Total Pageviews

Monday, February 8, 2016

Seperti Hingya!

Jangan mengambil mudah kelukaan orang lain sebab ada orang yang bijak menyembunyikan kelukaannya...

Saya terjemahkan catatan dalam bahasa asing yang dimuatnaik si bongsu.

Ya. Kami kembali terluka. 24 tahun lalu dia masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Tetapi kemudiannya dia membesar dengan luka. Dia lekas memahami makna air mata atau awan murung di muka orang. Sembunyilah bagaimana pun, dia cepat menangkapnya.

Saya selalu beritahu dia bahawa sebanyak mana saya katakan bahawa saya memahaminya, sebenarnya saya langsung tidak dapat “menghayati” lukanya dalam definisi sebenar sebab saya punya ayah yang meskipun tegas tetapi sentiasa ada di hadapan mata.

Sekarang pun dia ada Daddy yang menjadi pengganti tetapi bolehkah lukanya sembuh seperti sedia kala?

Itu sebabnya apabila adik-adik sepupunya terluka, dia turut merasa. Saya melihat dengan jelas, matanya yang bengkak. Saya tidak tahu di mana dia bersembunyi dan menangis. Dia sangat bijak untuk yang ini. Tetapi tidak cukup bijak menyembunyikan mata dan hidungnya yang merah menyala.

Kami sebenarnya individu bahaya. Anak-anak saya persis saya. Bukan jenis peramah dan bijak bersosialisasi, yang bising-bising ketawa atau marah-marah. Ketidakpuasan hati banyak tertumpah di halaman kertas, menjadi tulisan dan lakaran komik. Kenapa bahaya? Tahu gunung merapi pendam? Sekali dia muntah, laharnya boleh memusnahkan kehidupan. Atau kadangkala turut membakar diri sendiri. Saya adalah contoh yang bagus.

Ada orang yang kata, kenapa lebih-lebih? Bukan kena kepada kamu pun? Orang berkenaan nampak Ok sahaja...

Anda tahu hatinya yang remuk redam? Anda tahu bagaimana hatinya pecah berderai sehingga tidak mungkin dapat dicantumkan kembali? Anda tahu bahawa lukanya itu berdarah sehingga hujung nyawa? Anda tahu bagaimana dia meraung dalam sunyi malam? Tiada siapa yang melompat-lompat kesukaan ketika dikhianati orang tersayang!

Itu sebab jangan mengambil mudah kelukaan dan kesakitan orang. Kita tidak pernah melaluinya, jadi jangan pandai-pandai mendakwa bahawa kita sangat faham. Ada orang yang pandai berlakon untuk menutup lupanya terhadap dialog.

Menyebut mengenai lakonan ini, saya jadi hairan. Saya berlakon di pentas tetapi saya gagal menjadi pelakon di dunia realiti ketika berhadapan dengan lelaki hipokrit dan perempuan desperado pada hari itu!

Dan nampaknya si bongsu saya mewarisi kegagalan tersebut! Cuma dia tidak pernah menjadi pelakon di pentas!

Saya kembali ke bandar tempat saya menumpang duduk dengan hujan air mata simpati. Dan hujan di luar bersama angin sesekali menampar-nampar cermin kereta saya.

Menampar juga hati saya sehingga berasa pedih dan sakit.

Moga Mar menjadi perempuan berani yang gagah menentang halilintar dan guruh bergegar.

Seperti saya. Seperti perempuan-perempuan yang hebat dan tangkas di luar sana. Seperti Hingya dalam Hingyaku!

No comments: