Total Pageviews

Wednesday, May 25, 2016

Merindui Tidur

Saya merindui tidur.

Sejak kelahiran Kayyisa, saya hanya tidur sekitar dua jam sehari. Itu pun barangkali dengan kemahiran profesional iaitu tidur sambil duduk atau tidur-tidur ayam.

Jam 4.45 atau 5 pagi saya sudah mengeluarkan ikan atau ayam kampung beku dan meletakkannya di sinki. Saya masakkan nasi panas, memasak air mineral untuk minuman (kualiti air sangat teruk di Semenyih, sama seperti di Seremban), menggoreng nasi untuk bekalan menantu, mendidihkan air mandian bayi dan ibunya. Saya memasak dalam dua menu. Menu wajibnya ialah sup ikan atau ayam yang bersayur dan satu lagi, oleh sebab sudah memasuki minggu ketiga, saya menggoreng ikan atau ayam dengan garam dan kunyit yang sangat sedikit. Masih tiada halia, kunyit dan lada hitam sebab saya bimbang Kayissa ada prolongue jaundice. Dan dia menyusu badan seratus peratus.

Setelah semuanya siap, saya menukarkan ubat nyamuk elektrik sebab alat itu dipasang 24 jam sehari. Mengemaskan sampah dan bungkusan plastik lampin pakai buang, menyapu lantai dan memastikan Kayissa dalam keadaan selesa sebelum solat dan bergerak ke Seremban sekitar jam 6.30 pagi.

Sampai di Seremban, saya singgah membeli sarapan si adik dan makan bersamanya. Saya jenguk lima ekor yang setia menunggu saya di tingkap, memastikan ikan direbus, air minuman bersih dan tandasnya juga bersih. Biasanya saya tidak sempat memvakum lantai, itu saya buat sekitar jam 5.30 petang selepas pejabat dan sebelum bergerak semula ke Semenyih.

Hari-hari yang sibuk dengan wajah Kayissa di mana-mana.

Kerja di pejabat juga berlambakan di meja minda. Skrip jawapan yang perlu ditanda, JSU yang asyik dipinda dan dipinda, penilaian prestasi, pelbagai kerja yang tidak berhenti menjenguk.

Saya juga tidak melupakan emak. Setiap hari memastikan menghubungi emak dengan doa agar emak segera pulih. Saya setia berkunjung ke Seremban 2 membeli suplimen dan produk 4life untuk emak.

Kasihan emak, kasihan Kayissa, kasihan Laila yang sulung yang demam dalam pantang, kasihan Laila yang bongsu, kasihan kakak saya yang sudah kurang sihat, kasihan kucing-kucing saya...kasihan. Saya hanya ada dua tangan dan satu badan. Tidak mampu untuk saya menyantuni semuanya sekali gus.Alhamdulillah, saya masih boleh memandu dalam keadaan penat dan kantuk. Saya boleh melakukannya kerana apa? Kasih sayang...itulah jawapannya!

Dan semuanya mengingatkan saya kepada Nyah, kakak saya yang dulu berulang-alik setiap hari demi emak. Namun kini, Nyah sudah tidak sihat. Saya sangat bimbang. Hati saya luluh mengenangkan Nyah.

Saya faham, sekarang Allah sedang melatih saya untuk sesuatu. Terima kasih Allah.

Kayyisa...dan saya sudah ada nama untuk watak baharu dalam cerpen saya!

Meskipun saya merindui tidur, tetapi saya enggan bermimpi lagi.

Tuesday, May 24, 2016

Benarlah Katamu


Model Bibiyanalayola dan kumpulan puisi

Kumpulan puisi ini diterbitkan oleh UUM Press. Saya akui ini kumpulan puisi yang lebih baik daripada Pelabuhan Matahari sebab dua puluh tiga daripada keseluruhan enam puluh buah merupakan puisi-puisi yang pernah terbit di akhbar dan majalah.

Karya ini memang saya tujukan khas untuk emak dan sesiapa yang bergelar emak. Benarlah Katamu pernah memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan, kategori sajak. Saya mengirim senaskah kepada emak melalui poslaju, moga ada yang membacakannya untuk mak.

BENARLAH KATAMU
(Dedikasi Buat Bonda Absah Shary)

Terperangkap di jaring hujan
dan ribut kehidupan
aku terkenangkan katamu
puluhan tahun dahulu

“Setelah menjadi ibu
kau akan tahu
putih kasih mak
sonder syarat dan sebab”

Benarlah katamu
kerana telah berkali-kali dulunya
dalam gunungan sabar
kau diam menampal hati
yang ditusuk tajam tingkah dan kata
sepanjang jalan kami
menuju belantara dewasa

Setelah menjadi ibu
mengertilah aku
akan benarnya katamu
di mata ibu
seperti terbentang layar
dengan wajah anak
yang saling bergantian
beraksi di kamar ingat
dan marah seorang ibu
hanya berakhir di mulut
tidak pernah bertamu
ke lantai kalbu

Terperangkap di jaring hujan
ingin sekali kurangkul rindu
dan kukaut segumpal pesanan
dihangat putih kasihmu

Mingguan Malaysia
18 Mei 2014

Thursday, May 19, 2016

Jawapan Saya Kepada Soalanmu, Tuan!

"Bagaimana anda mengharungi hidup yang begini?" seseorang bertanya. Sudah tentu saya memahami akan maksudnya. Hidup yang sangat sederhana, mendekati dunia marhaen.

Mudah sahaja. Saya pun memang dari golongan marhaen.

"Apa lagi yang saya mahukan daripada hidup ini?" Tanya saya kembali. Soalan itu berdiam lama di udara.

Tuan, kata saya. Apa lagi yang saya mahu dalam kehidupan yang bagi saya sudah sangat mencukupi ini? Saya mempunyai ibu bapa yang meninggalkan kesan baik selamanya di hati saya. Mereka orang susah, tiada pendidikan tinggi, tetapi cukup bermakna apabila saya melihat mereka bersolat, berpuasa, hidup dengan serba sederhana, membantu orang. Saya ada adik beradik yang juga meninggalkan bekas yang baik di jiwa. Mereka juga tiada pendidikan tinggi, hidup secara biasa-biasa. Kadang-kadang kami bergolakan tetapi tidak lama.  Saya dikurniakan anak berbanding ada orang yang langsung tidak berpeluang menjadi ibu. Anak-anak perempuan saya mampu saya berikan pendidikan ke universiti, lulus dengan cemerlang dan mempunyai bakat tersendiri dalam bidang yang mereka suka. Setakat ini mereka sihat. Saya ada menantu,  melihat dia sujud kepada Allah, mengaji dan mengalunkan zikir; cukup mendamaikan hati saya. Saya sekarang sudah punya cucu yang sihat. Ada orang tidak berkesempatan melihat wajah cucu sebab dipanggil Tuhan untuk kembali ke sisi-Nya, Alhamdulillah saya masih diberi peluang. Saya ada jiran-jiran yang sangat murni hati mereka, saling membantu saat saya sukar. Saya juga ada sahabat-sahabat yang sanggup bersusah payah memudahkan segala urusan. Saya ada kucing2 yang cukup manja dan meriangkan hati.

Apa lagi tuan? Gaya hidup saya?

Ya, saya hanya ada rumah teres dua tingkat yang saya sewakan, dan kadangkala tidak berbayar sewanya. Di sini saya menyewa rumah kecil. Tiada perabot yang bagus pun. Memang tuan, sepatutnya saya tidak menghuni di rumah yang kosong seperti itu, tetapi saya gemar yang lapang begitu. Saya ada kereta kecil yang cukup memudahkan saya untuk ke sana sini. Saya mampu memandu walau sejauh mana pun. Saya memang ada penyakit, tetapi sekarang saya masih diberi nafas oleh Allah. Saya masih kuat untuk melakukan apa yang saya suka. Saya ada gaji meskipun bukanlah sebesar mana, mampu untuk saya melunaskan hutang, berkongsi dengan emak, keluarga, anak-anak, kucing dan anjing di jalanan serta sesiapa sahaja. Saya ada duit yang sesekali saya gunakan untuk membeli buku jika ada berlebihan sedikit. Bukankah buku itu sendiri memberikan kebahagiaan? Tuhan memberikan saya anugerah bakat yang mungkin sukar bagi orang lain. Ya, daripada bakat itu saya telah menulis dan menulis, berada di pentas dan dikenali juga dalam bidang susastera negara.

Nikmat Allah mana yang mahu saya dustakan?

Yang paling utama ialah Allah menenangkan hati saya ketika berdepan dengan apa jua ujian. Itulah nikmat yang tidak terkira. Biarpun di dompet saya hanya berbaki dua tiga keping not merah, tetapi saya tetap gembira. Hidup bukan untuk menjadi hamba wang, harta dan segala yang nampak gah di mata orang. Biarlah orang lain dengan dunia dan keghairahan mereka. Saya adalah saya. Saya tidak perlu menjadi manusia lain.

Begitulah tuan, jawapan saya terhadap segala kemusykilan yang bersarang di hati tuan!

Tuesday, May 17, 2016

Kayyisa

Kayyisa muncul pada sambutan Hari Ibu, 7 Mei 2016 jam sembilan sepuluh minit malam. Lokasi Hospital Serdang.

Kayyisa kecil, lebih kecil daripada ibunya dua puluh enam tahun yang lalu. Beratnya hanya sekitar 2.9 kilogram. Saya sedang mengikuti Kursus Intensif Haji yang sepatutnya berlangsung dua hari di kampus. Petang itu saya mendapat panggilan daripada Syed, menantu yang memaklumkan bahawa si sulung saya sedang sakit perut. Bergegas saya ke Rinching dengan kelajuan luar biasa. Menuju ke Serdang, meskipun kereta saya memiliki GPS, saya tetap sesat selama beberapa kali.

Menunggu sejak petang, saya tidak berhenti langsung untuk berdoa dan membaca surah Yassin. Saya kelaparan dan penat tetapi naluri keibuan saya mengatasi segalanya. Maghrib itu menantu saya dipanggil masuk ke dewan bersalin. Lebih kurang dua jam dia bertarung dan akhirnya lahirlah Kayyisa. Tanpa Sharifah di hadapan namanya. Maknanya bijak. Memang trend ibu bapa sekarang menamakan anak mereka dengan nama ringkas seketul. Saya menghormati hak mereka sebagai ibu bapa. Kita sudah berpeluang mempunyai anak dan memberikan nama kepada mereka. Sekarang hormati hak anak untuk memberikan nama yang mereka suka kepada bayi mereka. 

Bayi Kayyisa mengalami jaundis. Saya membawanya ke Pusat Rawatan Homopati Hassan di Bangi. Saya merentasi dua negeri setiap pagi dan petang. Dia tidak berpantang di rumah saya sebab kucing-kucing tidak bagus untuk bayi.

Moga cucu saya menjadi manusia solehah dan hafizah. Saya mengucapkan selamat datang ke dunia ibu kepada anak. Dunia yang tiada istilah lain yang lebih tepat melainkan satu perkataan sahaja iaitu pengorbanan. Dia sedang belajar meresapi semangat pengorbanan itu, moga dia akan memahaminya selalu...