Total Pageviews

Saturday, October 1, 2011

Seperti Menaiki Perahu


Minggu yang akan datang ini, Selasa 4 Oktober saya dikhabarkan pelajar-pelajar tingkatan tiga bakal berjuang di dewan peperiksaan.

Seperti menaiki perahu, berdayunglah dengan segala kudrat dan doa, mudah-mudahan Allah mempermudahkan, menipiskan ombak, mendinginkan matahari dan melebarkan awan rahmat.

Saya sempat melayangkan sms dan menelefon pelajar yang nombornya ada pada saya. Ada yang membalas, mahu juga saya datang bertemu mereka sebelum hari peperiksaan. Tidak berani berjanji kerana saya sudah agak jauh, tetapi di hati saya, mereka tetap ada. Sentiasa ada.

Bukankah Allah sudah menjanjikan, jika kita menggembirakan hati orang maka Allah akan menggembirakan hati kita? Mereka telah gembirakan hati saya dengan telatah mereka walaupun hanya dua tahun, saya pasti Allah akan gembirakan hati mereka juga.

Dua tahun saya sempat menjadi warga sekolah, institusi yang sudah terlalu lama saya tinggalkan. Sekolah yang sangat membahagiakan saya, dengan pengurus sekolahnya yang terbaik, orang pejabatnya yang sangat membantu, rakan-rakan guru khususnya adik-adik yang dikasihi, juga pelajar dari tingkatan enam hinggalah tingkatan dua yang selalu menghargai.

Allah telah menggantikan  saya dengan sebuah "keluarga besar" yang sangat-sangat membahagiakan. Walau ke mana sahaja saya pergi selepas ini, ke utara atau ke selatan; ke barat atau ke timur; mereka akan selalu ada di album kenangan.

Pesanan lewat sms sama sahaja, uruskan solat, jaga pemakanan, cukupkan tidur! Mohon keampunan Ilahi, keampunan ibu bapa atau sesiapa yang menjaga, juga kemaafan daripada para guru. Allah akan melapangkan jalan, memudahkan yang sukar.

Semuanya, khususnya Tiga Bukhari, jangan sampai perahunya karam sebelum tiba ke destinasi!