Total Pageviews

Tuesday, February 16, 2016

Radio Tidak Rosak Pun


Terpelanting kopiah pak haji ini jumpa si Ella

Selalunya siaran radio akan bersiaran dengan lancar jika frekuensinya bagus. Atau baterinya masih kuat (jika radio tersebut menggunakan bateri). Namun demikian jika radio anda rosak, puncanya apa? Barangkali disebabkan hayatnya yang sudah lama atau wayar-wayar di dalamnya sudah terbakar.

Radio saya mendakwa bahawa dia sudah tidak seperti dahulu. Ertinya sudah “sedikit” pendiam. Sudah rosak, katanya.

Saya sebenarnya tidak percaya dan yakin akan pengakuannya itu. Sebabnya dia menjadi radio rosak dalam masa tidak sampai sepuluh minit. Selepas itu baterinya dicaj semula dan dia mula bercerita tanpa henti .

Selain kisah yang berkisar dengan info yang diperoleh daripada majlis-majlis ilmu di masjid (dan kadang-kadang menguji saya juga dengan soalan-soalan berkaitan agama), dia bernostalgia pula malam ini.

“Antara anak Cikgu Kassim, abang yang paling nakal. Suatu hari abang nampak kayu-kayu yang diletakkan di masjid dan abang ambil untuk dibuat senapang. Bapa nampak dan bertanyakan di mana abang dapat kayu-kayu yang cantik itu. Abang memberitahunya bahawa itu kayu di masjid. Nak tahu apa yang terjadi? Serentak dengan pengakuan abang itu, bapa memukul belakang abang dengan kayu tersebut. Demam dua hari, Yang”, katanya dengan mimik muka bersungguh-sungguh.

“Kadang-kadang kami bermain sorok-sorok. Kawan abang menyorok sampai tertidur. Abang pun mengikat tangan kawan tersebut. Maghrib, kami pun balik ke rumah meninggalkan kawan dengan tangan terikat. Semua orang bising, emaknya sudah menangis-nangis. Orang-orang bersedia untuk gerakan mencari. Kemudian baru abang ingat yang kawan abang itu terikat. Perlahan-lahan abang dan adik abang pergi melepaskan ikatan. Nasib kami baik sebab budak itu masih lena. Selepas itu kami memberitahu emaknya di mana lokasi anaknya itu. emaknya sangat gembira sebab katanya anaknya itu akhirnya dijumpai selepas disorok hantu. Tetapi bapa tahu itu mesti berpunca daripada kenakalan abang. Keesokan malam, emak kawan abang buat kenduri kesyukuran tetapi bapa memanggil kami dan tidak membenarkan kami pergi. Apa lagi, abang kena tiga rotan, adik abang pun kena juga”, ceritanya sambil ketawa.

Itulah, orang tua lebih tahu masinnya garam sebab mereka sudah melalui semua pengalaman. Mereka tahu meneka daripada gerak mata, riak wajah dan perlakuan kita. Ada sense (naluri) yang membisikkan. Mereka bukan nujum pak belalang tetapi menjadi serba tahu dek pengalaman. Sama juga seperti kita sekarang. Meskipun anak-anak kita tidak memberitahu, tetapi daripada gerak rasa nubari kita sebagai ibu bapa, melihat pula wajah anak, mengintai matanya, biasanya kita akan dapat mengesan sesuatu yang kurang kena.

Sesi bernostalgia selesai, tetapi saya kena menadah telinga mendengar “ceramah” radio saya itu sepanjang beberapa jam. Oleh sebab saya pun ada naluri nakal, saya suka menyanggah pendapatnya. Kadangkala sengaja mengajukan soalan untuk melihat gaya dia menjawab.

Nampaknya radio saya sebenarnya tidak rosak tetapi hanya berhenti sekejap siarannya sebab frekuensi lemah disebabkan gangguan cuaca.

Aduh!

No comments: