Total Pageviews

Saturday, May 21, 2011

Nur Kasih The Movie...


Saya sudah lama tidak masuk ke pawagam. kalau boleh, memang saya enggan ke pawagam lagi dalam usia sebegini.

Tapi anak mengajak juga mahu melihat Nur Kasih The Movie, barangkali kerana fenomena Nur Kasih di TV sedikit meruntun keinginannya untuk menonton. Minta saya temankan dia.

Saya sempat bertanya kepada kawan yang telah menonton, ada atau tidak adegan yang akan "memalukan" saya sebagai ibu. Maksudnya, adegan yang kurang sesuai ditonton oleh anak-anak. Kata beliau, tidak ada. Filem itu bagus! sambung beliau lagi.

Saya memang ke pawagam waktu anak-anak masih kecil. Untuk menonton Pocahontas, Finding Nemo, Ice Age, Lion King, filem kartun terbitan DreamWork, Disney Pixar atau paling terbaru Harry Potter (kerana anak sulung saya peminat setia naskah buah tangan JK Rowling itu)

Saya tidak pernah menonton filem Melayu di pawagam, meskipun saya meminati filem Allahyarham Yasmin Ahmad. Sebab?

Dulu saya pernah mengambil kursus filem di UM, di bawah pensyarahnya Allahyarham Dr Anuar Nor Arai. Saya memang kecut perut berguru dengan beliau. Kuliahnya waktu malam. Beliau memang sangat berilmu, satu-satunya "doktor" filem di Malaysia waktu itu. Beliau sangat cerewet.

Oleh sebab itu juga, saya sedikit cerewet jika menonton filem.

Tapi menonton naskah Merong Mahawangsa di laptop anak saya, menjadikan saya agak kagum. Sinematografi yang hebat! Cuma kerana saya sudah membaca hikayat ini sejak di sekolah rendah, saya kecewa ada sisi cerita yang agak jauh tersasar.

Berbalik kepada Nur Kasih...

Ceritanya agak islamik. Itu saya suka. Pelakonnya menutup aurat. Dialognya mengesankan. Paling bagus, pelakonnya kacak, manis dan comel-comel.

Tapi saya katakan tadi, saya cerewet. Itu filem Melayu pertama yang saya tonton di pawagam. Saya gemar filem Khabir Bhatia. Mudah tapi mengesankan. Oleh kerana saya penangis, anak saya siap berpesan, ibu jangan menangis kuat-kuat.

Di luar pengetahuannya, saya membawa dua helai saputangan dalam beg tangan saya!

Tapi saya tidak menangis pun menonton filem itu. Hanya kepala saya sakit. Dada saya sakit. Saya tidak suka heavy-drama. Saya gemar komedi (yang berkualiti) dan pastinya cerita kartun! Jatuh ke tanah, kena hempap dengan batu pun, sudah leper macam lempeng pun, wataknya masih ok.

Pada saya filem itu tidak sehebat drama bersirinya di TV. Paling menghilangkan mood tatkala melihat Nur Amina semasa "tua"...hahaha...saya dan anak tergelak serentak.