Total Pageviews

Thursday, September 29, 2016

DEMIKIANLAH...

19 September 2016 Isnin

Jam 1 pagi saya terjaga. Malangnya saya tidak boleh membuang air kecil meskipun sudah minum beberapa botol air. Barangkali peranakan saya turun semula. Saya mengambil wuduk, solat sunat taubat dan solat hajat memohon dipermudahkan semuanya. Rakan sebilik masih lena. Kebiasaannya mereka akan mula bangun sekitar jam dua setengah pagi untuk melakukan solat-solat sunat sementara menanti subuh.

Saya membangunkan mak seperti biasa. Membasuh pakaian dan menyediakan sarapan untuk mak. Kemudian saya berkata, “mak, saya mahu turun sekejap. Nanti saya naik semula…” Kemudian kepada kak Keti saya meninggalkan pesan tolong tengokkan mak sementara saya ke klinik kecemasan. Saya tidak memberitahu mak ke mana tujuan saya supaya mak tidak bimbang. Sampai sahaja ke klinik, saya terus masuk dan meminta petugas memasang tiub kencing. Sejam saya terbaring di katil dan kemudian naik semula ke bilik. Kak Keti meminta suaminya mengubati saya. Barangkali suaminya ada kemahiran mengubati orang yang tidak lawas kencing,

Pada hari inilah saya mendapat khabar cerpen saya Gerabak Satu Tiga terbit di Dewan Sastera Oktober. Saya sudah tahu sejak saya mengirim cerpen itu sebab editornya memaklumkan kepada saya bahawa cerpen itu akan disiarkan pada bulan Oktober. Alhamdulillah. Moga isi ceritanya yang berlatar tempat hanya di koc satu dan tiga dan latar masa kurang lebih tujuh jam itu dapat memberi manfaat kepada pembaca.

Pada hari itu juga Haji Nazam datang menziarahi kami. Dia membawa Jemaah haji pakej dalam jumlah 19 orang. Haji itu adalah anak angkat mak, memiliki sebuah agensi umrah dan mak pernah ikut beliau ke merata Malaysia dan negara sekitar. Katanya kepada saya, Jemaah haji muassasah lebih menghargai kerja haji sebab kesukaran-kesukaran yang ditempohi. Kata saya, tidak mengapa. Tiada yang susahnya pun kecuali terpaksa menunggu lama di tandas. Saya sudah biasa hidup susah, sudah biasa juga berkhemah, tidur di banir pokok atau kehujanan di hutan belantara. Tiada masalah jika sekadar tidur di atas lantai khemah. Alhamdulillah, perjalanan melontar sekitar 7 kilometer setiap hari dari 10 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah dapat saya lalui meskipun kaki melepuh sedikit. Kata saya, biar bekas lepuhan itu menjadi saksi di akhirat kelak.

22 September, kami menghantar bagasi besar untuk ditimbang. Bagasi mak 28 kilo dan bagasi saya 22 kilo. Tidak mencapai 30 kilo pun.

23 September Jumaat, saya mengambil keputusan untuk menolak mak sendiri untuk melakukan tawaf selamat tinggal. Saya turun ke pejabat maktab dan meminta kerusi roda. Kerusi roda mak jenis travel wheelchair, kurang stabil untuk perjalanan menuju masjidilharam. Jalan agak curam, ada laluan berlubang dan meninggi. Dengan lafaz Bismillah, saya bawa mak ke masjid. Alhamdulillah Allah memberikan kekuatan kepada saya. Kami tawaf wada’ di aras dua. Orang sangat ramai kerana hari itu Jumaat. Pada pusingan keempat dan kelima, seorang wanita dari benua India saya kira meminta izin untuk menolak mak.

Selepas tawaf, kami hanya boleh melakukan solat sunat tawaf dan solat sunat musafir. Tidak boleh mengambil gambar atau membantu orang mengambil gambar. Tidak boleh tidur, tidak boleh pergi membeli belah. Saya cepat membawa mak keluar masjid sebab sekatan-sekatan akan dibuat dan pintu ditutup untuk persediaan solat Jumaat.

Selepas balik ke bilik utk mandi, kami bersiap dan turun ke aras P untuk solat zuhur. Meskipun kami penumpang bas nombor satu tetapi kami yang paling akhir menaiki bas untuk ke terminal haji di Jeddah. Di terminal haji, keadaan sangat panas.

Sekitar jam sebelas, kami masuk ke dalam terminal. Oleh sebab mak naik wheelchair, kami dibawa ke aras bawah. Lamanya menunggu di situ. Kemudian kami dibawa ke pesawat Saudi Airlines. Mak dinaikkan dengan alatan khas. Saya diarahkan naik tangga. Aduh…saya mencari mak sampai ke ekor kapal. Mak tidak kelihatan. Rupa-rupanya mak dimuliakan dengan diberi duduk di kelas bisnes. Saya mencari tempat duduk. Ada sepasang suami isteri duduk di kelas ekonomi dengan satu tempat kosong. Apabila saya minta untuk duduk, si suami merungut-rungut. Astagfirullah…saya menyabarkan hati. Ujian haji belum berhenti. Tempat duduk itu kosong, lelaki itu mahu berlunjur. Kemudian katanya, nanti nak keluar, payah. Allah hu. Kalaulah mulut saya ini jahat, mahu sahaja orang itu saya maki hamun. Begitu yang dikatakan oleh seorang lagi haji yang geram dengan perlakuan lelaki tersebut. “Tak apalah,” kata saya. Saya hanya mahu duduk sebentar-sebentar sahaja sebab saya mahu kerap menjenguk mak yang berada di kelas bisnes.

Sekitar jam dua empat puluh petang 24 September kami pun selamat mendarat. Saya menyorong mak keluar sekitar jam empat setengah sebab saya sendirian menunggu dua bagasi yang berat. Mak menangis setiap kali anak menantu dan cucu menyalami mak. Saya membawa mak ke hotel di Senawang, anak bongsu saya menempah hotel tersebut untuk mak dan keluarga berehat. Esoknya Ahad kami bergerak pulang ke Perak. Isnin dan Selasa saya bawa mak ke klinik. Kasihan mak.

Saya masih ingat mak selalu berkata, “pergilah ke masjid. Kesian Yang, jaga mak sampai tak dapat ke masjid”. Jawapan saya adalah…”menjaga mak adalah satu ibadat yang dituntut. Pahalanya sangat besar. Insha Allah jika ada umur saya lagi, Allah pasti beri saya peluang untuk ke sini lagi. Saya akan beribadat puas-puas. Jika tiada umur sekali pun saya tetap berpuas hati. Menjaga mak adalah kewajipan saya. Sepatutnya saya lama lagi baru dijemput datang tapi Allah menjemput saya sekarang, dalam tempoh yang sangat saya tidak menjangka…”

Sepanjang kerja haji, urusan saya selalu dipermudahkan. Saya pasti sebabnya ialah mak. Ketika saya tidak cukup anak batu untuk dilontar, seorang remaja lelaki dan perempuan meluru kepada saya…hajah hajah…dan memberi segenggam anak batunya kepada saya. Ketika saya kepanasan mengelilingi baitullah, saya teringin untuk berasa dingin, maka Allah datangkan payung di atas kepala saya. Saya membawa emak yang sepanjang hidupnya mengorbankan segala-galanya untuk kelangsungan hidup anak-anak.

Maka Allah memudahkan segalanya buat saya.

Saya masih ingat juga sepanjang jalan melontar, saya menangis sebab tidak dapat membawa mak. Saya kesedihan mengenangkan demikianlah kita ketika menuju ke pengadilan Allah di Mahsyar. Masing-masing orang, dalam keadaan sihat atau bertongkat, mengheret kaki atau berpapah…kesemuanya menuju kepada Tuhan.

Ya Tuhan…saya bersyukur kepada-Nya. Dia memberikan sesuatu yang sangat berharga kepada saya. Sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hayat.

Wednesday, September 28, 2016

TUHAN ITU SANGAT TAHU

24 Ogos Rabu.

Saya mengupah Haji Marwi, PATUH yang bertugas dengan Tabung Haji untuk menolak mak mengerjakan umrah. Kami bertawaf dan bersaie di aras dua. Pertama kali memandang kaabah, saya tidak mampu membendung air mata. Maha Besar Allah, Maha Besar Allah…hanya itu yang mampu saya ucapkan.

Sepanjang berada di Mekah, kami berjemaah di surau Abraj Janadriyah dan kemudian menukar lokasi. Kami solat berjemaah di ruang hadapan lif aras lima. Orang sudah mula batuk-batukan. Sepanjang solat, kedengaran seperti pesta batuk berirama. Saya pun terkena juga meskipun dalam keadaan terkawal.

Rutin harian saya seperti biasa, memastikan yang mak minum hanya air zam-zam. Kemudian pada 28 Ogos, saya mengupah Haji Marwi membawa kami menaiki teksi ke Tanaim. Pada mulanya kami dikenakan caj SR50 tetapi Haji Marwi berjaya mendapatkan SR40. Saya dan mak naik teksi tetapi dengan amaran Haji Marwi, “kak jangan tutup dulu pintu taksi. Tunggu saya masuk” katanya dalam loghat Indonesia. Saya membuat umrah sunat untuk allahyarham ayah.

30 Ogos saya bersendirian mengerjakan tawaf sunat. Selesai pusingan ketujuh, saya pusing lagi dengan tujuan “mengintai” hajarul aswad. Saya sudah begitu dekat, sehingga tawaran daripada seorang perempuan Indonesia, “mahu kucup hajarul aswad, ibu?” saya tolak dengan gelengan kepala. Di hadapan kaabah yang suci, kalian masih mahu berniaga? Saya berasa sangat sedih. Hajarul aswad yang sudah begitu dekat itu saya tinggalkan. Saya masuk ke lengkungan (saya tidak pasti apa itu namanya), dalam keadaan yang sangat mustahil untuk masuk. Sempat juga solat sunat di situ. Saya sangat teringin menyentuh dinding binaan suci tersebut. Dalam hati saya mohon keampunan Allah, tiada niat mahu mempercayai sesuatu yang khurafat, tetapi saya sangat teringin menyentuhnya. Lalu saya hulurkan tangan dan menyentuh batunya.

2 September 2016, saya tamat membaca Quran yang saya mulakan bacaannya di Madinah. Keesokannya badan mak lemah, langsung saya menghantar mak ke klinik kecemasan aras P. mak dimasukkan ke bilik pemerhatian khas. Kasihan mak. Mak dimasukkan air dan ubat. Tiga hari mak warded. Saya benar-benar rusuh. Seluruh pergantungan saya kepada Allah. Saya sempat mewakafkan quran dan kerusi untuk mak dan allahyarham ayah. Mudah-mudahan Allah memberikan tempat untuk mak dan allahyarham ayah di syurga-Nya.

Hari pertama mak hypho garam. Mak keliru dengan waktu solat. Mak tidak menyedari apa yang berlaku. Saya begitu gelisah. Hari wukuf sudah semakin hampir. Ketua jururawat mendekati saya. Puan, katanya. Jangan kecil hati jika puan lihat tangan kanan ibu puan kami ikat. Semalam ibu puan mencabut jarum di tangannya. Jika keadaan berterusan, kemungkinan kami akan bawa ibu puan ke hospital di Syisha. Wukuf nanti kami bawa ibu puan dengan bas khas.

Tuhan sahaja yang faham hati saya bagaimana. Namun Dia Maha Penyayang. Hari kedua mak sudah ok. Hari ketiga mak sangat cemerlang. Subhanallah. Ada keajaiban juga, pulang dari wad, malam Jumaat itu mak boleh solat berdiri, sesuatu yang tidak boleh dilakukannya sejak setahun setengah yang lepas! Kami akan bertolak ke Arafah (Hari Tarwiyah) pada 8 Zulhijjah Sabtu 10 September. Dan mak sudah boleh solat berdiri!

Sabtu itu dalam debar kami menaiki bas ke Arafah. Duduk di khemah tanpa kipas. Kipasnya ada tetapi sudah rosak. Saya tidak tidur sebab kasihankan mak. Saya sentiasa membasahkan pakaian dan tubuh mak dengan air. Wukuf pada hari Ahad 9 Zulhijjah (11 September). Kami habisi wukuf dengan berdoa dan berdoa. Malam itu kami bergerak ke Muzdalifah. Mabit di sana sambil mengutip batu. Kasihan mak, saya melihat mak tidur di bawah langit terbuka.

Malam itu selepas tengah malam kami menaiki bas ke Mina, ke khemah Maktab 83. Saya dapatkan mak tempat. Kami tinggal bersesak-sesak. Keesokan harinya adalah hari yang mencemaskan. Saya bangun dan mendapati mak tiada di tempat tidur. Allah. Jantung saya seperti berhenti berdegup.

Saya berlari ke luar, ke tandas mencari mak. Tiada. Masuk semula ke khemah, mengkabarkan kepada rakan-rakan sebilik di Mekah akan kehilangan mak. Mereka keluar mencari, begitu juga dengan kak Fuziah suami isteri (orang Lenggong) yang sekhemah dengan kami. Saya benar-benar lemah. Mak tidak memakai lencana pengenalan. Mata mak tidak Nampak, telinga kurang mendengar. Mak tidak tahu nombor khemah. Ya Allah…

Saya ke pusat khidmat tabung haji melaporkan kehilangan mak. Dua jam lebih saya seperti orang gila mencari mak. Saya menyebut doa, ya Tuhan…tolong mak saya. Akhirnya, saya Nampak Dr Nita, rakan sebilik di Mekah sedang memimpin seorang yang dari belakang, saya pasti itu mak. Saya menjerit kuat, “mak mak!” memeluk mak dan meraung di khalayak . peduli apa saya, yang penting mak sudah dijumpai.

Mak ke tandas. Mak kesian nak kejut Yang. Mak tengok ramai sangat beratur di tandas. Mak nak balik ke khemah tapi tak jumpa.

Ya Allah, kalaulah orang boleh nampak hati saya…

Selepas itu saya mengingatkan mak, mahu ke mana-mana mesti pakai lencana pengenalan. Saya latih mak melihat simbol khemah. Ini kereta merah. Mak suka warna merah. Mak masuk lorong kereta merah, terus sahaja sehingga jumpa wheelchair mak yang warnanya merah juga!

10 Zulhijjah hari nahar, saya melontar jamrah Kubra, untuk saya dan mewakili mak. Seronoknya. Saya pergi ke tebing dan melontar. Hari tasyrik 11 Zulhijjah saya pergi lagi melontar ketiga-tiga jamrah. Hari tasyrik 12 Zulhijjah kami merancang mahu bawa mak. Saya berdoa Ya Allah, jika baik atau tidak untuk kami bawa mak, berikanla petunjuk. Esoknya kami sudah bersedia untuk membawa mak dan Allah memberikan petunjuk. Mak lemah. Mak dimasukkan air. Ketika kami bergerak untuk melontar, saya mengerti sudah mengapa Allah tidak mengizinkan kami membawa mak. Orang bersesakan. Ramai yang mahu buat Naffar Awwal. Sangat bahaya jika kami bawa mak.

Lima hari di luar kota Mekah, menyedarkan saya akan banyak perkara. Allah melatih rasa sabar. Allah mahu kita bersyukur. Allah mahu kita tahu bahawa di sisi-Nya, tiada beza apa-apa kecuali ketakwaan kepada Allah. Kami pulang ke Mekah pada Khamis 15 September. 17 September, saya tamat membaca Quran untuk kali kedua. Alhamdulillah.

Sambungan…