Total Pageviews

Saturday, October 31, 2015

Musim Tangisan

Banyak yang berlaku sepanjang waktu saya berdiam. Ada yang menyebabkan air mata berguguran seperti musim tengkujuh di Pantai Timur. Antara selang waktu itu, ada kisah-kisah gembira yang bertamu di laman hidup.

Ya. Saya kehilangan Kopi pada 19 Oktober 2015, diikuti Puput 23 Oktober. Kemudian menyusul Pau, Putat dan Kyo. Saya dan si bongsu merawat Atat, Milo, Shiro dan Simba dengan sehabis upaya. Saya kekurangan tidur, keletihan berulang-alik ke klinik, menguburkan mereka tidak kira tengah malam atau subuh, terik panas atau hujan.

Kehilangan Puput, calico jenis DLH, kucing tempatan yang mungkin tidak dihargai peminat kucing berbulu tebal, sangat saya rasai.

Saya menerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2014 (Hadiah Utama Kategori Cerpen “Hingyaku” dan Hadiah Penghargaan Kategori Puisi “Sepatu Hijrah”) pada petang Selasa 20 Oktober 2015 di Hotel Concorde KL. Anak bongsu dan suami ikut serta. Kemenangan itu langsung saya tidak tahu untuk kategori apa, bahkan juga tidak tahu bahawa saya menang dua kategori. Alhamdulillah rezeki emak, adik beradik, anak-anak dan kucing-kucing sama ada yang ada di dalam rumah atau di jalanan.

Meskipun masih bersedih atas kematian Kopi di klinik, hadiah tersebut mengubat sedikit kepiluan. Ketika dalam perjalanan pulang, saya mendapat berita daripada wassap keluarga bahawa emak tidak sedarkan diri. Suami memecut kereta ke Seremban, saya perlu menguruskan kucing-kucing yang akan ditinggalkan. Malam itu kami pulang ke kampung.

Dua hari saya bercuti kecemasan dan emak beransur pulih. Barangkali jerebu yang dahsyat telah memberi kesan kepada emak yang sudah mencapai usia 77 tahun. Khamis itu ketika mahu pulang, saya beritahu emak bahawa emak mesti terus sihat. Emak menghantar saya, melambai dari beranda rumah.

Balik ke rumah sewaan, saya kehairanan sebab kelibat si Puput yang selalu aktif tiada di muka pintu. Saya memanggil-manggil tetapi dia tidak muncul. Saya mengintai di atas almari, lokasi kesukaan Puput. Setelah mencari, saya ketemu dia dalam carrier yang besar. Dia sudah menunduk di situ, cuba bangun setelah mendengar namanya dipanggil.

Saya memeluk Puput dan melihat di sekitar mulutnya sudah dipenuhi lendir berbau. Saya sapu mulutnya, cuba memberikan ubat-ubatan. Puput tidak mampu bertahan lama. Kesokan harinya, dia meninggal di atas ribaan saya. matanya yang bulat memandang saya seperti enggan pergi. Saya memeluk dan menyebut, “Puput pergilah. Pergi. Doakan ibu nanti dapat jumpa Puput. Puput pergi...” di atas ribaan saya dia menghembuskan nafas terakhir. Matanya saya cuba tutup. Malam itu juga kami menguburkan Puput bersebelahan Kopi. Selepas itu seekor demi seekor tumbang. Pau, diikuti Putat dan Kyo yang meninggal di atas ribaan si bongsu. Seminggu itu kami begitu menderita.

Paling terasa ialah ketika saya berbaring. Tiada lagi Puput yang suka sangat berbaring di atas dada dan perut saya sehingga saya terlena. Pagi-pagi jika mahu pergi kerja, tiada lagi “peperangan” dengan si calico itu yang gemar menggonggong stokin, anak tudung, malahan seluar kecil ke merata tempat di rumah. Tiada juga kelibat kucing yang aneh, yang sangat sukakan bunyi kertas dikeronyok, menggonggongnya ke merata tempat di sekitar rumah. Untuk menghilangkan kenangan itu, saya buang semua stokin, membuang mainan dan segala yang disukai Puput.

Sedaya upaya kami merawat yang tinggal. Paling menakutkan ketika Baby dan Comel juga sudah mula berbuih mulut. Rawatan ke klinik mencecah hampir seribu ringgit. Beberapa biji kelapa muda atau apa sahaja yang disebut orang, akan saya belikan untuk memulihkan mereka.

Ketika itulah juga, sekitar Selasa petang saya mendapat khabar emak sakit lagi, kali ini memaksanya ke unit kecemasan untuk dimasukkan air. Saya tidak perlukan masa yang banyak untuk bergerak pulang. Saya nekad pulang sendirian meninggalkan si bongsu untuk merawat enam ekor kucing yang berbaki. Saya meninggalkan wang supaya dia boleh membawa kucing-kucing itu ke klinik dan juga untuk pulang ke kampung.

Saya membuat empat jam perjalanan berbanding enam jam kebiasaan. Saya hanya singgah di hentian sebelah sebab tandasnya dekat dengan parkir. Saya gagahkan diri untuk ke tandas. Alhamdulillah, Allah melorongkan kekuatan untuk saya.

Memang kali ini emak sangat lemah, beberapa kali emak terpaksa dihantar ke unit kecemasan untuk memasukkan air dan beberapa prosedur lain. Jemaah juga berkumpul untuk membaca Yassin. Emak tidak boleh bergerak, langsung tiada selera makan. Dalam kondisi begitu, kami tetap menitikberatkan soal solat meskipun emak keliru dengan waktu solat. Emak mula bertanya akan rakan-rakannya yang telah pergi, juga kerap menyebut mahu “balik”.

Saya serba salah. Anak sulung saya akan konvokesyen pada Ahad 1 November. Saya berjanji untuk cuba datang dari kampung seawal subuh. Tetapi jam tiga pagi, emak kesakitan. Saya benar-benar tidak sampai hati melihat keadaan emak. Maka saya menghubungi si sulung. Dia memahaminya meskipun saya tahu segunung kekecewaan yang jatuh ke hatinya.

“Kakak bayangkan saja ibu ada ketika kakak tunduk hormat kepada ibu bapa meskipun ibu tiada di situ. Ibu akan bayangkan kakak berjalan di pentas untuk menerima ijazah...” kata saya. Dan saya menambah, “nanti doakan ibu hadir ketika kakak menerima ijazah sarjana dan doktor falsafah!”

Kepada emak, ketika mak menyebut tentang derita sakitnya, saya kata...”Allah sebenarnya sangat sayang mak. Allah mahu berikan mak syurga paling bagus. Untuk masuk syurga, mak mesti bersih daripada dosa sebersih-bersihnya. Jadi, Allah sedang membersihkan dosa kecil mak dengan memberikan sedikit kepayahan”. Mak angguk.

Kemudian saya kata lagi, “mak jangan takut untuk buang air besar atau kecil. Kami akan cuci. Dulu mak lagi teruk, terpaksa cuci najis enam anak. Emak hanya seorang sekarang berbanding kami yang ramai dulu...” mendengar itu emak senyum.

Saya paling kagum dengan kakak saya. Berbanding yang lain, dia paling memahami emak. Dia membeli segala keperluan emak termasuk kerusi roda, tandas kerusi, tandas baring dan segala-galanya. Dan saya kira mak sangat bertuah. Didikan mak kepada kami, anak menantu dan cucu menyebabkan semua kami tidak berkira dari segi tenaga dan kewangan demi memastikan kesembuhan mak.

Ya, mak sangat beruntung. Barangkali sebab keberkatan. Meskipun mak tidak sekolah, mak hanya orang kampung, anaknya juga ramai, tetapi...berbanding saya yang berpendidikan dan hanya punya anak dua.

Sekarang mak masih berjuang dengan semangatnya yang kuat, doa dan sokongan anak menantu, cucu cicit, kenalan, orang-orang kampung dan segala haiwan yang disantuni.

Moga-moga matahari kami akan terus bersinar. Kami masih memerlukannya.

Sunday, October 18, 2015

Hari Hati Jerebu

Saya lama tidak menulis di laman ini.

Terus terang bahawa saya sangat sibuk. Mental dan fizikal saya sibuk. Upaya saya membataskan pergerakan sepantas biasa. Banyak perkara yang berlaku dalam jangkaan dan di luar jangka. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana keinginan saya menulis membuak-buak seperti mata air yang berebut-rebut keluar di permukaan tasik yang tenang.

Tidak tahu bagaimana untuk memulakan cerita. Semuanya seperti hujan yang turun pada musimnya. Belum sempat kering tanah, langit membuka pintu dan air yang bertakung bercurahan turun.

Semalam, saya mengejarkan Kopi ke klinik. Kasihan melihat doktor mencukur bulu dan mencucuk jarum untuk proses memasukkan air ke dalam badan. Badannya yang kecil itu sudah tentu tidak kuat untuk menanggung kesakitan. Kemudian Atat, bapanya dan Milo kakaknya pula dimasukkan ke dalam wad. Sepanjang malam saya terjaga dan memikirkan kondisi mereka yang berada di tempat asing.

Air mata saya bercucuran mengenangkan bagaimana ketiga-tiganya memandang sayu seakan mahu menyatakan sesuatu. Si Baby pula jam empat pagi lebih kurang, baru perasan bahawa anak-anaknya tiada di rumah. Dia berkejaran ke sana ke mari, berbunyi sedikit seolah-olah bertanyakan saya. Sehingga pagi ini, Baby masih gelisah.

Pagi ini Puput pula demam. Sebentar lagi saya akan menghantarnya ke klinik.

Tuhan, mereka memang kucing tetapi mereka adalah sebahagian daripada kegembiraan saya.

Tolonglah...

Sunday, October 11, 2015

Kumulonimbus



Sudah terbit di Dewan Sastera bulan Oktober 2015. Tapi saya perasan, tajuknya disalah eja. Bagaimana boleh jadi begitu?

Friday, October 2, 2015

Memasuki Negeri Lupa



Ada sebuah sajak saya yang terbit di Sanggar Puisi BH Ahad. Tajuknya ialah Memasuki Negeri Lupa.

Masalahnya saya lupa di mana tempatnya saya letakkan sajak itu.