Total Pageviews

Tuesday, October 31, 2017

Mencari Bahagia



Minggu ini saya banyak berbual dengan dua orang sahabat dari jabatan berbeza. Encik Zainon bin Johari dan Puan Hajah Norlila Talib.

Saya gemar mendengar lontaran buah fikiran mereka. Saya sendiri berasa yang saya sesuai dengan pemikiran mereka, memandangkan yang saya kurang gemar (tidak gemar juga) bersembang tentang rantai emas, beg tangan jenama Channel asli, percutian ke negara bersalju, kereta Honda keluaran terbaharu, anak yang dipuji melangit sebab pandai belajar sampai ke luar negara, baju penuh berbatu-batuan harga ratus-ratus, tudung yang harganya boleh kenyang kucing-kucing saya dua minggu…

Kami berdiskusi tentang konsep nikmat, tentang sastera, tentang buku. Bosan bukan? Sebenarnya tidak. Sebab kalau kita mengakui bahawa kita orang akademik, kita guru, kita pendidik, maka hal-hal itu mesti berkeliaran dalam lingkungan hidup kita. Bukannya sibuk dengan menayang emas di badan, atau sibuk juga bercerita harga beg tangan yang beribu-ribu atau berapa biji batu hang bubuh di baju hang!

Saya beritahu dia, apabila kita sakit, kita diuji, kita menjalani proses rawatan yang panjang dan rumit, sebenarnya apabila sampai satu tahap yang kita sudah lali, kita redho, kita boleh senyum ketika bercerita, malahan sampai boleh ketawa lucu atas peristiwa tertentu, itu nikmat terindah dalam kehidupan. Malahan menurut saya, apabila Allah tidak memasukkan keinginan melampau dalam hati kita untuk memiliki segala yang berbentuk material, di luar kemampuan kita, dan kita pula tidak berasa dengki dengan kelebihan-kelebihan orang lain…sebenarnya itulah nikmat dan rezeki dalam pengertian sebenar-benarnya.

Saya juga berkongsi beberapa hal berkaitan emak saya yang saya kira aura semangatnya sangat hebat. Ada rakan yang mempersoalkan tentang peranan adik beradik saya. Saya kata semua adik beradik saya melaksanakan tanggungjawab mereka menjaga emak. Apabila saya atau kakak saya memilih untuk pulang menguruskan emak, bukan bermakna adik beradik lain tidak peduli. Cuma menguruskan orang tua ini ada kaedahnya. Contohnya begini. Emak kita kalau kita menggoreng bihun, apa yang dia suka? Kalau emak saya, mudah sahaja. Tumbuk bawang merah, bawang putih, masukkan garam dan sedikit serbuk perasa (yang mudah didapati di kedai produk muslim di Seremban ini dan saya membawanya pulang ke kampong), tumiskan dengan minyak yang sedikit sahaja. Kalau mahu masak sayur pula, hanya ada dua sayur yang emak makan. Kangkung dan sawi bunga. Potong halus-halus. Tumis dengan bawang sahaja. Masa mencuci, rendam dengan air garam untuk menghilangkan racun dan serangga yang mungkin ada. Mak akan makan sehingga habis (tidak membungkusnya dalam kertas dan perlahan-lahan memasukkan dalam bakul sampah tanpa orang sedari, dan berpura-pura sudah kenyang) Ikan pula hanya dua jenis. Keli dan bawal. Kalau sudah goreng, pastikan sudah disiat-siat isinya sebab mata mak sudah tidak nampak tulang.

Ada rakan juga mengatakan beri ganjaran kepada diri sendiri dengan ikut mereka melancong atau membeli-belah. Bukan saya tidak mahu. Tetapi jika kos melancong itu boleh saya belikan sesuatu untuk mak, atau cucu atau anak, atau untuk kucing di rumah dan di jalanan…wah! Itulah ganjarannya buat saya. Harus dimengerti bahawa manusia itu berbeza. Sudahlah dibesarkan dan dididik dengan kaedah berbeza, pengalaman hidup berbeza, akhirnya membentuk peribadi tersendiri dengan prinsip berbeza. Apabila pendirian dan prinsip hidup kita sudah seteguh banjaran gunung, tiada apa yang dapat ikut meruntuhkannya kecuali jentikan dari Yang Maha Agung.

Kesimpulan daripada cekcokan saya dengan mereka ialah, tidak perlu selalu merungut akan kasut yang usang (hahaha…anak selalu cakap, gaji beribu tapi kasut BATA ibu sudah terlalu lama tidak ditukar baharu) sebab ada orang tidak berasa kekurangan walaupun tidak berkaki. Tidak payah kita banyak mengeluh akan lauk yang kemasinan sebab ada orang yang langsung tidak berpeluang menjamah makanan. Jangan juga banyak merungut akan keletihan mengurus anak, sedangkan ada orang yang langsung tidak punya anak atau lama menunggu baru dapat anak, atau dapat anak tetapi menjadi anak syurga. Bagus sekali, kata saya…apabila kita mendampingi manusia yang memang gerenti Allah berikan syurga.

Puan Norlila sebaya saya, bertudung labuh, pengalamannya luas, orangnya hebat. Encik Zainun pula pernah bekerja di UM, berpengetahuan banyak dan berpengalaman hebat. Bicara dengan mereka, berasa diri saya sangat kecil ilmu. Saya yang kurang bercakap dengan orang, agak banyak bercakap dengan mereka ini, sebagai tanda keserasian atas beberapa perkara.

Hidup ini jangan banyak sangat mengeluh, sedikit-sedikit itu normal. Kalau langsung tidak mengeluh, itu namanya luar biasa.

Sunday, October 29, 2017

Memberilah...



Kehidupan menjadi sangat indah apabila kita selalu memberi meskipun hanya sekadar doa.

Contohnya begini. Kita sedang berbaris untuk mengambil tiket balik ke kampong halaman. Kita mungkin berada pada kedudukan yang ke-25 orang jauhnya dari kaunter. Di hadapan kita ada seorang perempuan yang kelihatan kurang sihat. Apalah salahnya jika kita berdoa sungguh-sungguh di dalam hati. Ya Allah, kasihanilah orang ini, permudahkan segala urusannya, sihatkanlah dia. Ya Allah, permudahkan juga semua orang yang sedang beratur ini termasuklah yang berada di belakang kaunter. Cepatkanlah yang lambat, mudahkanlah yang payah. Moga-moga kami semua ini Ya Allah, dapat pulang ke kampong halaman dengan selamat.

Atau ketika kita sedang memandu di lebuh raya. Kita melihat ada kemalangan jalan raya dan pihak terbabit sedang bertungkus lumus melakukan usaha menyelamat. Doakanlah untuk mangsa kemalangan dan pasukan penyelamat. Doakan juga untuk diri kita, kenderaan kita, diri pengguna jalan raya yang lain serta kenderaan mereka.

Memberi bukan semata-mata dalam bentuk material. Berikan laluan kepada pemandu yang kelihatan mahu lekas dan memohon izin untuk melintas. Kita tidak tahu apa yang ada dalam minda mereka. Mungkin mereka baru mendapat berita kematian ahli keluarga atau urusan lain yang segera. Doakan dan doakan terus biarpun kita tidak mengenali mereka.

Anda pasti berasa kemanisan memberi itu lebih daripada kita menerima. Allah tidak pernah buta. Dia akan menambah apa yang kurang, menggandakan apa yang sudah ada. Memberilah kepada manusia dan haiwan semampu yang kita ada. Tidak perlu banyak tapi konsisten.

Tuan-tuan, hidup ini bukan hanya untuk diri kita. Dunia ini juga kita kongsi dengan yang lain. Jika kita masih punya kaki, melangkahlah untuk kita saling memberi. Tetapi jika kita sudah tidak punya kaki, senyuman dan doa kita akan menjadi “kaki” kita yang pasti menjanjikan ruang di jannah.

Memberilah…