Total Pageviews

Sunday, December 9, 2018

Kayyisa warded kali kedua

Memang sudah ketentuan Allah. Rezeki Kayyisa. Wang hadiah digunakan untuk kos cucu di KPJ. Dia demam kuat dan ada nanah di tonsilnya yg bengkak. Maka pada sabtu malam dia warded. Bukan saya tidak mahu masukkan dia di hospital awam tapi ada masalah yg saya tidak boleh dedahkan. Antaranya ialah keupayaan untuk ulang alik ke hospital yg berbukit itu. Saya sendiri tiada upaya.

Kasihan lihat dia. Saya masih ingat, kali pertama dia warded di KPJ Ipoh dulu pun saya bayar dengan duit yg menang juga

Alhamdullillah.

Moga Kayyisa kuat dan sihat!

Tuesday, October 30, 2018

TULISAN PENYAIR DJAZLAM ZAINAL PADA 17 SEPTEMBER 2018

BENARLAH KATAMU - KATA-KATA YANG TAK PERNAH BERHENTI

Nama Ratna Laila Shahidin antara nama yang tidak boleh dipisahkan daripada dunia puisi tanah air. Penglibatan beliau sejak pertengahan tahun 1980-an sehingga kini adalah jangkamasa yang sangat mematangkan beliau sebagai penyair. Mendapat pendidikan di MGS Ipoh (1979-1983), SMK Cliffiord Kuala Kangsar (1984-1985) sebelum ke Universiti Malaya dalam jurusan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (1986-1988) serta Sarjana Sains Pengurusan di Universiti Utara Malaysia (1997-1998) Ratna pernah bertugas sebagai wartawan di majalah Sarina, editor buku sastera di Fajar Bakti, guru sekolah menengah, pensyarah Kolej Matrikulasi dan berakhir sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru, Kampus Raja Melewar, Seremban. Sejumlah karyanya telah memenangi hadiah karya Malaysia. Ratusan puisinya diterbitkan di pelbagai jurnal penerbitan di Malaysia. Selain puisi, Ratna juga menulis cerpen dan skrip drama pentas.

Benarlah Katamu (UUM, Sintok, 2016) merupakan kumpulan puisinya yang kedua selepas Pelabuhan Matahari (ITBM, 2015) Kumpulan ini sarat dengan pemikiran, saranan dan peringatan mengenai dunia keluarga, ketuhanan, alam sekitar, kemanusiaan, kasih sayang dan lain-lain. Sajak yang diangkat menjadi judul kumpulan ini memaparkan pengakuan tulus seorang anak yang telah menjadi ibu, akan kebenaran kata-kata ibunya terdahulu.

terperangkap di jaring hujan
dan ribut kehidupan
aku terkenang katamu
puluhan tahun dahulu

"setelah menjadi ibu
kau akan tahu
putih kasih mak
sonder syarat dan sebab"

Banyak sekali puisi yang mengangkat tema kekeluargaan. Selain puisi yang didedikasikan kepada ayah dan ibu, puisi-puisi nasihat kepada anak-anaknya, Atika Laila dan Atira Laila juga diciptakan;

telah kuciptakan sebuah lagu
dan kutiup harmonika cinta
bacalah lirik yang kutulis
terjemahkan dengan tulus dan manis

jangan lekas melatah
jika ada irama yang sumbang
atau perkataan yang kurang

ibu hanya mahu meniup
dan melagukannya
dengan cinta

Begitu juga dengan sajak Atika Laila, Saat Kusebut Namamu (hal.53)

engkau gadis kurus kecil
yang tak diam dengan ujian
tetapi engkau juga tidak pernah diam
untuk menjadi teguh
dan berani
menentang payah

saat kusebut namamu
hatiku rindu

Ratna dapat menyampaikan maksud sajaknya ke jiwa pembaca. Apatah lagi pembaca yang kenal dengan diri penulisnya. Liku-liku kehidupan mencabar telah menjadikannya seorang penyair pejal dan keras dengan semangat.

Ratna banyak mengutip pengalaman hidup getir keluarganya. Hidup dalam perkampungan yang serba kekurangan tidak mematahkan semangatnya mencapai cita-cita. Beliau akhirnya dapat belajar di menara gading dalam bilang kreatif sastera. Mulai dari situ beliau telah menulis puisi. Sehingga puisinya bukan hanya mainan kata-kata seperti yang dituliskan dalam prakatanya, menulis sajak seperti menikmati kehidupan yang di dalamnya terkandung segala rasa. Segala rasa itu pula terhasil daripada proses adunan emosi, ketepatan pemilihan diksi yang menzahirkan makna, gaulan pemikiran dan sukatan ritma yang akhirnya melengkapkan resepi sebuah sajak...

(II)

Tentang dunia dan kematian, banyak juga disentuh oleh Ratna. Misalnya dalam sajak Dunia Yang Renta (hal.44)

...
kita pun membaca tanda
matahari menjadi semakin dekat menghangat
hujan lebat di luar musim
taufan bertukar menjadi gelombang
bumi berlipat dan merekah
manusia dan haiwan
sering bertukar peranan

Tentang kematian;

engkau tidak mendengar lagi, sahabat
tidak juga kau dapat membaca
puisi-puisiku
kerana sempadan takdir
telah membawa kau jauh menyendiri
ke wilayah sunyi

(engkau tidak mendengar lagi sahabat, hal. 38)

Dalam Keberangkatan Ayah (hal.55) Ratna menulis;

saat itu ayah pun berangkat
dengan mata pejam dan wajah tenang
meskipun selaut sedih bergelombang di dada
kami akur juga akhirnya
kecintaan-Nya melebihi segala cinta

Begitu pula sajak Jika Nanti Tiba Waktunya (hal. 54)

sebenarnya tiadalah
yang lebih mengejutkan
daripada kematian
meskipun kematian itu
adalah kebiasaan
dan lawannya kehidupan
setelah itu kita kembali terlupa
sehingga dikejutkan lagi
oleh sederetan kebiasaan
sementara kita menanti giliran
menuju ke akhir jalan

Dalam Keberangkatan Murabbi Sejati ditulis;

wahai
setelah selamanya engkau berpeluh
dengan urusan Tuhanmu di dunia
sekarang baringlah dengan gembira
di atas kasur cinta yang kau impi

selamat berangkat murabbi sejati
ke sisi Dia yang kau rindui

Kematian mengesani seluruh pemikirannya. Apakah kerana usia dirinya yang sedang meningkat tua atau pun kerana kematian mendatanginya berjela-jela. Ia ditandai begini;

banyak yang memberi tanda
seperti memutih hitam rambut
berulangan disapa perit sakit
hati menjadi rapuh
mudah patah dan jatuh
pantang tersentuh

Menjadi tua memang menakutkan. Namun bagi mereka yang sedia menghadapi hari tua, setiap bekalan yang disediakan akan menjadikannya sebuah pengharapan. Pesanan Untuk Mar ini menguji;

bangunlah berdiri
dan belajar jadi berani
melangkah pergi
tanpa perlu berpaling
meskipun yang kau dengar itu
mendayu merdu seruling
merayu di cuping

Rata-rata puisi Ratna sonder bahagia. Kegelapan dan kesenduannya merajalela....

(III)

Lenggong, sebuah bandar di utara negeri Perak kira-kira 100 km dari Ipoh. Ia diapit oleh bandar Grik, empangan Temengor, Lawin, Kota Tampan dan Banding. Lenggong masih diseliputi hutan rimba dan ladang kelapa sawit yang luas. Terdapat penternakan rusa, lembu dan kambing di sini. SMK Dato Ahmad merupakan sekolah tertua di daerah Hulu Perak.

Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai tapak arkeologi. Tapak-tapak arkeologi yang penting termasuk Kota Tampan, Bukit Jawa di kampung Gelok dan Kampung Temelong. Penemuan bahan-bahan arkeologi yang terkenal ialah Perak Man, rangka manusia purba berusia lebih 11,000 tahun pada tahun 1990. Lembah Lenggong diwartakan sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2 Julai 2012. Pada 2014, ditemukan pula rangka wanita purba berukuran tinggi 148 cm berusia 40 tahun di Teluk Gua Kelawar. Lenggong terkenal dengan ikan pekasam (ikan air tawar) yang diperam bersama garam dan beras bakar) di dalam tempayan selama 2 minggu, kebebe (rojak tradisional) dan daging masak hitam. Di daerah inilah penyair Ratna Laila Shahidin dibesarkan.

Maka terciptakan puisi-puisi seperti Belajar Menjadi Tabah (hal. 3)

mereka telah lama menganyam baju tabah
sehingga ujian menjadi seperti lintasan kilat

Juga Tahun Baharu Telah Membuka Pintu (hal.4)

tiada yang lebih diharap
selain tanah akan kembali basah
yang hilang akan bertamu
pohon kembali tumbuh
sentosa menyapu angin
yang bertiup perlahan dari gunung

Juga tergambar dalam Penjara Tanpa Dinding (hal. 9)

telah lama dia berdiam di situ
di atas lantai keras dan dingin beku
menjadi terlalu biasa dengan ruang tidak berdinding
tanpa besi berjaring
dia masih terus di situ
antara pasrah dan sabar
mengunyah hati sendiri

Puisi bukan sekadar alat pengucapan sosial, tetapi sebagai satu penemuan peribadi dan suatu kerja seni yang khusus untuk kesempurnaa penciptaan dan bukan untuk kegunaan di luar dirinya semata-mata. Ia menjadi wadah indah untuk melahirkan ide, perasaan, cita-cita, kebenaran pengalaman manusia dan bukan sekadar masalah masyarakatnya.

Beberapa puisi menunjukkan Ratna mengambil situasi diri dan keluarganya untuk memperlihatkan keadaan sebenar masyarakat. Yang demikian, pengalaman peribadi telah bertukar menjadi pengalaman sesama dalam satu kitaran kehidupan manusia.

Demikian Ratna menawarkan pemikiran dan kesenjangan kehidupan yang diakrapi dari alam sekitarnya....

(IV)

Kita menemukan dunia yang suram dalam puisi-puisi Ratna. Apakah memang kesuraman itu menarik pemerhatiannya. Dari Jendela Lantai Delapan Belas, Ratna menulis;

kota ini menjadi begitu kecil
dengan putih asap yang meluru
dari serombong kilang
dan menebalkan debu
di bumbung-bumbung kereta

Atau Puisi Seorang Isteri;

aku harus belajar
menyekat tebing amarah
daripada sering
menghumban puing
ke muara mesramu

Juga puisi Namanya Guru;

jangan sebab ada nila
yang tumpahnya setitik
habis semuanya terpalit
dengan sinis pandangan
lantas merendahkan martabat
pendidik umat

Memang tidak ada puisi yang menggembirakan dalam kumpulan puisi ini.

bersambung...

Saturday, October 27, 2018

IMITASI DAN KAYYISA

Saya berdoa terus agar Kayyisa menjadi muslimah yang baik.

Dia sibuk juga kalau lihat saya memakai telekung. Jika terdengar azan dari surau berdekatan, dia akan segera menyebut, “Allah hu Akbar, semayang semayang…” dalam pelat kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan. Telekong yang saya beli di Bukit Tinggi, Sumatera itulah yang dipakainya. Solatnya sekejap saja, selebihnya dia bermain-main. Jika solat, dia berbunyi-bunyi sedikit gaya orang membaca surah.

Malam tadi, saya terdengar Kayyisa seperti sedang mengaji. Bunyi dia membaca Bismillah dan menyebut Yassiiiiin. Saya mengintai ke dalam bilik. Dia sedang menghadap dinding. Satu demi satu novel berbahasa Inggeris mamanya diambil. Dibuka, baca Bismillahirrahmanirrahiiimm… yaaaasiiiiinnn. Kemudian mengambil buku itu, menjunjung, mencium dan meletakkan ke dada. Diambilnya buku lain dengan perlakuan serupa.

Imitasi daripada apa yang dia selalu nampak orang tua lakukan.

Saya mengajarnya membaca sebuah buku bertajuk Si Cantik dengan menukarkan watak-watak kepada dirinya, mama, papa dan maksu. Dia seorang yang kuat ingatan. Kadang-kadang saya mendengarnya membuka buku tersebut dan meniru gaya suara saya atau aksi lain yang saya lakukan semasa membacakannya buku tersebut.

Imitasi.

Sunday, August 12, 2018

Doa Buat Mak

Hari Sabtu yang lepas, saya dan anak bongsu mengangkut barang-barang keperluan pengantin ke kampong. Jam enam kami sampai. Waktu itu saya dapati kakak sedang menyusun barang-barang emak sebab emak mahu mengikut kakak ke Ipoh. Saya mendakap emak yang berusaha untuk bangun. Air mata mak bergenangan di pipi. "Mak, sekejap lagi Yang ikut mak ke Ipoh. Ini mahu angkut barang-barang adik dulu, susun dan berehat. Lepas itu kami akan ikut mak ya"

Mak angguk. wajah mak tidak seperti yang dulu. Kurus dan lusuh. Kali terakhir mak melambai saya saat mahu pulang ke Seremban ialah waktu hari raya itu. Mak berusaha untuk berjalan keluar dan duduk di katilnya yang di luar. Wajah mak masih ceria. Selepas itu mak jatuh sakit. Makan hanya beberapa sudu bubur nasi sehari. Mujur mak mahu minum air. Dengan izin Allah, asbab airlah mak boleh bertahan.Mak buang air di atas katil, solat pun baring di katil. Waktu mandi, kakak berusaha membawa mak ke bilik air. Waktu lain, hanya menyembur air ke tubuh mak.

Mak sangat kurus. Ingatan, pendengaran dan penglihatan mak sudah amat berkurang. Selepas mak dibawa ke Ipoh dan dijaga anak angkat mak dari Imdonesia, Cah namanya...mak jadi sangat berselera, tidurnya lena dan mak gembira. Saya kasihan melihat emak. Kasihan yang tak mampu saya ungkap dengan kata-kata.

Mak sedang diuji dengan sakit tua. Mak sudah tidak berdaya berjalan. Kebergantungan mak terhadap anak-anak menjadi maksima.

Saya tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkan ketika melihat senyum dan tangis mak yang silih berganti. Moga saya masih boleh memeluk mak. Moga mak kembali sihat.

Sebab ketika mak sakit terlantar,matahari tiada lagi muncul di sebalik awan.

Thursday, August 9, 2018

Kayyisa dan Matahari

Sudah seminggu Kayyisa dihantar ke rumah pengasuh. Malam sebelum menghantar, kami macam mahu mengirimnya ke asrama. Maksu Kayyisa menyiapkan beg, menyusun keperluan-keperluan. Mama juga demikian. Papa di kejauhan menghantar WA. Apah apatah lagi, dengan seribu pesanan. Pandai pula dia mengangguk dan macam biasa, celotehnya boleh memekakkan telinga!

Pengasuhnya baik. Itu Pun rezeki. Allah beri rezeki dengan macam-macam cara. Saya mohon bantuan Tuty, jiran yang baik hati. Dia banyak kenalan dan rajin menyantuni orang. Jauh amat bezanya dengan saya huhu. Kemudian kami ke rumah pengasuh.Kakak ipar kepada rakan sekampus. Cuma ustazah itu menyambung pengajian PHD dan sedang bercuti. Memang Tuty memilih yang bagus. Orangnya lembut begitu. Memang tiap-tiap pagi budak itu menangis ketika nampak sahaja rumah pengasuh tapi beliau ini mahir memujuk.

setiap pagi Kayyisa bersemangat. Berzikirlah kami atau membaca Fatehah sepanjang ke rumah pengasuh. Namun apabila matanya mengenal pasti lokasi taman, dia akan mula menangis. Ada anak asuhan yang suka mahu bermain tapi sebab lelaki, agaknya disebabkan Kayyisa manja, sergahan rakan itu menjadikan dia fobia. Maka dia akan menjauh daripada anak asuhan itu, mengekori pengasuh yang dipanggil Ummi itu ke mana-mana.

Waktu balik, dia akan bercerita dalam bahasa Jermannya. Saya bukan faham pun tapi saya suka membalas-balas. Dia pun berkisahan dengan bersungguh-sungguh, mimik muka, kerut dahi, mata, mulut, tangan, nada suara...hahahahaha...

Kayyisa...dengan lipas pun takut. Dengan matahari pun takut. Panashhhhh katanya. Amboi, ini Malaysia bukan? Walaupun Kayyisa anak kacukan, bukan Melayu asli macam Apah, tapi Kayyisa lahir di sini. Saya selalu cakap dengan dia, jangan takut dengan lipas, atau dengan matahari. Hidup mesti berani.

Dia akan bersemangat menggendong begnya tetapi selalu terhenti dan lari.

Kenapa? tanya saya.

No no no...panashhhhhh!

Saya cakap dengan dia...hai bayi, papa mamamu makan belacan,cu!

Suatu hari nanti, saya akan bawa Kayyisa jumpa matahari. Dia mesti jadi berani!

Wednesday, August 8, 2018

Leteran Nenek Kayyisa

Saya telah selesai mengedit, menyusun, menulis prakata, blurb dan menghabiskan kerja-kerja akhir untuk antologi Lautan Bukan Pemisah himpunan sajak antara siswa dua negara berjiran. Usaha ini adalah milik pujinya kepada Saudara Rosman Md Shah, peneraju Kerabat Seni Negeri Sembilan. Anak muda yang sangat energetik dan komited tanpa kepentingan peribadi atau menjurus kepada pelacuran seni sastera itu sendiri. Saya melihatnya demikian.

Seikhlasnya saya sukakan kerja-kerja begini sebab begitulah saya dilatih sejak di universiti, kemudian ekoran saya pernah bertugas sebagai editor juga. Walaupun tugasnya sukar khususnya untuk menyusun bahagian teknikal. Kena teliti dan cerewet. Kena sungguh-sungguh hingga mata saya naik kelabu.

Alhamdulillah. Ini kali kedua saya menjadi penyelenggara bersama-sama seorang lagi rakan.

Mengedit sajak bukan mudah terutama daripada penyair pemula atau mereka yang langsung tiada latar belakang puisi. Namun saya menghormati karya mereka walau tampak banyak bocor dan tampalan juga. Itu sebabnya saya tidak pernah menggunakan istilah cincang. Cincang itu seakan menghina. Seakan demikianlah. Saya menghormati karya dan penulisnya. Itu sebab saya akan teliti ellipsis itu perlu atau tidak atau hanya sekadar menaip sesaja saja. Saya mengedit dengan awas. Itu sebab jika kerja itu diberikan kepada saya, ia akan mengambil masa yang agak lama.

Penyair pemula…izinkan saya menamakannya demikian, memang gemarkan banjir kata. Melimpah-limpah. Kadang-kadang benda yang sama diulang sehingga mesejnya tersembunyi entah di mana. Tetapi mereka mesti diberi peluang untuk belajar. Bukankah hidup kita ini pun penuh dengan pelajaran, bab demi bab? Jika lekas sahaja kita mencincang atau membakul-sampahkan karya mereka, maka cinta yang baru mekar pun akan ke bakul sampah juga. Sebagai orang yang biasa dengan sajak, saya dengan mudah akan tahu bahawa mereka mengambil sajak orang atau tidak. Sebab tampalan-tampalan itu akan menjadi celaru.

Bagi sebahagian orang, mudahnya menulis sajak. Sudah biasa, katanya. Tapi ketika dibaca, eh masih klise klise begitu. Diksinya. Patahan rimanya. Masih selapis. Terus mata. Yang dikatakan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik itu di mana?

Sekarang musim orang suka bersajak. Orang-orang berpesta sajak. Saya tidak ikut. Sebab? Banyak sebab. Selain ada tanggungjawab atas keluarga, saya juga melihat siapa penganjurnya. Kelompok populiskah? Jadi, yang hadir itu nanti sebahagian besarnya populis. Tuan puan, ini dunia yang tidak layak dihuni artis. Ini dunia marhaen. Kalau mahu popular dengan karya yang palsu dan gaya mewah, di sini bukan tempatnya.

Jadi…pesta puisi jadi tempat beli belah. Jadi tempat pacaran. Jadi tempat seronok-seronok. Dunia sedang tenat, tuan. Negara kita juga hampir terjual. Bagaimana ini? Ada pengasuh sumbat anak asuhannya ke dalam peti ais. Ada orang potong kaki kucing banyak-banyak sekadar untuk menyiksa binatang tersebut. Ada orang bunuh orang macam bunuh nyamuk. Ada politikus seperti singa kelaparan menyiat daging para marhaen dan orang asal. Kita masih pesta-pestaan?

Kembalikan puisi kepada masyarakat, anak-anak sekolah. Biar mereka menghargai kemanusiaan.

Tuesday, July 3, 2018

Kisah Anjing-anjing dan Gadis-gadis Veteriner

Saya membaca kisah yang tular itu. Ramai yang kongsi rupa-rupanya. Hati saya rasa meradang. Prejudis dan fitnah berkeliaran di angkasa. Orang berbalas komen. Negatif. Mengutuk-ngutuk meskipun ada yang cuba menerangkan sesuatu. Malahan ada juga yang mengingatkan, periksa dahulu.

Ya Tuhan. Melayu tipikal. Saya tulis di dinding muka buku, malangnya pautannya dipadam, maka posting saya juga turut padam. Sikap kumpulan Melayu yang berasa sangat bagus atau perasan bagus ini boleh menjarakkan orang yang mahu mendekati Islam yang dianuti oleh majoriti masyarakat Melayu di negara kita. Prejudis melebar. Mereka akan berkata, Islam begitukah?

Ceritanya begini...yang tular itu. Ada video yang diambil dari dalam kereta makhluk tak bertanggungjawab, memperlihatkan tiga orang gadis menuntun anjing-anjing melalui tebing jalan menuju ke suatu tempat. Orang-orang menulis tajuk...APA NAK JADI DENGAN UMAT ISLAM SEKARANG. Ada lagi yang menulis OII BESARNYA KUCING KAU? TAK ADA BINATANG LAIN KE KAU ORANG NAK SHOW OFF. LAHAHAT. MALAYSIA BAHARU YANG LIBERAL. Dan macam-macam lagi yang menunjukkan rendahnya moraliti, integriti, penghayatan agama yang nihil.

Yang komen itu pulak...ya ampun. Ada intelektual, ada penulis, ada macam-macam. Saya komen...ini pelajar veteriner. Lihat boot yang mereka pakai. Lihat pakaian mereka. Lihat wajah mereka. Bukan mereka suka-suka mahu bawa anjing. Mereka pelajar veteriner. Bukan setakat anjing, khinzir pun mereka kena kaji dan rawat.

Kalau ikutkan hati saya pun mahu tulis BODOH BODOH BODOH seribu kali. Sungguh!Sebab ada puak kerajaan terdahulu yang kalah pukulan KO itu dan juga dari parti lebai yang kaitkan budak-budak ini dengan kerajaan baharu. Bodoh atau tidak tu?

Islam suruh kita benci anjing ke? Dalam Quran, Allah minta kita bunuh pukul anjing ke? Tak ada. Kita dilarang bela bersebab. Kalau mahu bela juga pun bersebab. Kalau anjing itu sakit, lapar....rawat dan bagi dia makan dan perlindungan. Ada kaedah penyuciannya yang disebut dengan jelas dalam Quran jika kita bersentuhan. Budak-budak itu bukan timang, peluk cium pun anjing-anjing tu. Kalau itu yang mereka buat, memang mengundang fitnahlah.

Agaknya kalau puak Melayu perasan bagus itu nampak saya bagi makan si Joni Jonathan yang kurus kering kelaparan itu, mahu dicapnya saya liberal dan ahli nuraka!

Itu sebab saya selalu terkilan jika saya buka IKIM dan dengar keluhan saudara baharu yang kecewa dengan sikap segelintir Melayu yang perasan bagus ini. Mereka kata puak begini tidak memberikan contoh Islam yang penyayang, yang menghormati orang lain, yang berbelas kasihan, yang luas pengertian, tidak sempit dan jumud.

Memang anjinglah puak-puak itu. Anjing bukan diminta lahir sebagai anjing pun. Fahami agama Islam yang indah ini. Jika tersentuh, cucilah dengan kaedah yang telah ditentukan. Tidak perlu bela jika tiada keperluan. Tetapi jika melihat binatang ini dizalimi, bantu mereka. Beri mereka perlindungan, makanan dan ubat jika sakit. Minta bantuan rakan yang bukan Islam untuk mengambil mereka sebagai haiwan angkat. Kita kan ramai kawan-kawan yang bukan Islam. Serahkan saja kepada mereka. Mereka pun akan hormat kita dan Islam sebab kita telah menunjukkan bahawa Islam itu sangat mudah dan memudahkan.

Tuesday, May 15, 2018

Temu Penyair Asia Tenggara 2018

Saya antara delegasi Malaysia ke TPAT 2018 yang berlangsung di Kota Padang Panjang, Sumatera Barat. Kami menaiki pesawat Air Asia pada tarikh 3 Mei hari Khamis jam 3.30 petang. Oleh sebab jam Indonesia lewat sejam daripada Malaysia, kami tiba di Bandara Minangkabau pada jam 3.40 petang.

Ini kali pertama saya naik pesawat tambang murah. Bukan maknanya saya berlagak tetapi sebagai kakitangan awam, kami biasanya naik pesawat MAS jika ada urusan di sana sini. Saya juga ke luar negara dengan MAS atau pesawat lain. Dulu-dulu saya selalu mendengar kisah pesawat tambang murah dengan cerita begitu begini, menyebabkan saya bimbang sedikit untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan tambang murah. Memang pesawatnya agak kecil, tempat duduknya begitu dekat antara satu sama lain tetapi bagi saya itu OK OK saja. Sudah namanya tambang murah, kenapa mesti merungut2? Alhamdulillah, perkhidmatan mereka bagus. Saya tiada masalah pun.

Acara di Kota Hujan itu padat. Kami tiba di rumah inap (atau rumah liburan) sekitar jam tiga pagi. Jika bermasalah pun, sebab kena turun naik bas. Barangkali ada arahan yang kurang jelas menyebabkan panitianya tidak mendapat maklumat yang betul. Paling saya kagum ialah mereka yang menjadi sukarelawan terdiri daripada pelajar sekolah menengah atas, sekolah menengah dasar dan siswa. Santun mereka sangat terpuji. Saya terfikir2...barangkali santun itu terpelihara disebabkan kota itu terkepung oleh Gunung Marapi, Singgalang dan Tandikek.Saya terbayangkan budak-budak sekolah kita, mampukah mereka menguruskan acara sedemikian dengan segala adab sopan yang...masya-Allah, saya benar-benar kagum!

Wah....semua rumah, dewan, kedai mereka tiada kipas, apa lagi pendingin hawa. Sebab itu daerah itu dinamakan Kota Hujan. Dingin. Tandas mereka juga mengingatkan saya akan tandas di Arafah dan Mina. Tanpa pengepam. Rumah-rumah di tepinya ada petak2 sawah dan kolam ikan. Indah sekali. Saya mengimbau-imbau kenangan zaman anak-anak. Ada nampak pokok-pokok bunga matahari liar yang memenuhi jalan-jalan di sekitar kota Padang Panjang. Nampak juga orang menjemur dan mengerat padi.

Rumah Puisi Taufiq Ismail. Sudah lama saya ingin ke sini. Saya membaca puisi Sajadah Panjang TI yang tertera di dinding musolla. Barangkali bagi orang biasa, tiada apa-apa yang menarik dengan rumah tersebut. Saya sangat menyukainya, apatah lagi melihat bunga-bunga cantik pelbagai warna di perkarangan rumah.

Banyak sekali yang saya mahu tulis tentang Kota Hujan. Puisi saya Kerana Kemanusiaan Bukan Sebuah Utopia termuat dalam antologi Epitaf Kota Hujan.

Kami terbang pulang pada 7 Mei Isnin. Berehat sekejap sebab 9 Mei merupakan PRU ke-14. Saya mengundi di kampung saya di Perak. Ini pun ada cerita yang hebat.

Di Kota Hujan, saya menulis dua puisi. Salah satunya Puisi Pendek Buat Gadis Kota Hujan, Nur Halimah.

Nanti saya menulis lagi. Ramadan semakin hampir! Saya menunggu juga siaran puisi Ramadan (dua buah) dan siaran puisi Syawal (2 buah) yang saya antara penyair (takutnya saya mahu menyebut ini), yang dijemput untuk rakaman di Auditorium P Ramlee Angkasapuri pada 28 hb April 2018.



Thursday, April 19, 2018

Ganbatte!

Saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada saya. Saya telah meninggalkan dunia penulisankah?

Bukan. Saya masih ada. Blog saya sudah bersarang dengan sarang labah-labah di sana sini. Saya sibuk sangatkah? Ya. Sekarang ini memang saya kurang tidur, kurang rehat. Badan saya mendadak naik beratnya. Tidak pernah seberat itu dalam sejarah kehidupan saya yang sudah pertengahan lima puluh ini.

Tuan puan sekalian, saya masih menulis sajak. Tetapi untuk antologi. Ada seketul dua sajak saya yang tersiar di media. Akan datang di ruangan MASTERA Dewan Sastera untuk penulis Nusantara. Alhamdulillah. Dapat juga duit tol dan minyak untuk saya balik menjenguk emak.

Saya masih ikut acara sastera meskipun tidak serancak dahulu. Akan ke Temu Penyair Asia Tenggara juga awal Mei ini jika tidak berhalangan. Fokus saya sekarang kepada satu...emak. Dua...cucu. Tiga...kerjaya. Empat...kucing.

Itu dia.

Saya cuba mengurangkan ingatan-ingatan saya kepada masalah yang datang menjenguk di jendela hidup saya ini. Bertimpa-timpa. Saya cuba menjadi "baik" meskipun akhirnya saya tahu betapa hipokritnya saya ketika itu. Ya, kita adalah ujian kepada anak-anak kita. Anak-anak kita adalah ujian kepada kita. Saling uji menguji. Tapi, saya tidak pernah bertanya Tuhan, mengapa saya? Saya tidak akan bertanya sebab saya tahu Allah sangat baik perancangan-Nya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku seminit daripada sekarang, atau apa yang ada di sebalik tembok itu tapi Dia sudah tahu dan Dia telah memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya.

Seharusnya demikianlah. Yakin dengan apa yang Allah beri kepada kita. Dalam bentuk apa pun. Allah sangat baik, tuan-tuan.

Baik, saya akan cuba menulis lagi. Minggu depan saya bakal dijemput menjadi panel forum. Insha-Allah saya sedang mencari bahan. Doakan.

Selamat menghidupkan kehidupan. Ganbatte!!!

Tuesday, January 23, 2018

Kayyisa setahun delapan bulan

Kayyisa sudah pandai menunjukkan anggota badannya. Juga sudah boleh mengucapkan terima kasih. Bersalam dan mencium tangan terutama jika dia ada berbuat salah.

Mulutnya becok, kadangkala dengan aksi tangan, muka dan pergerakan tertentu. Saya mengiyakan sahaja, bertanya-tanya dan turut ketawa seakan memahami perjalanan ceritanya. Ketika saya menyebut mahu mengaji , dia segera menuju ke rak di mana saya meletakkan Al-Quran terjemahan yang saya bawa ke Mekah dua tahun lepas. Dia akan menunjukkan dengan jari serta turut membaca-baca dalam bahasanya. Biarpun sebentar tetapi dia sudah kenal Al-Quran itu kitab yang mesti dibaca setiap hari. Saya cuba mengajarnya dengan kitab Muqaddam tetapi dia tidak mahu. Dia mahu naskah Al-Quran yang saya baca itu!

Adakalanya dia menyebut "akut akut" bermakna dia takut tatkala mendengar bunyi-bunyi di luar atau ketika diusik maksunya. Saya beritahu dia jika takut, jangan minta bantuan orang seperti Apah (dia menyebutnya demikian), papa, mama atau maksu. Mesti sebut Allah Allah. Dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.Alhamdulillah, mudah2an selepas ini dalam proses dia membesar, dia mesti membiasakan diri dengan pergantungan kepada Allah.

Mamanya dan saya membuang semua mainan yang tidak mengajarnya berfikir dan mengekalkan yang ada bunyi muzik, yang memerlukan otak untuk bermain dan memperbanyakkan buku. Tidak mengapa jika buku itu rosak. Saya mahu dia biasa dengan buku. Ya, sementara dia masih tinggal dengan saya. Jika nanti sudah berpindah ke rumah sendiri, saya berharap mereka dapat mendidiknya dengan baik. Biar secanggih mana pun teknologi, kepada saya buku masih mempunyai nilai yang tinggi.

Dia sangat menyukai muzik. Oleh yang demikian, saya menyanyikan bahan-bahan bacaan yang saya beli meskipun langsung tidak sedap sebenarnya lagu yang saya cipta hahaha.

Ini hanyalah catatan untuk Kayyisa. Jika nanti saya sudah tiada, Kayyisa boleh membacanya setelah dia meningkat dewasa.

Moga dia warisi cinta
Jangan warisi duka nenda!

Friday, January 12, 2018

Dingin Cuaca

Cuaca sangat dingin pada awal tahun. Saya yang tidak pernah berselimut, akhirnya mengurung hangat tubuh dengan kain pelekat. Saat tubuh saya terkena dinding, Subhanallah terasa dinginnya mencakar.

Simen rumah juga dingin. Esoknya rakan-rakan di Facebook memberitahu negeri mereka juga dingin.Ertinya Tuhan merahmati negara kita dengan cuaca dingin. Alhamdulillah. Semalam pun hujan merengek sepanjang siang dan malam. Seperti bayi yang kembung perut, merengek dan merengek.

Baguslah dapat cuaca yang begini. Meskipun kain lambat kering. Meskipun subuh-subuh kesejukan tatkala mahu mandi. Tidak mengapa, sebab musim dingin ini hanya sementara. Nanti-nanti musim panas terik pula. Adillah untuk penjual air batu di jalanan. Adil juga untuk para penoreh getah.


Tuesday, January 2, 2018

2017 pun ditinggalkan

"Aku Tidak Tidur Ketika Hujan" mengakhiri tahun 2017. Tersiar di Dewan Sastera November dengan ulasannya di DS Disember. Sebenarnya saya tidak tahu pun sajak itu tersiar. Waktu ke pejabat dan menyelak pigeon hole, saya dapati ada cek bernilai dua ratus ringgit dengan catatan tentang siaran sajak tersebut. Maka melilaulah saya di sekitar Seremban mencari majalah. Hampa. Saya memesan DS di sebuah gerai majalah. seminggu kemudian barulah saya dapat menatap sajak saya itu.

Pada 24 Disember Ahad, ada kenduri pertunangan anak bongsu saya, sekaligus kenduri kesyukuran kemenangan berganda saya dalam dunia sastera. Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

Balik ke kampus, kami kehilangan lima belas rakan yang sudah digerakkan ke kampus-kampus lain. Sedih tetapi kami hanyalah mentimun. Menjelang Jun, akan disusuli dengan 33 orang lagi rakan pensyarah yang bakal digerakkan keluar.

Hidup memang begitulah. Tiada yang kekal. Juga dipenuhi dengan musim yang berganti. Ada hujan. Ada kemarau.

Begitulah.