
Kerana Namanya Mariam
Seluruh hidupnya adalah keperkasaan...
( Ratna Laila Shahidin, Namanya Mariam, dedikasi untuk ibuku, Ogos 2001: Antologi Ratib 1000 Syair)
Namanya Mariam.
Wanita ini berusia 73 tahun. Bertubuh kecil, kulitnya kuning langsat, wajahnya sentiasa mekar dengan senyuman seperti bunga matahari.
Penulis Daisaku Ikeda pernah menyebut, wanita lemah tetapi ibu gagah dan wanita itu adalah seorang ibu kepada enam anak yang masih hidup, sementara enam lagi anak sedang menunggunya di syurga. Dia seorang ahli falsafah meskipun tak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, marahnya di mulut tapi tak pernah sampai ke hati.
Setiap pagi dia akan menyediakan juadah dan meletakkannya di atas meja berpayung di halaman rumah. Juadah untuk sesiapa yang mahu ke ladang. Untuk membasahkan tekak sesiapa saja yang sempat singgah. Wanita ini pernah mengembara ke Beijing, Mekah dan Madinah, Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, Filifina untuk melihat kehidupan dan menghulurkan bantuan.
Dia hidup penuh derita di waktu kecilnya, kemiskinan yang menjerat, tradisi yang tidak membenarkan anak perempuan ke sekolah. Tetapi setelah berkahwin dan punya anak, dia ke sekolah dewasa untuk mengejar ilmu. Dia tidak mahu membutakan dunianya.
Wanita yang setia menemani suami sehingga ke saat akhir si suami. Dia tenang meribakan suami dan menyebut dengan jelas, "pergilah dengan tenang. hanya ingatkan Dia. Anak2 yang tinggal, Yam akan uruskan. Jangan ingat dunia, jangan ingat anak-anak. pergilah untuk Dia..."
Namanya Mariam. Dan saya percaya nama menggambarkan perwatakan. Kerana itu saya melakarkan "kerana namanya mariam, seluruh hidupnya adalah keperkasaan"
Terima kasih ya Allah, kerana mengurniakan dia sebagai ibu saya. Emak yang kaya kasih sayang. Emak yang sentiasa mengasihi dan mengasihani.