Total Pageviews

Tuesday, February 14, 2017

Perjalanan Panjang Hujung Minggu



Sebenarnya sejak awal tahun, setiap Sabtu awal pagi, saya akan memandu sendirian mengharungi lebih raya PLUS menuju utara dalam tempoh perjalanan lima jam setengah. Petang Ahad, saya memandu pula ke selatan dan kadangkala tiba di rumah sekitar jam sebelas malam.

Ada seorang rakan, Haji Khambali namanya dan dia seorang rakan yang terlalu baik…tanyanya, “dik…apa yang adik makan sehingga ada kekuatan sedemikian? Saya sendiri yang lelaki ini tidak mampu buat begitu…”

Saya hanya sengih. Saya pun bukan larat. Saya perempuan. Sudah tua. Ada sakit. Bekerja pula.

Memang saya tidak larat sebenarnya. Saya juga tidak ambil suplimen. Saya membelinya untuk mak, untuk anak, untuk kucing. Mereka lebih memerlukan suplimen daripada saya. Saya tahu kos minyak dan tol sekarang sangat tinggi. Apa yang saya buat ialah saya akan mengurangkan kehendak2 saya, dan “memberikan” keperluan tersebut kepada tol, minyak dan barang2 mak, anak dan cucu.

Apa kehendak2 saya? Pakaian, makanan? Ya, saya mengurangkannya di situ.

Kulit tangan saya terbakar. Kulit muka juga. Tetapi saya tidak peduli dengan yang fizikal itu. Saya melakukannya sebab kasih sayang dan tanggungjawab. Ibu menjaga kita dulu sebab tanggungjawab, bukan beban. Sekarang kita menjaga ibu sebab tanggungjawab, bukan beban. Cuma kita tidak mampu menjaga ibu kita seperti ibu menjaga kita. Oleh yang demikian, kita lakukannya seada kemampuan. Saya kagum dengan kakak yang di atas saya. Suatu hari saya mendapati beliau sampai menggadaikan barang kemas beliau demi membiayai kos ulang alik menjaga mak usai kerjanya di pejabat. Bayangkan pengorbanan yang dilakukannya. Gajinya bukan banyak, jauh beza dengan gaji yang saya peroleh. Kerjanya tamat jam 6 dan dia berulangan ke kampong dalam kiraan satu jam setengah untuk menjaga mak. Esoknya jam 4 sudah bangun, menyediakan keperluan mak dan jam 5.30 bergerak balik ke Ipoh, solat di pertengahan jalan.

Ketika saya memberikannya wang sedikit (dan saya tidak pulang hujung minggu itu, ertinya kos saya pulang itu saya beri kepadanya)…saya dapati beliau membelikan suplimen untuk mak pula! Sedangkan saya memberinya supaya dia boleh mengisi minyak dan membelikan ubat untuk dirinya yang sudah mula sakit.

Mak mahu adik angkat kami dari Indonesia yang menjaga mak kerana mak sangat cerewet akan kebersihan penyediaan makanan. Pernah saya melihat makanan yang mak bungkus dengan surat khabar di dalam bekas sampah. Bila ditanya, mak kata mak makan. Tetapi mak kelaparan dan sakit.

Kami sangat bersyukur sebab Cah sanggup menjaga mak. Malahan katanya, dia tidak mahu bayaran sebab sudah menganggap mak itu sebagai ibunya sendiri. Malangnya, berlaku sesuatu yang menghalang niat baik kami dan keinginan mak. Kasihan mak. Kasihan kakak saya dan kasihan Cah. Rutin sudah kembali kepada yang asal. Saya hanya mampu berdoa, mak terus sihat, kakak saya juga sihat untuk berulang alik dan Cah juga dilindungi Allah daripada segala dengki khianat manusia.

Dan saya akan melakukan perjalanan rutin saya hujung minggu ini. Saya melupakan kegiatan sastera dan seni yang sepatutnya saya ikuti demi memastikan mak, anak dan cucu saya memperoleh sejahtera.

Keluarga tetap nombor satu.

Kerjaya berada di tangga seterusnya.

No comments: