Total Pageviews

Thursday, August 27, 2015

Hingga Ke Syurga, Semoga.

Ulang tahun perkahwinan bukanlah acara yang dinanti-nantikan. Kami memang kurang meraikan. Saya pun tidak menyediakan hadiah. Tetapi saya mendapat sebotol Jean Paul Gaultier yang aromanya superb! Dia memang tahu saya sukakan minyak wangi, cuma kurang mampu untuk membeli yang mahal seperti itu.

Syukurlah dan terima kasih.

Tahun-tahun perkahwinan yang penuh kisah, ada kalanya tragis dan melukakan, ada kalanya sangat lucu dan membahagiakan. Dua malam itu kami bertiga pergi makan-makan dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Makan, makan dan makan sambil berlucuan.

Sementara masih boleh dan berdaya, masih diberi peluang menghirup udara Tuhan, maka berkongsilah bersama-sama. Esok lusa belum tentu ada untuk kita. Wang dan harta setimbun bukan jaminan ke syurga jika tiada keberkatan.

Bersyukurlah selalu. Kadang-kadang kita cemburu dengan orang lain, dengan adik beradik kita, dengan orang terdekat dengan kita. Kita fikir kita terpinggir. Kita tidak sedar betapa banyak pula pengorbanan yang telah kita terima. Selalunya memang begitu. Kita lupa. Jadi, kita marah-marah. Kita cenderung menyalahkan orang lain terutama orang yang rapat dengan kita.

Yang paling penting ialah kita kena selalu berdoa agar Allah tidak mengalihkan hati kita. Mungkin dulu kita sombong, sekarang sudah rendah hati. Mungkin dulu kita suka mendengar IKIM, sekarang gemarkan stesen radio yang lagunya rancak-rancak. Mungkin dulu kita jaga adab, sekarang sudah biadap. Dahulu kita seorang anak yang baik tetapi disebabkan seorang lelaki atau perempuan, kita telah berubah.

Hidayah itu milik Allah. Itu sebab jangan teruk sangat menghina orang yang berbuat salah. Kalau Tuhan mahu tunjuk, sekejap sahaja. Alih-alih kita pula yang bertindak seperti orang yang kita kutuk sangat-sangat itu.

Itu peringatan kepada diri saya sendiri. Terutama bab sombong, angkuh dan tinggi diri. Mari kita berdoa agar jangan ada antara kita yang berterusan memiliki sikap sedemikian.

No comments: