Total Pageviews

Saturday, December 31, 2016

Himawari Saya


Mingguan Malaysia 25 Disember 2016

Kami fikir demamnya itu hanya sebab mahu tumbuh gigi. Dua gigi kecil muncul di bahagian gusi bawah. Tapi lama kelamaan, saya diserang resah. Demamnya sudah masuk seminggu.

Saya bawanya pulang ke kampung. Malam2 badannya hangat sungguh. Akhirnya pada 29 Disember, saya membawanya ke KPJ Ipoh. Kayyisa disahkan mengalami jangkitan kuman di paru2.

Allah hu. Gantikan kesakitan Kayyisa dengan saya, saya memohon begitu. Kasihan melihat dia. Saya hubungi papanya yang mengambil ETS dari KL ke Ipoh. Mujur juga saya masukkan dia ke hospital di Ipoh. Adik beradik saya, kaum keluarga, saling mengambil berat meringankan beban.

Pada Jumaat petang, 30 hb Disember, Kayyisa menerima jambangan besar. Ada bunga, coklat, buah, anak patung. Kiriman itu daripada YAB Menteri Besar Perak dan isteri. Pah mendapat tahu daripada grup kami, bekas mahasiswa/i penulisan kreatif deskriptif UM yang tidak ramai itu. Kami memang saling berhubung.

Kayyisa dimasukkan air dan antibiotik. Juga diberikan gas untuk batuk dan kahak.

Kayyisa kehilangan berat badan dan selera makan.

Melayani kesakitannya, saya hampir lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan2 yg mengucap tahniah atas terbitnya sajak panjang saya di akhbar. Juga ketika gambar saya dan MB serta isteri terbit di akhbar. Sebenarnya waktu dlm perjalanan pulang ke kg, sekitar jan sebelas mlm, ada wartawan yg menelefon dan minta foto saya dan isteri MB.

Apa pun, saya cuba sedaya upaya, menemani cucu dan bergegas ke kg untuk melihat mak yang tidak sihat.

Moga matahari dan bunga matahari kecil saya segera sembuh.

Kedua2nya.

Sebab mereka adalah kekuatan saya yg dipinjamkan Illahi.

Wednesday, December 21, 2016

Sesi Bersama Saya





17 Disember 2016, Sabtu. Saya mengambil Nurin, anak gadis Ila, teman sekerja dari jabatan berbeza. Kemudian langsung ke Kajang mengambil si sulung dan cucu menuju ke PWTC berpandukan GPS kereta. Agak lama saya tidak memandu ke kota raya. Biasanya si bongsu yang memandu. Setelah dia bekerja dan tinggal jauh, saya kena ke mana-mana sendirian.

Ini barangkali kali pertama, si sulung ikut dalam acara sastera. Selalunya memang si bongsu sahaja yang biasa dikenali rakan-rakan sebab dia yang rajin menemani saya. Saya diundang oleh UUM Press dalam Sesi Bersama Penulis yang diadakan di Bilik Kelantan PWTC sempena Ekspo Buku Malaysia 2016.

Parkir penuh. Saya nekad sahaja parkir di tepi. Itu pun barangkali memang rezeki saya. Berdoa saya ketika solat zuhur di surau PWTC agar tiada yang menyaman. Kuala Lumpur kebasahan oleh hujan yang turun. Manusia sesak, segerombolan demi segerombolan pemuda pemudi berpakaian cosplay, seperti watak-watak dalam komik/filem animasi berebut ruang jalan dengan pengunjung ke ekspo. Saya biasa melihat semua itu sebab saya ikut membaca komik dan sesekali menonton juga filem animasi daripada komputer si bongsu.

Staf UUM Press menyambut mesra. Sungguh berbudi sekali. Saya membawa bersama dua puluh ole-ole yang saya akan beri kepada yang membeli kumpulan puisi Benarlah Katamu atau yang sudi membacakan puisi daripada buku tersebut. Sebagsi tanda menghargai. Begitu.

Saudara Amran, suami Dr Faiziah mengulas sajak-sajak dalam kumpulan puisi tersebut. Kemudian saya menjemput Abangcik Zainal Abas (Kasajiza A.S), juruhebah popular RTM suatu ketika dahulu untuk memulakan acara baca puisi. Saya juga membacakan puisi untuk Kayyisa (Selamat Datang Cucuku) dan untuk si sulung sempena hari lahirnya yang ke-26 keesokan hari (Atika Laila, Saat Kusebut Namamu). Seorang demi seorang ikut membaca. Salah seorang daripadanya, Dr Zamiyah (?) saya lupa namanya, mengesat air mata selepas selesai membaca Namanya Mariam. “Saya sebak…” ujarnya.

Memang saya tujukan kumpulan puisi ini untuk mak, Hajah Mariam @ Absah. Ada lima sajak untuk mak, tiga untuk allahyarham ayah, dua untuk anak dan satu buat cucu. Tema lain merangkumi isu alam sekitar, kemanusiaan, Palestina, Rohingya, perjuangan hidup, perpaduan dan sebagainya. Saya kira kumpulan yang ini lebih baik daripada kumpulan puisi yang pertama. Sebabnya lapan daripadanya memenangi hadiah sastera sama ada di peringkat nasional atau negeri. Sebahagian daripadanya juga merupakan sajak-sajak yang pernah tersiar di media.

Usai majlis yang berlangsung dari jam 3-5 petang, saya mencari-cari Kayyisa. Cemas. “Di dalam”, kata mamanya. Saya masuk ke Bilik Kelantan. Ya ampun…Kayyisa sedang dikerumuni staf UUM Press, berganti dari satu tangan ke satu tangan. Dia kurang sihat tetapi masih ramah tamah tersenyum melayani uncle dan auntie. Sebenarnya dari dalam surau lagi, ada yang bergambar dengannya. Ada seorang ibu hamil yang berkata, mahu anaknya “kenan” Kayyisa…Aduh!

Saya gelisah sebab jam sudah 6.15 dan kami belum asar. Saya perlu cepat keluar dari KL untuk mengelakkan kesesakan dan cuaca buruk yang boleh menjejaskan capaian GPS. Akhirnya dengan Bismillah, saya memandu keluar kota. Tuhan membantu saya. Mungkin sebab saya membawa Kayyisa. Alhamdulillah. Kami sempat asar yang terlalu hujung, di surau KFC Semenyih. Semua orang sudah lapar. Tiada pilihan melainkan berhenti sahaja di tempat yang saya biasa pergi.

Dan esoknya saya tidak tahu bahawa ada sesuatu yang akan berlaku.

Sehinggalah di sebuah restoran di PD, saat mahu menyambut hari lahir si sulung, saya tiba-tiba berasa sakit di belakang sebelah kiri, sakit yang tidak tertahan, langsung menyebabkan saya tidak boleh bercakap kerana nafas yang tersekat. Ketika bangun untuk ke kereta, sekali lagi saya tergamam. Darah meluncur laju dan bertompokan di simen. Tangan dan kaki saya dipenuhi darah. Tuhan memberikan saya kekuatan untuk memandu pulang, membatalkan sambutan hari lahir si sulung. Saya kata, “jangan bimbang, jika tidak boleh, ibu akan berhenti di tepi jalan dan kakak ambil alih memandu”. Dia meminta untuk memandu tetapi saya kasihankan Kayyisa. Sampai di rumah, saya membersihkan diri, menukar pakaian dan menghantar mereka ke Kajang.

Dua hari saya berehat. Tidak berbuat apa-apa. Dua hari itu sangat menyiksakan. Saya tidak biasa terbaring. Simba, dengan kelaziman setianya haiwan, menemani saya. Mengurut, mencium-cium dan baring di sisi. Yang empat ekor lagi hanya sesekali menjenguk tetapi jantan manja ini tidak berganjak kecuali jika mahu ke tandas dan makan.

Begitulah. Haiwan juga tahu erti membalas budi. Mengerti akan makna kasih sayang. Berasa pelik dengan keluarbiasaan ibu manusianya ini. Bulus oren dengan mata kemerah-merahan yang diwarisinya daripada sang bapa, adalah bukti bahawa haiwan juga memiliki perasaan dan belas kasihan.

Penat. Tiada rehat. Memaksa keterbatasan kudrat. Lupa ada penyakit serius. Stres.

Baiklah. Itu antara teorinya.

Sebab utamanya hanya Tuhan dan saya sahaja yang tahu!

Monday, December 12, 2016

Alhamdulillah menang lagi...







Pada 8 Disember 2016 alhamdulillah saya menerima Hadiah Karya Darul Ridzwan V (untuk karya tahun 2014-2015). Saya menang dua kategori iaitu cerpen Kumulonimbus yang disiarkan oleh Dewan Sastera (bulannya saya kurang ingat) dan kategori sajak Benarlah Katamu yang disiarkan di akhbar MM. sajak ini pernah memenangi kategori sajak dalam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2014.

Mulanya saya fikir Hingyaku yang menang sebab cerpen ini sudah dua kali memenangi hadiah sastera bertaraf nasional.Tetapi tiada rezeki untuk Hingyaku meskipun isu Rohingya sedang hangat diperkatakan oleh massa. Sepanjang yang saya tahu, anugerah sastera di negeri saya itu yang paling tinggi setakat ini. Saya menerima 4 ribu untuk dua kategori tersebut. Itu eceran, kalau yang tinggi-tinggi, pasti lebih bagus lagi hadiahnya. Mungkin kami beruntung sebab MB dan isterinya memang orang sastera. Isterinya itu yang biasa saya panggil Pah (dalam percakapan biasa, bukan di khalayak) lulusan penulisan kreatif dan deskriptif, sekelas dengan saya. Maka pada malam tersebut, MB pun bertanya sama ada saya sahabat isterinya (beliau tidak ingat muka saya yang selalu menemani isterinya tatkala mereka sedang bercinta). Kemudian, bisinglah beliau memberitahu semua orang siapa saya. Seperti selebritilah kononnya ketika lensa kamera semua menghala ke arah kami. Hmmm...saya yang biasanya menyorok dan melarikan diri (bimbang dikata orang mengambil kesempatan), hanya pasrah.

Kali ini PULARA 7 sangat ramai peserta dalam dan luar negara. Sekitar 400 begitu. Jadi, kami duduk merata-rata. Kadang-kadang ada makan, kadang-kadang beli makanan sendiri. Tidak mengapalah. Tak terdaya urus setia untuk memuaskan hati semua orang. Berbanding HSDR lV, pemenang diraikan dalam majlis. Kali ini saya ketinggalan semuanya. Saya tidak dijemput. Terlepas pandang barangkali. Oleh sebab si bongsu yang selalu menemani saya, bekerja...maka saya mempelawa Dr Faiziah menggantikan tempatnya setelah saya menghubungi Pak Malim sendiri.

Kemudian saya jumpa DS November 2016. Saya baca kritikan cerpen saya Gerabak Satu Tiga oleh Dr Ariff. Aduh. Kesal sungguh sebab barangkali khilaf saya atau Dr Arif tidak perasan bahawa cerpen yang terbahagi kepada dua bahagian itu sebenarnya berlaku dalam masa satu hari! Pagi saya naik gerabak satu (untuk ke hospital, HUKM sebenarnya), bahagian dua sebelah petang saya naik gerabak tiga untuk pulang ke stesen Seremban dari terminal BTS. Kejadian dalam gerabak satu itu menyebabkan saya terbabas sehingga ke Stesen Seputih. Dan kalau pembaca yang membaca itu pengidap kanser, mereka mesti tahu yang nama ubat yang saya tulis itu ialah ubat hormon kanser!

Nampaknya untuk cerpen itu, meskipun tulisnya "sangat menyentuh perasaan" tetapi saya tahu ada sesuatu yang saya kena betulkan jika mahu menulis cerpen lagi.

Di PULARA 7, saya seronok dapat jumpa Pak Baharudin Kahar (Senjakala) walaupun hanya sehari sahaja Pak Bahar di Pangkor. Sempat juga berbual dengan kak Salmiah Ismail, Usman Gumanti dan Kak Rosmiaty suami isteri. Perbualan sekitar dunia sastera sangat seronok jika kena dengan kelompoknya.

Apa pun saya gembira sebab niat mahu membawa dan memperkenalkan Dr faiziah kepada dunia saya itu menjadi kenyataan.

Saya beritahunya, dunia apa pun sama sahaja. Ada sisi hitam dan putih. Begitu juga dengan dunia sastera. Lihat, perhatikan dan nilailah sendiri. Yang bobrok, di mana-mana pun ada. Yang penting, dengan siapa kita berada, kelompok yang kesenimanannya tulen atau yang menjadikan dunia sastera sebagai batu loncatan, dengan kepalsuan yang memutih seperti ombak.

Pilih sajalah. Kita yang menentukannya.


Sunday, December 4, 2016

Benda Kecil Pun Gembira

Rasanya lama betul saya tidak menulis. Lama sungguh tidak bersiaran di media. Lama.

Saya macam sibuk sangat. Sebenarnya tidaklah sibuk benar. Saya "memecah-belahkan" badan dan jiwa saya kepada beberapa bahagian. Saya seperti superman yang terbang ke sana sini. Cuma saya tidaklah memakai seluar dalam di luar macam superman.

Sudah tentu saya ke sana sini dengan kudrat yang terbatas. Tetapi saya seronok.Saya heret kaki saya perlahan-lahan. Saya tetap memandu dalam jarak yang jauh. Menyelesaikan dan mengurus apa-apa yang tiba-tiba menjelma di hadapan muka. Kadang-kadang macam bela hantu raya. Baru sekejap di sana, tiba-tiba sudah ada di sini. Begitulah sementara Allah masih meminjamkan nyawa.

Keseronokan saya berganda ketika mendapati cucu saya sudah pandai meratib ketika kita mengajarnya menyebut kalimah Allah. Sekali ajar sahaja sudah pandai menggoyangkan badan.Alhamdulillah. Janganlah pula dia menggoyangkan badan ketika mendengar lagu dangdut!

Kemudian saya dapati ada sehelai rumput kecil yang muncul daripada sekumpulan rumput kering untuk kucing. Oleh sebab sudah dua minggu, semua rumput yang berbaki sudah kering, menjadi tempat persembunyian Simba ketika bergolek-golek dengan kakak berlainan ibu, Milo. Tiba-tiba saya melihat ada sesuatu yang hijau segar tumbuh di celahan rumput yang kering.Seronok sekali hati saya melihat rumput kecil itu. Daya juangnya. Ya, dia berjuang untuk hidup di tengah-tengah kematian!

Demikianlah bagaimana Allah menggembirakan hati kita meskipun untuk hal-hal yang sekecil itu.

Alhamdulillah.