Total Pageviews

Tuesday, February 9, 2016

Joni Yang Sunyi



Saya selalu nampak Joni.

Dia peramah. Selalu gembira kalau nampak ramai orang lalu lalang. Dia akan menghampiri dengan ekornya bergoyang-goyang tanda mahu bersahabat. Ada yang sukakan Joni. Tetapi ada juga yang menempik-nempik si putih itu. Kelmarin seorang mak cik India memarahi Joni sebab datang hampir sangat dengannya.

Joni anjing putih yang terluka. Saya tanyakan auntie pekedai berapa hari kedainya akan ditutup. Katanya dua hari sahaja untuk sambut Tahun Baharu Monyet. Saya tanyakan hal Joni. Siapa yang akan memberikannya makanan sepanjang dua hari itu. "Tak apa, ramai orang Melayu yang bagi dia makan..." begitu auntie itu menjawab.

Waktu mahu bergerak ke kampung, bersama anak dan anak saudara, saya teringat Joni. Hari Isnin dan Selasa, kedai ditutup. Joni akan kesunyian. Tiada orang yang lalu lalang. Entah ada atau tidak makanan untuk anjing kurus yang luka tetapi periang itu.

"Belok ke kedai" kata saya kepada anak yang memandu.

Sampai di kedai, kami nampak Joni sedang duduk sendirian seakan termenung jauh. Memang sunyi, tiada sesiapa di situ. Kasihan Joni. Tiada auntie India yang marah sayang, tiada pak cik pembantu kedai yang bersorak kepadanya. Saya turun meletakkan makanan. Dia datang dekat menghidu tetapi kembali ke tempat duduknya yang asal. Mukanya sedih betul. Mungkin juga lukanya menjadikan dia tidak sihat.

Sedihnya menjadi Joni. Si putih yang kesunyian dan terluka. Hidupnya sendiri. Orang bercuti dan Joni kesedihan.

Waktu pulang ke bandar tempat saya menumpang duduk, saya tidak nampak kelibat Joni.

"Joni di mana?" tanya saya.

Auntie pekedai itu merenung saya lama. "Joni? Siapa itu?"

Oh Oh...saya yang memberikan namanya Joni. Nama klasik. Tiada siapa pun yang tahu namanya Joni.

Joni ke belakang sebentar. Sebentar kemudian dia datang dengan ekornya yang terkodek-kodek. Joni sudah kembali riang, meskipun lukanya masih belum sembuh.

Orang sudah balik bercuti. Joni sudah ada kawan semula.