Total Pageviews

Wednesday, June 10, 2015

Kosmo Rabu 10 Jun 2015 & Kenduri Ad-hoc

Jam 5.30 petang saya mengambil keputusan untuk bergerak pulang ke utara. Menghubungi suami, memaklumkan anak-anak dan saya berdoa agar kaki kiri tidak kejang sepanjang pemanduan lima jam setengah. Kena nekad sebab kalau kita sakit, mak akan sedaya upaya untuk memastikan kehadirannya di sisi kita. Sekarang mak yang kurang sihat, apalah sangat jika kita segera balik, bukannya berjalan kaki pun...

Keluar membeli barang-barang keperluan untuk mak dan kucing-kucing yang akan ditinggalkan, saya masih diusik bimbang membaca whassap keluarga.

Menjenguk ke dalam kotak, kosong. Baby telah memindahkan anak-anaknya ke dalam almari yang pintunya gelongsor. Barangkali dia marah saya menukar alas kotak dengan kain bersih atau berasa terancam ekoran kucing-kucing yang lain asyik datang menjenguk. Atat pula meskipun baru keluar dari OT, masih mahu mengganggu Baby yang baru melahirkan. Pelik juga. Lalu saya mengambil keputusan. Saya masukkan segala keperluan ke dalam bilik, membuka pintu kamar mandi dan meletakkan Baby serta anak-anaknya kekal di dalam bilik dengan pintu yang ditutup.

Si Atat saya biarkan di ruang tamu bersama Comel. Comel garang dan tidak akan begitu pasrah seperti Baby, tidak mudah membiarkan “maruah” dirinya diperkotak-katikkan. Puput? Saya siapkan barang-barang Puput dalam beg dan saya pulang dengan ditemani si kecil comel itu.

Hujan sekali-sekala sepanjang jalan ke utara. Sekarang masih dalam musim cuti sekolah. Saya hanya singgah di hentian sebelah sebab di R&R tidak dibenarkan membawa haiwan peliharaan. Puput tidak meragam, dia tidur di ribaan saya. Berhenti sekali untuk memberikannya susu.

Saya sampai sekitar jam 10.45 malam. Kakak ada di kampung. Meskipun kurang sihat, kakak berulang dari tempat kerjanya di Ipoh. Malam itu juga kakak menggoreng ikan kering taipan hasil buatan suami. Mak berselera makan dengan bubur nasi. Alhamdulillah. Ikannya memang sedap. Kata kakak, lebih sedap daripada terubuk masin. Saya harap kualitinya dikekalkan. Yang penting halal dan bersih.

Esoknya saya mencari daun sireh, meminta abang sulung mencari daun beka dan juga serai wangi. Saya rebus dalam periuk besar. Saya gosok badan mak. Jari-jari mak pecah-pecah. Ini kali kedua mak kena begitu. Saya ke pekan mencari sayur untuk dibuat sup. Sudah lewat. Meskipun matahari belum naik ke bumbung langit, tetapi panasnya sangat menggigit.

Tengah hari itu setelah memastikan mak makan, saya keluar melihat abang menyembelih kambing. Tiba-tiba mak merayap-rayap keluar ke halaman. “Kita jamu oranglah. Buat kenduri kesyukuran malam ini. Kenduri sambut puasa...”

Masya-Allah. Telah ditentukan setiap makhluk itu akan rezeki masing-masing. Mak meminta dibelikan barang-barang kenduri. Seorang dua jiran datang membantu. Mak meminta anak cucu pulang. Mak yang terbaring lemah berusaha untuk menjadi kuat apabila anak cucu berada di hadapan mukanya.

Jadi, malam itu berlakulah kenduri ad-hoc. Ramai yang datang. Ada latihan hadrah juga. Mak meminta saya menepuk. Segan juga sebab semuanya lelaki. Saya main jugalah beberapa buah lagu. Ingatan-ingatan saya terus kepada allahyarham ayah. Ya...bukan mahu memperlecehkan. Tetapi belum ada yang mampu menandingi ayah. Ayah mencintai seni warisan itu sedaya hatinya. Lagu-lagu yang dibawa mengandungi pujian kepada Yang Maha Esa dan Rasulnya. Lirik yang dicipta ayah juga begitu. Suara ayah yang gemersik dan ditarik tinggi belum ada yang mampu mencontohi.

Esoknya, saya membeli Kosmo. Ada berita saya di halaman berapa entah. Ada sedikit kesilapan menulis “gemulah ibu”. Juga tidak dimasukkan kemenangan Anak Tanpa Rumah untuk Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2014. Tidak mengapalah, kesilapan seperti itu hal biasa.

Alhamdulillah Penerbit UUM menghubungi saya untuk novel yang seterusnya.

Apa!!!

Novel yang seterusnya?

Bukankah saya penulis sajak?

Alhamdulillah. Ada tiga tawaran sebenarnya. Saya tidak berani berjanji...

1 comment:

Melly Kamelia said...

In Shaa Allah, semoga akan terhasil jua novel itu...