Total Pageviews

Thursday, June 23, 2016

Antara Langit dan Bumi

Di media sosial, saya banyak membaca kes penderitaan orang di negara saya ini. Kemudian saya juga melihat ramai orang memuatnaik gambar makanan, atau gambar berbuka puasa di hotel dan restoran mewah.

Saya berasa sangat menderita melihat dua kes yang kontradik ini.

Ketika ada anak-anak sebuah keluarga yang kelaparan sehingga masih tidak berbuka puasa sekitar jam delapan malam, ada seorang lelaki keturunan tionghua membawa mereka ke restoran dan belanja mereka makan sepuas hati. Ada juga nenek yang memelihara enam cucu dalam pondok yang sangat daif, tanpa sebarang bantuan kewangan disebabkan anak-anak itu tiada kad pengenalan. Ada juga ibu tua yang memelihara anak-anaknya yang cacat, tanpa bekalan api dan air, mengharapkan belas ihsan jiran-jiran yang bukan terdiri daripada golongan senang.

Dan mereka berpuasa!

Di laman muka buku khasnya, setiap hari saya melihat orang memuatnaik gambar makanan yang enak. Bukan tidak boleh tetapi berpada-padalah sebab ibadah ini bukan meraikan pesta makanan atau beli belah. Jangan tersasar daripada landasan ajaran sebenar. Puasa itu hakikatnya kenapa? Apa maksud yang tersirat? Allah tidak menyuruh kita makan melebihi apa yang biasa kita makan. Saya melatih anak begitu. Sekali sekala bolehlah kuih tetapi makanlah apa yang biasa kita makan dan minum. Maknailah hikmah sebenar amalan puasa yang disuruh Allah. Rasai nikmat berbuka seperti yang dirasai orang susah.

Kita telah mengelirukan orang bukan Islam. Merosakkan imej kita juga. Lama-lama kawan-kawan kita yang bukan Islam akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan apa yang sebenarnya.

Ramadan kareem. Allah hu akram.

Tuesday, June 21, 2016

Memburu Rahmatnya Malam

Ramadan kali ini seakan lekas sangat berlalu. Kesibukan kali ini berganda. Yang ada dalam fikiran saya juga berganda. Oleh sebab itu apabila rakan bertanyakan tentang baju raya dan persediaan raya, saya segera menjawab, " saya tidak sempat berfikir tentang semua itu..."

Ramadan ini saya memilih waktu kerja anjal yang kedua iaitu 8 pagi sehingga jam 4.30 petang. Sesekali saya lari ke Semenyih untuk melawat cucu dan si sulung. Minda saya hampir tujuh puluh peratus berada di kampung. Kasihan emak.

Ya Allah, doa saya. Wanita ini telah mengorbankan seluruh hidupnya untuk membesarkan dan mendidik kami. Beliau telah banyak menderita sejak dalam kandungan ibunya lagi. Berikanlah keampunan, sama ada kesilapannya itu disengajakan atau pun tidak. Ampunilah dia. Sembuhkanlah dia.

Doa saya bertalu-talu menerjah langit Ramadan. Dalam memburu rahmatnya malam-malam Ramadan, saya berharap agar Allah memberikan kesembuhan.

Sunday, June 19, 2016

Puisi Buat Mak

Saya membacakan puisi-puisi saya tentang mak. Puisi-puisi itu saya tulis khas untuk mak dan dibukukan dalam Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, terbitan UUM Press.

"Mak faham tak?" tanya saya setiap kali saya selesai membacakan puisi-puisi itu.

Mak angguk. Saya tidak pasti mak faham atau tidak.

Kata saya, ada puisi yang saya tulis semasa mak sedang sakit teruk. Puisi itu tersiar di Mingguan Malaysia. Selepas mak sudah boleh bangun, saya tulis sebuah lagi puisi.

Saya membaca sambil menerangkan sedikit-sedikit.

Mak kembali sakit. Kasihan mak. Saya dan yang lain mencari di mana boleh bawa mak berubat. Tidak kisahlah di mana. Tidak mampu melihat mak kesakitan.

Sekarang kami masih berikhtiar. Mudah-mudahan mak sihat dan dapat mengerjakan ibadah haji yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi.

mak, bangunlah untuk kembali menjadi matahari!