Total Pageviews

Wednesday, September 28, 2011

Menjadi Pewaris Guru

Moyang saya seorang guru. Guru besar. Namanya Tuan Haji Abu Bakar. Moyang sebelah ayah saya itu dikatakan orang sifatnya sangat pemurah. Beliau antara orang ada-ada di daerah kelahiran saya.

Malangnya anak-anak beliau yakni datuk saya Tuan Haji Mat Dom dan adik beradiknya, tiada seorang pun yang mahu menjadi guru. Jika ada pun, seorang daripadanya terlibat dengan penubuhan sekolah agama Ehya Asshariff di Gunung Semanggol, tetapi bukan sebagai guru mutlak.

Hasrat supaya cucu-cucunya menjadi guru juga hancur. Ayah saya dan adik-adiknya memilih kerjaya lain. Ayah menjadi Special Constable, adik-adik lelakinya memilih menjadi sojar dan ada yang membuka perniagaan restoran di Kuala Lumpur. Datuk saya itu beristeri dua. Dengan Tok (nenek saya) anaknya tiga iaitu dua lelaki dan satu perempuan. Dengan isteri keduanya, anaknya tiga juga, dua lelaki dan satu perempuan. Nampak macam adil saja?

Tapi Tokwan dan Tok saya kedua-duanya meninggal dunia di Mekah, selang tiga hari. Isteri keduanya balik ke Malaysia menjadi balu kaya. Mereka pergi ke Mekah menaiki kapal laut di pelabuhan Pulau Pinang, pergi beramai-ramai kesemua adik beradik.

Tinggallah ayah dan emak menguruskan wasiat menjaga adik-adik, anak-anak yatim yang ditinggalkan.

Cicit-cicit Tuan Haji Abu Bakar, hanya saya yang mula-mula menjadi guru hujung tahun 1990. Itu pun kerana saat saya keluar universiti, pekerjaan tiada, ekonomi sedang meleset teruk. Jadilah saya pewaris guru. Betul-betul mewarisi bidang moyang saya, mengajar bahasa Melayu. Kemudian tahun lepas, barulah ada sepupu saya yang perempuan mengikuti jejak saya menjadi pewaris guru, tetapi mengajar bahasa Inggeris di Terengganu.

Piut? Macam tak ada yang berminat.

Kemudian apabila dimaklumkan bahawa saya adalah guru, bapa mertua saya sangat teruja. Bapa mertua saya seorang guru. Guru besar. Sebelum mengahwini anaknya, dia yang memandu kereta klasiknya datang berjumpa saya, bukan saya yang datang berjumpanya!

Oleh kerana dia bekas pelajar SITC, saya langsung memahami semangat keguruannya. Ini kerana anak-anaknya yang berbelas orang itu, tiada seorang pun yang menjadi guru. Menantunya juga tiada seorang pun guru. Oleh sebab itulah dia sangat gembira kerana akhirnya dapat juga menemui seorang guru. Kami suka membaca, maka selalulah terjadi sistem barter, bertukar-tukar buku yang menarik khususnya buku-buku agama.

Saya menjadi pewaris guru sekali lagi. Anak-anak saya? Nampaknya semacam warisan itu terhenti setakat saya sahaja.