Total Pageviews

Friday, July 8, 2011

Ditiup semangat emak




"Pergilah. Insya Allah..."

Ada cahaya di sepanjang lorong jika emak sudah mengatakan begitu kerana restu Tuhan bermula daripada restu emak.

Emak memang lain macam semangatnya. Susah mahu jumpa emak yang seperti emak. Anak miskin yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah kerana tradisi kekampungan orang dulu-dulu. Tapi semangat dan falsafahnya memang mengalahkan orang bersekolah.

Jika saya terlibat dengan aktiviti apa pun, emak akan menyokong.

"Asalkan jangan bermain sepak bola!" Itu syarat emak untuk anak-anak gadisnya.

Yang lelaki?

"Pergi buat apa sahaja asalkan solat!" Emak lebih terbuka, tanpa banyak syarat.

Tapi emak bukan sekadar cakap-cakap saja. Emak adalah bukti! Emak tidak takut dengan apa sahaja cabaran. Saya pernah membawa emak ke tempat-tempat yang permainannya boleh saja membuatkan darah tinggi mencanak naik. Tetapi emak selamba sahaja, sehinggakan orang yang mengendalikan permainan menggeleng kepala tidak percaya. Bayangkan saja seorang opah setua emak boleh selamba menaiki kereta yang paling laju dan tunggang terbalik di taman tema.

Di luar negara juga khabarnya emak mencuba pula di udara. Dengan bot laju yang meluncur di air, emak selamba sahaja mencabar diri, juga mengecutkan perut anggota rombongan yang emak sertai.

Apabila ditanya, kenapa emak tidak kecut perut, jawapannya buat kami diam. Diam yang lama. Diam dengan rasa sedikit malu.

"Di dunia sana, selepas kita mati, itu lebih menakutkan daripada apa yang ada di dunia sini. Orang-orang yang mengendalikan semua itu, pasti saja sudah memastikan keselamatan kita. Jika katakan terjadi apa-apa; itu namanya takdir..."

Semangat emak selalu menguatkan hati kami.

"Emak sudah lama berjuang. Sekarang..." emak selalu diam sekejap, barangkali mahu menggamit nostalgia, "anak-anak yang kena teruskan perjuangan emak dan ayah..."

Saya paling faham maksud emak. Perjuangan yang pelbagai rencam, bukan hal politik semata-mata. Dalam keluarga, hanya dua yang masih berkhidmat dengan kerajaan. Dua yang lain sudah menamatkan perkhidmatan, seorang swasta dan seorang hanya menjadi suri.

Saya dan adik bongsu memang selalu bersemangat, tapi dalam diam. Saya tidak mahir berdebat, jadi saya hanya menjadi ramah dalam wacana. Saya berjuang dengan cara saya, meminjam semangat emak.

Adik berjuang dengan cara dia. Dia anak muda yang di alur darahnya penuh dengan semangat yang diwarisi daripada emak dan ayah.Dan dia lelaki. Langkahnya lebih panjang. Bekas komando sepertinya boleh hidup dalam dunia survival dengan hanya roti secebis. Cuma sekarang dia lebih islami. Hidupnya lebih tenang meskipun wang serba kurang.

Perjuangan apa pun, akan lebih terarah apabila emak berkata, "pergilah...Insya Allah".

Serta-merta lorong akan bercahaya. Dan di sepanjang jalan itu, seperti nampak jajaran panjang bunga-bunga matahari yang berona emas.

Restu emak menjadi seperti lembaran awan yang melindungi daripada pekikan panas matahari. Doa emak yang penuh keberkatan, menjadi penenang hati.

Saya pun meniru, mengulang kata-kata emak, "pergilah...Insya Allah..." tatkala adik bongsu yang dikasihi melayangkan khabar dia mahu berpergian.

Dia pasti selamat dalam perjalanan dan perjuangan.

Dengan doa emak yang kusyuk dan penuh semangat!