Total Pageviews

Wednesday, July 13, 2011

Tugasan yang gagal & cerita telefon bimbit



Sehabis belajar di UM pada Mac 1989, saya ditawarkan kerja sebagai wartawan di Amir Enterprise. Saya bertugas di bahagian majalah, khususnya unit penerbitan majalah Sarina. Waktu itu wartawan Sarina terdiri daripada wartawan senior Kak Webah, Adam Salleh, dan beberapa orang lagi.

Tugas saya selain daripada mencari dan menulis berita; juga menterjemah. Terjemahan artikel daripada bahasa Inggeris itu lebih banyak tertumpu kepada isu kesihatan wanita.

Suatu hari ketua editor memberikan saya keratan akhbar The Star mengenai kisah seorang wanita warga emas berketurunan Tionghua yang tinggal bersendirian di sebuah perkampungan setinggan di Setapak. Wanita tersebut sudah uzur dan dilaporkan tidak pernah mandi selama bertahun-tahun.

Saya ditugaskan mencari dan mendapatkan berita lanjutan mengenai wanita tersebut.

Masalahnya, saya hanya diberikan sebuah keratan akhbar.

Saya cuba menelefon The Star. Tetapi jawapannya mengecewakan. Saya ditugaskan bersama dengan jurukamera, Allahyarham Izi Yahya (yang kemudiannya menjadi pelakon)untuk ke perkampungan tersebut.

Izi memberitahu saya, "kita kena naik motosikal. Laluan ke perkampungan tu sempit, van syarikat tak boleh masuk..."

Saya diam sahaja. Bersetuju pun tidak, tidak bersetuju pun tidak. Naik motor dengan lelaki? Saya teringat ayah. Sebab? Ayah agak islami. Meskipun ayah tidak banyak cakap, tapi saya masih ingat teguran-teguran ayah.

"Tak apalah," kata saya. "Izi bawa motor pelan-pelan. Saya ikut belakang"

Saya pun berjalan, dengan beg sandang yang berisi nota, pen, alat perakam, juga telefon bimbit yang saiznya hampir memenuhkan beg. Telefon bimbit itu akhirnya saya pegang di tangan, sebab fungsinya waktu itu memang untuk dibimbit. Kalau bawa beg tangan yang kecil, jangan haraplah sebab tak muat.

Jenamanya Sony Ericson, berwarna hitam. Berat dan besar. Ada seconet areal seperti walkie-talkie. Kalau ada yang menelefon, hanya keluar perkataan "calling", tiada nombornya pun. Bunyinya juga masih tradisional. Tapi ia dianggap barangan mewah. Wah, kalau naik bas mini, bukan main riak lagi dengan telefon bimbit di tangan. Apalagi jika ia berbunyi. Semua akan memandang kagum.

Jalan ke perkampungan setinggan Cina itu memang sempit dan penuh lalang di kiri kanan. Saya kira van boleh masuk memang muat-muat sahaja. Izi membawa motor perlahan, menunggu saya yang menyeka peluh sambil laju berjalan.

Tiba-tiba sekumpulan anjing berada di belakang. Entah dari mana datangnya saya pun tidak tahu. Tapi salakannya sangat menakutkan. Agaknya anjing-anjing itu dapat mengesan bau asing yang sebelum ini tidak ada.

Melihat anjing-anjing ini mendekat, mencemaskan betul. Saya menggenggam telefon. Rasa-rasanya kalau saya membaling objek itu kepada anjing-anjing tersebut, mahu koma dalam dua tiga hari. Dengan saiz dan beratnya itu, pasti akan berbenjol-benjol kepala anjing itu dibuatnya.

Masalahnya, telefon itu berharga seribu lebih!

Kumpulan itu semakin mendekat, sedikit meluru dengan salakan yang kian menjadi-jadi. Saya tiada pilihan lain. Saya terus melompat ke belakang motosikal dan menggesa Izi lekas memecut. Nasib baik berat badan saya pada masa itu barangkali separuh daripada berat saya sekarang. Badan saya kurus waktu itu.Kurus pendek.Nasib baik betul...

Kalau tidak, mahu terangkat motosikal kapcai si Izi!

Terlupa sekejap pesanan-pesanan ayah. Tapi saya pasti jika ayah tahu pun, tentu ayah tidak marah kerana situasi saat itu memang sangat bahaya.

Memang kami terjumpa pondok usang tempat berteduh wanita malang itu. Tapi sebuah pertubuhan telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, susulan daripada laporan akhbar The Star.

Tugasan yang gagal. Nasib baik tidak kena marah dengan ketua editor. Tapi sepanjang hari kami diketawakan. Cerita saya yang seperti "superwoman" melompat naik ke atas motor itu, menjadi bahan lelucon para wartawan.

Tahun-tahun itu telefon bimbit baharu sahaja diperkenalkan. Fungsinya bukan sahaja sebagai alat komunikasi (yang liputannya terbatas!) bahkan juga sebagai senjata terbaik untuk menjaga keselamatan pemiliknya!