Total Pageviews

Thursday, April 19, 2018

Ganbatte!

Saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada saya. Saya telah meninggalkan dunia penulisankah?

Bukan. Saya masih ada. Blog saya sudah bersarang dengan sarang labah-labah di sana sini. Saya sibuk sangatkah? Ya. Sekarang ini memang saya kurang tidur, kurang rehat. Badan saya mendadak naik beratnya. Tidak pernah seberat itu dalam sejarah kehidupan saya yang sudah pertengahan lima puluh ini.

Tuan puan sekalian, saya masih menulis sajak. Tetapi untuk antologi. Ada seketul dua sajak saya yang tersiar di media. Akan datang di ruangan MASTERA Dewan Sastera untuk penulis Nusantara. Alhamdulillah. Dapat juga duit tol dan minyak untuk saya balik menjenguk emak.

Saya masih ikut acara sastera meskipun tidak serancak dahulu. Akan ke Temu Penyair Asia Tenggara juga awal Mei ini jika tidak berhalangan. Fokus saya sekarang kepada satu...emak. Dua...cucu. Tiga...kerjaya. Empat...kucing.

Itu dia.

Saya cuba mengurangkan ingatan-ingatan saya kepada masalah yang datang menjenguk di jendela hidup saya ini. Bertimpa-timpa. Saya cuba menjadi "baik" meskipun akhirnya saya tahu betapa hipokritnya saya ketika itu. Ya, kita adalah ujian kepada anak-anak kita. Anak-anak kita adalah ujian kepada kita. Saling uji menguji. Tapi, saya tidak pernah bertanya Tuhan, mengapa saya? Saya tidak akan bertanya sebab saya tahu Allah sangat baik perancangan-Nya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku seminit daripada sekarang, atau apa yang ada di sebalik tembok itu tapi Dia sudah tahu dan Dia telah memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya.

Seharusnya demikianlah. Yakin dengan apa yang Allah beri kepada kita. Dalam bentuk apa pun. Allah sangat baik, tuan-tuan.

Eh...ada yang bertanya, suami tidak termasuk dalam fokus sayakah? Ada. Beliau sedang sibuk sebab bakal menjadi tetamu Allah tahun ini. Jadi, saya tidak mahu mengganggu rutinnya . Maklumlah orang tua kan...susah betul mahu hadam dan faham aturan dan ritual mengerjakan ibadat haji hahahaha.

Baik, saya akan cuba menulis lagi. Minggu depan saya bakal dijemput menjadi panel forum. Insha-Allah saya sedang mencari bahan. Doakan.

Selamat menghidupkan kehidupan. Ganbatte!!!