Total Pageviews

Thursday, October 11, 2012

Nota Racau



Minggu ini ialah minggu mendapat panggilan telefon daripada "kakak-kakak".

Mula-mula daripada Kak Ustazah Norehan yang jauh di Tawau. Cerita duka, matanya tiba-tiba kelabu. Tapi orang punya asas agama sepertinya, melihat ujian sebagai tanda Allah mencintai!

Kemudian Kak Madzanah yang bertukar ke Melaka. Lupa mahu tanya dia sudah naik pangkat jadi pengarah atau masih timbalan pengarah di kolej matrix itu. "Nanti akak naik ke Seremban jumpa Yang kalau ada masa".

Sebab dia di selatan, maka tepatlah penggunaan perkataan "naik ke Seremban" itu!

Kedua-duanya rakan sejawat waktu mengajar di matrix, tetapi rezeki mereka lebih baik.

Ada panggilan lagi.

Kali ini daripada Kak Tumerah Rosmin.

“Kak sudah pindah Melaka,” dia memberitahu.

Melaka lagi!

“Maaf tidak menelefon. Saya takut kak sibuk. Atau sedang berada di Mekah!” saya membalas.

Pengarah baru IPG Durian Daun yang penyayang itu berjanji akan datang bertemu saya.

“Nanti kalau ada ruang, kak mahu jemput Puan Mahaya dan Yang beri kursus penulisan di Melaka!”

Hah! Saya dan Kak Mahaya? Macam langit dengan bumi.

Bukan! Macam dasar lautan dan langit lazuardi!

(Selepas itu, saya beritahu Kak Mahaya dan saya kena marah!

“Jangan rendah diri sangat, Na. Awak selalu menang sayembara”.

Tapi dia munsyi dewan! Penulis tersohor!

Saya? Tak ada siapa yang kenal pun haha...

Sorry, there's so many Chicken Little inside me, kak!)

Ada panggilan lagi!

Tertera di skrin telefon murah itu, “ Kak Mahaya Mohd Yassin”.

Saya sedang makan waktu itu, dengan seorang pensyarah senior yang bagaikan ibu buat saya. Sudah lama tidak makan nasi lemak, sudah berbulan-bulan. Meskipun sudah tengah hari, saya teringin juga. Jadi, saya makan nasi lemak biasa dan Kak Yam makan masak asam pedas.

“Ada lapang esok? Mahu pergi ke pelancaran Bulan Bahasa?”

“Sentiasa lapang,” kata saya.

“Esok, datang ke rumah akak. Akak memandu...”

Esoknya, saya ke Taman Paroi Jaya. Berhenti di hadapan masjid, menunggu.

Wah, hebat juga Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Sembilan ini memandu! Laju dan cekap! Rupa-rupanya ada sesuatu yang sama dengan saya. Lemah Geografi juga!

“Saya pun suka memandu. Baru seminggu operation, saya memandu dengan tangan sebelah. Kena leterlah juga dengan mak dan suami. Kunci kereta suami sorok. Cuma sejak dulu saya lemah subjek Ilmu Alam hahaha...” saya ketawa. Lucu apabila teringat kalau sepuluh kali pergi ke sesuatu tempat, lapan daripadanya saya masih tersilap arah. Kadang-kadang paling menyeramkan, tersesat ke pinggir kuburan!

“Ibu...ibu...tu...tu...” terkenang muka anak yang cemas sebab rupa-rupanya di tempat saya berhenti untuk berfikir-fikir arah yang tepat; betul-betul di tepinya adalah sebidang tanah perkuburan. Sudahlah gelap pekat!

“Hahaha...batu nisan saja. Mana ada hantu. Bagilah salam...” saya bercanda. Sebenarnya hati saya pun sudah kecut juga! Mana tahu, tiba-tiba...

Buat-buat berani saja. Kalau emaknya sudah takut, anak lagilah “extra” takut!

Di Stadium Tertutup Nilai itu, VVIP belum sampai. Kami duduk di barisan hadapan, betul-betul di tengah. Persembahan Bongai oleh Abang Bakar dan kumpulannya dari Kuala Pilah. Saya SMS Kak Yati, isterinya.

“Tongah donga abang nyanyi. Mau somput dio tu kak, sobab TPM bolum sampai..”

Sedap nyanyian kumpulan itu. Dan paling bererti juga, sebab itulah identiti negeri ini. Walaupun sukar untuk faham, tapi saya gemar mendengarnya (suami saya akan jadi penterjemah dan harap-harap dia tidak kelentong saya hahaha!).

Ada perembahan dekon (gabungan deklamasi puisi dan lakonan) oleh pelajar seni persembahan UITM. Dekon muzikal Pendeta Za'ba.

Benda-benda begitu, saya memang fokus. Itulah juga yang pernah saya buat dulu. Saya melihat pergerakan yang mereka lakonkan. Juga ayat-ayatnya. Ada ayat yang dilagukan begini, “selamat datang, selamat datang, dengan doa selamat datang...”. Ayat itu diulang-ulang. Doa selamat datang?

Ada lagi satu yang agak lain. Semua orang pun tertanya-tanya juga. Apabila VIP dan VVIP berucap dan menyebut “salam 1 Malaysia”, sekumpulan pelatih PLKN yang duduk di tingkat atas dewan akan serentak menyebut “tabik!”. Mula-mula kami fikirkan “takbir!”.

Seperti biasa, saya selalu kurang fokus jika ada siri ucapan. Cuma bagusnya acara kali ini, ucapannya tidak bertele-tele.

Dr Awang Sariyan menyebut mengenai Konvoi Kembara Bahasa yang akan bergerak ke seluruh Malaysia dalam program “pantau tegur bahasa”. Bagusnya.

Saya sangat berharap kumpulan ini akan membetulkan apa yang selalu ditulis di surau dan masjid."Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan".

Wah, kalau begitu, hanya tinggal pak imam dan jenazah sahaja sebab yang lain sudah cabut lari. Mengapa tidak? jenazah itu perlu di"bangunkan" untuk menyembahyangi dirinya sendiri!

Harap-harap tulisan di papan tanda itu akan diubah kepada, "sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi". Mudah-mudahan melihat tulisan itu, kita semua akan segera solat sebab tanpa tiang, bagaimana kita mahu membina atap!

MB Negeri Sembilan yang bermisai kemas itu (dia murid almarhum bapa mertua saya juga!) bercakap mengenai bahasa dan budaya yang diibaratkan seperti pokok dan akarnya. Menarik!

TPM pula (err...saya sudah hilang fokus sebab saya sibuk melihat sesuatu). Waktu TPM berucap, saya sibuk mengira berapa ramai “man in black bush jacket” yang berada di sebelah kiri dan kanan VIP dan VVIP. Ramai. Ada “earphone” di telinga masing-masing. Mereka berdiri tegak seperti tugu, ada yang menghadap audien, ada yang menghadap tetamu kehormat.

Mesti mereka ada kaki yang sangat kuat dan mata burung hantu yang mampu melihat dalam “kegelapan”. Waktu TPM naik ke pentas, kumpulan ini berpecah dan bergerak pantas ke belakang dan sisi pentas. Saya terfikir, ini Malaysia. Bukan Amerika atau India. Pengawal peribadi di Malaysia tidak mungkin mengalami tekanan berbanding rakan sejawat mereka di negara-negara yang seperti itu. Dan mereka kurang tegap juga berbanding pengawal peribadi yang saya selalu tonton dalam filem-filem Amerika...hehehe!

Teringat kata seorang rakan, “saya ada body-guard juga. Kiri kanan ada. Siap mencatat dosa pahala yang saya buat!”.

Kalau begitu, saya pun ada juga!

Kemudian, ada nyanyian daripada Hattan dengan lagunya, “Rendang Tak Berbuah” dan “Biso Bona”. Sudah macam konsert pula.

“Itu...pengaruh program realiti!” bisik Kak Mahaya sambil menunjuk ke tingkat atas. Kumpulan pelajar PLKN sedang melambai-lambai menggunakan kipas cenderamata bulan bahasa sambil menyanyi bersama-sama Hattan.

Hmm...tiada komen. Macam yang disebut Kak Mahaya, alangkah baiknya kalau persembahan Bongai itu yang mengambil tempat Hattan!

Saya suka juga dengan lirik korus lagu "Rendang Tak Berbuah" itu. Iramanya juga melankolia.

Bunyinya (saya hafal sedikit korusnya), "ibu, mengertilah. Aku sengsara. Lemas berendam air mata...". Menurut saya, definisinya jika dikaitkan dengan bahasa Melayu, barangkali begini.

"Ibu" itu merujuk kepada tanah air tercinta ini, Malaysiaku. "Aku sengsara" itu mungkin sekali merujuk kepada "ratapan" bahasa yang seakan sedang menuju ke "pusara".

Itu tafsiran saya sahaja yang mindanya sedang meracau-racau mencari makna.

Selesai acara, saya menunggu Kak Mahaya. Dia sedang ditemu ramah oleh seorang pemberita akhbar perdana. Wanita berusia enam puluh empat tahun itu, selalu menyantuni saya dengan kata-kata semangat, yang membuatkan saya terlupa sejenak apa yang sedang bersarang dalam rongga tubuh!

Hujan panas di luar. Lebat juga. Kemudian panasnya hilang dan hujan serta angin menggila. Tempias menyebabkan kaca mata saya kehujanan. Kami terkepung di bawah khemah jamuan. Tetapi bagus juga, sebab saya sempat bertemu dengan E Pian Pro Poul, junior semasa di UM. Dia masih mengingati wajah dan nama saya.

Dalam hujan yang masih bersisa, kami pulang. Hari sudah nampak gelap.

“Jumaat, jangan lupa. Wacana Za'ba jam delapan setengah,” kata Kak Mahaya sambil menghulurkan naskah “Kuasa Kata” tulisannya yang akan dikupas pada 18 Oktober di Balai Kerapatan IPRM.

Oktober yang saya mahu isi dengan acara sastera dan hujung minggu ini saya akan ke Kuala Selangor pula untuk perkampungan Gapena Zon Tengah. Mudah-mudahan saya tidak begitu letih sebagai latihan untuk mula bekerja.

Kemudian, ada seorang kakak lagi...

“Yang, akak akan menujumu!” tulis penyair kesayangan Saudara Djazlam Zainal, Kak Rosmiaty Shaary yang mahu ikut diskusi buku “Kuasa Kata” Kak Mahaya. Dia akan naik bas dari Kota Melaka ke IPRM Seremban.

“Terbang sajalah!” balas saya.

Saya akan menunggu sekuntum bunga Ros di terminal pada tarikh itu!

Pertengahan malam, ada panggilan daripada Kak Mun. Suaminya, Abang Aziz dari Gapena mahu tahu saya dapat hadir atau tidak dalam pertemuan penulis 1 Malaysia di Putrajaya yang dijadualkan pada 20 dan 21 Oktober. Ada sayembara deklamasi puisi kebangsaan di RTM, siaran langsung, mungkin.

"Nantilah, kena fikir dulu. Atira sudah balik ke rumah minggu hadapan", jawab saya.

"SMS e-mail Yang kepada abang. Nanti abang hantarkan jadual acara!"

Sehingga jam sebelas malam, tiada lagi panggilan.

Bulan-bulan di penamat tahun, memang musimnya begitu.

Langit selalu menangis, malahan sampai meraung-raung!

Hujan atau panas, sinonim kepada sebuah perjalanan hidup!