Total Pageviews

Wednesday, November 20, 2019

BIODATA RATNA LAILA SHAHIDIN TERKINI UPDATE 21 NOVEMBER 2019

BIODATA HAJAH RATNA LAILA SHAHIDIN
* Maklumat sehingga NOVEMBER 2019
* Tujuan: untuk rujukan para siswa kesusasteraan yang selalu mencari bahan tentang saya. Moga dapat membantu kalian.

Lahir pada 20 Mac 1966 di Lenggong Perak dalam keluarga petani yang miskin. Anak keempat daripada enam beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan. Ayah bernama Haji Shahidin Haji Mat Dom dan emak Hajah Absah @ Mariam Shary. Bersekolah rendah di SKBB Lenggong dan menjadi pelajar terbaik Peperiksaan Penilaian Darjah Lima 1977, mendapat tawaran Rancangan Khas di MGS Ipoh dan pengajian tingkatan enam di Clifford School K.Kangsar (sepatutnya ke Anglo Chinese School, Ipoh). Pelajar terbaik STPM jurusan sastera daerah Hulu Perak tahun 1985 dan menerima anugerah daripada YAB Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Encik Ghaffar Baba (Tun). Siswa terbaik Jabatan Penulisan (Kreatif dan Deskriptif) Universiti Malaya dan memperoleh Hadiah Buku Universiti semasa konvokesyen pada tahun 1989.

Pernah menjadi pengasuh bayi di Kuala Kangsar ketika menunggu tawaran ke universiti (pengalaman ini digunakan ketika menulis novel SUCI). Pernah menjalani latihan wartawan penyiaran di Unit Berita Radio RTM KL, editor sastera Teks Publishing, wartawan majalah SARINA di Amir Enterprise, Editor di Fajar Bakti Sdn Bhd, guru sekolah menengah di KL, Perak dan Negeri Sembilan, serta pensyarah di Kolej Matrikulasi NS. Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan, Malaysia, IPGK Ipoh (dua bulan 20 hari) dan terkini di IPGK Pendidikan Teknik, Bandar Enstek.

Memperoleh Sarjana Muda Sastera Penulisan Kreatif & Deskriptif Universiti Malaya (1989), Diploma Pendidikan KPLI Bahasa Melayu Institut Bahasa Kuala Lumpur (1991) dan Sarjana Sains Pengurusan Universiti Utara Malaysia (1999).

Memenangi beberapa anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan dalam genre puisi, cerpen, skrip drama pentas dan buku puisi. Antaranya Sayembara Hari Guru Negeri Perak 1997 Kategori Puisi dan Drama Pentas, Hadiah Utama Kategori Puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000, Hadiah Sastera Darul Ridzuan IV 2014 Kategori Puisi, Anugerah Sastera & Media Negeri Sembilan 2015 (Kategori Puisi). Anugerah Sastera & Media Negeri Sembilan 2017 (Kategori Buku Puisi: Benarlah Katamu & Kategori Puisi Eceran Terbaik), Anugerah Kecemerlangan Melewar Kategori Penerbitan Kreatif/Penulisan 2014, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2014 (Hadiah Utama Kategori Cerpen & Kategori Puisi), Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (Kategori Cerpen). Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2016 (Kategori Puisi), Hadiah Karya Darul Ridzuan V 2016 (Kategori Puisi & Kategori Cerpen). Terkini memenangi HSDR 6 pada 30 Nov 2018 (karya 2016-2017) kategori cerpen eceran (Deus Ex Machina) dan kategori puisi eceran (Semakin Mengertilah Aku Akan Bahasa Hujan) yang disampaikan oleh MB Perak Ahmad Faizal Azumu.Pada 14 November 2019, dinobatkan sebagai pemenang Kategori Puisi Eceran Terbaik (Mari Kuajar Kamu Menulis Puisi) dalam Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2019.

Sajak Keberangkatan Ayah yang memenangi Hadiah Utama HSKU 2000 telah dijadikan bahan dalam buku Madu Ilmu untuk subjek Kesusasteraan Melayu SPM pada tahun 2000-2005.

Blogger di ibubungamatahari.blogspot.com, ikut mewakili Malaysia dalam 33rd World Congress of Poets 2013, Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor sejak 2010 dan Temu penyair Asia Tenggara 2018 . Menulis dalam genre puisi, cerpen, novel, skrip drama pentas, skrip drama radio dan buku akademik. Memiliki dua kumpulan puisi Pelabuhan Matahari (ITBM, 2015) dan Benarlah Katamu (UUM Press, 2016), Novel Suci (LEPAS, 2015). Karya diterbitkan dalam 50 buah antologi, selain karya eceran di media cetak dan radio (skrip drama dan puisi). Buku akademik antaranya Kebudayaan Melayu (Penerbit Multimedia), Kesantunan Masyarakat Malaysia (Penerbitan Multimedia), Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak (Sasbadi). Juga menjadi penyelenggara kepada beberapa buah antologi, antaranya antologi puisi Monolog Alam dan antologi puisi Lautan Bukan Pemisah (usahasama antara siswa IPGKRM dan siswa Universiti Islam Sumatera Utara). Menjadi penyelenggara kepada beberapa buah buku anekdot dan puisi termasuk empat siri Suara Dari Laman...Ratna juga menulis untuk majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia YADIM.

RLS juga penerima Anugerah Cemerlang dalam perkhidmatan awam sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2016. Pernah juga dianugerahkan sebagai Tokoh Pensyarah Kreatif dan Inovatif IPGKRM pada tahun 2016. Sering menerima undangan memberikan ceramah penulisan puisi dan pengacaraan majlis rasmi. Pernah mewakili NS dalam pertandingan sketsa pengkisahan pada tahun 2014 di USM Pulau Pinang (pelakon utama dan paling senior, juga bertindak sebagai penulis skrip bersama-sama).

Pada 14 September 2019, dianugerahkan sebagai Ikon Membaca dan Sastera Kerabat Seni Negeri Sembilan oleh YTM Datuk Undang Johol Muhammad bin Abdullah dalam acara Ekspedisi Membaca Kuala Pilah-Tangkak yang turut disertai delegasi dari Medan iaitu Forum Sastrawan Deli-Serdang.

Mempunyai dua anak perempuan yang berusia tiga puluh dan dua puluh delapan serta 3 orang cucu. Merupakan pencinta haiwan dan memiliki kucing angkat sebanyak sembilan ekor yang dipelihara seperti anak sendiri.

RLS juga seorang “cancer survivor” sejak 2012.