Total Pageviews

Saturday, June 11, 2011

Bos...dan bos-bos



Semua orang yang bekerja ada bos, kecuali dia memilih menjadi bos untuk dirinya sendiri.

Ada orang buka ladang itik, bekerja di ladang itik; maka orang itu menjadi bos kepada itik-itik. Lebih mudah daripada menjadi bos kepada manusia!

Kadang-kadang dia memang bos tapi dia juga mempunyai bos dan bos-bos yang lain.

"Hari ni bos melenting..." kata suami saya. Itu bos dia. Syarikat gergasi yang berorientasikan keuntungan memang seperti itu. Bos mahu mencapai target sekian dalam tempoh sekian. Kalau kurang 0.5 peratus pun, bos akan melenting. Biasalah tu. Kalau kita jadi bos, kita akan melenting juga.

Ingat mudah mahu jadi bos? Saya tak mahu jadi bos. Takut terkena serangan jantung...

Saya pernah ada ramai bos, lebih 10 orang. Waktu jadi wartawan dulu, bos saya perempuan. Datin dah dia sekarang. Tetapi setelah menceburi bidang pendidikan, bos saya semuanya lelaki kecuali seorang.

Antara semuanya itu, saya paling ingat Datuk Baharom Kamari, bos saya semasa mengajar di Kuala Lumpur. Saya paling ingat beliau kerana meskipun tinggal di Kajang, beliau paling awal sampai di sekolah.

Beliau menggunakan pendekatan "dari pengganas kepada pengawas". Pelajar-pelajar nakal yang majoritinya budak-budak setinggan dilatih selama dua bulan untuk jadi pengawas. Latihannya ala-ala tentera sebab bos saya itu asalnya dulu mahu menjadi tentera. Banyak kes disiplin dan jenayah dapat diatasi.

Guru-guru dilarang memakai high-heel sebab senang nak mengejar budak panjat tembok. Beliau guru silat, jadi beliau memang minta ditukarkan ke sekolah itu. Permintaannya menghairankan pegawai di JPWP. Sekolah itu budak-budaknya brutal.Jarang ada guru yang mahu ke situ.

Sekolah sentiasa bernyawa walaupun Ahad, sebab mahu menghimpunkan budak-budak yang tinggal di kawasan setinggan dan flat berbilik satu. Jawabnya, guru-guru pun hampir setiap hari berkampung di sekolah, dengan membawa ahli keluarga masing-masing. Anak-anak saya cukup suka sebab dapat melihat saya melatih pelajar berteater. Saya suka dengan bos ini. Beliau ada wawasan dan tahu apa yang beliau buat. Sedih betul apabila saya berpindah, tapi kemudiannya saya bertemu beliau dan isterinya (yang juga berpindah ke Perak) ketika saya memenangi anugerah menulis puisi dan drama pentas sempena Hari Guru di Perak. Kerap jugalah isterinya menelefon minta saya bawa anak-anak datang ke rumah mereka di perumahan kerajaan di kawasan elit Kuala Kangsar.

Bos yang saya ingat juga ialah Encik Ismail Sulaiman. Beliau pengarah kolej tempat saya mengajar. Orangnya segak tinggi dan bermisai. Beliau juga berulang-alik dari Selangor. Tapi orang yang bagus macam beliau, cepat sahaja dipinang orang. Satu yang saya kagumi, beliau pandai protokol dan sangat teliti. Waktu kami menyiapkan sesuatu majlis, ada kalanya berhari-hari, jam 2 atau 3 pagi kami masih berada di kolej, beliau juga akan datang meninjau.

Beliau juga sangat mengambil berat mengenai kehadiran. Kata-katanya yang saya masih ingat, "biasakan yang betul dan betulkan yang biasa". Beliau tidak boleh berkompromi dengan mereka yang selalu datang lewat sama ada ke pejabat atau mesyuarat, kecuali ada alasan yang kukuh. Katanya, kenapa kita mesti menangguhkan mesyuarat untuk menunggu mereka yang lewat? Kasihankan mereka yang datang awal.

Setiap hujung bulan, beliau memaparkan statistik kedatangan pensyarah. Semasa beliau menjadi pengarah, kaki ampu memang menganggur. Beliau dapat membaca perilaku orang. Oleh sebab itu, apabila beliau kemudiannya bertukar untuk menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, kaki-kaki ampu ini bukan main gembira.Saya dan kawan-kawan sedih sebab baru sahaja mendapat stail pengurusan berkualiti, beliau sudah pergi. Saya jenis kalau bos itu sudah pindah, barulah saya berani hubungi mereka. Saya hadiahkan buku antologi yang karya saya ada di dalamnya dan beliau kerap memberi nasihat melalui telefon jika saya menghadapi masalah.

Kemudian bos saya sekarang, Encik Mustafa bin Mohamed, yang sebenarnya sudah masuk dalam senarai panjang bekas bos-bos saya. Kenapa bekas? Sebab saya ditakdirkan berhijrah lagi. Beliau kemas orangnya, bajunya bergosok (walaupun beliau tiada suri), gemar berfesyen juga. Apabila ada masalah, cepat sahaja beliau dapat mencari penyelesaiannya. Cekap sungguh. Beliau sangat kebapa-bapaan, mengingatkan saya kepada seorang lagi bekas pengarah saya, Tuan Haji Mohd Fahmi.

Saya pernah menangis, sebenarnya "termenangis" di hadapannya. Malu betul. Mesti buruk muka saya. Tapi dengan lembut, beliau menasihati saya, memberi saya galakan supaya lebih berani "melawan" dan jangan lembik. Kelakar betul apabila mengingatkan bagaimana beliau bersungguh-sungguh "mengajar" saya untuk jadi berani dengan penuh perasaan. Dalam hati saya terdetik, "beliau memang seorang guru...dan bapa yang baik".

Saya tidak pernah melihat beliau marah. Sekali pun tidak pernah. Apabila saya maklumkan bahawa saya perlu keluar atau mengambil cuti untuk mendapatkan rawatan kerana penyakit saya itu, jawapan beliau sangat mengharukan saya. Beliau menyuruh saya cepat berubat tanpa mahu bertanya banyak.

Kalau mahu menegur sebab kami (yang nakal) lambat turun untuk bacaan Yassin pun beliau ada cara. Beliau suka memanggil hujung nama. Contohnya, "Ma... (kalau nama orang itu Cik Hiroshima, Puan Emma atau Puan Isma) sibuk sangat ke?" Lembut sahaja tetapi boleh menyebabkan orang-orang yang disebut nama manjanya itu sampai ke tempat majlis seperti kereta api laju.

Saya memang ada perangai pelik walaupun sudah lama bekerja. Saya gementar kalau mahu berjumpa bos. Sejak dulu saya memang begitu. Beliau dapat mengesan perangai saya. Saya masih ingat pertanyaan beliau, "muka saya macam singa ke? Saya nampak macam garang sangat ke?" Hahahaha...perangai saya memang macam itu, bos! Beliaulah bos yang telah berjaya mengurangkan sedikit perangai pelik saya itu.

Dalam diam saya bersyukur dan menganggap diri saya sangat beruntung memiliki bos dan bos-bos yang sangat baik.

Entah bagaimanalah pula bos saya di tempat baru. Takutnya! Hari saya melaporkan diri, bos tidak ada. Saya diminta datang hari lain untuk bertemu beliau. Nampaknya perangai pelik saya itu datang semula. Mengingatkan hal mahu bertemu bos baru, saya sampai tak boleh lelap. Makan pun tak lalu. Sepanjang hari hanya melapik perut dengan dua keping roti canai. Pagi sekeping, petang sekeping! Aduhai...

Hanya yang mahu saya ungkapkan, terima kasih bos-bos. Mudah-mudahan Allah melapangkan hidup mereka. Meskipun ada seorang bos yang pernah menuduh saya melakukan sesuatu yang saya tidak buat; saya tetap mendoakannya. Dia telah mendapat balasan; itu bukan kerja saya. Itu kerja Allah. Sekurang-kurangnya dia tahu akhirnya, bukan saya si pelaku tetapi orang lain yang telah berjaya memperdaya akal dan mengaburi matanya. Itu pun sudah cukup bagi saya...

Muchisimas gracias, bos!