Total Pageviews

Wednesday, January 2, 2019

Disember Yang Selalu Basah

Disember saya lalui dengan segala macam cerita.

PULARA 9 yang berlangsung pada 28 Nov hingga 2 Disember di Pusat Konvensyen Amanjaya Casuarina @ Meru, Ipoh turut menyaksikan saya antara penerima HSDR 6 untuk karya tahun 2016-2017. Saya memenangi dua kategori eceran iaitu cerpen Deus Ex Machina yang tersiar di MM dan puisi Semakin Mengertilah Aku Akan Bahasa Hujan juga tersiar di MM. untuk makluman, setakat ini Perak merupakan negeri yang menawarkan jumlah wang yang lebih tinggi daripada negeri lain, termasuk daripada HSPM yang bertaraf nasional itu sendiri.

Saya hanya ke Ipoh pada hari Jumaat, memandu sendirian. Hujan menyambut saya. Saya menggunakan GPS kereta. Alhamdulilah saya sampai pada waktu makan tengah hari. Saya agak kurang teruja memandangkan mereka yang sejak sekian lama dengan PULARA semakin berkurangan hadirnya. Yang saya lihat di sana sini wajah-wajah baharu yang saya tidak kenal, dan mereka pun tidak kenal saya juga hahahaha. Macam biasa, acara sastera seperti itu, waktu wacana ilmu, yang hadir hanyalah kerusi- kerusi.

Sebelum balik ke Seremban, saya gagahkan diri memandu ke kampong menjenguk emak. Sekejap sahaja saya dengan emak, saya pulang ke Seremban dan tiba lewat malam.

Pada 17 Disember, saya dijemput baca puisi di Auditorium Melewar sempena kehadiran tetamu rombongan daripada LEPAS Kuala Kangsar. Saya membaca bagi pihak mereka hahahaha sebab saya telah menjadi ahli seumur hidup (seada hayat sebenarnya) LEPAS sejak tahun 1984. Kak Mahaya Mohd Yassin menarik tangan saya untuk duduk di sisi beliau kerana ada beberapa hal yang mahu beliau tanyakan, di samping mahu kongsi beberapa perkara juga.

Keesokan harinya saya balik lagi ke Sungai Siput (rumah kakak saya) dengan ditemani Kayyisa. Seronok sungguh moyang sebab dapat jumpa Kayyisa. Jumaat kami berangkat balik ke Seremban sebab saya perlu bersedia untuk memberi bengkel menulis puisi kepada pelajar tahfiz di Semenyih keesokan harinya. Allah menggerakkan hati Juarina Hassan untuk menghubungi saya dan menawarkan diri mengambil saya untuk ke Semenyih. Maha Suci Allah. Tidak pernah terfikir dalam hati saya ada rakan yang sanggup bersusah payah untuk saya. Di sana, saya temui bekas murid saya, isteri dan anak-anaknya. Beliau dulu pelajar dalam kelab drama saya. Kami pernah memenangi pertandingan drama sehingga ke peringkat negeri. Kini beliau menjadi mudir pusat tahfiz di samping menghiburkan khalayak dengan kumpulan Tazkers (Tazkirah + Buskers).

Bergegas balik ke Seremban, saya menaiki grab ke KLIA2. Saya terbang ke Alor Setar pada jam 8.30 ekoran jadual yang tertangguh. Sepatutnya jadual penerbangan lebih awal daripada itu. Tiba di sana, saya diambil si bongsu dan menantu saya dan dibawa terus ke hotel. Esoknya merupakan hari kenduri resepsi sebelah lelaki di Seriab Perlis. Isnin saya pulang semula ke KLIA2, dengan kaki yang sangat sakit sebab perjalanan jauh di lapangan terbang tersebut. Di Perlis saya bertemu semula dengan rakan saya sewaktu di MGS Ipoh tahun 1979-83 dahulu. Subhanallah.

Naik semester 2019, saya terasa sangat kosong. Dr Faiziah masih di wad Orthopedik. Ini masuk minggu kedua. Saya bersama-sama anak menantu dan cucu ziarah dia di wad.

Saya benar-benar rasa kosong. Orang-orang yang saya sayang sedang diuji. Ingatan-ingatan saya terhadap mak, kakak, kakak angkat di kampong, juga terhadap Dr Faiziah…memenuhi ruang fikir saya sehingga menyukarkan saya untuk lena.

Tuhan, sayangi mereka. Permudahkan urusan mereka. Berikanlah mereka kehidupan.