Total Pageviews

Wednesday, February 25, 2015

Liza

Saya pernah mencarinya melalui Pak Cik Google.

Bertanya kepada ramai orang juga.

Tetapi Allah belum memberi peluang untuk kami bertemu pada ketika itu. Kali terakhir kami bertemu sekitar tahun 1997-1998 saat saya menyambung pengajian ijazah kedua.

Semalam, saya dengar suaranya.

Seorang rakan saya (pensyarah yang sudah bersara) menulis tentang kucingnya yang mati. Saya memberi respon. Rupa-rupanya dia turut mengenali rakan saya itu.

Dan dia menghubungi saya di peti pesanan.

Saya membuat panggilan. Bercakap juga dengan suaminya yang turut saya kenali.

Dia menangis. Masa lalu kami yang menyedihkan telah datang semula bertamu dalam ingatan. Penghinaan manusia yang bergelar kawan-kawan pada saat kami diuji sukar...pengkhianatan orang terdekat...semuanya.

Banyak yang saya mahu ceritakan. Barangkali dia juga begitu.

Kesukaran dan kelukaan berbayar. Tiga daripada enam anaknya bakal bergelar doktor perubatan.

Saya akan menulis tentangnya lagi.

Saya berasa sangat bahagia tatkala dia berkata, "tidak pernah lagi bertemu dengan sahabat yang macam Yang ..."

Liza.

Terima kasih sahabat.

Kita simpan kisah duka dan buangkannya di belantara Amazon.

Ambil sapu tangan dan kesat air matamu.

Kita berhak untuk bahagia dan hidup gembira.

Monday, February 23, 2015

Ilham Yang Menyorok

Beberapa orang bertanya dan soalan itu telah dijangka.

Ya. Sudah masuk Februari. Sudah hampir sampai ke hujungnya juga. Tetapi sajak hanya satu yang tersiar di akhbar. Sajak-sajak yang dminta untuk diantologikan pun, tidak saya buat. Satu pun tidak, hingga ada yang sudah e-mel bertanya hal yang sama.

“Berbanding tahun lalu...Masuk Februari, cerpen sudah satu dan sajak sudah beberapa buah...kenapa?”

Saya pun tiada jawapan untuk soalan mudah itu. Saya tiada ilham. Banyak benda yang memberikan idea tetapi ibarat mahu menanam pokok di atas simen tanpa tanah. Begitulah ibaratnya, mungkin.

Betul. Saya tidak tipu. Saya memang tiada mood. Kerja banyak? Tahun lepas pun kerja banyak. Selagi namanya bekerja, selagi itulah kerja tidak berkurang. Masalah? Tahun lepas pun bertimbun masalah, tetapi saya kekal berkarya.

Barangkali sebab saya sibuk dengan anak yang berbulu-bulu? Tapi mereka tidak mengganggu...(err, itu agak kurang tepat).

Kecewa dengan dunia sastera? Hmmm...bukan dunianya, barangkali orang yang ada di dalamnya, atau yang baru masuk ke dalamnya tetapi sudah berasa sangat bagus? Tidak juga! Saya bukan jenis peduli dengan orang. Kadang-kadang saya baca sambil lalu sahaja mereka berbalas-balas gaduh. Peduli apa saya. Saya bukan penyair, saya hanya penulis kecil yang selalu duduk diam di kerusi belakang.

Kalau lihat status saya di laman muka buku, saya lebih selesa menulis mengenai kucing-kucing berbanding benda yang dinamakan sajak atau keluhan rasa! Barangkali orang tidak perasan pun yang sebenarnya saya suka bermain dengan aksara!

“Pergilah ke pantai...” saran seorang rakan sekerja. Itu cara yang disarankan orang dulu-dulu kalau mahu tulis sajak. Mahu cari ilham, pergi ke pantai...saya tidak tahan panas, nanti bukan ilham yang dapat tapi penyakit!

Ada orang beritahu juga, kalau mahu menulis mengenai hutan dan isinya, masuk sahaja ke dalam hutan. Agaknya, kalau mahu tulis mengenai laut, kena masuk ke dalam laut jugalah ya. Tapi jangan tidak timbul terus sudahlah ya!

Macam yang saya kata, ilham banyak. Banyak sangat. Cerita kucing merajuk, cerita lautan manusia di pengebumian ulamak, cerita makan aiskrim roti, makan bihun goreng dengan kuah laksa, kisah hantu kain batik...semua ada. Daun kering, pokok mati, sungai keladak, tapak-tapak kaki, kasut buruk, Pak Cik Lazim yang menangis sebab saya tidak pergi kenduri kahwin anaknya, kereta kancil namanya Tambelina yang kasihan, isteri OKU yang mencari rezeki menyedut dakwat dengan pendapatan RM20 sebulan...Masya-Allah...Maha Suci Allah yang memberikan kisah.

Tetapi saya tidak menulis? Mengapa?

Akhirnya saya tahu...barangkali saya kena duduk bersendirian di perpustakaan. Saya perlu melegakan telinga kanan saya yang tersumbat. Saya perlu melarikan diri. Kalau tidak, bukan sahaja ilham, satu kerja pun saya tidak akan mampu siapkan!

Saturday, February 21, 2015

Tangan Itu

Saya terkejut jaga banyak kali.

Atau sebenarnya saya memang mahu berjaga menunggu kakak dan kakak ipar pulang dari Ipoh.

Kakak akan mengadakan majlis kenduri perkahwinan anak tunggalnya Mac ini. Meskipun anak lelaki tetapi kelihatannya majlis itu dirancang secara besar-besaran. Oleh sebab mahu menyukakan hati mak, kenduri dibuat di kampung berkonsepkan gotong-royong. Kakak berulang alik dari Ipoh ke kampung menghantar barang-barang kenduri.

Saya makan limau Tahun Baharu Cina. Banyak. Jadi, kena kerap bangun untuk ke tandas sambil terus menunggu. Jam sudah satu setengah pagi, tetapi kedua-duanya belum muncul.

Setiap kali bangun, saya akan duduk menghadap mak yang tidur di atas katil. Meneliti setiap inci wajah dan tubuh mak.

Kedut di tubuh mak menandakan begitu banyak waktu yang telah mak lalui. Saya menelan pilu jauh ke dalam hati. Betapalah waktu telah merompak usia dan tenaga mak. Saya memegang tangan mak yang dipenuhi kedut dan garis kasar. Ini tangan yang membesarkan kami enam beradik (yang masih hidup dan separuh lagi sedang menanti mak di syurga). Tangan ini yang menyuap nasi, yang membersihkan tubuh kita, yang digunakan untuk mencari sumber pendapatan, yang menidurkan kami, yang digunakan dengan segala kepayahan tanpa noktah.

Melihat mak terbaring kepenatan, saya menjadi sangat takut. Saya urut dada beberapa kali. Hati, tenanglah. Saya pun bakal menjadi seperti mak jika usia panjang. Dengan kedut-kedut seribu. Dengan ingatan-ingatan yang semakin sayup. Dengan kenangan-kenangan yang mengharukan. Dengan kesunyian yang menjadi peneman.

Tangan yang kasar itu...
Tangan yang berkedut seribu...
Jangan kita malu untuk memegangnya selalu. Sebelum Tuhan mengambilnya kembali. Atau kita yang pergi dahulu.

Sebelum semuanya hanya jadi kenangan.

Itu tangan yang hebat. Yang Allah pinjamkan untuk melakukan semuanya demi kelangsungan hidup kita.

Monday, February 9, 2015

Pesan Ibu

Chomel dan Bebi suka sangat memerhati Brazillian Tortoise milik si bongsu. Si Chomel dengan tabiat domestikanya, memberikan keterujaan dengan gayanya yang tersendiri. Si kecil Naget masih dalam sesi kuarantin. Sudah dihantar ke vet dua kali. Tapi masalah belum selesai. Mungkin dua minggu lagi dia sudah boleh dilepaskan dari kurungan. Sekarang, si Bebi pula memasuki sesi kuarantin. Dia sakit mata. Ubatnya ada tiga jenis. Kasihan Chomel sendirian, mengusik-usik kawannya dari celah jaringan.

“Si kecil bagaimana?” selalu puan pengawal melontar tanya tatkala saya melalui pondok pengawal. Saya memberikan simbol bagus. Kelmarin, saya terdengar dengan jelas sebab tingkap kereta terbuka, encik pengawal memberitahu pengawal baharu, “itulah puan yang sayangkan kucing...”

Bukan sayang tapi kasihan. Hehehe...

Malam itu saya ajak si bongsu membeli ikan mas. Mesti kucing-kucing itu kesukaan melihat ikan yang berenang, berbanding kura-kura yang senyap. Ikan mas bulat perutnya, bukan jenis yang biasa. Bulat betul, macam belon.

Waktu membungkus, peniaga Cina itu menegur, “eh, muka banyak sama ya? Macam fotostat. Kalau ada pertandingan muka serupa, awak dua orang masuklah. Saya gerenti menang punya!”

OK, itu kata-kata yang ke satu ratus satu sepanjang kedewasaan si bongsu!

Dan yang paling bagus ialah ketika dia menyambung, “awak dua orang macam kakak dengan adiklah.” Hehehe...rasa macam mahu beli seratus ekor ikan mas sambil saya menjeling muka si bongsu yang ketawa lucu bercampur geram!

Ahad semalam kami ke Shah Alam lagi. Menjalani terapi empat jam yang memenatkan. Waktu balik, bawa Bebi ke klinik dan mencari beberapa keperluan. Saya berjalan menonong-nonong, kepeningan dan penat yang teramat.

Tetapi hati saya puas sebab banyak sekali saya berpesan kepada si bongsu. Antaranya ialah: biar kita kelihatan tidak memiliki apa-apa tetapi kita ada kekayaan jiwa untuk membantu orang susah tidak kira agama dan bangsa, juga haiwan-haiwan yangg kelaparan. Jadikanlah harta yang Allah pinjamkan kepada kita itu sebagai ladang pahala untuk membantu kita di akhirat kelak. Tidak payah berkereta besar hanya untuk meletakkan kita ke lubuk hutang. Kereta kecil pun tidak apa, tetapi jadikan dia alat untuk membawa orang ke klinik, contohnya begitu. Rumah jangan hias berlebihan sekadar untuk tunjuk menunjuk kepada tetamu dengan tujuan bermegah. Jadikan buku sebagai teman, jangan taksub membeli jenama sedangkan wang tersebut lebih bermanfaat jika kita membeli makanan untuk orang susah.

Harapnya telinga si bongsu tidak tersumbat!

Wednesday, February 4, 2015

Menjadi Mumia

Selasa lepas, cuti perayaan Thaipusam. Dengan dua buah kereta; saya dan anak-anak dengan si bongsu yang memandu serta sebuah lagi berisi Kak Amanah, ibunya dan Dr Wan Zaliha, menuju ke Seksyen 16 Shah Alam. Jam sepuluh kami tiba di Innalyakin Herbal Centre.

Hanya ada seorang yang sedang dirawat. Saya, si adik, Dr Wan, Kak Amanah dan ibunya menjalani terapi resdung sementara menanti perawat tiba. Satu jam terbaring di katil dengan tempekan tebal seperti mumia. Herba mula memanaskan seluruh muka. Mahu meraung “ulat-ulat” resdung itu dibuatnya.

Selesai terapi, saya dan si sulung masuk ke kamar perawat. Saya beritahu sejarah kesihatan saya termasuk masalah yang terkini.

“Baring...” katanya. Dia menyelimuti tubuh saya dengan selimut. Memakai sarung tangan dan mula memicit bahagian tertentu.

“Mahu tahu keputusan sahaja atau terus mahu buat terapi?” tanyanya. Saya memilih untuk terapi selama empat jam. Saya duduk jauh, mahu datang ke Shah Alam bukan senang. Kemudian si sulung pula diperiksa. Ada masalah cyst tetapi tidak serius.

Empat jam saya menjalani terapi, dengan hangat herba yang menyengat dari dada ke ari-ari. Saya menyuruh anak-anak mencari restoran untuk makan dan solat. Mereka kena mencari agak jauh sebab yang ada di aras bawah hanyalah restoran mamak. Jam empat setengah baru selesai. Diberi penerangan oleh perawat, diminta menjalani terapi ulangan, dan diberikan ubat air herba yang sangat dahsyat bau dan rasanya.

Ahad depan saya kena menjalani ulangan terapi sehingga masalah saya itu diatasi. Saya tidak mahu menjalani pembedahan sekali lagi sehingga menjejaskan tugas. Mana tahu dengan ikhtiar secara rawatan terapi herba, mampu menghalang bahan kimia terus bermaharajalela dalam badan saya.

Kami tiba di rumah jam tujuh setengah dengan pemanduan cekap si sulung dan bebelan “JPJ” tak bergaji dari tempat duduk belakang.

Mujur sahaja budak-budak itu berusaha untuk minum air herba walaupun tangan sebelah menutup hidung. Mereka memberi semangat kepada saya, “tarik nafas, ibu. Tutup hidung...”

Begitulah kisahnya menjalani terapi herba di Innalyakin Herbal Centre. Untuk kanser, lumpuh, masalah mata dan sebagainya. Alternatif bagi mereka yang tidak mahu disuntik dengan bahan kimia.

Tetapi semuanya dengan izin dan kuasa Allah. Dia yang menyembuhkan segala penyakit.

Sunday, February 1, 2015

Yang Terbuang

Lama tidak menulis.

Semester baru buka. Kerja menimbun seperti gunung dan datangnya seperti hujan yang menunda-nunda. Belum sempat kering kain di ampaian, sudah kena basuh semula sebab hujan. Begitulah ibaratnya.

Urusan dunia. Meskipun kita sedar akan semua itu, tetapi yang itu jugalah kita kejar sampai tercabut kasut.

Ini masuk minggu ketiga anak-anak ada di rumah. Kerja memasak dan mencuci kain sudah ada orangnya. Kucing-kucing saya “susah hati” sebab anak-anak saya yang sudah dewasa itu kerjanya asyik membuli mereka.

Bangun awal pagi, satu jam saya menguruskan kucing-kucing yang sudah bertambah menjadi tiga. Selain membersihkan kandang, memberi makan dan mencuci lantai dengan cecair berubat, bayi kucing yang baharu ini memerlukan rawatan rapi.

Kisahnya begini.

Sejak buka semester, setiap kali lalu di pondok pengawal keselamatan, saya akan nampak kelibat dua ekor kucing. Seekor sudah remaja berwarna hitam, jantan. Seekor masih bayi, betina. Maka rutin saya setiap pagi dan petang ialah singgah di situ untuk memberi makan dua makhluk Allah yang dibuang itu.

Tiada niat untuk saya mengambil kucing tersebut, hanya memberinya makan dua kali sehari. Tujuan memberi makan itu pun sebab tidak mahu mereka diterajang manusia ketika mereka kelaparan meminta-minta makanan.

Tetapi beberapa hari yang lalu, sewaktu saya menjalani raptai untuk perhimpunan budaya, saya dimaklumkan encik pengawal yang sesuatu mungkin berlaku terhadap si bayi kucing.

“Rasanya dia tidak sihat, puan. Sakit. Baring sahaja tidak macam selalu...”

Saya mengambil kucing itu. Demam barangkali. Ada kurap juga di badannya.

“Nanti ada waktu saya bawa ke klinik,” janji saya. Malangnya klinik ditutup setiap Khamis. Saya berjanji akan membawanya keesokan hari.

Malam kedua raptai, saya jadi tidak sampai hati. Saya bawa tuala dan jusz spray. Dengan bantuan anak, saya sembur badannya dan membalut dengan tuala.

“Encik simpan dia dahulu. Nanti selesai raptai, saya ambil”

Saya membawanya pulang. Dia makan dengan lahapnya. Saya tiada pengalaman membela bayi kucing. Jadi saya tidak tahu apa makanan yang sesuai. Saya memberinya ikan rebus.

Keesokan hari waktu makan tengah hari, saya membawanya ke klinik. Doktor memberi ubat cacing dan menyembur kurap di badan.

“Kena asingkan dia daripada Baby dan Comel. Takut berjangkit terutama si Baby...” pesan doktor. Masalah juga. Kandang Baby saya tinggalkan di kampung. Kandangnya besar, jadi agak sukar mahu dibawa dengan kereta kecil saya itu. Itu sebab saya tinggalkan di kampung supaya bila balik, ada tempat untuk kucing-kucing tersebut. Saya bergegas ke kedai haiwan yang saya menjadi ahlinya. Membeli sebuah kandang biasa, cukup selesa untuk adik kecil itu tidur.

Senja itu waktu saya di parkir pensyarah, ada ketukan di cermin. Melihat puan pengawal dan rakannya...saya sudah tahu tujuan mereka.

“Nanti sekejap, saya mahu tunjuk sesuatu...” kata saya. Mengambil kamera dan menunjukkan video adik kecil yang sedang bermain dengan girangnya. Mata puan itu berair.

“Kami cari merata. Bimbang si kecil ini dimakan anjing...pengawal malam tidak beritahu pun yang puan sudah ambil. Tetapi kami mengagak-agak juga yang puan ambil si kecil sebab dia tidak sihat...”

Hati saya menangis. Ya Allah, Engkau berkati kehidupan para pengawal yang baik hati. Murahkanlah rezeki mereka. Saya sendiri sebenarnya bukanlah penggemar tegar kucing, tetapi saya kasihankan binatang, hatta anjing yang sakit sekali pun.

Sekali lagi saya tegaskan, saya lebih kepada kasihan akan nasib haiwan-haiwan yang dibuang itu!

Bayangkanlah sahaja kalau bayi kita dibuang. Dengan mata yang separuh tertutup, jalan terhegeh-hegeh, bagaimana mereka mahu melangsungkan hidup?

Ada orang sangat bencikan kucing. Geli. Menganggap kucing sebagai haiwan pengotor. Tidak lalu makan di rumah orang yang ada kucing. Tidak mengapa. Itu hak mereka untuk memiliki persepsi apa pun sebab mereka punya alasan kukuh. Bagi saya, binatang yang pernah keluarga saya bela seperti kucing dan monyet, atau binatang jenis apa pun; mereka juga berhak untuk hidup. Kalau mereka berak di merata tempat, sudah tentu-tentu mereka itu binatang!

Lagipun saya memang berlatarbelakangkan keluarga yang pintu rumah sentiasa terbuka untuk manusia dan binatang yang memerlukan (sehingga ada juga yang mengambil kesempatan!)

Dahulu jiran saya yang lama membela kucing, atau lebih tepat menyiksa kucing. Kucing-kucing itu tidak dibersihkan, kelaparan dan dikurung dalam kandang sempit. Baunya... huh! Waktu itu saya dan beberapa anak jiran merancang mahu panjat pagar, culik kucing-kucing itu dan melepaskannya di kawasan yang banyak makanan!

Memelihara kucing memerlukan kos yang besar. Keprihatinan yang tinggi. Tidak kisah bangun awal pagi dan tidur lewat untuk memastikan kebajikan dan kebersihan binatang-binatang itu.

Kucing kurap pun saya bela dan rawat, apatah lagi kalau orang yang berkurap, kata saya kepada suami dan anak-anak, sekadar mahu membenarkan tindakan saya membawa pulang bayi kucing itu.

Memang nampak menyusahkan, tetapi itu tanggungjawab kita sebagai manusia yang berakal. Rezeki kita pun bukan milik kita. Rezeki yang Allah bagi kita kongsikanlah dengan manusia dan binatang yang lebih memerlukan.

Sudahlah keras hati membuang bayi sekecil itu di pondok pengawal keselamatan...otak letak di lutut agaknya.

Kalau dia sudah sihat nanti, saya akan iklankan di laman kucing dan anjing untuk dianak-angkatkan. Saya kena bawa dia ke klinik beberapa kali sebelum membuat iklan berkenaan. Harap-harap dia akan mendapat keluarga baharu yang mengasihani binatang.

Siapa pun yang pernah menjadi orang “terbuang” akan lebih memahami makna kejadian.

Dan sayalah barangkali antara orangnya!