Total Pageviews

Wednesday, April 1, 2015

Hingar

Hingar memenuhi ruang angkasa. Semuanya sebab GST.

Saya kurang faham mengenai benda itu. Yang betul-betul faham hanyalah anak saya. Suami pula oleh sebab dia penyokong tegar kerajaan, mempertahankan pelaksanaan cukai ini.

Saya akan tunggu dia mengeluh. Masa itu...wahaha...saya akan ketawakan dia!

Beginilah. Tidak setuju atau kurang setuju bukan maknanya orang itu memakai lambang bulan penuh, bulan separuh atau roket.

Sejujurnya tanya kepada hati kita yang duduk jauh di dalam dada, kita sukakah kalau dikenakan cukai? Paling mudah ialah ketika tiba masa mahu membayar cukai jalan, cukai pendapatan, cukai tanah, cukai pintu, cukai jamban, dan bapak segala cukai...kita melompat-lompat kesukaankah?

Jawapannya tidak. Mana ada orang yang waras akalnya dalam dunia ini yang suka “dicukaikan”.

Saya berbual dengan seorang peniaga buah. Berketurunan Tionghua. Saya suka singgah membeli buah di gerainya sebab saya rasa dia orang yang jujur. Dia setuju ketika saya kata, “bukan soal setuju atau tidak. Kita memahami kesusahan kerajaan yang mempunyai hutang yang begitu banyak. Kita boleh membantu dengan membayar cukai-cukai yang dikenakan tetapi dengan bersyarat. Janganlah ada orang-orang tertentu atau golongan tertentu yang meniriskan perbelanjaan rakyat. Jangan bermewah-mewah, membaiki dan membeli yang kurang perlu pada ketika hutang melambak-lambak...”

Itu persepsi peribadi saya. Saya juga tidak suka orang memaki hamun dalam laman sosial. Kalau kita tidak suka, ada waktunya kita boleh memberi pelajaran dan pengajaran kepada pihak yang tersebut. Kita boleh berdemo secara aman, tetapi kita kena ingat yang kita bukan berada di negara maju yang terbuka dengan kritikan dan rakyatnya mempunyai pengaruh besar dalam jatuh bangun seorang pemimpin.

Saya kena belajar menjadi pengguna yang bijak. Kuruskan badan supaya boleh memakai baju-baju lama. Kurangkan makan supaya kekal kurus...Kucing-kucing kena belajar makan tikus semula. Belajar daripada “kucing-kucing” yang mengendap untuk “membaham” mangsanya!!!

Tetapi saya percaya kebisingan ini tidak lama.

Semua kita mudah lupa. Apa lagi jika disuapkan pula dengan sesuatu yang ada gambar orang memakai tengkolok!

No comments: