Total Pageviews

Tuesday, November 8, 2016

Hanyalah Kesementaraan

Heboh tentang isu pengambilan dua buah IPG untuk menjadi Kolej Permata.

Sejak sebelum pembentangan lagi, isu itu sudah saya dengar. Dan macam biasa saya malas mahu peduli lebih-lebih. Namun apabila sudah sah dibentangkan, kemudian saya dapati tiada sebarang pembelaan sewajarnya daripada yang berada di atas-atas itu, matahari hati saya seakan hilang sinarnya sekejap.

Meskipun saya tidak begitu lama di sini, sekitar enam tahun begitu, saya akui bahawa saya menyanyangi tempat ini. Di sini saya kembali mencipta kejayaan, dengan izin Tuhan. Kita selalu terbuai oleh nostalgia. Dan begitulah saya. Beberapa orang menawarkan saya untuk mengisi kekosongan di sebuah institusi yang pernah menaja pengajian sarjana saya, namun saya perlu setia kepada kawan-kawan saya yang masih mahu kekal di sini. Apalah maknanya menyebut tentang kasih sayang tetapi tidak membuktikannya dengan perbuatan? Kecuali jika nanti kami diarahkan membuat pilihan, maka ketika itulah nanti kami akan bertindak.

Saya yakin dengan ketentuan Illahi. Perkhidmatan saya masih berbaki beberapa tahun. Saya menyerahkannya kepada Allah. Saya yakin di mana sahaja Dia meletakkan saya, saya pasti itu adalah yang terbaik.

Saya sayangkan jabatan saya. Kami pernah meraih anugerah jabatan terbaik. Keakraban dan kerjasama seperti sebuah keluarga menjadikan kami selalu berjaya melaksanakan apa sahaja tugas yang diberikan. Meskipun sesekali berkocak, ia hanyalah seperti kocakan air di dalam cawan, yang akhirnya menjadi manis untuk dicicip.

Demikianlah kehidupan. Ada ketikanya, sesiapa pun boleh mohon pamit untuk meninggalkan kita menjadi kenangan manis sepanjang hayat. Kami mungkin akan kehilangan beberapa orang kawan, mungkin sebahagian atau mungkin keseluruhan jabatan!

Tiada yang kekal melainkan semuanya adalah pinjaman daripada Tuhan.

No comments: