Total Pageviews

Thursday, January 2, 2020

Hari Mendung KPM

Tarikh 2 Januari 2020. Hari pertama buka semester. Khamis.

Saya bergerak ke Ipoh petang 01 Januari 2020. Perjalanan lancar. Kesedihan saya sudah berkurangan ketika meninggalkan 9 ekor itu sebab saya tahu setiap hari dalam satu jam, pak cik cat-sitter akan datang menguruskan mereka.

Tarikh 2 Januari, hanya pensyarah yang ada. Pelajar belum hadir. Hari itu juga mendung buat seluruh keluarga besar KPM. Menteri yang disayangi telah meletak jawatan atas nasihat PM. Bermacam-macam spekulasi tercetus. Di kedai makan atau di surau. Macam-macam teori bertebaran. Saya memilih untuk membaca kesemuanya meskipun banyak antaranya yang saya rasa hanyalah mainan cybertrooper yang gajinya saja entah berapa puluh ribu. Di situlah saya memahami pendirian dan sikap manusia, malahan rakan-rakan saya sendiri. Ramai yang beremosi, ramai yang mengecam, yang mengutuk, yang kadang-kadang tidak terduga dek akal yang waras.

Ya, inilah masanya yang sesuai untuk saya menyahkawan di FB. Yang menulis b***i atau mencarut, saya padam terus. Yang memaki hamun menteri yang berkenaan meskipun rakan baik, saya hai hai bye bye. Kepada saya, MM tidak punya tangan yang seperti dewa yang kita nampak di rumah-rumah berhala. Yang tangannya banyak. Kementerian yang beliau kendalikan bukan hanya ada sepuluh ribu sekolah atau murid atau guru. Banyak isu lain yang lebih utama yang memerlukan perhatiannya berbanding isu yang sedang saya hadapi iaitu perpindahan pensyarah IPG ke negeri jauh. Memang ia menimbulkan duka lara. Memang ia sangat menyukarkan. Malahan menyebabkan belanja hidup meningkat naik secara melampau. Memang ada gangguan emosi, stres dan depresi. Tetapi beliau kena hadap isu lain yang lebih marhaen sifatnya.

Cuma saya sangat berharap, setiap menteri kena ada pegawai2 yang bagus. Jika MM sangat bagus dan menerendah diri, pegawainya juga mesti begitu. Jangan terbalik!

Saya hanyalah guru kecil yang tiada siapa pun kenal. Cuma saya terus berdoa agar Malaysia yang disayangi akan memperoleh menteri2 yang seperti ini. Yang melihat yang asas. Yang sabar meskipun diejek dan diperlecehkan oleh bangsanya sendiri yang tidak tahu diuntung.

Dr. Maszlee Malik, tuan satu dalam sejuta.