Total Pageviews

Tuesday, April 30, 2019

ANEKDOT KAIN BATIK BURUK MAK

Pagi ini saya bawa piring sarapan saya yang berisi mi dan nasi goreng dan duduk mengadap mak.

"Duduk di atas ini", kata mak meminta saya duduk di katil. Tidak mahulah, kata saya. Lebih baik saya duduk mengadap mak daripada saya mengadap segala raja yang kaya raya dan berkuasa membunuh orang seperti membunuh nyamuk dan kucing.

Adik ipar saya datang. "Siapa ini?" Mak meraba2 muka adik ipar saya. "Oh, wanita cantik dah datang..." Mak bergurau.

Adik ipar saya menegur kain batik yang mak pakai. "Buruk beno kainnya, mak". Mak senyum.

Ini kata-kata mak.

Memang kain ini buruk. Tapi dulu , kain ini baharu, kan? Sebelum akhirnya ia menjadi buruk, kain ini baharu dulunya.

Mak kenang jasa ia. Jadi mak hargai ia. Jangan sayang waktu ia masih cantik. Tapi sudah buruk, dibuang begitu saja.

Sama macam manusia. Ibu anak. Tuan dan pekerja. Suami isteri.

Waktu isteri cantik, bukan main sayang. Sudah tua, dibuang,tidak diendahkan. Orang laki-laki ini pelik. Kereta yang lama, dicat dan dihias cantik. Duit beribu-ribu keluar. Tapi isteri yang sudah lama, tidak pula disolek2.

Wanita jarang begitu. Ada, bukan tidak ada. Tapi sangat jarang.

Itu kata2 mak.

Adik ipar saya mohon pergi. "Banyak kerja di rumah belum habis..."

"Tengok..."kata mak. "Orang perempuan kerjanya tak pernah habis. Setiap waktu, kaki tangannya tidak diam".

Mak, kata adik ipar saya. Tadi mak kata "wanita", sekarang mak kata "perempuan". Yang mana satu betul?

Mak kata, perkataan2 itu gunalah pada masa yang sesuai. Takkanlah kalau orang tanya, di mana isteri kamu...lelaki itu jawab "wanita saya sedang memasak di dapur. Lebih sesuai digunakan...orang perempuan saya sedang memasak di dapur. Kalau sebut sedang memasak saja pun dah cukup sebab takkan memasak di bilik tidur. Memasak mestilah di dapur". Emak ketawa.

Waktu adik ipar saya menyalami mak, mak kata...maaf jika mak ada tersilap kata. Ibaratkan segugus buah langsat. Bukan semua kita boleh makan. Yang sudah masak dan elok, bolehlah dimakan. Yang muda atau tidak elok, tinggalkan saja.

Saya belajar falsafah daripada mak. Tentang kain batik buruk, tentang wanita dan perempuan, tentang cinta dan setia, tentang falsafah buah langsat, tentang lelaki yang aneh.

Mak tidak sekolah. Tapi ijazah mak diperoleh daripada pengalaman, pemerhatian, alam dan manusia.

Sebab itulah juga di dinding rumah saya, tiada foto saya menerima skrol2 ijazah, mahu pun foto anak2 saya di pentas konvo.

Sebab saya rasa yang paling layak berada di atas pentas itu...wanita tua yang sedang memakai kain batik yang buruk dan lusuh yang sedang duduk bicara di hadapan saya. Mengajar saya dengan ketawanya. Mengajar saya dengan ribuan makna di sebalik kata-kata.

Mak...anda memang perempuan biasa yang sangat luar biasa!