Total Pageviews

Tuesday, June 30, 2015

MELAYANI HIDUP

Anak-anak si Baby tiada yang memiliki warna bulu seperti abahnya. Dua bayi yang bulat, terkedek-kedek meneroka seisi rumah. Ibunya kelihatan waspada, mengekori salah seekor anaknya yang bersaiz lebih besar dan sangat aktif. Jika anak-anaknya sudah lena, dia akan datang kepada saya dan menelentang, minta diusap.

“Kepenatan ya, menjaga dua anak. Kasihan. Sudah tidak sempat mengemasi bulu sendiri...” kata saya sambil mengurut perutnya. Kalau sudah namanya ibu, tidak kira ibu manusia atau kucing, memang begitulah!

Anak-anaknya bersaiz besar, sebab ibu dan abahnya memang baka begitu. Puput selalu memerhati dengan diam bola-bola bulat berbulu itu merayap-rayap di lantai.

Sebentar lagi, barangkali dalam Julai ini, giliran Comel pula menjadi ibu yang sibuk. Rumah ini pun akan menyaksikan pertambahan jumlah kucing. Seperti mahu menempah rumah kucing yang saya lihat di laman pencinta kucing, tetapi bimbang jika kucing-kucing itu dicuri orang jika saya letakkan di garaj!

Kena berhati-hati berjalan sebab takut terpijak makhluk kecil yang gemar sekali menyelerakkan selipar yang dipakai di dalam rumah.

Beberapa hari ini, atau beberapa minggu selepas keluar hospital, hidup menjadi sedikit kelam-kabut. Mak yang sudah sedikit sembuh tangannya, tiba-tiba jatuh di jalanan sewaktu pulang dari terawih dan tadarus. Langsung tidak boleh berjalan, solatnya berlunjur, hanya terbaring begitu. Sejujurnya saya sangat kagum dengan kakak yang bekerja di Ipoh itu. Dia sanggup berulang dari Lenggong ke Ipoh setiap hari dengan kudrat perempuan berusia lima puluh dua, yang bukannya sihat sangat pun. Cara dia menguruskan mak, ubat, peralatan sokongan, makanan dan penjagaan lain memang saya sendiri pun tidak terbuat. Tidurnya tidak cukup. Tiada juga istilah rehat.

Saya balik juga ke kampung dengan ditemani Puput. Anak saudara yang memandu. Kucing-kucing lain saya tinggalkan bersama si sulung.

Mak seperti biasa. Pagi sewaktu saya mahu pulang, mak mengemas tilamnya. Saya nampak mak cuba bangun bertongkat ke tandas. Saya tahu mak mahu “memberitahu” saya bahawa “mak sudah semakin bagus. Jangan bimbang. Lihat, mak sudah boleh bangun!”

Dan saya tahu, mak seperti mak-mak yang lain. Cukup pandai berlakon untuk menenangkan hati anak-anak!

Berat hati saya, sesungguhnya untuk bergerak balik. Kalaulah saya ada upaya kewangan, memang saya berhenti kerja dan menemani mak. Mak juga sukakan Puput yang gemar menggonggong stokin mak ke sana sini.

Ramadan ini kami tidak sempat berfikir mengenai juadah yang macam-macam. Kesibukan-kesibukan melayani masalah hidup sudah cukup mencabar minda dan tenaga.

Sesungguhnya lagi, saya masih belum berhenti diuji!

Wednesday, June 24, 2015

Mencari Sempurna

Pagi ini saya mahu memberi tazkirah kepada hati sendiri. Walaupun sudah tua dan telah melalui serba serbi jalan hidup, hampir terjatuh ke dalam gaung, atau hampir lemas ditelan gelora...atau pernah berada di silara segala, kadang-kadang sebagai manusia (alasan klise), hati saya mahu ditakluki awan hitam dengan guruh sabung menyabung.

Saya tertarik dengan cerita ini. Tentang mencari kesempurnaan. Kisah seorang murid ini bertanyakan gurunya bagaimana mahu mencari sesuatu yang cantik dalam kehidupan. Pesan gurunya, “Kau pergi ke taman bunga itu, berjalan lurus dan carilah bunga tercantik. Jangan berundur kembali ke belakang”.

Baik. Murid ini pun berjalan lurus melalui taman yang dihuni pelbagai bunga itu. Tetapi ketika sampai di hujung jalan, gurunya mendapati dia kembali dengan tangan kosong.

“Mana bungamu?”

Si murid mengeluh. “Saya sudah nampak bunga yang cantik tetapi hati saya berkata barangkali di depan sana ada lagi bunga tercantik. Begitulah seterusnya sehingga akhirnya saya dapati saya sudah tiba di hujung jalan. Saya tidak boleh berpatah balik ke belakang walaupun saya menyedari bahawa saya sudah menemui banyak bunga yang cantik...”

Seperti kitalah. Tergila-gilakan kesempurnaan. Sehingga kadangkala menjadikan kita manusia yang kurang bersyukur. Mencari yang sempurna itu bagus tetapi sempurnakanlah diri kita dahulu. Jika kita pun kurang atau langsung tidak sempurna, mengapa kita meletakkan orang lain dalam standard yang maha sempurna?

Untuk mudah fahamnya, beginilah. Saya dididik oleh emak, sebelum tidur mesti mengemas dapur, kecuali kalau benar-benar tidak larat atau sakit supaya apabila kita bangun pagi, hati kita berasa lapang melihat dapur yang tidak comot. Atau selepas makan di mana sahaja, mesti menyorong semula kerusi dengan kemas. Sebenarnya ini menggambarkan peribadi kita.

Kita kena buat dahulu. “Sempurnakan” dapur kita sebelum tidur dan “sempurnakan” kerusi kita selepas makan. Selepas itu barulah kita boleh menuntut “kesempurnaan” orang lain. Ada anak yang dididik dengan kaedah yang sama. Ada yang mahu ikut, ada juga yang menganggapnya sebagai sesuatu yang remeh.

Pokoknya, memang kalau boleh kita mahu semuanya serba sempurna.

Namun jangan sampai kegilaan kita mencari yang sempurna itu menyebabkan kita rabun sehingga tidak nampak sesuatu yang telah sedia menghampiri sempurna. Lalu kita jadi manusia yang gagal bersyukur.

Mari kita mengemas dapur selepas sahur, menyapu segala habuk di lantai dengan rasa syukur sebab lantai dan dapur kita masih sempurna.

Bayangkan dapur dan lantai di Ranau selepas gempa bumi yang lepas.

Sunday, June 21, 2015

Hari Bapa Yang Biasa

Ahad semalam ada sambutan Hari Bapa.

Saya tiada ayah. Almarhum ayah sudah pergi meninggalkan kami sejak lima belas tahun lalu. Memang kesedihan-kesedihan itu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Ayah saya pendiam. Dia ada peribadi seorang bapa. Sudah pastinya dia bapa yang bukan “bapa moden” seperti bapa-bapa sekarang.

Ayah dan kami, ada batasan yang mesti dijaga. Kami diajar menghormati ayah dengan cara didikan tersendiri. Tabik saya kepada mak dan ayah yang tiada pendidikan formal seperti kami, tetapi berjaya mewujudkan kasih sayang antara ahli keluarga, dengan kesantunan dan adab yang barangkali sangat jarang lagi diamalkan oleh keluarga “moden”.

Ayah tidak begitu pandai mempamerkan kasih sayang. Dia keseganan kalau terserempak anak perempuan berkemban. Kami menjaga aurat dan kelakuan jika mendengar batuk atau dehem ayah meskipun saat itu kami sudah bergelar ibu. Saya tidak pernah mencium pipi atau memeluk ayah pada saat kedewasaan saya meskipun saya antara anak kesayangan ayah disebabkan kondisi saya yang selalu kurang sihat sejak kecil.

Ironinya, saya mengucup dahi ayah, memeluk dan baring di sisinya tatkala dia sudah bergelar jenazah!

Ya. Saya akui bahawa saya sangat menyesal sebab tidak memeluk ayah semasa hayatnya. Pasti ayah sangat teringin anak-anak perempuan memeluknya seperti saat kami masih kecil.

Anak-anak saya juga tiada ayah dalam konteks yang tersiratnya meskipun ayah mereka masih hidup dan sedang menanti kelahiran anak kecil daripada isterinya yang ketiga.

Mereka juga tidak kisah memeluk dan mencium ayah kandungnya meskipun ada “jarak” yang jauh antara mereka. Pada saat melihat anak-anak yang ditinggalkan berdiri sebagai manusia dewasa dengan corak pemikiran tersendiri, saya tahu hati ayahnya sarat dengan sesalan. Namun masa tidak lagi boleh dikembalikan meskipun kita mahu menukarkannya dengan sebanjaran emas permata.

Anak tetap anak dan ayah tetap ayah yang mesti dihormati. Hanya peringatan saya kepada lelaki-lelaki di luar sana, juga untuk yang wanitanya. Kita tidak sentiasa muda. Anak-anak itu juga tidak akan selamanya kecil. Mereka akan membesar dan belajar mentafsir kehidupan. Kita akan menjadi tua, dengan penyakit di sana-sini, dengan kudrat yang sudah meminggir. Suatu saat segala kemasyhuran akan pergi juga. Pada ketika itu, tiada yang lebih berharga daripada anak-anak yang sentiasa mengambil berat dan mengasihi.

Biasanya bola yang dilontar ke dinding akan melantun semula ke arah yang melontar, meskipun sesekali tersasar arah. Jangan berasa aneh jika tiada bola yang melantun semula ke arah kita sebab kita yang tidak pernah melontarnya ke dinding.

Jika sudah takdirnya mempunyai rumah lain, jangan abaikan yang sudah sedia ada. Jangan lari daripada tanggungjawab sehingga agama kita dipandang hina oleh mereka yang tidak faham. Ajaran agama kita bukan begitu. Jangan menjadi penyumbang kebobrokan umat. Islam telah menggariskan segala aturan yang maha sempurna. Sangat sukar kehidupan bagi seorang ibu sendirian membesar dan mendidik anak-anak tanpa bantuan kewangan dan sokongan.Pakailah "kasut" mereka dan rasakan sempit yang menggigit!

Itulah Hari Bapa. Hanya Ahad yang biasa-biasa.

Wednesday, June 17, 2015

Katil No 10 Wad 2B

Isnin itu saya pun masuk wad 2B. Wad yang lebih lapang, pendingin hawanya sesuai dan ada bilik solat. Hari pertama dijalani dengan rutin biasa iaitu kekerapan memeriksa tekanan darah, jantung, pengambilan darah dan sinar x.

Malam saya diberikan pil tidur dan mula berpuasa. Pakar bius datang dan menerangkan prosedur yang bakal dijalani esok. Esok saya akan mengalami satu pengalaman baharu yang tidak pernah saya jalani tiga kali sebelumnya.

Di hadapan saya ada pesakit separuh baya yang agak cemas dengan segala makluman yang diberikan doktor. Kenapa begitu? Setiap kali doktor datang memaklumkan sesuatu, dia pasti akan menelefon seberapa ramai orang yang boleh, dan saya mendengarnya sebab dia bercakap kuat!

Kebanyakan yang ada berhampiran adalah ibu-ibu muda. Kedengaran juga bunyi suara bayi menangis sebab ini juga wad untuk ibu bersalin. Di sisi pesakit yang selalu cemas itu ada seorang nenek tua berbangsa Tionghua yang hanya baring sahaja, makan dan membuang najis di katil. Kasihan melihatnya. Saya yang terpaksa baring beberapa lama pun sudah begitu lenguh, inikan pula nenek yang sudah tua.

Dan saya mencatat di laman muka buku. Seorang nenek tua berbangsa Tionghua sedang disuap makanan oleh jururawat manis berkerudung. Sabar dan tekun. Ya, saya sedang melihat kemanusiaan!

Beberapa kali nenek itu membuang najis dan dengan penuh sabar juga para jururawat menjalankan tugas membersihkan kotoran. Hebat betul para jururawat itu! Saya memang tabik dengan kesabaran mereka melayani pesakit yang pelbagai ragam.

Malam itu botol air bergantungan di sisi katil. Masalah betul untuk saya yang suka ke tandas! Keesokan harinya, saya masih belum dipanggil ke OT. Jam dua petang, barulah tiba giliran saya. “Janganlah teruja sangat Mak Yang...” kata anak saudara saya, Mastura yang datang dari Shah Alam. Bukan teruja, tetapi saya mahu lekas selesai. Tak daya menanggung seksa botol bergantungan dengan jarum di tangan yang menikam-nikam.

Saya disorong ke OT di aras bawah. Dengan sapaan para doktor dan petugas yang sangat ramah, santun dan menenangkan. Memang saya tulus memuji. Mereka sangat profesional, kemanusiaannya juga tinggi. Tulang belakang saya dicucuk. “Peluk kuat bantal” kata seorang. Saya membaca Bismillahhilllazi...Allah kurangkanlah kesakitan ini...

Perlahan-lahan menjalar satu rasa dari bahagian pinggang ke kaki. Alat pemanas diletakkan di bahagian dada sebab OT sangat sejuk. Dan mereka juga memasang radio!

Saya sudah dibius separuh badan. Dapat merasainya tetapi langsung tidak sakit. Doktor menunjukkan benda yang dibuang itu. “Kita kena hantar ke makmal...”katanya.

Jam empat saya sudah keluar dari OT dan balik ke wad dengan botol air yang masih bergantungan, juga tiub untuk kencing. Hohoho...ini masalah baharu, kena kencing sambil baring. Ini satu cabaran yang sangat dahsyat.

Jam delapan baru kesan bius hilang dan saya boleh makan. Tapi selera sudah mati. Si bongsu dan kawan-kawan pulang jam 7.45 malam dengan meninggalkan botol air berdekatan supaya mudah dicapai. Lenguhnya Tuhan sahaja yang tahu.

Tengah malam, saya terjaga dengan kesan pedih yang amat sangat, di samping nenek tua yang asyik memanggil-manggil anaknya. Kasihannya...saya mencatat dalam minda dua perkataan iaitu “membaca sunyi”. Mana tahu akan berguna di kemudian hari.

Sabarlah hati. Dan saya jadikan nenek tua itu sebagai dorongan. Dia yang sudah renta dan kena baring sepanjang masa, pasti mengalami kesakitan berganda. Sedangkan saya baru mahu menjenguk pintu lima puluh sudah mengeluh-ngeluh!

Pagi hari ketiga, jururawat datang untuk membuka tiub kencing. Huuuu...nikmat kesakitan dan kepedihan! Kemudian saya dilawati specialist-to-be, kumpulan doktor yang Insha-Allah akan menjadi pakar nanti.

Cadar ditukar sebab ada kesan darah. Saya masih tidak berani minum atau makan banyak. Saya dimaklumkan boleh balik menjelang tengah hari atau awal petang. 

Saya menyerahkan buku-buku saya kepada jururawat dengan catatan “saya melihat kemanusiaan di wajah kalian. Tahniah dan terima kasih. Anda adalah wira”. Di buku lain saya mencatat, “moga terus menjadi matahari di pelabuhan hati pesakit”.

Hari ini rumah Ramadan menjemput kita masuk ke dalamnya. Wah...saya berjaya untuk tidak menyambut puasa di wad. Tahniah. Tahniah untuk diri sendiri.

Sampai di rumah dan membuka pintu...si Puput menangis-nangis, dengan Comel dan Atat yang nampak lapar. Baby keluar dari bilik kemudian menyertai adik beradik angkatnya. Saya melihat bekas makanan kosong. Sesuatu yang luar biasa. Masing-masing datang “mengadu”. Barangkali hairan ke mana ibu pergi selama tiga hari.

Kelegaan yang maha bagus ialah apabila anak-anak saya ini berada di hadapan mata. Sepanjang di wad, mereka sahaja yang saya bimbangkan terutama si kecil Puput.

Selamat berpuasa semua pembaca. Semoga Ramadan ini memberi makna.

Terima kasih Allah sebab memberikan saya pengalaman baharu...berasa kaki saya menjadi seperti kaki gajah yang tebal dan berat! Menyaksikan para pakar melakukan pembedahan dengan mata yang terbuka!

Nasib baik tidak boleh selfie!

Sunday, June 7, 2015

SUATU PETANG DI SENAWANG

Saya ada photo-shoot dengan jurugambar akhbar. Berjanji untuk bertemu di Ice Room Senawang. Tidak lama kemudian wartawan muda sebaya anak sulung saya muncul dengan dua kawannya.

Tidak banyak pun yang mahu diceritakan sebab saya sudah menyediakan beberapa maklumat yang mungkin dapat membantu wartawan tersebut menulis berita. Sekarang memang mudah sebab buat sahaja carian di internet, tetapi saya bimbang sebab maklumat mengenai saya tidak dikemas kini, khususnya buku dan karya terkini serta anugerah yang diterima.

Dahulu, kami mendapatkan berita dengan cara membawa alat perakam yang ada kaset kecil yang mahal harganya. Kalau rosak memang habislah. Menaip pun guna mesin taip sahaja. Mahu cari maklumat pun sukar sebab tiada internet.

Kini segalanya di hujung jari. Tetapi cabarannya tetap sama. Menjadi wartawan di meja tertentu kena tahu segalanya mengenai meja itu. Kalau sukan, kena kenal siapa Santokh Singh. Kalau artis kena tahu siapa Rafeah Buang. Kalau sastera kena tahu siapa Pak Sako, kalau meja politik kena tahu siapa King Ghaz. Kalau meja jenayah, kena tahu juga siapa Botak Chin.

Kena tunggu akhbar Rabu untuk melihat berita mengenai saya itu. Biasa-biasa sahaja. Saya hanya mahu mak tahu bahawa janji saya dua puluh lapan tahun yang lalu untuk mak sudah tertunai.

Terima kasih mak. Dan saya akan bacakan berita itu untuk mak nanti.

Thursday, June 4, 2015

Hmm...hmm...

Dunia kepenyairan sudah berubah. Menjadi dunia lakon, dunia pura-pura. Pendek kata, kalau mahu glamor, masuk saja ke dunia penyair. Tidak perlu jadi artis yang berlakon di telenovela yang sangat menggambarkan tahap pemikiran masyarakat kita. Tulis sajak, kutip sana-sini, tampal-menampal dan jadilah sajak. Ejaan tidak betul, kata sendi juga ikut suka hati mahu taip. Janji ada kata-kata yang dianggap sajak. Tak payah fikir gaya bahasa, identiti atau struktur binaan sajak.

Kalau ada majlis, pakai glamor-glamor, selfie sana sini. Tiada beza apa pun dengan artis di dunia yang lagi satu. Berbaik-baik dengan penerbit atau orang-orang besar sastera dan kemudian terbitlah sebuah kumpulan puisi yang tahapnya macam budak sekolah menulis. Emosi merata-rata, pemikiran dan keintelektualan nihil. Ada juga skandal di situ dan di sana. Tulis macam malaikat tapi hakikatnya tanduk iblisnya bukan dua, tapi berpuluh-puluh.

Huh...saya merenung kembali tuduhan-tuduhan itu. Itu pandangan peribadinya.

Lebih separuh daripadanya, kita kena akui kebenarannya dengan hati pedih.

Kalau dahulu, kita selalu melihat dunia kepenyairan sebagai sesuatu yang murni-murni, sekali pun masih ada tompok hitamnya. Penghuni dunia kepenyairan itu memang perilaku dan imejnya aneh, tidak banyak bersuara, pemerhati yang tajam, prinsip hidupnya mudah, penampilan mudah, sudah memiliki identiti sendiri, mata dan hatinya bersatu, menekuni segala isu besar lokal dan global, turun ke lapangan untuk merasai denyut nadi kehidupan masyarakat marhaen, tidak terseret-seret dengan segala cerita artis terselak kain atau gosip murahan. Dunia glamor tiada dalam senarai keutamaan.

Saya ingat sesuatu yang pernah saya baca mengenai sajak. Bukan mudah mahu menulis sajak sebab sajak itu “susunan terbaik daripada kata-kata terbaik”. Mahu bercerita tentang sesuatu yang besar dalam baris-baris yang sedikit. Bukankah susah? Mesti ada pemikiran di dalamnya, ada keintelektualan, ada segala unsur yang membina rumah sajak. Tetapi sekarang semua orang mahu tulis sajak. Semua orang mahu buat buku sajak. Mutunya, entahlah. Saya bukan pengkritik. Saya tidak pandai benda-benda begitu.

Nota hati: (Walau apa pun dikata orang mengenai Dibipi, saya masih kekal menyanjung tinggi institusi ini. Tiada keraguan jika kita mahu menikmati hasil karya yang diterbitkan Dibipi. Mutunya sangat dijaga).

Tuesday, June 2, 2015

BibiyanaLayola Menjadi Mak

Kucing adalah makhluk yang faham kalau tuannya bercakap.

Tidak percaya?

Saya yakin sesiapa yang ada memelihara binatang seperti kucing, anjing atau kuda...atau yang seumpama dengannya pasti bersetuju dengan saya.

Waktu mahu bergerak pulang ke kampung Sabtu itu, saya berpesan kepada Baby. “Tunggu ibu balik baru Baby bersalin ya. Tapi kalau mahu bersalin juga, Baby bersalin di sini...” saya membawanya ke sudut bilik. Saya tidak sempat mencari kotak besar. Jadi ada besen besar di situ yang saya alas dengan kertas akhbar dan kain.

Kepada Comel juga saya berpesan berkali-kali, “jaga rumah, jaga adik (Baby). Jangan ajak bergurau kuat-kuat sebab adik tak sihat...”

Kedua-duanya berguling-guling di hadapan saya. Berbunyi-bunyi juga. Memang bimbang sebab Baby jarang mengiau. Saya usap mereka dan kata, “ibu balik sekejap saja. Tengok opah, ambil novel...”

Mujur saya sampai di rumah malam Isnin. Membawa bersama si Puput, si kenit yang comel dan lincah (Puput ini lelangitnya hitam. Dia sangat kecil tetapi kuat menarik jubah yang saya letak di tengah rumah. Ditariknya ke tepi dinding seakan berkemas. Suka memanjat badan waktu kita sedang duduk dan kemudian boleh tidur lena di leher).

Pagi Selasa sewaktu sedang bersiap-siap untuk menghantar Atat masuk wad, Baby keluar dan datang ke hadapan saya, berbunyi-bunyi. Dia masuk ke dalam bilik dan kembali kepada saya. Saya menunjukkan besen di tepi dinding tetapi dia enggan masuk. Oleh sebab itu saya mengeluarkan baju-baju dalam kotak di bawah meja solek dan dia masuk ke dalamnya. Dalam tempoh saya menghantar Atat dan menguruskan poslaju buku-buku saya itulah barangkali Baby bersalin.

Waktu balik, saya pergi menjenguknya tetapi saya tidak perasan ada bayi sebab warnanya gelap. Ketika membuka lampu, saya baru perasan. Saya terus menghubungi si bongsu dan menangis. Kasihan Baby bersalin sendirian. Patutlah ketika saya membuka pintu, si Comel dan Puput tiada di ruang tamu. Kedua-duanya sedang duduk diam dalam bilik menemani Baby.

Selasa 2 Jun 2015.

Dua ekor bayi itu kelihatan seperti ibunya, tiada yang nampak berwarna kencana seperti Atat.

Sudah menjadi enam ekor sekarang. Saya pun semakin sibuk.

Sudah puas menjadi emak orang, sekarang jadi emak kucing pula.

Monday, June 1, 2015

Puput

Si bongsu memaklumkan yang dia mengutip bayi baharu. Sangat kecil. Bersendirian mahu melintas jalan di Saujana Utama. Rasanya baru berusia sekitar dua minggu.

Hampir sahaja makhluk kenit itu ditabrak kereta si bongsu. Mujur rakannya nampak. Bayi itu berkutu. Saat dimasukkan dalam kereta, dia membuang angin dua kali. Lalu saya namakannya si Puput.

Saya mahu pulang sekejap ke kampung. Puput terpaksa dibawa balik juga. Calico. Sama seperti Naget. Cuma wajahnya bulat dan badan tidak panjang melentik seperti Naget. Comel dan pandai juga membawa diri. Saya beli minyak zaitun untuk bayi dan melumur badannya untuk membuang kutu.

Semalam waktu membawanya keluar kereta, anak Tuty berteriak, "adik Naget ya?".

Sesi berkenalan dengan Pak Cik Atat, Mak Cik Baby dan Mak Cik Comel. Baby yang sarat hanya mendesis dari jauh. Comel dan Atat agak teruja dan sesekali mahu menerkam. Comel merajuk, langsung enggan didukung macam selalu, meminggir ke tepi pintu.

Pagi ini menghantar Atat untuk pemandulan. Tidak sampai hati melihat wajah cemasnya. Dia melihat saya dengan muka kasihan. Berat hati mahu meninggalkan dia di situ sehingga seorang pelanggan berkata, "tak apa. Dia selamat di sini..."

Atat akan bermalam di klinik.

Sementara Baby datang dan memanggil saya masuk ke bilik. Saya tunjukkan tempat untuk bersalin tetapi dia seakan tidak setuju. Dia pergi ke bawah meja solek yang terlindung. Jadi, saya kosongkan kotak pakaian yang ada di situ. Dia terus masuk dan baring.

Saya masih ada urusan di luar.

Harap Atat dan Baby OK. Si Comel pun harapnya dapat menerima Puput yang sangat kecil itu.