Total Pageviews

Sunday, November 18, 2012

Di Gapura Baharu

Meja kerja saya (saya tak pandai bekerja dalam semak!)


Jam tiga pagi masih menongkat mata. Saya mensasarkan tiga hari untuk menulis lebih kurang tujuh puluh puisi kanak-kanak, sehari untuk mengedit dan sehari lagi untuk menaip.

Perlu kerja tanpa berhenti sebab selepas itu saya hanya ada beberapa hari untuk menyiapkan bahan ceramah di sebuah universiti.

Memang dada agak sakit menyucuk-nyucuk. Tetapi tabiat saya, kalau sudah berhenti, memang agak sukar mahu memulakan.

Sebelum ini saya pernah ditawarkan untuk penulisan buku kanak-kanak, tetapi tiada keberanian untuk mencuba. Bagi saya, menulis untuk kanak-kanak jauh lebih sukar daripada menulis untuk bacaan dewasa.

Dan rupa-rupanya sangkaan saya itu sangat benar!

Usai subuh, saya berdoa agar Allah sentiasa memberkati niat dan memberikan saya ilham yang dapat dimanfaatkan untuk generasi cucu cicit saya kelak.

“Mak, saya sedang menulis sesuatu yang baharu sekarang. Adik juga sedang melukis. Mak doakan kami diberikan ilham yang baik. Mudah-mudahan rezeki Allah dapat saya kongsi dengan mak, keluarga dan semuanya,” dalam penat, saya menelefon emak.

Lazimnya begitulah, kalau saya mahu mula menulis. Bukan apa, saya mahu selalu membajui niat. Memang habuan dalam bentuk kewangan itu sangat dibutuhkan, terutama dalam waktu-waktu saya perlu biaya yang banyak untuk pengajian anak-anak di kampus. Doa mak untuk semua tindakan, akan selalu memandu saya ke betul jalan.

“Mak bangun malam nanti, Insya-Allah,” kata mak di hujung talian. Allah selalu ada untuk saya. Mak juga!

Barangkali mak sedang sujud di sejadah tatkala saya terbongkok-bongkok menulis dalam syahdu hujan yang melebat di luar.

Saya telah tiba di gapura yang baharu. Di dalamnya ada mata dan hati comel sedang menunggu. Barangkali pemiliknya adalah cucu cicit saya kelak.

Dalam pedih nyali menatap gambar anak-anak kecil Palestin yang sedang galak dibom tentera Israel, saya terus menulis dan menulis.

Sesekali mata saya merayap ke luar. Ada seekor burung kecil yang sangat suka bermain di garaj rumah. Melompat-lompat atas kereta saya dan anak, kemudian ke pagar, mengembang-ngembangkan sayap comelnya dalam gerimis pagi. Dia mematuk-matuk roti putih yang saya letakkan di celahan pagar. Dia suka menjadikan gril pintu sebagai tandas! Letih mencuci setiap hari, saya gantungkan belon-belon berwarna terang. Belon-belon yang berayun ditiup pawana itu, menyusahkan hati si burung kecil untuk bertenggek dan melepas!

Di belakang, beberapa ekor sudah masuk ke dapur. Mencari sisa nasi di bakul sampah atau lebihan roti di lantai. Makhluk kecil itu berbual riang.

Saya biarkan.

No comments: