Total Pageviews

Thursday, June 9, 2011

Kebinatangan Manusia...



Minggu lepas ada berita tentang bayi baru lahir yang dicampak dari tingkat lima sebuah rumah pangsa.

Berkecai tubuh kecil itu di aspal.

Hati menyumpah-nyumpah. Perbuatan yang sangat kejam dan langsung tidak berhati perut.Gilakah orang yang melakukan jenayah sekeji itu?

Prof Datuk Dr Sidek Baba yang bersuara lembut dan kebapa-bapaan itu menyentuh sepintas lalu tentang peristiwa tersebut dalam siaran radio IKIM. Programnya bertajuk "Keluarga Sakinah". Ulasan menjurus kepada "kekebalan remaja".

Beliau menyebut tentang kerapuhan jati diri dan keimanan yang berada dalam tubuh remaja masa kini. Menariknya beliau tidak menyalahkan seratus peratus kepada ibu bapa. "Kadangkala..." katanya, "ibu bapa sudah memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak ini, tetapi apabila keluar, mereka tewas".

Pesan beliau, dekatilah anak-anak. Dengar keluhan mereka. Jika anak itu minat pasukan bola sepak MU, jangan perkecilkan minat mereka. Cari serba sedikit pengetahuan tentang MU, berceritalah kepada si anak. Pasti si anak akan rasa lebih dihargai.

Saya pun terfikir.

Jika anak itu minat komik, ambil tahu serba sedikit tentang Sasuke dan Naruto. Kenapa Naruto itu bermisai seperti musang. Begitu juga jika anak meminati Novel Harry Potter, sekurang-kurangnya kenalilah siapa itu Lord Veldamort atau Sirius Black.

Bimbing mereka supaya tidak tersasar. Minat bola sampai tidak solat dan mengaji al-Quran. Baca komik sampai tidak menyalami tetamu yang datang. Asyik dengan Harry Potter sampai mandi pun tidak mahu. Terlalu obses sampai kencing berak pun bertangguh-tangguh, yang akhirnya mengundang penyakit.

Sudah resam remaja meminati sesuatu, sama seperti kita di zaman remaja dahulu. Barangkali kita dulu meminati gaya John Travolta atau menyalin seni kata lagu MJ dalam buku tebal. Atau juga meminati lagu nyanyian kumpulan adik beradik Osmond.

Kita tentu berasa sedikit marah pada ketika itu jika ada orang kata "buat apa minat kat John Travolta. Buang masa je. Bukannya handsome pun. Minat Alleycat lagi baik..."

Remaja. Harus diingat, remaja! Akal pun sejemput. Pengalaman seciput. Mana mungkin mereka dapat menjana pemikiran sematang orang dewasa.

Persekitaran yang mencabar, moral yang sudah hancur, semua itu ada kait mengait dengan segala item yang menyelimuti masyarakat kita.

Memang remaja sekarang sudah rapuh. Itu hakikat. Seperti yang disebut oleh Profesor Datuk Dr, kadang-kadang apa yang diberi oleh ibu bapa sudah terlalu baik, namun remaja masih rapuh dan tewas tatkala berdepan dengan kebebasan di luar.

Maknanya, yang di luar itu pun kenalah bertanggungjawab juga. Yang membuat dasar itu janganlah hanya memikirkan untung.

Pernah seorang bekas pemimpin negara menyebut, "tidak mengapalah jika kita ada pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, disko-disko dan segala macam bentuk pesta. Sekurang-kurangnya semua itu dapat menguji iman kita..."

Masya Allah!

Ibu bapa beria-ia memasang jaket kekebalan anak-anak, tapi akhirnya begitulah jawapannya! Perhatikan...Pesta tahun baharu, wajib ada konsert. Kadang-kadang sambutan Awal Muharam, tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat, ada penyanyi luar negara yang seksi meksi diberi kelulusan untuk mengadakan konsert. Terpaksalah sekumpulan orang keluar ke jalanan membawa sepanduk memprotes!

Dan orang-orang ini akan dilabel sebagai anti-kemajuan. Konsert dengan kemajuan itu ada kaitankah?

Hasilnya, sembilan bulan kemudian akan lahirlah anak-anak yang tak sah taraf.

Anak-anak yang tidak berdosa. Anak-anak yang dibuang ke dalam tong sampah,
kemudian diratah oleh anjing liar.

Juga bayi-bayi yang dicampak dari tingkat lima rumah pangsa di jantung Kuala Lumpur!

Ibu kucing sanggup menggigit tengkuk anaknya, membawa anaknya itu hingga ke loteng kerana sayangkan anak. Ibu angsa sanggup mengejar dan menggigit orang yang cuba mendekati anaknya. Cubalah usik anak ayam yang baru menetas dan tengoklah apa reaksi si ibu. Silap-silap muka kita yang cantik habis bercorak-corak dengan cakaran ayam.Penuh dengan nilai seni lukisan abstrak!

Tapi manusia????

Natijahnya, semua pihak ada tanggungjawab yang bersimbiosis antara satu sama lain. Sebab kita ada saham dalam kes merapuhkan nilai-nilai baik remaja kita.

Kebinatangan manusia mesti dibendung.Tapi dengan apa?

Dengan nilai-nilai agama.

Kita sendiri kena kembali kepada ajaran-Nya, sebelum kita mengembalikan remaja-remaja kita ke jalan Dia.