Total Pageviews

Tuesday, June 23, 2015

Cerita Gostan

Ini cerita sehari sebelum Ramadan Kareem.

Waktu suami mengambil saya dari hospital, dalam perjalanan kami singgah makan di Nilai, sebelum masuk ke Lebuh raya LEKAS. Perut saya berbunyi-bunyi. Saya tidak lalu makanan hospital, sebaliknya suami makan makanan hospital saya dengan tujuan untuk memujuk saya makan. “Sedap. Sedap...”, katanya. Akhirnya dia yang makan semua!

Dengan langkah yang amat hati-hati, saya mengikut suami ke sebuah kawasan tempat makan. Ada periuk-periuk besar. Gulai kawah. Oleh sebab sudah agak lewat, isi periuk sudah berbaki sedikit. Pelanggan ramai. Saya ambil gulai ayam kampung. Di sekitar semua meja penuh, jadi suami pergi ke sebuah meja lain yang agak jauh.

“Sudah pesan air?” tanya seorang wanita berbadan sedikit gempal dengan muka yang cantik juga.

“Sudah. Pesan kepada adik tu...” tuding suami.

“Itu gerai sana. Sini lain. Itu makanan gerai sana!” muka wanita itu tiba-tiba bertukar menjadi muka hantu Mak Limah! Dan dia berlalu...marah agaknya.

Saya membebel-bebel kepada suami. “Lain kali tengok dulu sama ada itu gerai yang bersambung atau asing-asing. Ini perangai Melayu (...dan bukan perangai Islam ya!). Tengok orang Cina. Itu sebab perniagaan maju. Mereka amal yang diajar Islam. Saling tolong menolong. Bukan macam kita, dengki khianat tak habis-habis...” Wah, macam nenek tua saya berleter sambil terhegeh-hegeh ke meja lain. Sudahlah baru keluar wad, luka pembedahan pun perit ya amat. Kena pula sergah dengan wanita cantik yang tiba-tiba bertukar rupa pula...

Yang sebenarnya ramai juga peniaga Melayu yang sudah sedar dan mengamalkan sikap seperti peniaga Cina itu. Tetapi masih ada juga yang bersikap sebaliknya.

Patutlah saya nampak meja-meja di kedainya banyak yang kosong.

Mentaliti kena ubah. Peniaga-peniaga seperti ini perlu selalu ditarbiah. Nanti yang malunya ialah Melayu. Apabila Melayu, secara tidak langsung, Islam pun terpalit. Sedangkan Islam itu agama dan Melayu itu hanyalah bangsa.

Kesimpulannya. Entahlah. Tidak tahu apa yang mahu disimpulkan.

No comments: