Total Pageviews

Tuesday, December 1, 2015

Demi hari-hari...

Balik dari HUKM, saya menguruskan beberapa perkara. Jam enam petang dalam murungnya hari, saya bergerak balik ke Perak dalam jangkaan jam sebelas malam kurang lebih, saya akan tiba.

Saya mengambil alih menjaga mak mulai Selasa. Kakak balik bekerja tetapi tetap mengulang rutin balik ke kampung usai tugasnya. Maghrib baru dia sampai ke rumah dan jam empat sudah bangun menyiapkan makanan dan keperluan, memandikan mak dan memberi ubat.

Barangkali dia kasihan melihat saya berdengkot-dengkot ke sana ke mari.

Sepanjang siang saya akan menguruskan mak, memasak nasi untuk anak-anak saudara dan hanya menggoreng ikan serta sayur. Selebihnya mereka sendiri akan masak. Masing-masing sudah besar. Ada empat anak saudara lelaki dalam usia 8 hingga 21 tahun.

Pagi ini emak mahu kena panas matahari pagi. Mak berusaha sedaya upaya bertongkat untuk keluar ke beranda simen yang terbuka. Di situ banyak kain bersidaian sebab kami akan sentiasa memastikan kain-kain yang digunakan mak disidai di tempat yang tiada pohon. Mesin cuci hampir 24 jam bertugas. Kakak seorang yang pembersih, dia mahu mak sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Kaki kanan saya masih berdenyut sakit. Doktor menambah ubat kalsium yang mesti diambil dua kali sehari. Harapnya saya akan OK menjelang hujung Disember.

Yang penting ialah mak mesti sihat juga. Demi hari-hari yang memerlukan matahari.

No comments: