Total Pageviews

Thursday, May 19, 2016

Jawapan Saya Kepada Soalanmu, Tuan!

"Bagaimana anda mengharungi hidup yang begini?" seseorang bertanya. Sudah tentu saya memahami akan maksudnya. Hidup yang sangat sederhana, mendekati dunia marhaen.

Mudah sahaja. Saya pun memang dari golongan marhaen.

"Apa lagi yang saya mahukan daripada hidup ini?" Tanya saya kembali. Soalan itu berdiam lama di udara.

Tuan, kata saya. Apa lagi yang saya mahu dalam kehidupan yang bagi saya sudah sangat mencukupi ini? Saya mempunyai ibu bapa yang meninggalkan kesan baik selamanya di hati saya. Mereka orang susah, tiada pendidikan tinggi, tetapi cukup bermakna apabila saya melihat mereka bersolat, berpuasa, hidup dengan serba sederhana, membantu orang. Saya ada adik beradik yang juga meninggalkan bekas yang baik di jiwa. Mereka juga tiada pendidikan tinggi, hidup secara biasa-biasa. Kadang-kadang kami bergolakan tetapi tidak lama.  Saya dikurniakan anak berbanding ada orang yang langsung tidak berpeluang menjadi ibu. Anak-anak perempuan saya mampu saya berikan pendidikan ke universiti, lulus dengan cemerlang dan mempunyai bakat tersendiri dalam bidang yang mereka suka. Setakat ini mereka sihat. Saya ada menantu,  melihat dia sujud kepada Allah, mengaji dan mengalunkan zikir; cukup mendamaikan hati saya. Saya sekarang sudah punya cucu yang sihat. Ada orang tidak berkesempatan melihat wajah cucu sebab dipanggil Tuhan untuk kembali ke sisi-Nya, Alhamdulillah saya masih diberi peluang. Saya ada jiran-jiran yang sangat murni hati mereka, saling membantu saat saya sukar. Saya juga ada sahabat-sahabat yang sanggup bersusah payah memudahkan segala urusan. Saya ada kucing2 yang cukup manja dan meriangkan hati.

Apa lagi tuan? Gaya hidup saya?

Ya, saya hanya ada rumah teres dua tingkat yang saya sewakan, dan kadangkala tidak berbayar sewanya. Di sini saya menyewa rumah kecil. Tiada perabot yang bagus pun. Memang tuan, sepatutnya saya tidak menghuni di rumah yang kosong seperti itu, tetapi saya gemar yang lapang begitu. Saya ada kereta kecil yang cukup memudahkan saya untuk ke sana sini. Saya mampu memandu walau sejauh mana pun. Saya memang ada penyakit, tetapi sekarang saya masih diberi nafas oleh Allah. Saya masih kuat untuk melakukan apa yang saya suka. Saya ada gaji meskipun bukanlah sebesar mana, mampu untuk saya melunaskan hutang, berkongsi dengan emak, keluarga, anak-anak, kucing dan anjing di jalanan serta sesiapa sahaja. Saya ada duit yang sesekali saya gunakan untuk membeli buku jika ada berlebihan sedikit. Bukankah buku itu sendiri memberikan kebahagiaan? Tuhan memberikan saya anugerah bakat yang mungkin sukar bagi orang lain. Ya, daripada bakat itu saya telah menulis dan menulis, berada di pentas dan dikenali juga dalam bidang susastera negara.

Nikmat Allah mana yang mahu saya dustakan?

Yang paling utama ialah Allah menenangkan hati saya ketika berdepan dengan apa jua ujian. Itulah nikmat yang tidak terkira. Biarpun di dompet saya hanya berbaki dua tiga keping not merah, tetapi saya tetap gembira. Hidup bukan untuk menjadi hamba wang, harta dan segala yang nampak gah di mata orang. Biarlah orang lain dengan dunia dan keghairahan mereka. Saya adalah saya. Saya tidak perlu menjadi manusia lain.

Begitulah tuan, jawapan saya terhadap segala kemusykilan yang bersarang di hati tuan!