Total Pageviews

Friday, August 12, 2011

Puasa Zaman Kanak-kanak





Puasa dan hari raya pada zaman kanak-kanak memang menyeronokkan.

Walaupun hidup serba kurang tapi Ramadan memang dinanti-nanti. Emak berkali-kali mengajar kami berniat puasa, siap dengan pemberitahuan hal-hal yang boleh membatalkan puasa.

Waktu bersahur atau berbuka, kami makan dengan hidangan biasa-biasa. Emak akan meminta kakak ke kedai membelikan ketul ais batu dengan harga sepuluh sen. Kadang-kadang kalau lambat sedikit, ketul ais habis dijual. Jadi kakak selalu ke kedai awal pagi untuk menempah ketul ais.

Ketul ais itu akan digergaji mengikut saiz dah harganya. Kemudian akan dilumur dengan habuk kayu dan dibungkus dengan kertas suratkhabar. Kakak akan meletakkannya di tempat duduk basikal ayah. Oleh kerana basikal ayah basikal "jantan", kakak hanya menuntunnya. Basikal itu berpalang di tengah, kalau kakak menunggangnya pun, dia akan masukkan sebelah kakinya di bawah palang dan menunggang dalam keadaan senget.

Saya tukang ikut saja. Kalau kakak ke kedai, saya pun ke kedai. Kalau kakak mandi sungai, saya tak ketinggalan ikut berendam di sungai. Tapi kata emak, terlalu lama berendam pun boleh batalkan puasa. Bukan apa, sambil menyelam boleh saja sambil minum air!

Untuk menahan lapar, kami main masak-masak. Kami ambil tanah liat di tebing sungai, bentuk-bentukkan menjadi kuih. Beraneka jenis kuih dengan pelbagai bentuk. Kemudian pura-pura makan kuih tanah liat itu. Kononnya kalau pura-pura seperti itu, boleh menghilangkan kelaparan.

Menjelang petang, selalu juga duduk-duduk di tepi jalan raya, mengira kereta yang lalu. Kalau kakak pilih kereta warna merah, saya pilih yang warna putih. Siapa yang paling banyak kereta pilihan warnanya, dialah pemenang. Bukan ada hadiah apa pun, sekadar seronok-seronok untuk menghilangkan bosan. Selain itu, dapat memahirkan ilmu kira-kira atau ilmu hisab!

Waktu itu mana ada TV. Jadi, tidaklah kami melangut saja di depan TV macam budak-budak sekarang. Letrik pun tidak ada.

Kami juga suka menyimpan barang-barang makanan untuk dimakan selepas berbuka. Kadang-kadang putik jambu pun jadi. Makan dicicah dengan garam. Kelat-kelat rasanya.

Malam selepas berbuka, kami bebas bermain di halaman. Maklumlah kata emak, syaitan kena ikat.

"Agaknya, syaitan yang kena ikat tu tengok je kita main kan? Dia dah tak boleh kacau kita lagi..." kata saya.

Kami pun bebaslah berlarian ke sana sini bertemankan pelita ayan atau panjut daripada tempurung yang dibuat ayah. Ayah memacak besi atau batang buluh di tanah, mengetuk buntut tempurung sehingga berlubang dan menyusun tempurung-tempurung itu di batang kayu. Halaman akan jadi terang-benderang dengan panjut ciptaan ayah itu.

Lepas terawih, ada moreh. Ada juga bunyi dentuman meriam buluh yang bersahut-sahutan dari sebuah kampung ke sebuah kampung yang berjiran.

Kalau tiba hari raya, zaman dulu-dulu mesti pergi ke pekan untuk tengok wayang. Tapi kami tidak pergi ke pekan untuk menonton wayang, cuma sekadar untuk membeli jajan atau bunga api. Pakaian pun yang dijahit sendiri oleh emak. Baju kurung daripada kain termurah. Itu pun sudah cukup membuatkan kami gembira.

Kalau tak dapat duit raya pun tidak mengapa, janji dapat makan kuih yang sedap-sedap. Ada kuih yang namanya putu kacang, dbuat daripada kacang hijau, ditumbuk dan dijemur. Kalau makan, sampai bersembur-sembur di mulut. Memang makan kuih putu kacang, kena berhati-hati. Sekarang ini ada juga sesekali saya nampak kuih itu, tetapi sudah tidak seperti dulu. Tidak bersembur-sembur lagi kalau dimakan. Barangkali kuih itu sekarang dibuat dengan mesin dan tanpa kasih sayang!

Waktu itu kalau dapat lima sen duit raya pun sudah dikira bagus. Orang-orang kaya sahaja yang bagi lima puluh sen.

Duit raya yang dikumpul itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ayah dan emak. Selama beberapa minggu ayah tidak perlu memberikan wang saku untuk ke sekolah.

Keseronokan zaman kanak-kanak itu terlalu manis untuk dikenang. Dalam hidup serba susah dan tanpa kemudahan, kami tetap gembira menikmati apa sahaja yang diberikan Tuhan.

Saya pernah beritahu emak, terima kasih kepada kemiskinan dan kesukaran hidup zaman kanak-kanak saya. Sebabnya saya sangat bersyukur Allah memberikan saya merasai keperitan hidup itu. Sekurang-kurangnya apabila saya dewasa, saya sudah siap siaga dan mampu berdepan dengan kemelut apa pun.

Kita tak mampu untuk membeli nostalgia semanis itu meskipun kita punya wang berjuta sekarang ini!