Total Pageviews

Monday, March 16, 2015

Kenduri dan Kenangan

Kenduri perkahwinan anak saudara saya dibuat secara besar-besaran walaupun dia lelaki. Anak tunggal kakak saya, jadi tidak hairanlah jika mamanya mahu memberikan kenangan.

Badrul pernah dijaga emak sehingga usianya dua belas. Kenduri ini sebenarnya untuk menyukakan hati emak.

Temanya warna kesukaan emak. Merah.

Konsepnya juga mengikut keinginan emak. Gotong-royong.

Kesemua pak cik dan mak cik berusaha untuk pulang. Sudah lama keluarga kami tidak mengadakan kenduri besar selepas kenduri perkahwinan adik lelaki saya yang bongsu hampir enam belas tahun yang lalu. Waktu itu ayah masih ada, sebelum setahun selepas itu ayah pergi dan tidak sempat menatap wajah anak-anak adik saya itu.

Anak-anak saya sangat rapat dengan Badrul. Masa sekolah tadika dan rendah, kalau cikgu bertanya ada berapa beradik, mereka akan menjawab “tiga!”. Mereka bangga sebab ada abang meskipun dia sebaya dengan si sulung saya. Ayah dan emak menimang tiga cucu sekaligus untuk tahun yang sama, 1990. Anak perempuan sulung abang saya lahir lebih awal sekitar bulan enam, diikuti Badrul yakni anak tunggal kakak saya sebulan kemudian. Dan si sulung saya lahir di hujung kaki tahun, pertengahan Disember yang basah.

Ketiga-tiga mereka rapat dan diajar untuk menghormati yang lebih tua. Jadi, anak saya ada kakak dan abang yang memang dibahasakan sebagai “kakak” dan “abang”. Saya selalu bangga dengan cucu mak ayah batch yang ini. Ini satu-satunya batch yang mengamalkan protokol ajaran mak ayah. Anak saya akan mencium tangan sepupunya sebagai tanda hormat meskipun lahir pada tahun yang sama. Tiada bahasa seperti “hang”, “aku” atau yang seumpama dengannya. Yang tua akan menjadi pelindung kepada adik-adik, malahan berhak “meleteri” mereka tanpa kompromi jika berbuat silap.

Masa dan keadaan memisahkan mereka. Tapi saya tahu di sudut hati, masih tersimpan ingatan dan kenangan masa kecil. Seperti kata Badrul kepada saya, “ sebenarnya saya rindukan kakak...” merujuk kepada adiknya (si sulung saya). Waktu berkata-kata itu, suaranya tersekat dan saya nampak matanya berair. Si sulung saya tidak pulang untuk meraikan hari gembira si abang!

Tetamu sangat ramai. Barangkali emaklah penyebabnya. Emak yang ramah dan ringan tulang. Emak yang suka membantu orang. Kenangan dan ingatan orang terhadap allahyarham ayah juga mungkin!

Saya diminta membaca sajak. Aduh! Sebetulnya saya tidak diberitahu awal. Tiba-tiba juruacara meminta saya bacakan sajak buat pengantin. Saya minta beberapa waktu untuk mencipta sajak pendek. Waktu membaca, rupa-rupanya ada yang menangis! Sedih sangat agaknya huhu...

Semua orang bertungkus lumus dan tidak cukup tidur. Saya sendiri rasa bergoyang-goyang badan meskipun hanya bertugas sebagai jawatankuasa cenderamata dengan dibantu oleh tiga orang lagi di bawah saya.

Saya meninggalkan kampung jam dua pagi untuk menghantar si bongsu dan kawan-kawannya yang ada kuliah jam delapan. Pertama kali dalam sejarah pemanduan jarak jauh, saya terlena di R&R, malahan hampir terlena juga ketika memandu!

Saya akan berpusing balik ke kampung untuk membantu aktiviti pasca majlis. Kasihan mak dan mereka yang masih tinggal di kampung.

Tetapi saya tidak pasti saya ada upaya atau tidak. Dengan sekian banyak kerja di pejabat yang belum selesai, dan kuliah hujung minggu!

No comments: