Total Pageviews

Wednesday, May 18, 2011

Jadilah manusia, jangan orang-orangan...



Lama dulu, hampir belasan tahun dahulu, dia pernah menjadi pelajar saya. Di sebuah sekolah di daerah singgah saya.

Berada di tingkatan 4, dia dalam kategori nakal. Mungkin juga sangat nakal. Saya diminta oleh pengetua untuk menubuhkan Kelab Drama, kerana saya ada sedikit asas teater dan kebetulan mengajar pula Kertas 6 iaitu subjek drama untuk STPM.

Dia menjadi ahli.

Memang sukar mengendalikan pelajar nakal. Namun saya ada pengalaman kerana saya lama di Kuala Lumpur, mengajar di sekolah yang majoritinya anak setinggan. Cuma satu yang saya pasti, pelajar di tahun-tahun 1990-an, meskipun nakal, mereka tetap menghormati guru.

Pelajar ini sudah mangli dengan teguran, dengan rotan. Dia ada grup. Adakalanya grup itu berambut perang, ada kalanya ponteng menghisap rokok di tandas, atau tiba-tiba hilang ghaib semasa pertukaran waktu.

Tapi dia rajin ke pertemuan kelab saya yang selalunya diadakan setiap petang atau hari cuti umum, khususnya jika ada pementasan.

Mereka memanggil saya "ibu", meniru-niru panggilan anak-anak saya.

Saya cuba melatih pelajar-pelajar ini menghormati waktu solat. Jika asar sudah tiba, kami akan berhenti. Saya meminta mereka solat. Sama ada mereka memang solat atau tidak, saya kurang pasti. Tapi saya katakan, "jika tidak mahu masuk neraka, jika kasihankan ibu...supaya ibu juga tidak masuk neraka, pergilah solat. Allah tahu jika kamu bohongi ibu..."

Saya tahu bagaimana dia dan grupnya mahu solat, jika rambut perang kerana diwarnakan dan kesan warna itu menghitam pula di kuku? Saya katakan hormati waktu. Cuci sungguh-sungguh, mesti ada kaedahnya jika yang putih menjadi hitam, pasti saja boleh yang hitam menjadi putih.

Mereka mengadu ada guru-guru yang membenci. Tapi saya katakan, jika watak kita membencikan, jangan marah jika kita dibenci. Kemudian mereka katakan pula, ibu bapa mereka tidah memahami. Saya tidak menyebelahi mereka, tidak juga ibu bapa mereka. Anak-anak saya masih bersekolah tadika waktu itu, jadi saya tiada pengalaman mendepani karenah remaja.

Suatu malam, ada yang menelefon saya. Mendapat berita itu, saya ke stesen bas. Sudah ada beg besar di sisi.

"Mahu lari dari rumah? Ke mana?" tanya saya. Dia diam sahaja, kemudian mengadukan perihal ibu bapanya yang konon tidak memahami. Saya katakan, di luar tidak seselamat rumah sendiri. Saya duduk lama di situ, menemani dan mendengar dengan tekun, sambil sesekali menguap kecil.

Lama-lama saya sudah tidak tahan. Saya memandang mukanya tepat-tepat. Kemudian bercakap dengan penuh perasaan. Siap dengan mimik-mimik muka yang saya belajar waktu kursus asas teater dulu. Juga dengan nada yang rencam, ada intonasi yang diberi penekanan.

"Lari dari rumah, masalah selesaikah? Ibu bapa akan ke balai polis, siasatan akan dibuat, kemudian masuk suratkhabar, masuk TV. Ada orang jahat yang jumpa, latih awak jadi penyamun. Awak gembira banyak duit, tapi kalau silap kena belasah, luka di pipi, patah tangan kaki. Mula-mula menyamun, kemudian membunuh. Polis buru, awak ditembak. Berlubang-lubang kepala awak kena peluru. Mati masuk neraka. Mahu?"

Dia ternganga. Agaknya dia mahu berkata, celupar betul mulut cikgu!

Tapi akhirnya kata-kata itu menyebabkan dia tidak jadi lari dari rumah. Saya membawanya pulang. Meletakkannya jauh sedikit dari rumah supaya ibu bapanya tidak rasa segan, saya yang menghantar anak mereka pulang. Ibu bapanya orang berpangkat, berketurunan pula. Tentu malu jika guru kecil seperti saya tahu kemelut keluarga mereka.

Ketika pelajar-pelajar itu hampir SPM, saya mendapat tawaran ke tempat lain. Saya jumpa mereka dan mendoakan mereka.

"Ibu tak sempat hantar kamu ke pintu dewan. Tapi ibu yakin kamu akan jadi anak baik satu hari nanti. Malahan lebih baik daripada pelajar-pelajar ibu yang sudah sedia baik. Jangan jadi orang, tapi jadilah manusia..."

Saya pun pergi.

Lama kemudian...saya terkejut apabila suatu hari dia muncul mencari saya.

Setiap lebaran, dia cuba sedaya-upaya untuk menjenguk saya. Dia sudah berkeluarga. Kepalanya sudah berkopiah. Bercakap pun banyak tentang agama. Hati saya sesejuk salju. Bersyukur tidak terkira. Jawatannya juga boleh tahan. Sahsiahnya sangat berbeza daripada dia yang saya kenal dulu.

Waktu dia dan keluarganya berangkat, sekali lagi dia berkata, "terima kasih ibu. Kalau bukan kerana ibu, mungkin saya sudah lama tenggelam. Saya masih ingat, jangan jadi orang tapi jadilah manusia..." Mengiringi pemergiannya, saya menangis sungguh-sungguh.

Balasan saya, "saya hanya digerakkan oleh Allah, bukan kuasa saya membuat awak berubah. Saya hanya alat, hanya pencetus. Kekuatan awak daripada Allah, bukan saya"

Jelaslah, yang putih boleh jadi hitam dan yang hitam boleh jadi putih, jika Dia mengkehendaki. Kita hanya berdoa...

Sesungguhnya pelajar inilah yang membuatkan saya akhirnya mencintai profesyen keguruan. Meskipun sukar, ia memberi nikmat di penghujung.

Tidak kira bekas pelajar saya di sekolah atau kolej, jadilah manusia, jangan jadi orang...apalagi orang-orangan...