Total Pageviews

Saturday, December 31, 2016

Himawari Saya


Mingguan Malaysia 25 Disember 2016

Kami fikir demamnya itu hanya sebab mahu tumbuh gigi. Dua gigi kecil muncul di bahagian gusi bawah. Tapi lama kelamaan, saya diserang resah. Demamnya sudah masuk seminggu.

Saya bawanya pulang ke kampung. Malam2 badannya hangat sungguh. Akhirnya pada 29 Disember, saya membawanya ke KPJ Ipoh. Kayyisa disahkan mengalami jangkitan kuman di paru2.

Allah hu. Gantikan kesakitan Kayyisa dengan saya, saya memohon begitu. Kasihan melihat dia. Saya hubungi papanya yang mengambil ETS dari KL ke Ipoh. Mujur juga saya masukkan dia ke hospital di Ipoh. Adik beradik saya, kaum keluarga, saling mengambil berat meringankan beban.

Pada Jumaat petang, 30 hb Disember, Kayyisa menerima jambangan besar. Ada bunga, coklat, buah, anak patung. Kiriman itu daripada YAB Menteri Besar Perak dan isteri. Pah mendapat tahu daripada grup kami, bekas mahasiswa/i penulisan kreatif deskriptif UM yang tidak ramai itu. Kami memang saling berhubung.

Kayyisa dimasukkan air dan antibiotik. Juga diberikan gas untuk batuk dan kahak.

Kayyisa kehilangan berat badan dan selera makan.

Melayani kesakitannya, saya hampir lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan2 yg mengucap tahniah atas terbitnya sajak panjang saya di akhbar. Juga ketika gambar saya dan MB serta isteri terbit di akhbar. Sebenarnya waktu dlm perjalanan pulang ke kg, sekitar jan sebelas mlm, ada wartawan yg menelefon dan minta foto saya dan isteri MB.

Apa pun, saya cuba sedaya upaya, menemani cucu dan bergegas ke kg untuk melihat mak yang tidak sihat.

Moga matahari dan bunga matahari kecil saya segera sembuh.

Kedua2nya.

Sebab mereka adalah kekuatan saya yg dipinjamkan Illahi.

Wednesday, December 21, 2016

Sesi Bersama Saya





17 Disember 2016, Sabtu. Saya mengambil Nurin, anak gadis Ila, teman sekerja dari jabatan berbeza. Kemudian langsung ke Kajang mengambil si sulung dan cucu menuju ke PWTC berpandukan GPS kereta. Agak lama saya tidak memandu ke kota raya. Biasanya si bongsu yang memandu. Setelah dia bekerja dan tinggal jauh, saya kena ke mana-mana sendirian.

Ini barangkali kali pertama, si sulung ikut dalam acara sastera. Selalunya memang si bongsu sahaja yang biasa dikenali rakan-rakan sebab dia yang rajin menemani saya. Saya diundang oleh UUM Press dalam Sesi Bersama Penulis yang diadakan di Bilik Kelantan PWTC sempena Ekspo Buku Malaysia 2016.

Parkir penuh. Saya nekad sahaja parkir di tepi. Itu pun barangkali memang rezeki saya. Berdoa saya ketika solat zuhur di surau PWTC agar tiada yang menyaman. Kuala Lumpur kebasahan oleh hujan yang turun. Manusia sesak, segerombolan demi segerombolan pemuda pemudi berpakaian cosplay, seperti watak-watak dalam komik/filem animasi berebut ruang jalan dengan pengunjung ke ekspo. Saya biasa melihat semua itu sebab saya ikut membaca komik dan sesekali menonton juga filem animasi daripada komputer si bongsu.

Staf UUM Press menyambut mesra. Sungguh berbudi sekali. Saya membawa bersama dua puluh ole-ole yang saya akan beri kepada yang membeli kumpulan puisi Benarlah Katamu atau yang sudi membacakan puisi daripada buku tersebut. Sebagsi tanda menghargai. Begitu.

Saudara Amran, suami Dr Faiziah mengulas sajak-sajak dalam kumpulan puisi tersebut. Kemudian saya menjemput Abangcik Zainal Abas (Kasajiza A.S), juruhebah popular RTM suatu ketika dahulu untuk memulakan acara baca puisi. Saya juga membacakan puisi untuk Kayyisa (Selamat Datang Cucuku) dan untuk si sulung sempena hari lahirnya yang ke-26 keesokan hari (Atika Laila, Saat Kusebut Namamu). Seorang demi seorang ikut membaca. Salah seorang daripadanya, Dr Zamiyah (?) saya lupa namanya, mengesat air mata selepas selesai membaca Namanya Mariam. “Saya sebak…” ujarnya.

Memang saya tujukan kumpulan puisi ini untuk mak, Hajah Mariam @ Absah. Ada lima sajak untuk mak, tiga untuk allahyarham ayah, dua untuk anak dan satu buat cucu. Tema lain merangkumi isu alam sekitar, kemanusiaan, Palestina, Rohingya, perjuangan hidup, perpaduan dan sebagainya. Saya kira kumpulan yang ini lebih baik daripada kumpulan puisi yang pertama. Sebabnya lapan daripadanya memenangi hadiah sastera sama ada di peringkat nasional atau negeri. Sebahagian daripadanya juga merupakan sajak-sajak yang pernah tersiar di media.

Usai majlis yang berlangsung dari jam 3-5 petang, saya mencari-cari Kayyisa. Cemas. “Di dalam”, kata mamanya. Saya masuk ke Bilik Kelantan. Ya ampun…Kayyisa sedang dikerumuni staf UUM Press, berganti dari satu tangan ke satu tangan. Dia kurang sihat tetapi masih ramah tamah tersenyum melayani uncle dan auntie. Sebenarnya dari dalam surau lagi, ada yang bergambar dengannya. Ada seorang ibu hamil yang berkata, mahu anaknya “kenan” Kayyisa…Aduh!

Saya gelisah sebab jam sudah 6.15 dan kami belum asar. Saya perlu cepat keluar dari KL untuk mengelakkan kesesakan dan cuaca buruk yang boleh menjejaskan capaian GPS. Akhirnya dengan Bismillah, saya memandu keluar kota. Tuhan membantu saya. Mungkin sebab saya membawa Kayyisa. Alhamdulillah. Kami sempat asar yang terlalu hujung, di surau KFC Semenyih. Semua orang sudah lapar. Tiada pilihan melainkan berhenti sahaja di tempat yang saya biasa pergi.

Dan esoknya saya tidak tahu bahawa ada sesuatu yang akan berlaku.

Sehinggalah di sebuah restoran di PD, saat mahu menyambut hari lahir si sulung, saya tiba-tiba berasa sakit di belakang sebelah kiri, sakit yang tidak tertahan, langsung menyebabkan saya tidak boleh bercakap kerana nafas yang tersekat. Ketika bangun untuk ke kereta, sekali lagi saya tergamam. Darah meluncur laju dan bertompokan di simen. Tangan dan kaki saya dipenuhi darah. Tuhan memberikan saya kekuatan untuk memandu pulang, membatalkan sambutan hari lahir si sulung. Saya kata, “jangan bimbang, jika tidak boleh, ibu akan berhenti di tepi jalan dan kakak ambil alih memandu”. Dia meminta untuk memandu tetapi saya kasihankan Kayyisa. Sampai di rumah, saya membersihkan diri, menukar pakaian dan menghantar mereka ke Kajang.

Dua hari saya berehat. Tidak berbuat apa-apa. Dua hari itu sangat menyiksakan. Saya tidak biasa terbaring. Simba, dengan kelaziman setianya haiwan, menemani saya. Mengurut, mencium-cium dan baring di sisi. Yang empat ekor lagi hanya sesekali menjenguk tetapi jantan manja ini tidak berganjak kecuali jika mahu ke tandas dan makan.

Begitulah. Haiwan juga tahu erti membalas budi. Mengerti akan makna kasih sayang. Berasa pelik dengan keluarbiasaan ibu manusianya ini. Bulus oren dengan mata kemerah-merahan yang diwarisinya daripada sang bapa, adalah bukti bahawa haiwan juga memiliki perasaan dan belas kasihan.

Penat. Tiada rehat. Memaksa keterbatasan kudrat. Lupa ada penyakit serius. Stres.

Baiklah. Itu antara teorinya.

Sebab utamanya hanya Tuhan dan saya sahaja yang tahu!

Monday, December 12, 2016

Alhamdulillah menang lagi...







Pada 8 Disember 2016 alhamdulillah saya menerima Hadiah Karya Darul Ridzwan V (untuk karya tahun 2014-2015). Saya menang dua kategori iaitu cerpen Kumulonimbus yang disiarkan oleh Dewan Sastera (bulannya saya kurang ingat) dan kategori sajak Benarlah Katamu yang disiarkan di akhbar MM. sajak ini pernah memenangi kategori sajak dalam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2014.

Mulanya saya fikir Hingyaku yang menang sebab cerpen ini sudah dua kali memenangi hadiah sastera bertaraf nasional.Tetapi tiada rezeki untuk Hingyaku meskipun isu Rohingya sedang hangat diperkatakan oleh massa. Sepanjang yang saya tahu, anugerah sastera di negeri saya itu yang paling tinggi setakat ini. Saya menerima 4 ribu untuk dua kategori tersebut. Itu eceran, kalau yang tinggi-tinggi, pasti lebih bagus lagi hadiahnya. Mungkin kami beruntung sebab MB dan isterinya memang orang sastera. Isterinya itu yang biasa saya panggil Pah (dalam percakapan biasa, bukan di khalayak) lulusan penulisan kreatif dan deskriptif, sekelas dengan saya. Maka pada malam tersebut, MB pun bertanya sama ada saya sahabat isterinya (beliau tidak ingat muka saya yang selalu menemani isterinya tatkala mereka sedang bercinta). Kemudian, bisinglah beliau memberitahu semua orang siapa saya. Seperti selebritilah kononnya ketika lensa kamera semua menghala ke arah kami. Hmmm...saya yang biasanya menyorok dan melarikan diri (bimbang dikata orang mengambil kesempatan), hanya pasrah.

Kali ini PULARA 7 sangat ramai peserta dalam dan luar negara. Sekitar 400 begitu. Jadi, kami duduk merata-rata. Kadang-kadang ada makan, kadang-kadang beli makanan sendiri. Tidak mengapalah. Tak terdaya urus setia untuk memuaskan hati semua orang. Berbanding HSDR lV, pemenang diraikan dalam majlis. Kali ini saya ketinggalan semuanya. Saya tidak dijemput. Terlepas pandang barangkali. Oleh sebab si bongsu yang selalu menemani saya, bekerja...maka saya mempelawa Dr Faiziah menggantikan tempatnya setelah saya menghubungi Pak Malim sendiri.

Kemudian saya jumpa DS November 2016. Saya baca kritikan cerpen saya Gerabak Satu Tiga oleh Dr Ariff. Aduh. Kesal sungguh sebab barangkali khilaf saya atau Dr Arif tidak perasan bahawa cerpen yang terbahagi kepada dua bahagian itu sebenarnya berlaku dalam masa satu hari! Pagi saya naik gerabak satu (untuk ke hospital, HUKM sebenarnya), bahagian dua sebelah petang saya naik gerabak tiga untuk pulang ke stesen Seremban dari terminal BTS. Kejadian dalam gerabak satu itu menyebabkan saya terbabas sehingga ke Stesen Seputih. Dan kalau pembaca yang membaca itu pengidap kanser, mereka mesti tahu yang nama ubat yang saya tulis itu ialah ubat hormon kanser!

Nampaknya untuk cerpen itu, meskipun tulisnya "sangat menyentuh perasaan" tetapi saya tahu ada sesuatu yang saya kena betulkan jika mahu menulis cerpen lagi.

Di PULARA 7, saya seronok dapat jumpa Pak Baharudin Kahar (Senjakala) walaupun hanya sehari sahaja Pak Bahar di Pangkor. Sempat juga berbual dengan kak Salmiah Ismail, Usman Gumanti dan Kak Rosmiaty suami isteri. Perbualan sekitar dunia sastera sangat seronok jika kena dengan kelompoknya.

Apa pun saya gembira sebab niat mahu membawa dan memperkenalkan Dr faiziah kepada dunia saya itu menjadi kenyataan.

Saya beritahunya, dunia apa pun sama sahaja. Ada sisi hitam dan putih. Begitu juga dengan dunia sastera. Lihat, perhatikan dan nilailah sendiri. Yang bobrok, di mana-mana pun ada. Yang penting, dengan siapa kita berada, kelompok yang kesenimanannya tulen atau yang menjadikan dunia sastera sebagai batu loncatan, dengan kepalsuan yang memutih seperti ombak.

Pilih sajalah. Kita yang menentukannya.


Sunday, December 4, 2016

Benda Kecil Pun Gembira

Rasanya lama betul saya tidak menulis. Lama sungguh tidak bersiaran di media. Lama.

Saya macam sibuk sangat. Sebenarnya tidaklah sibuk benar. Saya "memecah-belahkan" badan dan jiwa saya kepada beberapa bahagian. Saya seperti superman yang terbang ke sana sini. Cuma saya tidaklah memakai seluar dalam di luar macam superman.

Sudah tentu saya ke sana sini dengan kudrat yang terbatas. Tetapi saya seronok.Saya heret kaki saya perlahan-lahan. Saya tetap memandu dalam jarak yang jauh. Menyelesaikan dan mengurus apa-apa yang tiba-tiba menjelma di hadapan muka. Kadang-kadang macam bela hantu raya. Baru sekejap di sana, tiba-tiba sudah ada di sini. Begitulah sementara Allah masih meminjamkan nyawa.

Keseronokan saya berganda ketika mendapati cucu saya sudah pandai meratib ketika kita mengajarnya menyebut kalimah Allah. Sekali ajar sahaja sudah pandai menggoyangkan badan.Alhamdulillah. Janganlah pula dia menggoyangkan badan ketika mendengar lagu dangdut!

Kemudian saya dapati ada sehelai rumput kecil yang muncul daripada sekumpulan rumput kering untuk kucing. Oleh sebab sudah dua minggu, semua rumput yang berbaki sudah kering, menjadi tempat persembunyian Simba ketika bergolek-golek dengan kakak berlainan ibu, Milo. Tiba-tiba saya melihat ada sesuatu yang hijau segar tumbuh di celahan rumput yang kering.Seronok sekali hati saya melihat rumput kecil itu. Daya juangnya. Ya, dia berjuang untuk hidup di tengah-tengah kematian!

Demikianlah bagaimana Allah menggembirakan hati kita meskipun untuk hal-hal yang sekecil itu.

Alhamdulillah.

Sunday, November 20, 2016

Perjalanan

Kami biasa bergerak malam. Lebih dingin. Namun ada bahayanya juga sebab tiada lelaki. Tetapi setakat ini Alhamdulillah, Allah membantu dan sangat berbelas kasihan. Jika malam dan hujan, biasanya saya yang memandu. Meskipun budak itu masih muda tetapi mata tua saya masih cekap memandu malam-malam yang hujan.

Kebiasaannya juga kami akan singgah di kawasan rehat dan rawat untuk melaksanakan solat jamak. Kemudian makan sedikit. Kalau lewat tiba melepasi jam 1 pagi, saya tidur sahaja dalam kereta di halaman emak. Budak itu biasanya tidak betah lena dalam kereta yang statik.

Meskipun mengantuk, saya biasanya tidak akan lena ketika orang lain memandu.

Selalu juga saya melihat ada kereta yang “sakit” di tepi lebuh raya. Bahaya juga jika demikian. Ada yang sedang bertungkus lumus menukar tayar. Kadang-kadang dalam gerimis.

Memandu jauh, seperti perjalanan hidup kita juga. Ada kalanya lancar dan ada ketikanya terhenti-henti oleh enjin yang rosak atau tayar pancit. Biasanya kita tidak membiarkan kerosakan itu lama-lama. Kita akan berusaha untuk memperbaiki kerosakan atau menggantikannya dengan yang baharu. Atau kadang-kadang kita berhenti bukan sebab rosak tetapi untuk berehat sebentar, membetulkan otak dan otot yang penat.

Cuma kadang-kadang saya nampak juga ada kereta yang tersadai lama. Terbiar dan mereput perlahan-lahan oleh terik matahari dan basah hujan.

Kasihan.

Wednesday, November 16, 2016

Tentang Hujan



Sekarang musim hujan. Biasanya menjelang November dan Disember memang demikian. Ada negeri-negeri yang siap siaga untuk menghadapi limpahan air dari sungai dan tasik. Jika di kota, lebihan air yang merayap dari longkang tersumbat akibat kebejatan manusia akan menenggelamkan kereta, motosikal dan barangkali manusia juga.

Sudah berbulan-bulan Tuhan memberikan kita matahari. Sekarang waktunya Dia mahu merehatkan matahari. Hanya sebentar-sebentar matahari menjenguk sebelum kembali bermalas-malasan, membiarkan awan membuka pintunya, langsung menumpahkan hujan.

Seperti biasa, saya sukakan hujan. Dingin, cantik dan mendamaikan. Meskipun membataskan pergerakan, menikmati air yang berjuraian turun nun jauh dari langit Tuhan, sangat menakjubkan hati. Bagaimana jauhnya perjalanan hujan. Maha Kaya Allah. Berkatalah teori apa pun akan kewujudan fenomena hujan, sebenarnya semuanya telah disebut Allah dalam Al-Quran. Bacalah terjemahannya dan kita akan takjub sendiri betapa kitab suci tersebut dipenuhi dengan ilmu sains, matematik, astronomi, astrologi, biologi, fizik, kimia, geografi, sejarah, ekonomi dan macam-macam.

Hujan juga menyebabkan kucing-kucing berlingkar, membulatkan diri mereka. Kasihan dengan kucing dan anjing jalanan, bertempiaran mencari perlindungan. Yang dewasa tidak mengapa, masih pantas dan tahu di mana mahu berlindung. Yang masih bayi, sama ada dibuang orang atau ibunya bersalin sendiri di jalanan; terpinga-pinga kehujanan dan akhirnya mati. Itulah sebabnya saya menyokong pemandulan meskipun ada dalam kalangan kita yang menentangnya dengan alasan perbuatan tersebut menidakkan tabie haiwan.

Bukan begitu. Proses pembiakan haiwan jalanan ini begitu deras. Tiga kali setahun ibu kucing boleh melahirkan anak. Banyak pula bilangannya. Kucing-kucing dan anjing bukan ada akal. Yang manusia berakal pun lagi teruk, bersalin dan tinggalkan bayi di tepi longkang!

Usaha pemandulan adalah untuk menyelamatkan makhluk ini daripada membiak dan disiksa manusia. Kasihanilah mereka. Pagi tadi sewaktu sarapan, seekor kucing kurus meminta makanan. Langsung saya memberikan makanan kering yang memang sentiasa ada dalam kereta. Rupa-rupanya dia baru melahirkan. Patutlah dia makan dengan gelojoh. Entah di mana anaknya. Kasihan. Masih remaja tetapi sudah bersalin.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwanya, pemandulan dibenarkan dengan tujuah menjaga kemaslahatan masyarakat haiwan jalanan. Saya tidak mahu lagi menangis setiap kali melihat ada kucing dan anjing yang dipotong kaki oleh manusia sebab mencuri seekor ikan. Atau beberapa ekor kucing yang mati akibat diracun. Atau disimbah dengan air dan minyak panas. Jahat sungguh manusia. Mereka ingat mereka tuhan.

Hujan-hujan begini, saya seronok melihat budak lima ekor itu membulatkan diri mereka yang gemuk. Entah apa khabar Puse di kampong. Tidur jugakah?

Hujan…menatapmu seperti menatap kisah hidupku!

Tuesday, November 15, 2016

Sebagai penumpang



Sangat jarang saya dapat duduk dalam kereta sebagai penumpang.

Sebagai wanita berdikari, kehidupan saya saban hari adalah sebagai pemandu.

Kadangkala saya melihat kereta sebelah. Alangkah beruntungnya mereka yang berfungsi sebagai penumpang. Boleh menikmati suasana sekitar, boleh berehat bersandar di tempat duduk.

Tetapi hidup jangan terlalu banyak bergantung kepada orang.

Impian saya sangat mudah. Dan saya hairan dengan orang yang tidak pandai bersyukur. 

Saya melihat juga gelang emas yang bersusun di tangan. Pakaian cantik bergaya. Melancong ke dalam dan luar negara. Kereta besar jenama internasional. Rumah dan tanah banyak. Simpanan juga banyak. Kalau sakit, duduknya di hospital swasta. Lagak dan gaya seperti orang kaya. Terlibat dengan parti yang duit boleh dapat dengan mudah. Tetapi kenapa masih bergaduh laki bini kerana wang?

Saya? Bekerja cari wang untuk diri sendiri, anak2 cucu dan kucing2 termasuk yang di jalanan. Hidup menyewa di rumah yg sangat kecil. Tiada perabot indah. Kereta paling murah jenama nasional. Pakaian daripada yang paling murah. Tiada barang kemas atau beg tangan. Tiada angan2 untuk melancong kerana perlu bersiap siaga andai ada keperluan mendesak.

Tetapi hati saya gembira meskipun keinginan belum tertunai. Selalu dompet saya kekurangan wang tetapi tidak sekali pun anak2 cucu, kucing2 dan mak tidak makan. Saya tinggal jauh. Kos pulang ke kampung tentu tinggi dalam situasi sekarang. Tetapi Allah tidak menghampakan jika kita pulang kerap untuk ibu kita yg sudah tua. Dia pelihara perjalanan kita. Dia berikan kita rezeki dalam bentuk yang berbeza.

Pagi ini saya tiba2 menjadi penumpang. Hebatnya pemandangan di kiri kanan. Saya terleka menelaah. Syukur kepada Allah. Saya tidak begitu mendengar orang2 berbual sebab saya sedang menikmati hijau pohon. Saya tidak jadi mahu berimpian lagi sebab sesekali menikmati hidup sebagai penumpang, rupa2nya lebih mengujakan.

Itulah.

Hidup jangan terlalu memilih untuk menjadi itu dan ini.

Jangan jadikan ia komplikated meskipun kelihatan demikian.

Rupa2nya hidup ini tetap seronok meskipun kita menjadi apa.

Semangat!!!

Thursday, November 10, 2016

Kayyisa, Grandma sayang kamu



Kayyisa sudah genap enam bulan 7 November lalu. Sudah boleh makan makanan pejal selain susu ibunya. Cucu saya itu sangat kuat, dia sudah mengangkat kepalanya sejak pada usia empat bulan. Kakinya juga kuat. Barangkali kesan minuman susu kambing yang saya berikan kepada ibunya sewaktu dia masih dalam kandungan, meskipun susu kambing itu diambilnya tiga bulan sebelum melahirkan Kayyisa.

Kayyisa suka tersenyum. Bangun tidur pun senyum. Mahu tidur pun senyum. Tidak banyak meragam, seperti tahu akan nasib diri. Melihatnya seakan memutar ingatan. Demikianlah perangai anak bongsu saya ketika bayi. Badannya pejal dan tegap. Tidak banyak ragam. Disukai orang yang melihat.

Kayyisa yang comel selalu memanggil rindu saya. Menguatkan semangat saya dan mak untuk terus sihat. Saya mendoakan mamanya juga kuat untuk membesar dan mendidik Kayyisa.

Saya harap suatu hari nanti jika Allah mengizinkan, saya mahu bawa Kayyisa ke pentas puisi.

Wednesday, November 9, 2016

Lupa

Ketika kita menyenaraikan kesedihan-kesedihan kita, kita selalu lupa bahawa ada orang yang memiliki timbunan buku dengan tulisan-tulisan yang sudah kabur dan kembang dengan air mata.

Ketika kita merintih akan kesukaran hidup yang seperti larian berganti-ganti, melepaskan baton demi baton dari tangan kiri ke tangan kanan kita sendiri, kita selalu tidak nampak bahawa ada orang yang sudah tidak punya suara untuk merintih, malahan sudah lupa makna rintihan.

Apakah maknanya itu?

Maknanya kita sudah alpa untuk mensyukuri nikmat yang banyak, di sebalik ujian yang sedikit.

Bersyukur itu perlu terpamer oleh tiga yakni sebutan, hati dan dijelmakan dengan perbuatan. Syukur kepada Allah yang memberikan kita kesempurnaan diri meskipun tidak sekacak dan secantik orang lain. Syukur itu kita ucap di mulut dan hati. Kita jelmakan dengan perbuatan sujud kepada-Nya. Kita jelmakan dengan tidak mengeluh. Kita jelmakan dengan tidak berkeluh kesah.

Sukar, bukan?

Kita boleh sujud dan sujud tetapi agak sukar apabila berkaitan dengan mulut. Kita menyerahkan soal hidup dan mati kita kepada Allah namun kita selalu merungut duit tidak ada, hutang yang banyak, sakit di sana sini…

Selagi kita bernama manusia, begitulah yang terjadi.

Sunday, November 6, 2016

Bebas Yang Terpenjara



Heboh dengan cubaan menculik kanak-kanak.

Sudah demikian terdesaknya hidup, sudah demikianlah hilangnya kemanusiaan dalam hati manusia. Demikianlah juga rusuhnya hati kita mengenangkan apa yang akan berlaku kepada anak cucu cicit kita kelak.

Kebebasan sudah hilang makna. Kita pasti merindui kebebasan yang kita pernah kecapi suatu ketika dahulu. Saat manusia masih punya hati. Saat manusia tidak mengenal kejahatan sedalam-dalamnya.

Kata pakar, lebih selamat menggunakan “carrier” ketika membawa bayi daripada menggunakan kereta sorong. Sekarang ini bayi yang dalam dukungan pun boleh dirampas orang. Untuk apa? Dijual? Diambil segala isi kandungan dalam badannya?

Sebagai seorang nenek, kerisauan saya berganda. Zaman anak-anak saya masih kecil, saya tega membawa mereka masuk bersama-sama ke dalam tandas jika mahu qadho hajat, meskipun sempit. Biarlah. Atau saya akan menahan keinginan-keinginan untuk ke tandas.

Terus terang, saya seperti mahu hidup di pulau. Hidup dengan Kayyisa saya. Hidup dengan alam. Hidup dengan kenikmatan yang Allah kurniakan.

Tuesday, November 1, 2016

Pahit Yg Manis

Apabila Allah menyebut, setiap sesuatu kejadian itu pasti ada hikmahnya, Allah tidak menipu kita. Apa yang kita anggap buruk itu seringkali ada baik di sebaliknya.

Saya yakin dgn hal itu sebab saya mengalaminya. Selalu.

Sekarang pun demikian. Tetapi kita jgn melihatnya secara tersurat. Duduk diam2 dan fikir.

Musibah itu sedang berlangsung. Tetapi saya sedang melihat keakraban yg pernah menjauh, sedang bertaut. Saya melihat ada kasih sayang. Tidur saya kembali lena, tidak lagi terkejut2 di tengah malam.

Apa lagi nikmat yg lain selain tidur yg nyenyak?

Kehidupan ini tidak perlu banyak berkeluh kesah. Cuba abaikan apa yg hilang, meskipun sukar untuk dilupakan. Hadap apa yg datang meskipun tidak semudah bicara.

Bangunlah kembali jika sudah lama jatuh terduduk. Jgn peduli jika ada yg cuba mengalih perhatian untuk kita meneruskan usaha!

Sunday, October 23, 2016

Naik Naik

Saya tidak pandai ekonomi. Selain daripada pernah mengambil subjek ekonomi makro dan mikro semasa di tingkatan enam Clifford School lama dahulu, saya juga pernah ambil subjek Manegerial Economics semasa ijazah kedua ( dan saya masih ingat Dr Dawood dari India yg mengajar kami).

Itu pun terkial2.

Namun begitu saya tahu ekonomi kita sedang tenat. Kalau diibaratkan kanser, mungkin sudah tahap 4 yg kronik. Doktor pun sudah hilang ikhtiar, hanya berdoa dan mengharapkan keajaiban.

Saya kasihankan budak2 yg keluar universiti. Anak2 saya, anak2 saudara saya, anak2 jiran tetangga. Bukan semua berbakat berniaga. Sekarang ini kes guna orang dalam berleluasa. Sudahlah kerja payah, gaji kecil, guna pula orang dalam.

Apabila pembentangan bajet kata ekonomi kita bagus, saya pun keliru juga. Bagus yang bagaimana? Maklumlah saya bodoh ekonomi. Buat sajak bolehlah sikit2. Tulis cerpen satira pun dah boleh juga...hahaha.

Harga minyak naik. Tol naik. Barang makanan naik. Makanan kucing pun naik. Kucing sekarang tak mahu makan tikus.

Semua barang dan perkhidmatan kena cukai. Saya tengok banyak kedai yang tutup. Jangan cerita tentang golongan kaya dan berduit. Saya tidak berminat untuk tahu dan ikut mereka membeli belah. Kita mesti lihat rakyat majoriti. Yang ada anak ramai. Yang hidup terpaksa berhutang. Suruh orang ikat perut memang senang. Suruh suruh suruh, habis engkau anak beranak ikat perut jugakah?

Tapi itulah...orang kita ini sengal. Letak sahaja not ungu di hujung pancing, kita selalu lupa mata kail itulah juga yang pernah melukakan kulit kita.

Friday, October 21, 2016

Poyo La Kau Bajet

Selepas pulang dari haji, saya sudah dengar hiruk pikuk ini. Masing2 membuat pelbagai spekulasi. Kemudian hari ini hiruk pikuk itu menjadi genta yang hingar, bergaung2.

Kata sahabat baik saya, dia sendiri mendengar dan melihat ada dalam kalangan kami yang berusaha menyelamatkan leher sendiri. Ya, saya bersyukur juga sebab selama ini saya banyak sekali menyimpan rahsia. Saya enggan memberitahu apa2 sebab tidak mahu ada prasangka antara mereka. Akhirnya dia tahu sendiri.

Kata saya, pada saat air banjir sudah sampai ke hujung hidung kita, waktu itu kita akan kenal siapakah kawan kita, spesisnya, perangai aslinya yg ditelanjangi oleh keadaan.

Saya kata jangan takut. Yakinlah dengan Allah. Dia akan menyusun takdir kita dengan cantik sekali. Jangan pijak orang, jangan cantas peluang orang. Hidup kita, kerjaya kita semuanya dalam genggaman Dia. Relaks2 saja. Saya kata, buah kelapa yg benihnya bagus, jatuh ke laut pasti menjadi pulau.

Untuk mengenal kawan dan sahabat itu mudah. Seperti mudahnya kita mengesan gula dan garam ...meskipun putihnya sama, rasa berbeza.

Saya jenis yg tidak peduli sangat dengan bajet2 ini. Kepada saya, itu semua poyo!

Thursday, October 20, 2016

Sebelum Kita Menuju Tuhan

Masyarakat kita khususnya orang Melayu masih tidak alert dengan apa yang disebut sebagai domestic violence.

Rata-rata hanya berani menjadi pemerhati dengan perasaan kasihan dan takut yang bercampur aduk. Kasihan sebab gagal untuk membantu dan takut pula sebab dibimbangi dituduh mencampuri urusan dalaman sesebuah rumah tangga.

Maka, kebiasaannya mangsa akan dibiarkan menderita sendirian tanpa pembelaan sewajarnya daripada jiran tetangga atau sahabat handai, malah lebih menyedihkan dibiarkan sahaja oleh sanak saudara dengan alasan yang sama.

Domestic violence kebiasaannya dilakukan oleh pelaku yang memiliki dua personaliti. Sisi yang sangat baik dan sisi yang pantang diusik. Apa lagi jika pasangannya juga memiliki personaliti panas baran atau sensitif, atau yang sangat lemah, gagal mempertahankan diri sendiri atau tidak memiliki asas kekeluargaan yang kuat. Maksudnya ialah mereka biasanya sebatang kara, atau tidak memiliki adik beradik yang ramai, atau tiada sesiapa yang boleh melindungi pada ketika kejadian berlaku.

Apa yang boleh dilakukan jika ini terjadi kepada diri anda? Laporan polis? Ya. Boleh. Jika boleh juga, perlu menjalani khidmat kaunseling, khususnya berasaskan keagamaan dan juga rawatan psikitri. Jangan alergik dengan perkhidmatan sedemikian. Atau rasa semacam begitu. Untuk itulah pakar-pakar ini dilatih. Atau ikut serta secara aktif dalam gerakan dakwah. Juga ikut ceramah agama secara berterusan. Syaitan sifatnya api. Api boleh dipadam dengan dingin air.

Untuk membangunkan semula peribadi mangsa domestic violence ini bukan mudah. Umpama pokok yang sudah dirosakkan oleh racun, sudah pasti mengambil waktu untuk kembali bagus. Sudah hilang percaya dengan orang, gementar, memagar diri dengan gunung egois, hilang keyakinan diri, murung, membenci orang, mahu lari jauh-jauh dan macam-macam lagi.

Satu lagi isu.

Nah, masyarakat Melayu memang sebahagiannya sukar menerima perempuan yang bergelar janda atau balu. Saya tidak menyebut Islam, saya menyebut Melayu sebahagian. Berbanding duda akibat perceraian atau kematian, masyarakat kita begitu berat sebelah. Kebiasaannya janda atau balu ini, akibat didesak oleh pandangan hina sebahagian orang, akhirnya terjebak dengan kejahatan. Barangkali di hadapan anda, sebahagian orang ini tersenyum bagus dan mempamerkan simpati. Namun awas. Di belakang anda, mereka akan mempermain-mainkan, memperolokkan malahan mengeji anda. Itulah hakikatnya.

Oleh yang demikian, kembalilah kepada Islam. Islam tidak menghalalkan apa sahaja yang bersifat violence. Islam tidak menghalalkan sebarang penghinaan kepada manusia dan haiwan. Islam tidak menghalalkan sebarang perbuatan dan lisan yang memaki hamun orang meskipun benar orang itu melaksanakan kejahatan.

Kehidupan, demikianlah hiruk-pikuknya. Dunia sementara kita sebelum menuju ke hadapan Tuhan.

Monday, October 17, 2016

Berjalan Ke Belakangkah?

Mereka terperanjat. Saya pun tidak kisah jika mereka terperanjat. Mungkin saya sedang berjalan mengundur ke belakang. Orang akan menganggap yang berjalan mengundur ke belakang itu sebagai suatu keanehan.

Betulkah puan? Mustahillah? Kata mereka.

Ya, saya kata. Benda itu mahal. Saya kurang duit mahu beli.

Saya bergurau sebenarnya.

Sejujurnya benda itu wujud dalam rumah. Jenama murah sangat. 

Dulu waktu anak kecil-kecil, setiap kamar ada benda itu. Maknanya tiada perebutan siaran. Saya boleh tengok drama, si kakak tengok dokumentari dan si adik tengok kartun. Tapi itu dulu. Sekarang tiada guna pun ada benda itu. Siapa yang mahu tengok? Adakah waktu senggang untuk tengok?

Saya tiada waktu yang banyak untuk duduk dan tengok rancangan TV. Lagi pun waktu saya pulang ke kampong, saya dapati banyak drama yang tidak bermoral. Sakit hati saya. Banyak juga rancangan hiburan. Sejujurnya lagi saya tidak kenal nama artis baharu. Kalau terbeli suratkhabar, saya tengok ramai artis baharu, yang langsung saya tidak kenal.

Si bongsu pun tidak kisah tidak tengok TV. Kalau dia bising2 mungkin saya akan beli juga TV yang elok. Tapi dia tidak peduli pun.

Mereka tanya saya lagi, macam mana puan dapat info ehwal semasa dan dunia kalau puan tiada TV? Sekarang kita ada internet. Semua berita di hujung jari, kadang-kadang lagi laju daripada TV.

Tiada yang aneh sebenarnya kalau rumah tiada TV. Saya mahu dengar lagu nasyid, saya pasang radio. Sambil mop rumah sambil dengar radio. Ada info juga.

Orang sekarang tidak punya banyak masa untuk menonton TV. Lagi pun daripada sakit hati dengan drama yang sengal-sengal dan mengajar budak-budak benda yang tidak senonoh, lebih baik langsung tiada TV.

Tidak tahulah kalau esok-esok teringin pula mahu TV.


Wednesday, October 12, 2016

Di Situ Bukan Tempat Saya

Saya memang orang kampong yang tidak selesa dengan kehidupan bandar yang saya kira menjadi kebanggan orang.

Selasa lepas, saya mengambil cuti dan menginap di RH Suites @ Publika Solaris Dutamas. Kami berempat perempuan, saya, anak-anak dan cucu saya Kayyisa.

Setelah mencari-cari, si bongsu yang cekap memandu di kota, akhirnya tiba di destinasi. Tidak boleh parkir lama, jadi saya mencari-cari di mana saya harus menemui pemilik suite berkenaan. “Where are you now Laila? Can Anna meet you at B4 lobby Urbanne Tower?” saya nampak mesej tersebut di tablet.

Rupa-rupanya Anna bukan orang Malaysia dan langsung tidak memahami bahasa kebangsaan. Yang menyukarkan juga semua pekerja, pengawal keselamatannya juga orang asing yang bahasa Inggerisnya tidak difahami. Kami menghadapi saat sukar termasuk semasa mencari parkir di bawah tanah.

Mahu masuk ke apartmen pun ada caranya. Mahu makan juga masalah. Banyak pub, banyak restoran yang jelas tidak halal. Kadangkala saya terfikir, tanah air akukah ini?

Orang mabuk-mabukan, bersimpang siur dengan bunyi pekikan hon, muzik dan kebisingan. Ini bukan tempatnya untuk saya. Mungkin jika saya bukan seorang penulis pun, memang ini langsung tidak sesuai.

Saya tidak tahu apa yang enaknya duduk di kawasan dan persekitaran begini. Lambang status?

Saya perlu menjadi diri saya sendiri. Setiap orang pun mesti menjadi diri sendiri. Kita tidak boleh berpura-pura menjadi diri orang lain.

Yang paling seronok hanyalah kerana saya dapat bersama-sama cucu saya yang sado. Si Kayyisa sudah pandai macam-macam. Lengan saya pun bengkak sedikit sebab dia tidur lama dalam pangkuan saya hahaha…

Kayyisa, grandma miss you already.

Sunday, October 9, 2016

Kayyisa...himawari saya



Setelah dua bulan tidak bertemu, akhirnya saya menziarahi cucu. Dia sudah lima bulan pada 7 Oktober lalu. Dia memandang saya dengan pandangan aneh. Saya pakaikan tudung yg saya beli di sebuah lorong di kota Mekah. Dia memang budak yg baik. Diam saja ketawa2.

Kayyisa sudah pandai meniarap. Pandai ketawa mengekek2. Terima kasih Allah kerana Kayyisa membesar dengan senyuman manis.

Wednesday, October 5, 2016

Pentingnya Bekas Plastik Bertutup Di Mina

Ada beberapa orang kawan memberikan cadangan.

"Kak Yang tulis nanti dalam blog, apa barang yang sepatutnya kita bawa dan yang tidak sepatutnya kita penuhkan dalam bagasi kalau pergi haji. Yang Tabung Haji catat dalam surat itu, adakalanya langsung tidak perlu kita bawa..."

Baiklah.

Ini antara barangan penting. Bekas minuman plastik yang bertutup. Jika di Madinah, biasanya kita akan ambil air panas dari Dewan Makan di aras bawah. Namun demikian, di aras masing-masing biasanya ada mesin minuman air panas yang disediakan. Di Madinah saya kira kurang masalah. Di hotel Mekah juga rasanya tiada masalah sebab ada bekas pemanas air yang disediakan di bilik. Yang menjadi masalah ialah ketika di Arafah dan khususnya Mina.

Saya dan seorang kawan sampai pergi membeli bekas air plastik dengan harga yang mahal SR10, sesuatu yang kita boleh dapat dengan harga RM3 di Malaysia utk barangan yang sama. Setiap kali mahu mengambil air panas, terpaksa mengambilnya dari paip di bahagian dapur, beratur panjang dan ketika balik ke khemah, akan melalui lorong yang orangnya berpapasan. Bayangkan kalau air panas itu tertumpah dan terkena orang!

Bakal jemaah sila ambil perhatian, bawa bekas minuman yang bertutup. Besar pun tak apa sebab kita boleh memungut pahala dengan berkongsi air panas khususnya dengan jemaah yang uzur. Tidak perlu bawa hanger sebab boleh sahaja dibeli di sana. Kalau hantar ke dobi, kita akan dapat banyak hanger percuma. Tidak perlu bawa jubah banyak kalau nanti kita membeli jubah di sana. Bawakan jarum dan benang supaya mudah untuk kita memendekkan jubah. Memang ada klinik di sana tetapi bawalah sahaja ubatan dari Malaysia terutama yang asas seperti panadol dan ubat batuk yang biasa kita ambil. Tikar tidak perlu bawa sebab sahabat korporat TH biasanya akan berikan kita tikar yang akan kita gunakan utk solat dan menghamparkannya sebagai alas tidur di Mina.

Bawa juga bekas menyimpan biskut. Kalau suka biskut tawar seperti Jacob, bawa dari Malaysia. Sukar sekali mencari biskut sebegini di kedua-dua kota suci. Barangkali orang di sana suka biskut manis.

Bawa wang/mesti ada wang dalam tabungan sebab kita mungkin perlukan utk upah (jika tiba2 kita uzur), utk bayaran dam, utk membeli sarapan khususnya bagi jemaah muassassah. Barang di sana mahal, makanan mahal. Oleh yang demikian, pastikan dalam akaun TH ada wang yang mencukupi. Paling kurang pun dalam tiga ribu begitu.

Nanti ada waktu, saya senaraikan barangan yang perlu ada dan tidak perlu. Jangan jadi seperti saya dan beberapa kawan, membazirkan wang utk poslaju semula pakaian yang tidak dipakai, pakaian yang kami bawa dari Malaysia.

Monday, October 3, 2016

Menjadi Kuat Itu Suatu Proses

Tiada pokok yang ditabur sahaja benih terus membesar dengan gemuk gedempulnya. Kecuali dalam cerita dongeng Jack dan Kacang Ajaib. Begitu juga dengan manusia. Tiada orang yang sebaik sahaja dilahirkan terus sahaja membesar sebagai johan!

Menjadi kuat dan tabah itu adalah satu proses yang sangattttt panjang berliku. Kadangkala kita asyik jatuh terduduk, tertonggeng, terjelepuk. Kadang-kadang kita luka berdarah dan patah riuk. Kadangkala kita boleh bangun sendiri dan banyak waktunya juga kita perlukan tongkat atau tangan orang buat berpaut.

Orang yang ditakdirkan Allah menjadi hebat tidak pernah menyesali kesilapan tetapi orang yang hebat belajar daripada kesilapan. Tidak boleh kata begini, "kalaulah...kalaulah..." atau "Itulah, dulu suruh begini begitu, degil. Tidak mahu dengar cakap orang. Kalau tidak engkau sudah boleh jawat jawatan begini begitu..."

Itu kata-kata orang yang hatinya tidak bagus.

Kasar? Ya. Saya berani kata hatinya tidak bagus sebab mana boleh kata begitu kepada orang yang sedang kecewa. Samalah juga jika orang yang sedang menderita sakit, dan kita datang untuk hanya bercakap bahawa "Mungkin tuan banyak dosa maka Allah sedang membuang dosa..." Bukan maknanya tidak boleh tetapi pada pandangan saya, tidak begitu sesuai kita berkata demikian ketika dia sedang begitu tenat. Kecualilah orang itu rapat dengan kita. Atau kita tahu bahawa dia memang seorang yang tabah dan tidak kisah.

Tiada orang yang tidak pernah gagal. Cuba baca kisah-kisah orang yang hebat. Semuanya pernah gagal dan apa yang menyebabkan mereka berjaya ialah kedegilan mereka dalam menghadapi kegagalan.

Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah. Berfikir yang baik-baik, minta yang baik-baik. Bercakap yang baik-baik, niat pun yang baik-baik. Insha Allah yang akan datang kepada kita semuanya yang pasti baik. Janganlah kita berasa sudah begitu hebat kalau kita jumpa pasangan kita di pawagam atau pesta joget. Tetapi berasa gembiralah sebab kita jumpa pasangan kita di masjid atau majlis ilmu. Orang yang baik-baik pasti berada di tempat yang baik-baik juga.

Betul?

Sunday, October 2, 2016

Allah Sembuhkanlah Mak.

Rabu saya mula bertugas. Sabtu pagi saya bergerak semula ke Perak. Rupa2nya Isnin cuti Awal Muharam. Saya berada di kampung dengan doa supaya mak beransur sihat.

Saya tidak punya banyak masa di rumah Seremban. Hidup jadi sedikit tidak keruan selagi mak tidak sembuh. Alangkah beruntungnya menjadi seorang mak. Anak menantu, cucu dan anak angkat bergiliran menemani serta merawat mak. Mak sedang menuai hasil didikan, asuhan, keberkatan dan doanya.

Seringkali saya terfikir2. Nasib saya pada hari tua nanti bagaimana? Anak2 cucu saya apakah seperti anak cucu mak sekarang? Allah hu...moga demikian.

Mak, mudah2an matahari segera muncul di biru langit.

Thursday, September 29, 2016

DEMIKIANLAH...

19 September 2016 Isnin

Jam 1 pagi saya terjaga. Malangnya saya tidak boleh membuang air kecil meskipun sudah minum beberapa botol air. Barangkali peranakan saya turun semula. Saya mengambil wuduk, solat sunat taubat dan solat hajat memohon dipermudahkan semuanya. Rakan sebilik masih lena. Kebiasaannya mereka akan mula bangun sekitar jam dua setengah pagi untuk melakukan solat-solat sunat sementara menanti subuh.

Saya membangunkan mak seperti biasa. Membasuh pakaian dan menyediakan sarapan untuk mak. Kemudian saya berkata, “mak, saya mahu turun sekejap. Nanti saya naik semula…” Kemudian kepada kak Keti saya meninggalkan pesan tolong tengokkan mak sementara saya ke klinik kecemasan. Saya tidak memberitahu mak ke mana tujuan saya supaya mak tidak bimbang. Sampai sahaja ke klinik, saya terus masuk dan meminta petugas memasang tiub kencing. Sejam saya terbaring di katil dan kemudian naik semula ke bilik. Kak Keti meminta suaminya mengubati saya. Barangkali suaminya ada kemahiran mengubati orang yang tidak lawas kencing,

Pada hari inilah saya mendapat khabar cerpen saya Gerabak Satu Tiga terbit di Dewan Sastera Oktober. Saya sudah tahu sejak saya mengirim cerpen itu sebab editornya memaklumkan kepada saya bahawa cerpen itu akan disiarkan pada bulan Oktober. Alhamdulillah. Moga isi ceritanya yang berlatar tempat hanya di koc satu dan tiga dan latar masa kurang lebih tujuh jam itu dapat memberi manfaat kepada pembaca.

Pada hari itu juga Haji Nazam datang menziarahi kami. Dia membawa Jemaah haji pakej dalam jumlah 19 orang. Haji itu adalah anak angkat mak, memiliki sebuah agensi umrah dan mak pernah ikut beliau ke merata Malaysia dan negara sekitar. Katanya kepada saya, Jemaah haji muassasah lebih menghargai kerja haji sebab kesukaran-kesukaran yang ditempohi. Kata saya, tidak mengapa. Tiada yang susahnya pun kecuali terpaksa menunggu lama di tandas. Saya sudah biasa hidup susah, sudah biasa juga berkhemah, tidur di banir pokok atau kehujanan di hutan belantara. Tiada masalah jika sekadar tidur di atas lantai khemah. Alhamdulillah, perjalanan melontar sekitar 7 kilometer setiap hari dari 10 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah dapat saya lalui meskipun kaki melepuh sedikit. Kata saya, biar bekas lepuhan itu menjadi saksi di akhirat kelak.

22 September, kami menghantar bagasi besar untuk ditimbang. Bagasi mak 28 kilo dan bagasi saya 22 kilo. Tidak mencapai 30 kilo pun.

23 September Jumaat, saya mengambil keputusan untuk menolak mak sendiri untuk melakukan tawaf selamat tinggal. Saya turun ke pejabat maktab dan meminta kerusi roda. Kerusi roda mak jenis travel wheelchair, kurang stabil untuk perjalanan menuju masjidilharam. Jalan agak curam, ada laluan berlubang dan meninggi. Dengan lafaz Bismillah, saya bawa mak ke masjid. Alhamdulillah Allah memberikan kekuatan kepada saya. Kami tawaf wada’ di aras dua. Orang sangat ramai kerana hari itu Jumaat. Pada pusingan keempat dan kelima, seorang wanita dari benua India saya kira meminta izin untuk menolak mak.

Selepas tawaf, kami hanya boleh melakukan solat sunat tawaf dan solat sunat musafir. Tidak boleh mengambil gambar atau membantu orang mengambil gambar. Tidak boleh tidur, tidak boleh pergi membeli belah. Saya cepat membawa mak keluar masjid sebab sekatan-sekatan akan dibuat dan pintu ditutup untuk persediaan solat Jumaat.

Selepas balik ke bilik utk mandi, kami bersiap dan turun ke aras P untuk solat zuhur. Meskipun kami penumpang bas nombor satu tetapi kami yang paling akhir menaiki bas untuk ke terminal haji di Jeddah. Di terminal haji, keadaan sangat panas.

Sekitar jam sebelas, kami masuk ke dalam terminal. Oleh sebab mak naik wheelchair, kami dibawa ke aras bawah. Lamanya menunggu di situ. Kemudian kami dibawa ke pesawat Saudi Airlines. Mak dinaikkan dengan alatan khas. Saya diarahkan naik tangga. Aduh…saya mencari mak sampai ke ekor kapal. Mak tidak kelihatan. Rupa-rupanya mak dimuliakan dengan diberi duduk di kelas bisnes. Saya mencari tempat duduk. Ada sepasang suami isteri duduk di kelas ekonomi dengan satu tempat kosong. Apabila saya minta untuk duduk, si suami merungut-rungut. Astagfirullah…saya menyabarkan hati. Ujian haji belum berhenti. Tempat duduk itu kosong, lelaki itu mahu berlunjur. Kemudian katanya, nanti nak keluar, payah. Allah hu. Kalaulah mulut saya ini jahat, mahu sahaja orang itu saya maki hamun. Begitu yang dikatakan oleh seorang lagi haji yang geram dengan perlakuan lelaki tersebut. “Tak apalah,” kata saya. Saya hanya mahu duduk sebentar-sebentar sahaja sebab saya mahu kerap menjenguk mak yang berada di kelas bisnes.

Sekitar jam dua empat puluh petang 24 September kami pun selamat mendarat. Saya menyorong mak keluar sekitar jam empat setengah sebab saya sendirian menunggu dua bagasi yang berat. Mak menangis setiap kali anak menantu dan cucu menyalami mak. Saya membawa mak ke hotel di Senawang, anak bongsu saya menempah hotel tersebut untuk mak dan keluarga berehat. Esoknya Ahad kami bergerak pulang ke Perak. Isnin dan Selasa saya bawa mak ke klinik. Kasihan mak.

Saya masih ingat mak selalu berkata, “pergilah ke masjid. Kesian Yang, jaga mak sampai tak dapat ke masjid”. Jawapan saya adalah…”menjaga mak adalah satu ibadat yang dituntut. Pahalanya sangat besar. Insha Allah jika ada umur saya lagi, Allah pasti beri saya peluang untuk ke sini lagi. Saya akan beribadat puas-puas. Jika tiada umur sekali pun saya tetap berpuas hati. Menjaga mak adalah kewajipan saya. Sepatutnya saya lama lagi baru dijemput datang tapi Allah menjemput saya sekarang, dalam tempoh yang sangat saya tidak menjangka…”

Sepanjang kerja haji, urusan saya selalu dipermudahkan. Saya pasti sebabnya ialah mak. Ketika saya tidak cukup anak batu untuk dilontar, seorang remaja lelaki dan perempuan meluru kepada saya…hajah hajah…dan memberi segenggam anak batunya kepada saya. Ketika saya kepanasan mengelilingi baitullah, saya teringin untuk berasa dingin, maka Allah datangkan payung di atas kepala saya. Saya membawa emak yang sepanjang hidupnya mengorbankan segala-galanya untuk kelangsungan hidup anak-anak.

Maka Allah memudahkan segalanya buat saya.

Saya masih ingat juga sepanjang jalan melontar, saya menangis sebab tidak dapat membawa mak. Saya kesedihan mengenangkan demikianlah kita ketika menuju ke pengadilan Allah di Mahsyar. Masing-masing orang, dalam keadaan sihat atau bertongkat, mengheret kaki atau berpapah…kesemuanya menuju kepada Tuhan.

Ya Tuhan…saya bersyukur kepada-Nya. Dia memberikan sesuatu yang sangat berharga kepada saya. Sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hayat.

Wednesday, September 28, 2016

TUHAN ITU SANGAT TAHU

24 Ogos Rabu.

Saya mengupah Haji Marwi, PATUH yang bertugas dengan Tabung Haji untuk menolak mak mengerjakan umrah. Kami bertawaf dan bersaie di aras dua. Pertama kali memandang kaabah, saya tidak mampu membendung air mata. Maha Besar Allah, Maha Besar Allah…hanya itu yang mampu saya ucapkan.

Sepanjang berada di Mekah, kami berjemaah di surau Abraj Janadriyah dan kemudian menukar lokasi. Kami solat berjemaah di ruang hadapan lif aras lima. Orang sudah mula batuk-batukan. Sepanjang solat, kedengaran seperti pesta batuk berirama. Saya pun terkena juga meskipun dalam keadaan terkawal.

Rutin harian saya seperti biasa, memastikan yang mak minum hanya air zam-zam. Kemudian pada 28 Ogos, saya mengupah Haji Marwi membawa kami menaiki teksi ke Tanaim. Pada mulanya kami dikenakan caj SR50 tetapi Haji Marwi berjaya mendapatkan SR40. Saya dan mak naik teksi tetapi dengan amaran Haji Marwi, “kak jangan tutup dulu pintu taksi. Tunggu saya masuk” katanya dalam loghat Indonesia. Saya membuat umrah sunat untuk allahyarham ayah.

30 Ogos saya bersendirian mengerjakan tawaf sunat. Selesai pusingan ketujuh, saya pusing lagi dengan tujuan “mengintai” hajarul aswad. Saya sudah begitu dekat, sehingga tawaran daripada seorang perempuan Indonesia, “mahu kucup hajarul aswad, ibu?” saya tolak dengan gelengan kepala. Di hadapan kaabah yang suci, kalian masih mahu berniaga? Saya berasa sangat sedih. Hajarul aswad yang sudah begitu dekat itu saya tinggalkan. Saya masuk ke lengkungan (saya tidak pasti apa itu namanya), dalam keadaan yang sangat mustahil untuk masuk. Sempat juga solat sunat di situ. Saya sangat teringin menyentuh dinding binaan suci tersebut. Dalam hati saya mohon keampunan Allah, tiada niat mahu mempercayai sesuatu yang khurafat, tetapi saya sangat teringin menyentuhnya. Lalu saya hulurkan tangan dan menyentuh batunya.

2 September 2016, saya tamat membaca Quran yang saya mulakan bacaannya di Madinah. Keesokannya badan mak lemah, langsung saya menghantar mak ke klinik kecemasan aras P. mak dimasukkan ke bilik pemerhatian khas. Kasihan mak. Mak dimasukkan air dan ubat. Tiga hari mak warded. Saya benar-benar rusuh. Seluruh pergantungan saya kepada Allah. Saya sempat mewakafkan quran dan kerusi untuk mak dan allahyarham ayah. Mudah-mudahan Allah memberikan tempat untuk mak dan allahyarham ayah di syurga-Nya.

Hari pertama mak hypho garam. Mak keliru dengan waktu solat. Mak tidak menyedari apa yang berlaku. Saya begitu gelisah. Hari wukuf sudah semakin hampir. Ketua jururawat mendekati saya. Puan, katanya. Jangan kecil hati jika puan lihat tangan kanan ibu puan kami ikat. Semalam ibu puan mencabut jarum di tangannya. Jika keadaan berterusan, kemungkinan kami akan bawa ibu puan ke hospital di Syisha. Wukuf nanti kami bawa ibu puan dengan bas khas.

Tuhan sahaja yang faham hati saya bagaimana. Namun Dia Maha Penyayang. Hari kedua mak sudah ok. Hari ketiga mak sangat cemerlang. Subhanallah. Ada keajaiban juga, pulang dari wad, malam Jumaat itu mak boleh solat berdiri, sesuatu yang tidak boleh dilakukannya sejak setahun setengah yang lepas! Kami akan bertolak ke Arafah (Hari Tarwiyah) pada 8 Zulhijjah Sabtu 10 September. Dan mak sudah boleh solat berdiri!

Sabtu itu dalam debar kami menaiki bas ke Arafah. Duduk di khemah tanpa kipas. Kipasnya ada tetapi sudah rosak. Saya tidak tidur sebab kasihankan mak. Saya sentiasa membasahkan pakaian dan tubuh mak dengan air. Wukuf pada hari Ahad 9 Zulhijjah (11 September). Kami habisi wukuf dengan berdoa dan berdoa. Malam itu kami bergerak ke Muzdalifah. Mabit di sana sambil mengutip batu. Kasihan mak, saya melihat mak tidur di bawah langit terbuka.

Malam itu selepas tengah malam kami menaiki bas ke Mina, ke khemah Maktab 83. Saya dapatkan mak tempat. Kami tinggal bersesak-sesak. Keesokan harinya adalah hari yang mencemaskan. Saya bangun dan mendapati mak tiada di tempat tidur. Allah. Jantung saya seperti berhenti berdegup.

Saya berlari ke luar, ke tandas mencari mak. Tiada. Masuk semula ke khemah, mengkabarkan kepada rakan-rakan sebilik di Mekah akan kehilangan mak. Mereka keluar mencari, begitu juga dengan kak Fuziah suami isteri (orang Lenggong) yang sekhemah dengan kami. Saya benar-benar lemah. Mak tidak memakai lencana pengenalan. Mata mak tidak Nampak, telinga kurang mendengar. Mak tidak tahu nombor khemah. Ya Allah…

Saya ke pusat khidmat tabung haji melaporkan kehilangan mak. Dua jam lebih saya seperti orang gila mencari mak. Saya menyebut doa, ya Tuhan…tolong mak saya. Akhirnya, saya Nampak Dr Nita, rakan sebilik di Mekah sedang memimpin seorang yang dari belakang, saya pasti itu mak. Saya menjerit kuat, “mak mak!” memeluk mak dan meraung di khalayak . peduli apa saya, yang penting mak sudah dijumpai.

Mak ke tandas. Mak kesian nak kejut Yang. Mak tengok ramai sangat beratur di tandas. Mak nak balik ke khemah tapi tak jumpa.

Ya Allah, kalaulah orang boleh nampak hati saya…

Selepas itu saya mengingatkan mak, mahu ke mana-mana mesti pakai lencana pengenalan. Saya latih mak melihat simbol khemah. Ini kereta merah. Mak suka warna merah. Mak masuk lorong kereta merah, terus sahaja sehingga jumpa wheelchair mak yang warnanya merah juga!

10 Zulhijjah hari nahar, saya melontar jamrah Kubra, untuk saya dan mewakili mak. Seronoknya. Saya pergi ke tebing dan melontar. Hari tasyrik 11 Zulhijjah saya pergi lagi melontar ketiga-tiga jamrah. Hari tasyrik 12 Zulhijjah kami merancang mahu bawa mak. Saya berdoa Ya Allah, jika baik atau tidak untuk kami bawa mak, berikanla petunjuk. Esoknya kami sudah bersedia untuk membawa mak dan Allah memberikan petunjuk. Mak lemah. Mak dimasukkan air. Ketika kami bergerak untuk melontar, saya mengerti sudah mengapa Allah tidak mengizinkan kami membawa mak. Orang bersesakan. Ramai yang mahu buat Naffar Awwal. Sangat bahaya jika kami bawa mak.

Lima hari di luar kota Mekah, menyedarkan saya akan banyak perkara. Allah melatih rasa sabar. Allah mahu kita bersyukur. Allah mahu kita tahu bahawa di sisi-Nya, tiada beza apa-apa kecuali ketakwaan kepada Allah. Kami pulang ke Mekah pada Khamis 15 September. 17 September, saya tamat membaca Quran untuk kali kedua. Alhamdulillah.

Sambungan…


Thursday, August 25, 2016

Ke Bumi Yang Disayangi Tuhan

Hari itu Selasa. 23 Ogos yg menyebabkan hati saya seperti bas usang yg bergerak2 melawan keuzuran enjin. Saya cemas. Mak menggigil pagi itu. Badan panas. Saya mengambil keputusan membawa mak ke klinik yg terletak di Al-Haram. Menyorong kerusi roda mak ke sana, mcm biasa saya disapa pemilik kedai brgn sepnjg jln. Malaysia boleh, katanya berulangan. Memang boleh!!!

Di klinik, mak disahkan demam. Tekak mak sgt merah barangkali dijangkiti kuman. Selepas mengambil ubat, saya bawa mak ke bahagian kaunseling. Saya bawa mak blk dan berikan ubat. Selepas itulah, saya menjadi cemas.

Mak mula berpeluh, menggaru seluruh bdn sbb sakitnya dtg semula. Saya menelefon pusat bantuan. Mereka dtg dan membawa mak ke klinik semula. Doktor menyuntik mak dan melakukan proses reversed ubat2 yg telah diambil. Kemungkinan mak tidak boleh mengambil antibiotik. Doktor menarik balik ubat tersebut. Saya mengirim berita kpd keluarga, mohon buat solat hajat untuk mak.

Saya sgt bimbg sebab mak lemah. Jam 5 ptg kami akan bertolak ke kota Mekah dlm perjlnn yg mengambil masa sekitar 6-7 jam.

Akhirnya dlm jam 5 ptg kami bertolak. Saya berdoa agar Allah memelihara mak.

Mak kesejukan dlm bas. Kasihan sungguh. Tapi saya pasti Allah sdg menguji mak. Kami sampai di Abraj Janadriyah sekitar jam dua belas. Saya di bas nombor satu, jadi saya antara yg pertama masuk. Kami disambut dgn barisan penyambut tetamu wargs tempatan dan petugas2 tabung haji. Sepnjg jln jugs beberapa kali jemaah diberikan gift berupa air kotak, kek, kurma dll. Kami tak mampu membawa semuanya. Ada yg terpksa ditinggalkan dlm bas.

Kami ditempatkan di aras lima, maktab 83.

Perjalanan menuju Tuhan bermula.

Monday, August 22, 2016

Bawang



22 Ogos 2016. Isnin.
Malam tadi ada taklimat berkaitan pengumpulan bagasi dan keberangkatan kami ke Mekah yg dijadualkan pada 5 ptg hari Selasa 23 Ogos.

Mak tidak turun sebab demam, selesema dan batuk sedikit. Balik ke bilik dlm kantuk, saya mengemas lagi. Esoknya saya lekas ke masjid untuk mengambil air. Pengawal berniqob gelak dan menepuk bahu saya ketika memeriksa beg dan mendapati byk sekali botol kosong. Harap mak bertambh ok selepas mandi dan minum penghulu segala air itu.

Selepas itu saya menunggu kedtgn petugas tabung haji yg dtg mengedarkn stiker. Saya meletakkan bagasi di luar bilik berdekatan lif. Selepas itu turun untuk mengeluarkan wang di kaunter tabung haji. Ke farmasi mencari ubat, ke kedai membeli bawang besar dan kemudian saya temui seekor kucing cantik yg kurus.

Saya beritahu si kucing, dan saya harap dia fhm BM. Tunggu sini ya, ibu pergi cari makanan. Dia berhnti mengikut saya. Saya ke kedai membeli kebab. Mencarinya semula, dia sedg dipegg oleh sekumpulan wanita dari Kuching, mereka sdg berfoto. Saya memberinya mkn kebab ayam. Kasihan. Dia lapar.

Hari ini juga saya dpt khabar yg anak Cicak mati dlm perut. Cicak sudah kembali slim.

Mak sedikit ok, sudah bersembg2 dgn rakan sebilik. Yg dari Sarawak tu, namanya Kak Keti, asyik ketawa dgn gelagat mak. Saya beri sedikit keratan bwg kpd beliau. Mudah2an dgn izin Allah, semuanya sihat menjelang esok.

Bawang Madinah cantik.

Hari ini juga Allah mengajar saya sesuatu. Saya nmpk delima yg kulitnya pucat dan buruk. Dlm hati saya kata, mesti isinya tidk bagus. Saya beli satu. Di kedai lain, dgn tamaknya saya beli sebiji lg yg plg besar berwarna merah cantik. Saya fikir mesti isinya manis berair.

Hahaha saya telah ditipu oleh pandgn lahiriah. Sudah tua, sudah byk pengalaman tetapi tertipu juga oleh luaran!

Maafkan saya Tuhan.

Sunday, August 21, 2016

Allah Yang Mendengar



Hari yg keenam. Ahad. 21 Ogos 2016. Sebenarnya saya telah membuang aplikasi fb di tablet. Tetapi entah mengapa semlm saya mahu menukar gmbr profil dgn gmbr saya dan mak. Langsung saya login fb di chrome. Saya ternmpk gmbr penulis Sabah, Hasyuda Abadi dan isterinya berlatarbelakang payung di laman Masjid Nabawi. Insha Allah, esok saya mesti bertemu org ini.

Esoknya awal pagi saya uruskan mak mcm biasa. Bdn mak agak panas, jadi saya tunggu hingga ada org di bilik. Selepas itu saya turun menuju ke Masjid. Saya mengambil air dlm botol2 kecil. Saya menuju ke kedai untuk mencari roti tawar. Ketika keluar dari kedai, Hasyuda Abadi dan isterinya muncul di depan muka saya. Allah hu. Dia sgt mendengar. Saya kagum. Allah sgt baik, melayani manusia berdosa seperti saya.

Saya naik ke bilik dan kemudian turun semula. Kali ini saya mahu membeli botol mineral 1.5 liter. Saya kosongkn airnya dan menuju masjid. Saya isi penuh dgn tujuan mahu mandikn mak. Sepanjg jln saya berdoa agar dgn izin Allah, selepas mandi, mak sihat dan gatal2 hilg. Saya membeli panadol dan makanan. Mencari ikan goreng yg mak nk tp x jumpa. Dgn air zam2 beberapa botol di backpack, saya berjln laju blk ke hotel.

Esok beg2 besar akan dihntr ke Mekah. Kami akan bertolak pada ptg Selasa.

Saya mengemas bagasi. Keperluan mak saya bubuh di beg 5 kg. Mknn dan minuman saya akan letak di backpack.

Walaupun mak mahu ke masjid, saya tidak mahu ambil risiko. Mungkin boleh jika waktu Isyak atau subuh. Perjlnn ke kota Mekah mengambil masa 6-7 jam. Mak kena rehat.

Dulu mak mandikan saya bertahun2 sehingga saya bisa mandi sendiri. Sekarang saya mandikan mak untuk tempoh 41 hari ini. Betapa jauhnya pengorbanan mak terhadap saya.

Moga Allah memudahkan urusan haji mak. Moga saya sentiasa berasa gembira menjalankan tugas saya sbg pengiring mak di samping beribadat bersama2 mak.

Saturday, August 20, 2016

Akhirnya Kami Temui Rawdah



Saya membuat keputusan, dgn kondisi mak, bahawa sekurang2nya satu waktu sehari saya bawa mak ke masjid. Kalau boleh saya mengelak waktu zuhur dan asar, saat matahari sedang membahang.

Malam tadi kami solat Isyak di masjid. Saya solat di celah kepungan wheelchair. Saya kena beritahu mak bahawa selepas ini saya mahu bawa mak ke Rawdah dan makam nabi. Di mana, tanya mak. Masya Allah, seperti mahu menangis saya. Setahun terlantar, telah banyak menghilangkan ingatan mak. Mak, kata saya dlm bahasa mudah. Rawdah itu tempat mustajab doa. Mak tak ingat. Kasihan sungguh. Saya kata mak doa tahan wuduk supaya kita dpt masuk ke Rawdah dlm kesesakan manusia.

Saya ajar mak apa yg mak nak doa. Saya pun bukan pandai. Waktu ini saya kepingin waktu kembali ke asal. Saya mahu belajar agama, kalau pun tidak jadi ustazah, dpt membawa mak ke syurga Allah. Dlm keributan org mahu menyantuni Rawdah, dlm tangisan dan sedu sedan mengintai makam nabi, kami akhirnya memasuki Rawdah, dlm kasar dan tegas pengawalnya.

Ketika berbaris, seorang wanita Malaysia, saya kira statusnya tinggi atau kerjaya bagus, bertanya...ini nenek atau mak? Saya kata, ini mak. Kelmarin org bertanya juga sama ada saya anak bongsu mak. Kemudian wanita itu bertanya, awak masih belajar atau sudah bekerja? Hah? Saya senyum. Puan, saya kata. Saya sudah 50++. Sudah ada cucu. Wanita itu bertanya kerja saya. Mulanya saya mahu ckp kerja tukang sapu mcm yg biasa saya jwb. Tetapi ini masjid. Saya tidak berani bergurau. Sebetulnya saya suka melihat reaksi org. Tukg sapu kerja mulia, membersihkan yg kotor tetapi manusia cenderung tidak menghormati mereka. Selepas saya beritahu saya bekerja di mana ( dgn tidak menyebut kerja apa) baru wanita itu kelihatan bagus wajahnya. Sebelum ini ketika saya bertanya dia dari pintu mana, dia menjawab acuh tak acuh, dan dgn nada yang....hmmm. Agaknya mgkin sblum ini dia ingt saya budak lagi dan kampungan sangat hihihihi

Balik ke hotel mak mmg tak larat. Saya bancuh susu dan siapkan ubat. Saya gosok mak. Walaupun penat tetapi ingatan saya menjalar ke saat kecil. Mak juga tidak larat, ada anak kecil, ada suami, bertungkus lumus di sawah dan kebun getah, tapi mak tetap menggosok belakang saya sehingga lena. Atau melayan keinginan saya utk mak bercerita sehingga kehabisan modal. Tentu waktu itu mak sgt penat dan mengantuk. Kalau mak berhenti, saya akan merengek minta digosok terus, atau marah2 sedikit. Sekrg mak pula begitu. Bukankah kehidupan ini adalah satu lingkaran yg berulangan?

Madinah. Bumi suci yg memiliki jasad suci kekasih Allah.Saya pasti akan dtg lg jika ada umur. Membawa anak2, cucu, adik beradik. Insha Allah. Tuhan, dengarkanlah!



Friday, August 19, 2016

Menunggu Rawdah



Kami menginap di AlSaha Hotel tingkat paling atas, 13. Sepanjang dlm penerbgn dgn Saudi Airlines, mak duduk di kerusi hadapan saya. Mak adalah penumpang pertama yg dibawa masuk ke pesawat.Delapan jam penerbgn. Sepatutnya kami berangkat jam 12, tetapi pesawat hanya terbang pada jam 3 dan tiba di airport madinah jam 6.40 ptg.

Mak agak lama di kaunter imigresen sbb ada masalah untuk kesan jari. Sistem mereka agak ketinggalan berbanding kita. Petugas2 jkita juga lebih berdisiplin dan serius bekerja berbanding mereka.

Selasa 16 Ogos saya rehatkan mak. Mak sangat lemah. Kami mendapat rakan sebilik dari Kelantan dan Sarawak. Jadilah seperti itik dgn ayam kampung.

Rabu 17 Ogos saya membawa mak utk maghrib.Lif sesak. Mak hampir jatuh. Seorang lelaki Indonesia membantu. Sebelum solat, seorang nenek Arab menunjuk2 ke arah saya sambil meminta org di depan menyerahkan sesuatu kpd saya. Buah kiwi rupanya, yg dibalut dgn tisu.

Esok paginya, selepas menguruskan mak, saya sendirian ke masjid sebab dua rakan sebilik tidak ke mana2. Saya sgt teringin ke Rawdah. Orang begitu ramai. Tariq tariq, ibu ibu, masuk masuk. Jerit pengawal masjid nabawi berpakaian hitam dan berpurdah.

Saya tidak fikir saya boleh masuk ke Rawdah. Tetapi kuasa Allah membawa saya ke karpet hijau. ustazah Fauziah memberitahu saya, ada ruang tu kak. Cepat masuk dan berdoa. Ada ruang solat, terus solat. Ustazah adalah Pihtas TH.

Saya dpt solat dua kali. Seronoknya. Kemudian saya menarik tgn seorang nenek, membawanya masuk ke Rawdah. Menghadang dgn tgn supaya nenek itu dpt solat. Saya meninjau makam nabi tercinta.

Selesai perjuangan di taman syurga, saya mengambil air zam2 untuk mak. Untuk mandi dan minum.

Jumaat subuh 19 Ogos saya membawa mak solat subuh. Selepas selesai, saya bawa mak balik dan uruskan mak. Rakan sebilik ada menemani mak. Selepas itu saya turun ke bawah, ke masjid mengambil air zam2 untuk mak. Saya kembara sendirian, membeli sarapan bungkus briyani dgn Riyal 15, menukar mata wang RM seribu bersamaan riyal 910.

Mak selalu meminta, mgkin rasa bersalah, supaya saya ke masjid utk solat. Tapi saya kata, status saya adalah sbg pengiring mak. Mak adalah keutamaan saya. Selepas urusan mak selesai, baru saya boleh uruskan hal saya. Saya tidak akan tinggalkan sendirian lama2 kecuali untuk ambil makanan di dewan mkn atau mengambil air zam zam.

Ada bbrapa perkara khurafat yg saya lihat dilakukan jemaah Indonesia dan India. Nnti saya ceritakan.

Tulisan ini ringkas dan byk kesilapan ejaan. Saya menulisnya di tablet dari aras tinggi di bandar Madinah.

Maaf jika agak kelam kabut. Pulang nanti saya akan edit semula.

Moga haji kami diterima Allah.

Thursday, August 18, 2016

Perjalanan Menuju Tuhan



Saya meminta adik yakni si anak saya yg bongsu untuk menyewa tiga bilik di Hotel Goodhope Kelana Jaya.Kami perlu ada di Kompleks TH sebelumjam 4 pg. Semua anak mak dan sebahagian cucu menghantar opah. Sebenarnya penerbangan delay lebih kurang 2 jam setengah.

Layanan TH untuk warga emas kurang upaya memang sangat hebat. Alhamdulillah saya menumpang tuah mak. Pendaftaran lancar sebab dilayan istimewa. Malahan kami juga dibawa menaiki van berbanding jemaah lain yg naik bas. Seperti biasa kami dimuliakan dgn iringan polis trafik dan ambulans. Hebatnya perancangan Allah.

Di airport Madinah ada sedikit masalah. Kami terkandas hampir enam jam tanpa makan minum dan wheelchair. Saya tak jumpa wheelchair mak yg dihntr ke kargo.

Kasihan mak. Sampai di Saha Hotel, mak sudah lemah. Jam 2 pg baru tiba.

...siri 1...

Friday, July 15, 2016

Mencari Cicak

Ramadan kali ini saya sedikit bersyukur. Untuk pertama kali selepas setahun, mak bangun dan memasak sendiri hidangan berbuka puasa. Meskipun ala kadar, bagi saya itu kejayaan hebat. Mak tidak begitu nampak dan khabarnya ada makanan yang hangus dan terpaksa dimasak semula. Namun, kejayaan tetap kejayaan dan wajib disyukuri.

Ramadan ini juga menyaksikan kesibukan saya yang berganda, atau barangkali boleh dikatakan berlipat ganda. Ada cucu sangat menggembirakan terutama melihat perkembangannya dari semasa ke semasa. Ada dalam kalangan rakan yang mengusik saya atas kehilangan saya di dada akhbar selepas memperoleh cucu. Saya tidak sempat untuk menyusun aksara. Tahun ini memang sedikit mencabar. Ada perkara-perkara yang akan berlaku nanti dengan izin Allah.



Kami pulang sehari sebelum hari raya. Tiba di halaman emak sudah melepasi jam sepuluh malam. Kayyisa disambut meriah. Berbanding adik-beradik (kecuali kakak sulung), saya sudah menjadi nenek. Abang sulung, kakak dan adik melihat saya dengan lucu.

Balik ke Negeri Sembilan selepas hari raya juga mencabar. Kesesakan maha dahsyat, menyebabkan kami membuat keputusan menggunakan jalan alternatif yang jauh. Pun tetap lambat sampai sebab saya menyuruh menantu berhenti dan tidur. Agak bahaya melihat dia asyik menguap. Yang dibawanya adalah bayi.

Kembali bertugas, saya dikejutkan dengan satu berita. "kak, Cicak dah tak ada".

Baik. Cicak, kucing remaja yang hamil sudah lama menetap di Balai Islam. Dia kami berikan makanan. Rupa-rupanya dia tidak berhak menghuni di tempat-tempat seperti itu, seolah-olah dunia ini hanya milik makhluk bernama manusia. Atas alasan kebersihan, Cicak dan kawanan kucing dan anjing perlu ditiadakan sebaik sahaja semua warga bergegas balik ke kampung.

Peraturan adalah peraturan. Saya faham. Kalau nanti Cicak bersalin, sudah pasti menimbulkan satu lagi masalah. Khabarnya lagi, makanan yang kami beri kepadanya menarik kucing-kucing lain untuk datang. Cicak difitnah oleh isteri penyelia syarikat pembersihan,membuang najis di balai itu. Apabila ditanyakan kepada petugas yang menjaga balai, katanya Cicak tidak pernah berbuat demikian. Yang disangkakan najis itu adalah kulit kayu dan daun kering.

Orang yang tidak suka akan mencipta sejuta alasan.

2 Julai, Cicak dimasukkan ke dalam beg plastik hitam dan dibuang di tepi hutan jabatan veteriner. Saya kira sangat mudah mengambil Cicak sebab dia manja dan sedang mabuk, tidak larat dan hanya terbaring pada awal kehamilan. Selama tiga ke empat hari, kami mencari Cicak selepas jam lima. Dr Faiziah memanggilnya di tepi hutan di belakang vet tersebut. Beberapa ekor kucing yang turut dibuang, ikut sama mencari.

Saya bertemu sendiri dengan penyelia yang membuang Cicak. Namanya Rashidi. Isterinya juga bekerja di syarikat sama. Saya memberitahunya, lebih baik dia berterus terang. Jangan sesekali menipu lagi. Akhirnya dia mengakui bahawa memang dia membuang Cicak. Katanya, atas arahan orang atasan. Kata saya, saya faham. Tetapi membuang haiwan lemah yang sedang hamil di tempat yang seperti itu, bagaimana dia mahu melangsungkan kehidupan? Oh...puan, ada orang yang memberikan makanan kepada kucing-kucing ini, katanya. Kalaulah saya tidak diajar oleh emak dan ayah, bahawa mencarut dan memaki hamun itu satu dosa, memang saya carutkan saja lelaki itu!

Kami sudah bertanyakan pengawal di tempat tersebut, vet ini hanya untuk rawatan. Bukan tempat pembuangan. Kata guard itu...puan, saya yang bergaji ciput ini yang membeli makanan dan bahagi sedikit-sedikit kepada kucing-kucing. Saya kasihankan mereka. Mengapa Rashidi itu suka sangat membuang kucing di sini?


Thursday, June 23, 2016

Antara Langit dan Bumi

Di media sosial, saya banyak membaca kes penderitaan orang di negara saya ini. Kemudian saya juga melihat ramai orang memuatnaik gambar makanan, atau gambar berbuka puasa di hotel dan restoran mewah.

Saya berasa sangat menderita melihat dua kes yang kontradik ini.

Ketika ada anak-anak sebuah keluarga yang kelaparan sehingga masih tidak berbuka puasa sekitar jam delapan malam, ada seorang lelaki keturunan tionghua membawa mereka ke restoran dan belanja mereka makan sepuas hati. Ada juga nenek yang memelihara enam cucu dalam pondok yang sangat daif, tanpa sebarang bantuan kewangan disebabkan anak-anak itu tiada kad pengenalan. Ada juga ibu tua yang memelihara anak-anaknya yang cacat, tanpa bekalan api dan air, mengharapkan belas ihsan jiran-jiran yang bukan terdiri daripada golongan senang.

Dan mereka berpuasa!

Di laman muka buku khasnya, setiap hari saya melihat orang memuatnaik gambar makanan yang enak. Bukan tidak boleh tetapi berpada-padalah sebab ibadah ini bukan meraikan pesta makanan atau beli belah. Jangan tersasar daripada landasan ajaran sebenar. Puasa itu hakikatnya kenapa? Apa maksud yang tersirat? Allah tidak menyuruh kita makan melebihi apa yang biasa kita makan. Saya melatih anak begitu. Sekali sekala bolehlah kuih tetapi makanlah apa yang biasa kita makan dan minum. Maknailah hikmah sebenar amalan puasa yang disuruh Allah. Rasai nikmat berbuka seperti yang dirasai orang susah.

Kita telah mengelirukan orang bukan Islam. Merosakkan imej kita juga. Lama-lama kawan-kawan kita yang bukan Islam akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan apa yang sebenarnya.

Ramadan kareem. Allah hu akram.

Tuesday, June 21, 2016

Memburu Rahmatnya Malam

Ramadan kali ini seakan lekas sangat berlalu. Kesibukan kali ini berganda. Yang ada dalam fikiran saya juga berganda. Oleh sebab itu apabila rakan bertanyakan tentang baju raya dan persediaan raya, saya segera menjawab, " saya tidak sempat berfikir tentang semua itu..."

Ramadan ini saya memilih waktu kerja anjal yang kedua iaitu 8 pagi sehingga jam 4.30 petang. Sesekali saya lari ke Semenyih untuk melawat cucu dan si sulung. Minda saya hampir tujuh puluh peratus berada di kampung. Kasihan emak.

Ya Allah, doa saya. Wanita ini telah mengorbankan seluruh hidupnya untuk membesarkan dan mendidik kami. Beliau telah banyak menderita sejak dalam kandungan ibunya lagi. Berikanlah keampunan, sama ada kesilapannya itu disengajakan atau pun tidak. Ampunilah dia. Sembuhkanlah dia.

Doa saya bertalu-talu menerjah langit Ramadan. Dalam memburu rahmatnya malam-malam Ramadan, saya berharap agar Allah memberikan kesembuhan.

Sunday, June 19, 2016

Puisi Buat Mak

Saya membacakan puisi-puisi saya tentang mak. Puisi-puisi itu saya tulis khas untuk mak dan dibukukan dalam Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, terbitan UUM Press.

"Mak faham tak?" tanya saya setiap kali saya selesai membacakan puisi-puisi itu.

Mak angguk. Saya tidak pasti mak faham atau tidak.

Kata saya, ada puisi yang saya tulis semasa mak sedang sakit teruk. Puisi itu tersiar di Mingguan Malaysia. Selepas mak sudah boleh bangun, saya tulis sebuah lagi puisi.

Saya membaca sambil menerangkan sedikit-sedikit.

Mak kembali sakit. Kasihan mak. Saya dan yang lain mencari di mana boleh bawa mak berubat. Tidak kisahlah di mana. Tidak mampu melihat mak kesakitan.

Sekarang kami masih berikhtiar. Mudah-mudahan mak sihat dan dapat mengerjakan ibadah haji yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi.

mak, bangunlah untuk kembali menjadi matahari!

Wednesday, May 25, 2016

Merindui Tidur

Saya merindui tidur.

Sejak kelahiran Kayyisa, saya hanya tidur sekitar dua jam sehari. Itu pun barangkali dengan kemahiran profesional iaitu tidur sambil duduk atau tidur-tidur ayam.

Jam 4.45 atau 5 pagi saya sudah mengeluarkan ikan atau ayam kampung beku dan meletakkannya di sinki. Saya masakkan nasi panas, memasak air mineral untuk minuman (kualiti air sangat teruk di Semenyih, sama seperti di Seremban), menggoreng nasi untuk bekalan menantu, mendidihkan air mandian bayi dan ibunya. Saya memasak dalam dua menu. Menu wajibnya ialah sup ikan atau ayam yang bersayur dan satu lagi, oleh sebab sudah memasuki minggu ketiga, saya menggoreng ikan atau ayam dengan garam dan kunyit yang sangat sedikit. Masih tiada halia, kunyit dan lada hitam sebab saya bimbang Kayissa ada prolongue jaundice. Dan dia menyusu badan seratus peratus.

Setelah semuanya siap, saya menukarkan ubat nyamuk elektrik sebab alat itu dipasang 24 jam sehari. Mengemaskan sampah dan bungkusan plastik lampin pakai buang, menyapu lantai dan memastikan Kayissa dalam keadaan selesa sebelum solat dan bergerak ke Seremban sekitar jam 6.30 pagi.

Sampai di Seremban, saya singgah membeli sarapan si adik dan makan bersamanya. Saya jenguk lima ekor yang setia menunggu saya di tingkap, memastikan ikan direbus, air minuman bersih dan tandasnya juga bersih. Biasanya saya tidak sempat memvakum lantai, itu saya buat sekitar jam 5.30 petang selepas pejabat dan sebelum bergerak semula ke Semenyih.

Hari-hari yang sibuk dengan wajah Kayissa di mana-mana.

Kerja di pejabat juga berlambakan di meja minda. Skrip jawapan yang perlu ditanda, JSU yang asyik dipinda dan dipinda, penilaian prestasi, pelbagai kerja yang tidak berhenti menjenguk.

Saya juga tidak melupakan emak. Setiap hari memastikan menghubungi emak dengan doa agar emak segera pulih. Saya setia berkunjung ke Seremban 2 membeli suplimen dan produk 4life untuk emak.

Kasihan emak, kasihan Kayissa, kasihan Laila yang sulung yang demam dalam pantang, kasihan Laila yang bongsu, kasihan kakak saya yang sudah kurang sihat, kasihan kucing-kucing saya...kasihan. Saya hanya ada dua tangan dan satu badan. Tidak mampu untuk saya menyantuni semuanya sekali gus.Alhamdulillah, saya masih boleh memandu dalam keadaan penat dan kantuk. Saya boleh melakukannya kerana apa? Kasih sayang...itulah jawapannya!

Dan semuanya mengingatkan saya kepada Nyah, kakak saya yang dulu berulang-alik setiap hari demi emak. Namun kini, Nyah sudah tidak sihat. Saya sangat bimbang. Hati saya luluh mengenangkan Nyah.

Saya faham, sekarang Allah sedang melatih saya untuk sesuatu. Terima kasih Allah.

Kayyisa...dan saya sudah ada nama untuk watak baharu dalam cerpen saya!

Meskipun saya merindui tidur, tetapi saya enggan bermimpi lagi.

Tuesday, May 24, 2016

Benarlah Katamu


Model Bibiyanalayola dan kumpulan puisi

Kumpulan puisi ini diterbitkan oleh UUM Press. Saya akui ini kumpulan puisi yang lebih baik daripada Pelabuhan Matahari sebab dua puluh tiga daripada keseluruhan enam puluh buah merupakan puisi-puisi yang pernah terbit di akhbar dan majalah.

Karya ini memang saya tujukan khas untuk emak dan sesiapa yang bergelar emak. Benarlah Katamu pernah memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan, kategori sajak. Saya mengirim senaskah kepada emak melalui poslaju, moga ada yang membacakannya untuk mak.

BENARLAH KATAMU
(Dedikasi Buat Bonda Absah Shary)

Terperangkap di jaring hujan
dan ribut kehidupan
aku terkenangkan katamu
puluhan tahun dahulu

“Setelah menjadi ibu
kau akan tahu
putih kasih mak
sonder syarat dan sebab”

Benarlah katamu
kerana telah berkali-kali dulunya
dalam gunungan sabar
kau diam menampal hati
yang ditusuk tajam tingkah dan kata
sepanjang jalan kami
menuju belantara dewasa

Setelah menjadi ibu
mengertilah aku
akan benarnya katamu
di mata ibu
seperti terbentang layar
dengan wajah anak
yang saling bergantian
beraksi di kamar ingat
dan marah seorang ibu
hanya berakhir di mulut
tidak pernah bertamu
ke lantai kalbu

Terperangkap di jaring hujan
ingin sekali kurangkul rindu
dan kukaut segumpal pesanan
dihangat putih kasihmu

Mingguan Malaysia
18 Mei 2014

Thursday, May 19, 2016

Jawapan Saya Kepada Soalanmu, Tuan!

"Bagaimana anda mengharungi hidup yang begini?" seseorang bertanya. Sudah tentu saya memahami akan maksudnya. Hidup yang sangat sederhana, mendekati dunia marhaen.

Mudah sahaja. Saya pun memang dari golongan marhaen.

"Apa lagi yang saya mahukan daripada hidup ini?" Tanya saya kembali. Soalan itu berdiam lama di udara.

Tuan, kata saya. Apa lagi yang saya mahu dalam kehidupan yang bagi saya sudah sangat mencukupi ini? Saya mempunyai ibu bapa yang meninggalkan kesan baik selamanya di hati saya. Mereka orang susah, tiada pendidikan tinggi, tetapi cukup bermakna apabila saya melihat mereka bersolat, berpuasa, hidup dengan serba sederhana, membantu orang. Saya ada adik beradik yang juga meninggalkan bekas yang baik di jiwa. Mereka juga tiada pendidikan tinggi, hidup secara biasa-biasa. Kadang-kadang kami bergolakan tetapi tidak lama.  Saya dikurniakan anak berbanding ada orang yang langsung tidak berpeluang menjadi ibu. Anak-anak perempuan saya mampu saya berikan pendidikan ke universiti, lulus dengan cemerlang dan mempunyai bakat tersendiri dalam bidang yang mereka suka. Setakat ini mereka sihat. Saya ada menantu,  melihat dia sujud kepada Allah, mengaji dan mengalunkan zikir; cukup mendamaikan hati saya. Saya sekarang sudah punya cucu yang sihat. Ada orang tidak berkesempatan melihat wajah cucu sebab dipanggil Tuhan untuk kembali ke sisi-Nya, Alhamdulillah saya masih diberi peluang. Saya ada jiran-jiran yang sangat murni hati mereka, saling membantu saat saya sukar. Saya juga ada sahabat-sahabat yang sanggup bersusah payah memudahkan segala urusan. Saya ada kucing2 yang cukup manja dan meriangkan hati.

Apa lagi tuan? Gaya hidup saya?

Ya, saya hanya ada rumah teres dua tingkat yang saya sewakan, dan kadangkala tidak berbayar sewanya. Di sini saya menyewa rumah kecil. Tiada perabot yang bagus pun. Memang tuan, sepatutnya saya tidak menghuni di rumah yang kosong seperti itu, tetapi saya gemar yang lapang begitu. Saya ada kereta kecil yang cukup memudahkan saya untuk ke sana sini. Saya mampu memandu walau sejauh mana pun. Saya memang ada penyakit, tetapi sekarang saya masih diberi nafas oleh Allah. Saya masih kuat untuk melakukan apa yang saya suka. Saya ada gaji meskipun bukanlah sebesar mana, mampu untuk saya melunaskan hutang, berkongsi dengan emak, keluarga, anak-anak, kucing dan anjing di jalanan serta sesiapa sahaja. Saya ada duit yang sesekali saya gunakan untuk membeli buku jika ada berlebihan sedikit. Bukankah buku itu sendiri memberikan kebahagiaan? Tuhan memberikan saya anugerah bakat yang mungkin sukar bagi orang lain. Ya, daripada bakat itu saya telah menulis dan menulis, berada di pentas dan dikenali juga dalam bidang susastera negara.

Nikmat Allah mana yang mahu saya dustakan?

Yang paling utama ialah Allah menenangkan hati saya ketika berdepan dengan apa jua ujian. Itulah nikmat yang tidak terkira. Biarpun di dompet saya hanya berbaki dua tiga keping not merah, tetapi saya tetap gembira. Hidup bukan untuk menjadi hamba wang, harta dan segala yang nampak gah di mata orang. Biarlah orang lain dengan dunia dan keghairahan mereka. Saya adalah saya. Saya tidak perlu menjadi manusia lain.

Begitulah tuan, jawapan saya terhadap segala kemusykilan yang bersarang di hati tuan!

Tuesday, May 17, 2016

Kayyisa

Kayyisa muncul pada sambutan Hari Ibu, 7 Mei 2016 jam sembilan sepuluh minit malam. Lokasi Hospital Serdang.

Kayyisa kecil, lebih kecil daripada ibunya dua puluh enam tahun yang lalu. Beratnya hanya sekitar 2.9 kilogram. Saya sedang mengikuti Kursus Intensif Haji yang sepatutnya berlangsung dua hari di kampus. Petang itu saya mendapat panggilan daripada Syed, menantu yang memaklumkan bahawa si sulung saya sedang sakit perut. Bergegas saya ke Rinching dengan kelajuan luar biasa. Menuju ke Serdang, meskipun kereta saya memiliki GPS, saya tetap sesat selama beberapa kali.

Menunggu sejak petang, saya tidak berhenti langsung untuk berdoa dan membaca surah Yassin. Saya kelaparan dan penat tetapi naluri keibuan saya mengatasi segalanya. Maghrib itu menantu saya dipanggil masuk ke dewan bersalin. Lebih kurang dua jam dia bertarung dan akhirnya lahirlah Kayyisa. Tanpa Sharifah di hadapan namanya. Maknanya bijak. Memang trend ibu bapa sekarang menamakan anak mereka dengan nama ringkas seketul. Saya menghormati hak mereka sebagai ibu bapa. Kita sudah berpeluang mempunyai anak dan memberikan nama kepada mereka. Sekarang hormati hak anak untuk memberikan nama yang mereka suka kepada bayi mereka. 

Bayi Kayyisa mengalami jaundis. Saya membawanya ke Pusat Rawatan Homopati Hassan di Bangi. Saya merentasi dua negeri setiap pagi dan petang. Dia tidak berpantang di rumah saya sebab kucing-kucing tidak bagus untuk bayi.

Moga cucu saya menjadi manusia solehah dan hafizah. Saya mengucapkan selamat datang ke dunia ibu kepada anak. Dunia yang tiada istilah lain yang lebih tepat melainkan satu perkataan sahaja iaitu pengorbanan. Dia sedang belajar meresapi semangat pengorbanan itu, moga dia akan memahaminya selalu...

Thursday, April 21, 2016

Saya sibuk sedikit, maafkan saya

Saya sibuk sedikit kebelakangan ini.

Minggu lepas, saya dijemput memberi ceramah berkaitan penulisan kreatif kepada sekumpulan tiga puluh orang pensyarah (sebenarnya dua puluh delapan sahaja) di Bangi. Hari pertama ceramah agak lewat sebab semua orang mencari lokasi dan diadakan pula di aras tiga, tanpa mikrofon. Hari kedua saya mohon izin ke HUKM untuk rutin biasa. Hari ketiga itu pembentangan dan ulasan. Bagus peserta yang ikut ceramah terutama seorang pensyarah dari Jabatan Sains, tidak silap saya.

Ada pengumuman juga, kumpulan puisi saya sudah terbit dengan rasminya dan akan dipamerkan di reruai UUM Press dalam PBAKL.

Kemudian pada 2 mei jam 3 petang, saya bersama Imlan Adabi akan "bersiaran" di reruai ITBM di MAEPS dalam acara Sesi Bersama Penulis.

Sekarang, saya sudah menyiapkan bab-bab untuk sebuah buku akademik. Sebuah lagi dalam proses penulisan.

Saya berasa minda saya bercabang-cabang. Merata-rata saya merayau. Saya merayau ke kampung nan jauh, "melihat" mak. Saya merayau ke Rinching, "melihat" si sulung.

Baru-baru ini kami menonton Teater Atas Pokok di pohon angsana taman tasik Shah Alam buah tangan Dinsman. Nantilah saya ceritakan apabila saya punya waktu yang bagus.

Monday, April 11, 2016

Sengaja Aku Memilih Beza

April 2016 Dewan Sastera

Sajak ini saya tulis ketika minum bersama Dr Faiziah di Kopitiam Orked. Saya minum kopi o dan Dr Faiziah seperti biasa tidak boleh hidup tanpa neskafe.

Sebenarnya saya bukan peminum kopi. Saya penagih teh tarik tetapi hari itu saya memilih untuk minum kopi yang hitam warnanya. Sengaja saya memilih beza untuk hari itu. Saya menikmati kopi dengan lempeng pisang yang enak.

Kena sesekali menikmati sesuatu yang lain untuk menjadi gembira.

Maka sebab itu saya memilih beza dengan sengaja.

Tuesday, March 29, 2016

Sudah Tua

Semalam saya ke HUKM, ke Klinik Onkologi. Hanya untuk rawatan rutin. Ketika ditanya usia anak bongsu saya, saya memberitahu doktor, usianya sudah dua puluh empat. Doktor muda yang sedang menekan-nekan tubuh saya itu berhenti sejenak, memandang muka saya dan berkata, "biar betul, puan. Tak nampak macam orang ada anak setua itu..."

Saya pun berkata dengan hidung yang sedikit kembang, "saya sudah lima puluh...sebulan lagi akan ada cucu".

Doktor itu masih tidak percaya. Melihat-lihat rekod saya.

Sebenarnya, mudah sahaja. Saya macam perempuan marhaen pergi ke hospital. Dengan selipar warna merah, seluar panjang, blaus labuh, tudung yang agak labuh, menyandang beg hadiah si bongsu yang dipenuhi gambar lakaran kucing. Saya tidak bersolek, polos begitu. Saya juga sibuk membaca buku Haruki Murakami yang dipenuhi kisah menarik tetapi keterlaluan jujurnya.

Kalau saya bergaya-gayaan, mesti nampak tua renta.

Tetapi doktor itu tidak patut sebab dia kata, "tak nampak macam orang ada anak setua itu..." kah kah kah! Anak bongsu saya sudah "setua itu".

20 Mac yang lalu saya menjadi tua. Kakak angkat dan kakak saya tersilap tarikh, awal sehari. Jadi mereka membeli kek dan hadiah untuk memeranjatkan saya. Tetapi akhirnya mereka yang terperanjat. Tahun ini saya mendapat hadiah yang banyak. Pelik juga. Kalau sudah lima puluh ertinya baki umur sudah tinggal sedikit. Takut juga saya. Bagasi masih banyak yang kosong.

Usia lima puluh, saya seronok juga. Bila sudah tua, orang hormat kita. Cuma masalahnya ada orang yang macam doktor itu tidak nampak ada kedut di muka saya. Bila nampak muda, orang kurang hormat. Malahan, memanggil kita dengan panggilan nama. Hilang mood saya kalau orang buat begitu, sebab saya rasa terhina. Mood untuk bersembanglah, mood untuk makan sentiasa ada hehehe...

Bila sampai di rumah, ada masalah juga sebab tidak disangka tua oleh doktor tersebut.

Saya jenuh membetulkan semula hidung saya yang mengembang itu!

Monday, March 28, 2016

Orang Yang Seperti Tanah

Kadang-kadang ada orang menjadi tanah, dilemparkan pelbagai kotoran, dipijak dan diperlakukan sesuka hati tetapi masih membalasnya dengan yang baik-baik. Tanah itu tetap menumbuhkan pokok dengan bunga yang cantik berwarna-warni, buah yang pelbagai rasa, sayur-sayuran yang berkhasiat.

Saya kenal dengan orang yang seperti tanah ini. Saya tidak mungkin sebaiknya. Barangkali orang akan tertipu dengan luaran saya yang kelihatan lembut tetapi jika mereka melihat hati saya, mesti jauh berbeza dengan orang yang seperti tanah itu. Dia kelihatan gagah, bersifat pelindung dan nampak tegas, namun di sebalik semuanya ini, hatinya cepat lembut dipenuhi cairan belas kasihan.

Sementara saya, adalah sebaliknya. Barangkali peribadi saya itu tercorak daripada pengalaman hidup yang memaksa hati saya menjadi keras. Jika tidak, saya mungkin sudah berada di sebalik tirai besi bersama orang-orang yang menyanyi dan ketawa sendirian.

Itulah keadilan Tuhan. Dia mencipta dengan sebaik-baik imbangan.

Saya sebenarnya tahu orang yang seperti tanah itu sedang sangat menderita, kecewa, putus asa, terluka atau...entah perkataan apa lagi yang dapat saya katakan. Maki hamun yang diterima, sangkaan-sangkaan buruk, sumpah seranah, segala-galanya...

Setelah mengorbankan kehidupan untuk membahagiakan seseorang yang sangat dikaguminya, akhirnya dia menerima lemparan-lemparan kotoran. Maafkan saya jika saya berburuk sangka. Saya pasti, atau hampir pasti ada iblis yang berupa manusia, menghasut dan menjadikan keadaan semakin buruk. 

Saya bukan tahu membaca manusia, tetapi setelah lima puluh tahun berjumpa dan terlibat dengan orang-orang berhati jahat, saya sangat yakin akan teori iblis menyamar manusia ini. Percayalah, bahawa suatu hari nanti, akan ada topeng-topeng yang terbuka oleh tiupan angin kencang.

Selalunya demikianlah. Meskipun setelah bertahun-tahun, setelah manusia lupa...Allah tidak akan lupa. Macam yang saya dengar berita, ada orang yang sangat berkuasa di sebuah kolej, melakukan penyelewengan bertahun-tahun, akhirnya apabila buku bertemu ruas, dia pun terjatuh ke dalam lubang yang digalinya sendiri.

Belum lagi masuk ke dalam lubang yang digali orang enam kaki ke dalam!

Kalau saya yang hati jahat ini menjadi yang seperti tanah itu, pasti saya membawa diri jauh-jauh. Saya tidak akan pulang. Saya akan menghentikan bantuan. Saya akan tidak peduli. Saya akan menukar nombor telefon, menutup FB, membina tembok yang tinggi sehingga saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tembok itu.

Itu kalau saya menjadi dia.

Tapi orang yang seperti tanah itu bukan saya.

Dia lembut hati sehingga saya pun berasa mahu menyimen hatinya.

Saya marah sebab dia begitu. Yang ramai-ramai melempar kotoran itu tidak akan insaf selagi tanah masih menumbuhkan pohon.