Total Pageviews

Thursday, February 12, 2015

Pergilah Wahai Murabbi

Tidak tahu apa maknanya, selain menyebutnya sebagai kebetulan.

Ya. Kebetulan.

Beberapa hari lepas, saya memegang beberapa buah buku. Tetapi sewaktu mahu membayar, saya hanya memilih satu. Dua Jalan Dunia, himpunan cebisan kata yang dikutip daripada bukunya, Bertemu Allah.

Saya tertarik akan kata-katanya di muka buku itu. "Apabila tidak berpeluh di dunia atas urusan Allah, maka mereka akan berpeluh di akhirat atas urusan Allah juga".

Saya membacanya dengan cepat, dengan ulangan dua kali.

Malam tadi sekitar jam delapan setengah, entah mengapa saya buka video yang dihantar adik dalam grup whassap keluarga. Video dengan lagu "Lelaki" yang ditujukan Siti Nurhaliza kepadanya. Hati sebak. Saya langsung mengirimnya kepada Dr Wan Zaliha, anak Kelantan. Dia membalas, "Kak, setiap kali saya lihat video ini, setiap kali itulah saya menangis. Sampai hati orang buat dia macam-macam".

Saya memang keletihan dan kurang tidur beberapa minggu ini. Jadi, malam ini saya mahu tidur awal. Esok sajalah saya mengaji, demikian syaitan menambah keletihan dan kantuk. Jam sepuluh, saya sudah baring dan mahu lelap.

Deringan telefon mengganggu kantuk. Saya mendengar esak yang kuat dan kurang jelas butiran ceritanya. Suara Dr Wan Zaliha. Ya Allah, kantuk saya berterbangan lari. Saya bangun dan kebingungan. Meskipun sedar akan kondisi beliau yang kritikal tapi entahlah...

Allah mahu saya mengaji juga malam itu. Allah mahu saya ingat bahawa maut itu tidak boleh dilewatkan sehingga esok pagi. Dengan suara tertahan-tahan, saya melakukan apa yang sewajibnya muslim lakukan.

Malam itu berlalu dan saya tidak mampu lena.

Seorang lagi rakan menelefon. Saya diam. Di hujung talian juga diam, hanya terdengar esakan. Faham. Meskipun hanya esakan.

Pergilah wahai murabbi. Ke sisi Tuhanmu yang kaurindui. Kami menjadi saksi akan perjuangan dan kezuhudanmu.

Awan apakah ini, yang membawa mendung, berganti-ganti? Baru sebentar hati terluka, sudah datang kelukaan yang lebih besar dan merah menyala!

Saya teringat bagaimana saya tidak memahami perjuangannya ketika saya masih muda. Saya ikut terpengaruh dengan dakyah yang waktu itu hanya dapat dibaca melalui dua akhbar dan televisyen dua saluran.

Allah mentakdirkan peristiwa 1998 untuk mengetuk pintu hati saya dan seluruh keluarga. Saat itulah saya mula memahami dan membulat tekad bahawa akan saya haramkan anak cucu dan keturunan saya, membenarkan sesuatu yang tidak benar menerobos masuk ke hati kami.

Saya pernah beritahu suami yang berlainan ideologi. Saya mahu jumpa orang ini meskipun sekali. Saya mahu memohon maaf.

Tetapi dia telah pergi.

Berehatlah wahai sang murabbi.Engkau telah selamanya berpeluh di dunia untuk urusan Tuhanmu.

No comments: