menjampi di kepala, jika kepala yang sakit. Atau di perut jika dakwa mereka, perut yang sakit. Bacakan ummul-kitab, menjemput dan menepuk ke lantai atau apa sahaja objek yang ada berhampiran.

“Sudah OK. Ibu sudah buang sakit itu ke lantai!” kata saya.

Kedua-duanya pun sihat macam sedia kala. Psikologi dan mainannya!

Saya pesan. “Kakak kuat. Sikit saja sakit ini. Esok pagi kakak akan sembuh sepenuhnya dan malamnya boleh hadiri dinner,” kata saya mahu dia faham dengan Hukum Tarikan (Law of Attraction) yang saya bincangkan dengannya sepanjang petang. Dan dia pun melepaskan saya pulang.

Trafik perlahan. Semua orang macam tidak sabar mahu sampai ke rumah.

Sampai sahaja di pintu pagar, suami menelefon.

Usai solat Maghrib, saya dan si bongsu bergerak semula ke Pelabuhan Barat. Sampai di Tol Seafield, kami menunggu. Suami sampai dengan membonceng motosikal pemandunya. Keretanya ada masalah.

Malam itu juga, kami memenuhi keinginan si bongsu yang mahu ke pantai. Kantuk dan penat bukan main, tetapi dia “epal di mata” Daddynya. Saya tidak boleh kata apa!

Jam satu pagi, kami masih di PD Waterfront dan menghirup segelas teh tarik.

Untuk hilangkan kantuk, sampai sahaja di lampu trafik yang ada kamera auto, Daddynya akan minta si anak, “cepat, buat peace! Nanti ada gambar adik tengah buat peace!”.

Kemudian, main teka-teki.

“Ikan apa yang paling bodoh?”

Ikan kembong. Sudah tahu kembong, masih duduk dalam air!

Ketawa jugalah walaupun mengantuk sungguh!

Tetapi memenuhi kegembiraan anak adalah satu kegembiraan juga namanya. Biar pun badan penat, semuanya menjadi hal-hal biasa, asalkan orang yang dikasihi berasa riang gembira. Esok-esok tatkala anak sudah setua kita, dan kita pun sudah jadi gemulah; ingatan-ingatan itu akan menjentik kenang. Mereka akan mengenang, langsung mudah-mudahan mengirimkan al-Fatehah buat kita.

Melihat laut dalam gelap malam, tidak nampak dengan jelas garisan memanjang di kejauhan. Tetapi buih ombak yang putih, cepat menangkap penglihatan.

Subhanallah. Alhamdulillah.

No comments: