Total Pageviews

Wednesday, May 27, 2015

Ingatan Terhadap Hujan

Hujan petang Rabu. Sepatutnya selepas tamat kursus dalaman tadi, saya dan seorang rakan perlu ke ibu kota untuk berbengkel mengenai drama. Tetapi hanya Allah yang tahu mengapa pada saat akhir itu semuanya terbatal. Mungkin doa si kucing yang keberatan mahu ditinggalkan tuan.

Jam sudah melepasi lima setengah petang. Kami terkurung di jabatan yang sudah berpindah aras. Kamar yang lebih luas, lebih selesa. Hujan melebat di luar. Ada guruh juga yang mengaum di langit. Dr Faiziah meratapi seekor ikan emasnya yang mati. Tinggal seekor yang masih hidup. Waktu saya tinggalkan dia dengan pesan, “Datin...nanti boleh tolong hantar Faiz ke surau?”, dia masih meratapi kematian ikannya itu. Tidak boleh menunggu ratapannya berakhir sebab saya teringat kucing-kucing saya yang nanti tempias dan kehujanan.

Waktu pulang dalam hujan, saya ternampak sesuatu. Seorang ibu muda sedang berpayung, menolak kereta sorong bayinya yang bertutup litup dengan baju hujan. Saya memperlahankan kereta, ada sesuatu juga yang tiba-tiba meledak di ingatan.

Ingatan-ingatan itu. Hujan. Payung. Kereta sorong. Bayi.

Saya berhenti lama di sisi jalan. Merayu minda supaya jangan mengenang. Padamkan cepat. Padamkan cepat!

Tetapi memori itu kekal di situ, malahan berasak-asak mahu menjenguk keluar.

Seorang ibu muda yang berpayung. Itu lebih baik daripada perempuan kurus bertubuh kecil yang basah kuyup meredah hujan. Membalut kereta sorong bayinya dengan baju hujan supaya bayinya kekal kering. Kesejukan bukan sesuatu yang menakutkan. Guruh yang berteriak di langit juga bukan lagi satu ketakutan. Bayi itu bukan seorang, tapi berdua. Berhimpitan dalam kereta sorong yang sudah usang.

Waktu keluar mahu membuka pintu pagar, ada air mata yang bercampur dengan hujan yang masih melebat turunnya dari langit!

Saturday, May 23, 2015

Kucing Tanpa Misai Sebelah


Budak yang sakit mata

Hari ini entah-entah saya kepengsanan sendirian!

Saya jarang tidur siang kecuali jika sangat-sangat penat. Kalau tidur pun tidak lama, akan terbangun-bangun untuk ke tandas atau terjaga sebab diganggu Comel.

Tetapi siang tadi saya tidur dari waktu awal dhuha sehingga melepasi Zohor. Terjaga pun sebab perut kelaparan. Awal pagi hanya sarapan dua keping roti, secangkir air lemon panas dan segelas air suam. Nasib baik kucing-kucing itu telah diberikan makanan ikan rebusan, sudah dibersihkan kotoran. Segera saya makan dua biji pau yang diberikan jiran awal pagi tadi demi menghentikan muzik yang berdendangan dari dalam perut.

Saya fikir Comel dan Baby ada mengejutkan saya macam biasa tetapi saya tidak jaga. Memang badan sangat lemah dan saya tidak melaksanakan rutin biasa jika cuti umum.

Seingat saya, malam pun saya tidur awal sambil menahan kesakitan di pinggang kanan. Batuk masih ada sedikit.

Asalnya saya mahu balik ke kampung, langsung singgah di KK mengambil beberapa naskhah novel Suci. Sudah ada yang memesan sedangkan saya belum berupaya untuk mengambilnya. Terpaksa membatalkan niat sebab bimbang tidak mampu bertahan berjam-jam duduk dalam kereta.

Sebagai manusia yang lemah (klise bunyinya...huhu), semangat saya agak menjunam ke bawah dalam beberapa waktu ini. Apabila ada perkara yang mengganggu atau terlalu mengganggu fikiran, akan menjadikan fizikal yang tidak sihat menjadi semakin tidak sihat. Benar-benar memburukkan lagi keadaan meskipun saya cuba berlagak riang gembira dan sihat sejahtera (dan siapa tahu kalau kita menangis teresak-esak di bawah selimut?).

Ya ya ya...kita akan berkata kepada diri sendiri, persetankan dengan segala yang cuba menjahanamkan diri kita...tetapi percayalah, hanya orang yang hatinya diperbuat daripada batu sahaja yang akan berjaya!

Saya pasti esok saya akan kembali gembira. Mesti gembira.

Catatan:
Hari ini saya sangat berdukacita. Saya telah tergunting semua misai si Baby di sebelah kanan. Puncanya saya mahu buang gumpalan bulu di lehernya. Kasihan Baby, dia sudah sarat. Mata kanannya berair pula. Sudah bawa sampai ke klinik di Senawang tapi klinik tutup!

Walaupun tidak bermaya, saya keluar juga membeli segala keperluan kucing-kucing itu dengan perbelanjaan sekitar RM500 termasuk GST!

Huh!!!

Wednesday, May 13, 2015

Si Kecil Boboi?

Barangkali minggu hadapan, ada ahli keluarga baharu. Seekor bayi kecil yang dijumpai si bongsu.

“Adik pergi belikan susu, sabun dan botol. Kecil sangat. Tidak sampai hati mahu lepaskan di rumah kosong. Bimbang dimakan anjing atau bapa kucing”

Dan dia juga sempat membebel sebab kena GST!

Kasihan. Saya mencadangkan dia hantar sahaja ke rumah. Tidak mengapa jika terpaksa berkongsi sekejap dengan kucing-kucing yang ada.

“Kutunya banyak. Kasihan betul...”

Dia menumpangkan sekejap bayi itu di rumah kawan-kawan lelaki sebab teman serumahnya tidak sukakan kucing.

“Kawan-kawan lelaki adik buatkan rumah kotak. Mereka panggil dia Boboi. Tapi adik rasa dia betina. Nanti Isnin petang adik ambil dan bawa balik. Ada kawan di rumah itu yang tidak suka kucing...”

Saya tidak kisah. Macam Naget juga. Badannya berkurap dan berkutu tapi kalau dirawat dan diasingkan, dia akan sembuh meskipun mengambil masa. Rasanya bayi ini lebih kecil daripada si Naget.

Sementara menanti kelahiran bayi si Baby dan Comel, saya rawat dulu si kecil itu. Kasihan dia terbiar sendirian begitu. Jahatnya manusia.

Hmmm...tiba-tiba saya terjentik dengan sesuatu.

Nampaknya bukan sahaja wajahnya seiras saya, malahan perangainya juga yang kasihankan makhluk berbulu itu meskipun alahannya sangat kuat.

Mengenangkan bahawa dia akan memandu satu jam lima puluh minit dengan seekor kucing kecil dalam kereta, entah berapa puluh kalilah dia akan terbersin agaknya?

Monday, May 11, 2015

USIA 23 MATAHARI KECILKU



Mei sebelas 1992. Awal pagi Selasa, kalau tidak silap saya.

Budak debab ini pun lahir menyapa dunia.

Dia lahir waktu awan mendung sedang berarak di atas kepala. Tetapi saya mengajarnya untuk selalu mengintai matahari. Hidup dengan gembira supaya kita mati pun dengan gembira.

Maka dia pun hidup dengan gembira seadanya. Makan apa yang saya makan, baca apa yang saya baca. Dia mengekori saya ke mana-mana. Dengan pen di tangan dia melakar gelagat ibu dan rakan-rakan. Beberapa tahun ini dia juga rajin merakam dengan kamera yang berat bergantungan di lehernya.

Rakan-rakan saya adalah rakan-rakannya. Mereka mengenalinya meskipun dia tidak menulis sajak atau cerpen. Dia menulis blog yang namanya Frekalicious Strawberry, medium bahasa Inggeris. Menulislah dengan jujur supaya pembaca dapat belajar sesuatu, pesan saya. Dia juga melukis komik. Barangkali memang tiada bakat menulis sajak atau cerpen. Kakaknya juga mewarisi ketidakpandaian saya melukis tetapi juga merupakan seorang penulis blog medium bahasa Inggeris.

Budak ini selalu menjaga ibunya terutama sejak saya dilamar penyakit. Dia yang berfikir untuk saya sehingga adakalanya saya rasa otak saya sudah tiada.

Kadang-kadang kasihan melihat dia yang sanggup pulang jauh-jauh, berkejar dengan tugasan di kampus demi memastikan saya berada dalam kondisi bagus.

Matahari kecil saya ini sudah dua puluh tiga tahun berkongsi hidup dengan saya dan kakaknya. Saya harap dia terus hidup dengan gembira, mampu melihat sehelai rumput hijau yang tiba-tiba muncul daripada selembar rumput kering di tepi jalan.

Jika ada mendung yang masih degil berarak di atas kepala, dia hanya perlu merasakan dinginnya cuaca. Tidak mengeluh tetapi menikmatinya dengan gembira.

Selamat naik ke lantai dua puluh tiga, matahari kecil ibu!

Sunday, May 10, 2015

Kasut Yang Koyak Dan Hatinya Retak



Mingguan Malaysia, Ahad 10 Mei 2015.

Alhamdulillah, Mei memang bulan saya. Ini kalilah!

Ada yang bertanya dari mana ideanya. OK. Saya nampak kakak saya memuatnaik sekeping gambar mak yang sedang duduk di pangkin (saya rasa pangkin batang pinang) yang baru dibina abang. Mak sedang makan buah mangga yang berbuah lebat di kampung.Itu idea pertama.

Beberapa minggu sebelum itu, saya asyik mengulang ayat "kasut ibu yang koyak dan hatinya retak" di hadapan muka si bongsu. Selain sibuk dengan pembentangan seminar kajian tindakan, saya juga kena ulang alik ke Bangi sebab anak yang seorang lagi sakit. Pagi di sini, petang dan malam di tempat lain. Akibatnya kasut saya koyak sedikit. Oleh sebab itulah saya asyik mengulang ayat di hadapan muka si bongsu yang kebetulan bercuti seminggu.

Sempena Hari Ibu (dan saya tidak merayakannya secara khusus), saya duduk di dalam kereta lima hari sebelumnya menahan kesakitan di perut lalu menulis sebuah sajak tentang kasut koyak dan hati retak. Itulah kisahnya.

Sekian.

Friday, May 8, 2015

Tuhan Akan Menjawab Doa Kita

Masa masih ada seminggu untuk menyiapkan kerja-kerja yang sempat sebelum "berehat". Dalam kesibukan dan stres mock audit MQA, kami juga perlu melengkapkan markah dalam sistem, tetapi saya sempat menjalani latihan bicara berirama sebanyak dua kali untuk persembahan Selasa depan.

Masalah utamanya ialah untuk menghafal dan dalam masa yang sama membuat gerakan tanpa rasa malu.

Mulut pula pecah-pecah. Seminggu ini kesihatan menguji. Perut senak tahap maksima di sebelah kiri. Dua tiga malam terjaga jam tiga pagi, menggeliat menahan sakit.

Saya perlu melegakan tekak yang perit dan kebarangkalian untuk batuk. Jika tidak, pembedahan akan tertangguh.

Menanggung semuanya itu tidak pernah sama dengan penderitaan yang terpaksa dilalui keluarga Rahimidin Zahari. Adiknya, pelajar saya. Dia menghantar mesej menanyakan pendapat sama ada dia perlu memohon pelepasan daripada program yang sedang dijalaninya atau tidak. Jawapan saya mudah, “mohon. Itu darah daging Su. Dia sedang koma. Pergi!”

Saya tidak mampu menziarahi Rahimidin, penyair besar yang muda kurang lebih tiga tahun daripada saya itu. Bukan sebab jaraknya tetapi si peneman saya tiada. Dia ada program pembentangan kajian di Perak. Saya tidak berani berjalan sendirian. Kalau tumbang, menimbulkan masalah kepada orang. Maka saya berdoa dari kejauhan. Sehingga saat saya menulis ini, Rahimidin masih berjuang. Dia yang saya temui Sabtu lalu di sofa putih ITBM, tidak menunjukkan seperti seorang yang menghidap darah tinggi sehingga mengakibatkan pendarahan otak.

Begitulah kita ketika takdir memainkan peranannya. Kejutan-kejutan. Doa dan harapan. Seluruh pergantungan kita bulat kepada Allah. Saat sukar seperti itu menjadikan kita mengenali siapa sahabat dan siapa yang hanya berstatus rakan.

Rahimidin orang baik. Dia sentiasa menjaga Allah, seperti adiknya juga. Maka semua orang mendoakan dia, menziarahi, meminta dia kuat, merayu agar dia bangun dan melangsaikan apa yang dirancang.

Biarlah doa kita bersipongang di langit Tuhan. Apa pun keputusan-Nya, hanya Dia yang lebih tahu.

Wednesday, May 6, 2015

IMPIAN SUCI SEBUAH NOVEL



Barangkali Mei memang bulan saya. Alhamdulillah.

Meskipun tidak banyak karya yang terbit seperti tahun lepas, Mei ini memberikan saya sesuatu yang lebih besar.

Puisi saya sudah berumah. Meskipun 60 buah puisi itu semuanya puisi baharu yang tidak pernah tersiar, saya puas hati. Pelabuhan Matahari telah lahir untuk mengisi rak di Pesta Buku Antarabangsa KL. Saya sedang mengumpul puisi-puisi yang pernah tersiar, juga cerpen.

Mei juga telah membuka peluang tembus sekali lagi ke majalah elit sastera iaitu Dewan Sastera Mei. Tahun lepas, saya terlepas peluang ketika editornya menghubungi untuk cerpen Hingyaku yang telah disiarkan akhbar. Waktu itu memang sedikit terkilan sebab betul-betul seminggu tersiar, editornya meminta cerpen itu dihantar ke DS. Tentu sahaja tidak boleh!

Mei juga melahirkan novel awal dewasa yang diterbitkan oleh LEPAS Perak. Impian Suci. Novel kisah perjuangan insan bernama Suci ini saya garap dengan bahasa gaya Dewan. Bukan gaya bahasa novel pop.

Alhamdulillah. Syukur saya kepada Allah yang membuka ruang sihat untuk saya berkarya.

Tuesday, May 5, 2015

Pyan



“Mari mari!!! Beli buku beli buku!!!”

Reruai (tetapi saya lebih suka perkataan “gerai”) ITBM memang paling ramai penulis berkeliaran selain pembeli yang mahu memborong buku.

Ada sudut sofa putih dan bicara buku. Di tepinya duduk seorang yang nampak “kutu”.

“Mari sini,” katanya. “Ambil gambar. Beli buku...” dia menggayakan gaya orang rendah/pendek dan menunjukkan ke arah saya. Memang itulah modal dia kalau jumpa. Mengejek saya pendek sebab si bongsu suka sangat mengepos gambar saya dengan ayat “ibu yang kurang tinggi” atau “kaki tak sampai” di laman maya.

Saya memperkenalkan anak-anak dan menantu yang mengekori saya ke Pesta Buku.

Sebelum itu kami menghadiri kenduri perkahwinan anak presiden PENA Dr Saleeh Rahamad dan Kak Azizah Supardi di DBP. Kedua-dua mereka senior saya di UM dalam bidang yang sama. Di sana saya bertemu Bob (Dato Baharom Mahusin), sahabat saya semasa di UM yang sedikit terusik melihat anak-anak saya yang pernah didukungnya dahulu sudah dewasa.

Saya membeli bukunya yang sudah berapa kali diulang cetak. Sewaktu mahu menulis di halaman depan, dia mengusik saya lagi.

“Ratna Laila Shahidan. Saya tulis Shahidan ya...” sengaja dia mengusik begitu disebabkan saya pernah mengeluh asyik terpaksa memulangkan cek yang dikirim akhbar akibat salah nama ayah yang dieja Shahidan. Sebenarnya sejak sekolah, memang selalu berlaku kesilapan nama ayah itu dieja orang.

Dia memanggil anak perempuan sulungnya yang baru bertugas di ITBM. Memperkenalkan kepada saya. “Ini kawan lama...” kata saya pula merujuk kepada penulis-pelakon Pyanhabib Rahman, bapanya.

Begitulah kesenimanan Pyanhabib. Kepada saya, dia orang seni tulen asuhan Anak Alam. Peribadinya mudah, prinsip hidup pun mudah.

“Hidup mahu merdeka dan gembira...” katanya.

Dan saya selalu ingat kata-kata itu biar pun kadang-kadang kita tetap tidak bebas dalam merdeka!

Saturday, May 2, 2015

Promosi Kumpulan Puisi Pelabuhan Matahari


Atat duta promosi buku. Beli buku dapat kucing hehe

Akhirnya kumpulan puisi (solo) saya terbit pada hari-hari terakhir pesta buku di PWTC. Mengandungi 60 buah sajak baharu (bukan yang pernah disiarkan oleh akhbar atau majalah) dengan harga RM15.00 sahaja. Terbitan ITBM di bawah editor Saudara Zamani.

Sajak-sajak itu rencam temanya. Pelabuhan Matahari berkisahan mengenai daerah keguruan yang melingkari kehidupan. Namun ada sajak-sajaknya bercerita tentang ibu, anak, peperangan, alam dan segala macam kisah.

Sesiapa yang berhasrat mahu memiliki Kumpulan Puisi Pelabuhan Matahari, boleh mendapatkannya di gerai ITBM di PWTC sempena Pesta Buku 2015 atau terus mendapatkannya daripada saya melalui nombor whassap 014-9043177 (secara terus atau pos).

Friday, May 1, 2015

Sambal Puisi Ikan Bilis Ibu Bunga Matahari

Khabarnya lebuh raya ke utara sesak hingga ke langit.

Cuti hujung minggu yang panjang dan orang berduit tidak perlu menghitung-hitung wang untuk pergi bercuti meskipun riuh-rendah dengan kenaikan itu dan ini.

Saya seperti kebanyakan marhaen hanya mampu melihat kemeriahan cerita-cerita di laman maya.

Ikan bilis pun sudah mahal. Saya teringat cerita seorang kawan bergelar. Oleh sebab dia ini jenis lurus sedikit, dia selamba sahaja berkisahan tentang anak perempuannya yang menegur (di hadapan tunangannya ketika itu), ketika dia menghidangkan sambal ikan bilis. Saya terkedu ketika dia bercerita, “anak saya marah. Katanya kenapa mama hidangkan lauk orang miskin!”

Lauk orang miskin?

Aduh! Bukan kanak-kanak yang bercakap tetapi gadis dewasa!

Cerita itu menimbulkan idea. Saya merebus sayur kubis dengan bawang putih dan merah serta sedikit halia yang ditumbuk, campur sedikit lada hitam dan garam. Selesai satu hidangan sihat. Kemudian saya menggoreng ikan bilis sehingga garing, langsung menumbuknya dengan bawang putih dan merah serta sedikit cili padi. Perah sedikit lemon di atas “sambal puisi ikan bilis ibu bunga matahari”. Goreng sebiji telur di atas kuali “ajaib” dengan tiga titik minyak bunga matahari dan kanola. Ikan sepat goreng seekor. Petik pucuk daun kari, pucuk daun belalai gajah dan pucuk ulam raja.

Nah, itu makanan orang miskin! Saya ajak si adik makan. Kenyang juga!

Saya memang asalnya orang miskin. Sekarang pun tidak kaya-kaya. Makanan seperti itu sudah biasa menghuni perut saya. Akhirnya makanan apa pun hilang dalam lubang jamban juga kan?

Ikan bilis sudah mahal melebihi ikan yang betul.

Tiba-tiba saya berasa kaya ketika mengunyah “sambal puisi ikan bilis ibu bunga matahari!”

Wahahaha...