Total Pageviews

Friday, January 9, 2015

Radio Malaya


Radio Malaya saya ketika remaja

Saya dibesarkan oleh seorang lelaki pendiam. Abang sulung dan adik lelaki di bawah saya juga pendiam. Cuma adik lelaki yang bongsu itu sahaja yang sedikit ramah mengikut perangai emak.

Jarang jumpa lelaki suka bercakap kecuali politikus, penjual ubat dan juruhebah. Sekarang saya berkongsi hidup dengan radio Malaya.

Jam sudah pukul satu setengah pagi. Dia belum habis bercerita. Tentang apa? Sudah tentu tentang kerja. Dia asyik berkata, “ah...sudahlah Yang. Jangan diingatkan lagi tentang kerja abang itu...”

Masalahnya tidak sampai pun sesaat, dia kembali menyambung ceritanya tentang hal yang sama!

Saya teringat sepanjang jalan kami ke tempat si bongsu untuk meninjau kerosakan Kia Spectranya. Itulah yang berlaku. Dia bercakap tanpa henti sehingga saya asyik memberikannya gula-gula getah yang memang sedia ada dalam kereta. Dia terperasan, “eh, macam tak bagi abang bercakap saja?”...hehehe. Kemudian dia mengadu kepada penjaga tol, "ada ke patut kakak kau kata abang ni murai!"

Kembali kepada kisah awal pagi itu. Selepas selesai berkisahan tentang kerjanya, meleret-leret kepada kisah-kisah lain, saya berkata, “kalau abang tulis karangan dan saya gurunya, saya akan gagalkan abang...”

“Eh, kenapa?”

“Sebab meleret-leret. Lewah, namanya. Lari daripada tajuk”.

Dia ketawa kuat. “Ya la, Yang. Masa abang sekolah dulu, cikgu abang pun cakap begitu. Kisahnya begini...”

Alamak, kata saya dalam hati. Habislah. Saya kena dengar kisah dia sampai jam berapa lagi ni...

“Cikgu suruh buat karangan tajuknya Memancing Ikan Di Sungai. Abang pun tulislah. Lepas itu abang ceritakan pula kisah masuk ke hutan memburu burung wak-wak. Lepas dapat burung, abang panggang dan makan...”

Dan dia ketawa. Lama. Saya pun kena ketawa juga walaupun saya belum tahu kisah selanjutnya.

“Kenapa tidak teruskan cerita kisah memancing?” tanya saya.

“Tak boleh. Tak dapat ikan pun, jadi macam mana nak tulis. Sebab itulah karangan itu hanya dua puluh peratus kisah memancing dan lapan puluh peratus kisah memburu burung wak-wak...”

Err...macam itu pun boleh ke?

“Cikgu kata nasib baik tak kena patuk ular, kalau tak jenuh pula cikgu mahu membaca kisah di hospital...”

Kalau saya jadi cikgu pun mesti letih dengan karangan yang lari melencong daripada tajuk ini. Sepatutnya kisah memancing, memancing sajalah walaupun gagal dapat ikan. Ini boleh pula masuk hutan memburu burung, siap panggang memanggang lagi tu!

Esoknya kami ke JPJ. Saya terangguk-angguk dalam kereta, bukan sebab mengiyakan ceritanya tapi sebab mengantuk!

Saya pun tidak tahu radio Malaya saya sedang bersiaran kisah apa pagi-pagi menuju JPJ itu, saya hanya mendengarnya dari hujung telinga!

No comments: