Total Pageviews

Friday, June 19, 2015

Setelah Pulang

Setelah hanya tiga hari dua malam di HUKM, saya pulang meraikan Ramadan Kareem dengan tiga ekor kucing dewasa, seekor kucing kanak-kanak dan dua ekor bayi, juga seekor Brazillian Tortoise. Di pintu belakang, tiga ekor kucing kanak-kanak selalu datang pagi dan malam untuk minta makanan. Rasanya milik orang sebab dua ekor itu baka DLH berwarna oren pekat dan seekor warna kelabu. Diberikan reja ikan rebusan dan makanan kering, mereka makan dengan bising berderam-deram.

Si bongsu pulang, diikuti anak saudara yang bekerja di Shah Alam. Daddy ke kolam dan menangkap dua ekor talapia. Si bongsu dan anak saudara ini ligat menguruskan hal dapur dan rumah. Kasihan mereka. Pasti sahaja kepenatan. Lewat malam, si sulung dan suaminya tiba.

Saya masih solat duduk. Sesekali terlupa bahawa saya masih dalam proses pemulihan. Apabila mula terasa perit, barulah saya baring. Tidak boleh juga duduk lama-lama. Hari pertama pulang, ada pendarahan sedikit.

Ingatan saya ke kampus. Esok semester kedua bermula. Saya cuba membuka e-mel dan melihat jadual mengajar. Ada tiga kelas Kesantunan Masyarakat Malaysia yang ada nama saya. Cuba untuk mengemaskini nota tetapi tidak bertahan untuk duduk lama. Kemudian teringat lagi akan penyeliaan praktikum pelajar. Oh hooo...semakin kerap saya mengingatkan diri bahawa doktor memberikan saya cuti dua minggu supaya benar-benar pulih, semakin kerap saya mengenang kerja-kerja di jabatan!

Sejujurnya...saya susah hati!

Namun apabila ada pelajar yang memaklumkan keputusan semester lalu, dengan pointer yang bagus...saya berasa riang sedikit terutama disebabkan pelajar itu di bawah seliaan saya.

Ramadan yang mulia, dengan kemujuran-kemujuran akan kesempatan usia yang diberikan, syukur sekali. Meskipun ada lagi ujian-ujian yang menguji, saya tahu dan yakin bahawa saya sudah bersedia menghadapi dengan berani. Kadang-kadang apa yang kita harapkan tidak berakhir dengan keputusan yang bagus. Hanya Allah yang tahu sebabnya.

Ada orang berkata, sudah ditakdirkan bahawa dia dilahirkan untuk begitu dan begini. Itu namanya pasrah. Belum apa-apa, sudah pasrah.

Bekerjalah! Dunia ini luas dan pintu rezeki sentiasa terbuka jika kita sendiri bangun dan bergerak untuk membukanya.

Kecualilah kita memang pemalas.

Dan tiada maruah!

No comments: