Total Pageviews

Thursday, May 26, 2011

Menanti Pelangi




Ada seorang anak yang gemar menanti hujan, kerana dia tahu ada sesuatu yang cantik sedang menanti selepas hujan.

Pelangi...

Pelangi yang terhasil dari campuran warna yang melengkung di langit.Kata orang tua-tua, "jangan menuding dengan jari, nanti jarimu kudung..."

Dia bingung. Apa kaitan tudingan jari dengan sang pelangi?

Tetapi anak itu tidak pernah pedulikan larangan tersebut. Dia enggan memikirkannya pun. Dia hanya mahu menanti pelangi yang muncul selepas hujan.Dia menjadi hairan, dari mana bermula dan berakhirnya lengkungan itu. Tampak jauh sekali.

Mulanya dia hanya mahu menanti kemunculan pelangi. Namun sekarang, dia mahu mencapainya.

Tapi bagaimana?

Pelangi itu wujud.Dia memang nampak jelas akan kewujudan pelangi. Jika wujud, pasti saja dia mampu menyentuhnya. Dia kepingin mencapai pelangi.

Bertahun-tahun anak itu menunggu, malahan mencari. Tapi dia gagal. Dia kecewa sekali. Pelangi yang indah menawan, entah di mana puncanya. Dia hanya mampu melihat dari jauh.

Kemudiannya dia menyedari, kadang-kadang yang jauh itu memang nampak benar indahnya. Sebab kedudukannya jauh. Sebab mustahil untuk kita mencapai yang jauh.

Mengapa dia mahu mencapai sesuatu yang mustahil untuknya? Sehinggakan dia langsung tidak melihat keindahan sesuatu yang dekat?

Pelangi sebenar ada dalam dirinya. Terlalu dekat. Dia sendiri adalah ciptaan yang maha indah. Seimbang dan menawan.

Pelangi yang berada dalam diri...muncul tatkala kita tersenyum atau mengucapkan terima kasih kepada ibu yang menyediakan kita sarapan pagi. Pelangi juga muncul ketika kita berkata manis kepada bapa yang bersusah payah menghantar kita ke sekolah dengan motosikal atau kereta. Atau kepada ibu yang tidak pernah lena tidurnya kerana kerap bangun menukarkan tuala basah di dahi kita demi mengurangkan kepanasan akibat demam.

Pelangi akan menjadi lebih indah ketika kita sujud di sejadah, menadah tangan dengan penuh mengharap kepada-Nya. Pelangi juga akan muncul apabila kita berkata-kata dengan lembut dan penuh kasih sayang.

Kita hanya perlu menjadi seindah pelangi, yang menanti di dalam diri...