Total Pageviews

Thursday, May 21, 2015

Tidak Jadi Ke OT

Ya. Saya lama tidak menulis sebab kurang sihat.

Demam yang berlarutan, selesema dan batuk. Batuk masih lagi ada, mengganggu segala aktiviti harian. Segala yang moden dan tradisi sudah dicuba tetapi masih begitu. Sekarang menjalar ke pinggang sebelah kanan, entah apa kenanya.

Itu sebab kedua mengapa saya tidak jadi masuk ke OT. Sebab yang pertamanya begini...

Pagi itu saya menggalas beg sandang dan menuju ke hospital. Terus ke unit kecemasan pesakit O&G dan mendaftar. Lama kemudian saya diminta duduk atas kerusi roda dan ditolak naik ke aras dua. Setibanya di situ ada seorang doktor dan beberapa yang lain menunggu.

“Puan, kami minta maaf sangat-sangat. Ada berita kurang baik...” Uh uh, saya kepanikan sedikit. Keputusan ujian saringankah?

Rupa-rupanya bukan. Masuk ke OT ditunda sebab pakar bius yang ditugaskan ada peperiksaan. Bukan saya sahaja, ada pesakit dari Muar yang terpaksa pulang juga.

“Tak mengapa. Saya pun kurang sihat. Kalau pakar ada pun, masih tidak boleh buat pembedahan...” kata saya kelegaan. Bukan sebab saya takut, ini kali keempat. Sudah mangli. Cuma risiko kalau kurang sihat itu boleh membawa akibat lain.

Saya ditolak kembali ke bawah menaiki kerusi roda. Saya kata, “oleh sebab sudah buat silap, kena hantar saya ke bawah...” saya bergurau saja. Sebenarnya saya kepenatan. Dengan demam selesema dan batuk, saya memang letih. Jururawat yang baik itu menolak saya sambil bersembang.

Dua minggu lebih saya diuji. Moga menjelang tarikh ke OT saya sudah sihat semula. Si bongsu dan kawan-kawan yang khabarnya mahu bergiliran menjaga saya, datang ke rumah. Meriahlah sekejap rumah dengan kerenah mereka yang membuli kucing terutama si Atat. Oleh sebab tidak berkesempatan meraikan hari jadi ke-23 si bongsu, saya membeli kek di Secret Recipe dan makan beramai-ramai di kopitiam.

Sebaik sahaja mereka pulang, saya kembali demam. Tapi kondisi saya kurang penting. Si Baby yang agak sarat perlu dibawa ke klinik. Telinga kirinya ada masalah. Dari kecil dia begitu. Kasihan sungguh melihat dia yang kurang peramah dan tidak bersosial seperti dua kucing lain. Si Mochi (Boboi) dikhabarkan si bongsu telah mati. Dia sangat bersedih. Kawan-kawan mengebumikan si Mochi di Puncak Alam.

Si sulung pula sedang berjuang dengan hikayat hidup yang baru bermula. Memang dia sudah tenang dan sabar. Saya selalu berkata, “kena jadi pelengkap kepada kekurangan pasangan. Biar bermula dengan susah supaya kita akan hargai masa senang...”

Saya hanya mahu tidur supaya segala kesakitan ini hilang seketika.

Dengan ingatan-ingatan saya terhadap mak di kampung. Dan ayah yang jauh di negeri abadi.

No comments: